Khamis, September 25, 2008

MENGAPA DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR ?

Bagaimanakah malam al-Qadar itu?
Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

Oleh itu hidupkanlah malam Ramadan dengan beriktikaf, menunaikan Ibadah solat, berzikir, mengaji al-Quran mendengar hal-hal yang berguna, mengulang kaji berkenaan Puasa, Solat, Zakat fitrah dan berbagai Ilmu Pengetahuan yang boleh merapatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t.dan dengan sesama manusia.

Mereka yang beriman akan berusaha dengan bersungguh-sungguh menghidupkan malam Ramadhan dengan solat tarawih,berzikir,membaca al-Quran,mempelajari Ilmu pengetahuan yang berguna terutama sekali berkenaan ibadah Puasa,dengan demikian dapatlah ia menunaikan ibadah Puasa Ramadan dengan baik dan diterima Allah ibadahnya itu serta mendapat balasan yang berlipat ganda melebihi seribu bulan. Semoga keselamatan yang diperoleh hingga terbitnya fajar,amin….

Wallahua'alam

Bondaku Hajah Hasmah Awang



Bonda,Baru kini kusedar ketiadaanmu di sisi amat bermakna.
Apatah lagi di saat Aidil Fitri kian menjelang.
Anakanda merindui suaramu, leteranmu, senyumanmu
dan...
air tanganmu membuat juadah malam raya.

Bonda,
Jauh bonda beraya di bumi anbiya' impian semua.
anakanda terkenang kasih sayangmu.
di tubir mata ini,
ada titisan jernih,
merindui akan dirimu,
umpama Sang Pungguk rindukan bulan,
umpama laila rindukan majnunnya.

Namun dikau bukan bulan bukan juga majnun
KAU adalah insan paling istimewa
di telapak kakimu terhampar syurga
di rahimmu aku berteduh
di dadamu aku merasa hangatnya kasih ibu
umpama mengalirnya harga sebuah
pengorbanan yang kau luahkan
dengan penuh kepayahan
tanggal 13 november 1968.

Salam sayang buatmu
Bonda Hasmah Awang
Kau ratu hatiku.

Rabu, September 24, 2008

Kad Raya

Selamat hari raya..semua orang boleh menyampaikan ucapan raya baik melalui email, sms dan apa-apa cara pun. Tapi, bagi saya hari raya seolah-olah tidak bermakna tanpa melayangkan kad raya terutama kepada keluarga terdekat dan sahabat-sahabat ketatku.

Kad raya,
walaupun agak tradisional jika hendak dibandingkan dengan zaman yang maha canggih ini tetapi bagi saya kad raya sempena hari raya ada sentimental value tersendiri. Siapa yang ajar semua ini??Siapa lagi kalau bukan arwah Pa tercinta. Beliau selalu menyuruh anak-anak hantar kad kepada guru-guru..dan bila anak-anaknya sudah dewasa tanpa disuruh dipaksa anaknya pandai pula menghantar kad raya buat kekasih.

Alhamdulillah, tahun 2008 ini walaupun masa begitu deras saya sempat melayangkan kad-kad raya buat insan yang tersayang dan mempunyai jasa kenangan sendiri dengan diri ini. Mana mungkin saya melupakan Hjh Rahimah Rahim JB(ibu angkat-posting jb'93)
Pak Cik Kasim Bt Gemuroh, Hj Mohd Noor Felda Kerteh( bapa angkat OPKIM PERMATA UKM),Syed Anuar GPMS, Kanda Za, kanda Mi, Adik Jam, Adik Rah, Adik Bi, kawan-kawan Nor Azimah, Kak Yam,Kak Abadah, Saudara-saudara sekapal musim haji KT29 2005 Hjh Noor Fauziah, Hjh Kamariah, Hjh Latifah dll.

Walaupun ada orang kata membazir tenaga, masa kerana mengepos kad raya bagi saya, saya tetap dengan diri saya. Walaupun jarang orang membalas kad-kad raya dari saya - saya tak kisah. Aimann tak kisah. Janji saya ingat kawan-kawan dan keluarga saya.

Apa pula pendapat anda???

Isnin, September 22, 2008

Sedetik Masa Dahulu..



Sedetik masa dahulu
kucapai tanganmu, kucium pipimu, kupeluk dirimu..
kerana kau insan istimewa
yang melahir dan membesarkan diriku
seperti ini

Sedetik masa dahulu
kami anak-anakmu yang nakal akan beratur menunggu
pemberian duit raya darimu
walaupun tidak sebesar mana akan nilainya
kami menghargainya
buktinya sampai ke hari ini duit rayamu masih utuh tersimpan
di dalam diari kenanganku
walaupun kini warna duit sudah bertukar rupanya

Sedetik masa dahulu
Bulan Ramadan seperti ini kita bertarawih bersama
bersimpuh berjemaah menjamah hidangan
walaupun hidangannya tidak sehebat duniaku hari ini
kami gembira menikmatinya

Sedetik masa sudah berlalu
yang tinggal hanyalah bilah-bilah kenangan yang tidak mungkin sama sekali akan terpadam dari lipatan ingatanku

Kenangan bersamamu ayahanda sentiasa harum di hati ini
aku merinduimu dulu, kini dan selamanya

Salam sayang untukmu ayahanda Hj Muhammad bin Abdullah

Sabtu, September 20, 2008

Kuseru Namamu Lailatul Qadar

Assalamualaikum,
Lailatulqadar atau malam yang ditaqdirkan adalah merupakan suatu tawaran istimewa dan paling besar daripada Allah(swt)untuk hamba-hambanya yang beriman sebagaimana firmanNya yang bermaksud:Malam yang ditakdirkan itu adalah lebih baik dalam seribu bulan.

Berhubung dengan masa dan waktunya,maka tidak didapati sebarang keterangan yang tepat mengenainya,tetapi pada dasarnnya ia tetap wujud dalam bulan Ramadan.Walau bagaimana pun berdasarkan kepada hadis-hadis, baginda telah membuat kita mendapatinya sebagaimana sabdanya bermaksud :Berjagalah kamu akan LAILATULQADAR pada malam yang witir(ganjil)dari sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan.

sekian,wassalam.

SELAMAT HARI RAYA



Sesungguhnya dalam meniti perjalanan hari..sedar atau tanpa disedari banyak perbuatan, perkataan, sifat, renungan yang kadang-kadang kita ikhlas melakukannya tapi bagi orang lain merasakan sebaliknya. Jadi sebagai manusia biasa yang berlidah tanpa tulang ini tentu tidak ada kuasa luar biasa bagi mentafsirkan makna yang tersilap.

Lebih-lebih lagi dengan ahli keluarga sendiri..terlalu banyak khilaf yang dilakukan. Maafkan saya sekeluarga.

PTK

Alhamdulillah keputusan PTK kohot 7 bil6/2008 sudah keluar keputusannya siang tadi. Bermakna berakhir sudah kemelut perjuangan dalam PTK setelah lulus. Biarpun tidak cemerlang mana. Well, saya bersyukur. Tahniah untuk Cikgu Abadah dan Cikgu Ridzuan kerana berjaya mendapat IV-IV.

Itu namanya rezeki Ramadan.Berkat bulan Ramadan. Hasil usaha dan iltizam berterusan..dengan bantuan sifu-sifu daerah Besut Pn Hjh Fariza Nurbaya, Cikgu Tn Hj Mohamad Affandi dll.

Semoga rezeki tuan-tuan, puan-puan diberkati Allah s.w.t. yang menolong dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Hanya Allah s.w.t yang boleh membalasnya.

Amin.

Khamis, September 18, 2008

Anak Oh Anak

Semalam cuti Nuzul Quran 17 Ramadan 1429H. Hampir seminggu saya tak dapat membuat catatan dalam Sedetik Masa kerana ada masalah laptop. Kekanda berdua Kekanda Za dan Kekanda Mi sudah selesai acara majlis berbuka...saya bila pulak?? Insya Allah sebelum raya saya akan buat juga majlis buka puasa panggil adik-beradik tercinta. Kekawan kat sekolah ramai yang ambil cuti hari ni dengar khabarnya 'shopping' raya. Anak-anak sibuk tanya, "Mama, bila nak beli baju raya? Bila nak beli kasut raya? Tudung raya?".

Kesiannya aduhai anak-anakku..sabarlah sayang. Tiba masanya, sampai rasanya untuk membeli baju raya kita akan pergi. Kadang-kadang terasa sedih sangat sebab hati terlalu rindu pada Ma, arwah Pa, arwah Nenda (Mok) semacam tidak ada mood untuk raya. Tapi, bila teringatkan anak-anak..sedih pulak. Kerana anak-anaklah, mama ini semangat untuk masak sahur..kerana anak-anaklah mama rajin ke dapur masak juadah istimewa..semuanya keranamu anak-anak tercinta.

Sabtu, September 06, 2008

Masih Segar Dalam Ingatan



Salam Puasa. Esok masuk hari ketujuh kita berpuasa. Masya Allah..Subhanallah.. tidak terasa sedetik masa itu terlalu bangat ia berlalu. Umpamanya, kenangan di Masjid Nabi.Saya teringat maksud hadis daripada Abu Hurairah, r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Satu sembahyang di masjid ku ini lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjid al-haram di Mekah."


Alhamdulillah, semasa perjalanan haji bermula 11 Disember 2005 saya diberi peluang oleh Dia yang mempunyai segala kekuatan dan kebesaran Allahu Akbar, saya sempat menunaikan 40 waktu Solat Fardu. Dengan Izin Allah S.W.T jua dalam kesempatan itu semuanya saya dapat lakukan dalam masjid Nabi yang saya cintai. Sedikit pengetahuan 'broken' Lughah Arabiyah saya diberi kekuatan memujuk pengawal di pintu masjid untuk bergerak ke dalam. Banyak kali dapat berdampingan dengan kekanda Za di Masjid Nabawi ini. Masih segar dalam ingatan, sering kali saya termengantuk kerana berlaku sedikit perubahan waktu.


Saya mengambil peluang ke Raudhah..(salah satu daripada taman-taman syurga) hanya tiga kali sahaja. Itu pun dalam situasi yang amat bersesak dan menyesakkan. Tapi, sabar..sabar hajjah..Dalam hatiku aku berdoa, aku datang bukan untuk berperang sekadar untuk menikmati kebeningan Raudhah. Pertama kali dapat memijak carpet hijau putih (terbayang2 ingatan semasa sesi ceramah haji, kalau kaki berada di hamparan hijau itulah Raudhah). Subhanallah!! Dalam diasak, terasak dan begitu sesak saya hampir menitiskan airmata akhirnya saya berjaya memijakkan kaki ke Raudhah. Terus teringat apa yang patut dilakukan.


Dengan penuh kesyukuran dan terharu, saya tadahkan tangan dan berterima kasih kepada Allah s.w.t kerana Dia memudahkan urusan. Saya mencari ruang yang agak lengang lalu menyampaikan salam kepada kekasih Allah, Assalamualaika ya Rasulullah, Assalamualaika ya nabiyullah, Assalamualaika ya Habiballah..ketika itu air mata menitis deras tanpa disedari, saya ucapkan pula salam buat Saiyidina Abu Bakar seterusnya Saiyidina Umar yang berpeluang dimaqamkan di sisi Rasulullah.


Saya ingin Solat Tahiyyatul Masjid di situ..ingat bukan Solat untuk Nabi (Solat hanya untuk Allah s.w.t) Dua orang polis wanita bertanya adakah saya sudah selesai
( Khalasti ya Malizi), saya jawab.."La, uridu Solat". Terus sahaja mereka menyuruh Solat dekat dengannya..setiap kali ada jemaah lain ingin lalu di hadapan polis itu berkata.."Malizi Solah!Maliziy Solah", Syukran saudara seagamaku. Lalu, saya tidak ingin menjadi tamak seusai solat dan berdoa seadanya saya beredar untuk memberi ruang kepada orang lain. Bukankah orang lain juga ingin merasa nikmat berada di Raudhah? Saya tanamkan azam, akan datang lagi sebelum berangkat ke Makkatul Mukarramah"


Demikianlah, semoga dengan sedikit catatan ini dapat menghilangkan kerinduan kepada bumi anbiya' al-Haramain. Suatu masa nanti, saya pasti akan menyusul lagi...

Makkatul Mukarramah..Sentiasa Dalam Ingatan



Makkah, masih terasa kehangatan berada di bumi Anbiya' 2005. Pertama kali ingin melihat rumahMu, hatiku berdebar. Adakah aku layak menjadi tetamu agungMu?? Akan adakah ruang untukku solat kepadaMu. Melihat betapa ramai tetamu yang Kau jemput..aku tidak bimbang ketiadaan tempat untukku sujud kepadaMu kerana keyakinanku padaMu tidak pernah berbelah bahagi.

Makkah,
RumahMu sentiasa dipenuhi tetamu. Hitamkah kulitnya, putihkah dia, merahkah warnanya.. mereka diraikan penuh makna.Mendapat tempat untuk solat di hamparan rumahMu adalah satu kesyahduan buatku.

Makkah,
Aku kini terasa rindu dan amat rindu padamu. Ingin melihat KaabahMu, bersolat dan doa berhajat di bumi kekasihMu...adalah impianku yang akan kulestarikan selagi nyawa dikandung badan.

Yang Merindui RumahMu.

Rabu, September 03, 2008

Walaupun Syaitan Diikat

Salam Ramadan. Nampaknya sudah tiga hari kita berpuasa. Sekejap saja masa berlalu. Bagi diri hamba yang daif ini sebetulnya macam tiada pembaharuan besar lagi dibuat mengihya'kan Ramadan al-Mubarak ini. Kebetulannya, hamba yang daif ini diuji dengan sedikit ketidaksegaran (batuk2, kering tekak, kering bibir)..entahlah. Kadang-kadang datang dalam akal fikir ini adakah Ramadan ini yang terakhir buatku? Kalau terakhir kenapa dan mengapa aku tidak ada peningkatan amal ini??Sekadar membaca KalamMu..Solat Tarawih pun buat lapan je..(oklah tu), bila hamba yang daif ni hendak menjamu orang berbuka??Bukan tidak mampu menyediakannya tetapi rasa macam sedikit penat. Hari sekolah jam 4.00-4.15 ptg baru sampai rumah. Ya Allah, besarnya nafsu dalam diriku. Kenapa aku tidak mampu melawan malas, mengantuk, letih dan macam-macam alasan lagi. Ya Allah, jauhkanlah diri ini dari segala sifat malas, bakhil dan kedekut..Sesungguhnya aku tidak mahu mengikut jejak langkah syaitan.

More RAMADHAN graphics

Tolonglah hamba ini Ya Allah..Tolonglah daku..Hanya kepadaMu kumohon segala.

Semoga Ramadan 1429H Lebih Bermakna Dalam Makna..

More RAMADHAN graphics

Selasa, September 02, 2008

Ucapan Ramadan

Hari ni, masuk hari kedua umat Islam di Malaysia berpuasa Ramadan..Alhamdulillah. Bercakap tentang puasa sampai hari ni masih banyak ucapan Ramadan yang dikirim sahabat2 dan rakan taulan ketatku. Sampai tak terbalas. Ucapan adik beradik jangan cerita laa...ber'jujuk-jujuk' masuk lewat pengumuman puasa dua malam lepas. Ucapan terakhir diterima dari bekas suami arwah sahabatku- INTAN SHAFINAZ kembali ke rahmatullah pada 8.6.2006. Suaminya Tn Hj Wan Ahmad Razif Wan Abdul Ghani (apa khabar baby baru dan isteri??).

Di antara kata-kata smsnya yang sempat dititipkan di sini..."Kedatangannya dinantikan, Ketiadaannya dirindukan, Ketiadaannya ditangiskan, Ahlan Wasahlan Shahru Ramadan.."Sori Zif, saya tak sempat lagi nak balas. Buat catatan baru kat blog sempat lak?? Ayoe pulak hantar sms kelakau.Nak tau apa yang dia sent, "anak angser anak buayer,X puaser Xleh rayer, Anak ruser anak unter, X puasa masuk neraker".Yoh, ramainya manusia tak puaser dan mereka semuer tak takut neraker pun.

Ramai makhluk yang tak takut pun neraka..baru-baru ni masa ceramah Isra' Mikraj ramai budak sekolahku tak hirau sangat azab-azab yang diceritakan semasa Nabi Mikraj. Yang buat main-main pun ada. Hemm, dunia akhir zaman..terutama bab pakaian.(Nanti saya download pakaian yang sesuai dengan seorang muslimah)

Isnin, September 01, 2008

Penghayatan Puasa

Salam Ramadan lagi.Oleh kerana terlalu banyak bahan mengenai puasa, saya rasa macam tak tahu nak ambil yang terbaik untuk santapan rohani. Tapi, apa yang saya paparkan di bawah mungkin boleh membantu ke arah pemantapan ibadat puasa. Ramai yang berpuasa di kalangan kita tapi yang menghayatinya...????

Pada hakikatnya puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan minum pada siang hari. Tetapi puasa yang sebenarnya ialah menegahkan diri daripada segala yang perkara haram, dosa dan maksiat seperti mengumpat, berbohong, menipu, memandang yang haram, memudaratkan orang lain dan sebagainya.

Sebahagian ulama berkata:"Ramai orang yang puasa, berbuka; dan ramai yang berbuka, berpuasa. Orang berbuka yang puasa ialah orang yang memelihara anggota badannya dari yang haram, padahal dia makan dan minum. Dan orang berpuasa yang berbuka ialah orang yang menahan makan dan minum hingga lapar dan dahaga, tetapi pada waktu yang sama dia membebaskan anggota badannya melakukan yang haram."

Sabda Rasuulllah s.a.w lagi :
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: rasulullah s.a.w. bersabda:"Seringkali orang yang berpuasa itu hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga, dan sering kali orang yang bangun malam itu hanya sekadar berjaga."
(riwayat Tabarani)

Bagi menambahkan kebaikan, rahmat dan pahala dari Allah S.W.T. kaum muslimin dikehendaki mengundang kaum kerabat, jiran serta orang-orang yang dekat untuk makan bersama ketika berbuka.

Sabda Rasulullah lagi:
Diriwayatkan daripada Salman r.a.katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Siapa yang menjamu orang yang berpuasa ketika berbuka dengan makanan dan minuman yang halal, maka malaikat mendokannya pada saat-saat bulan Ramadhan dan NJibril mendokannya pada malam al-Qadar."

Semoga sama-sama mendapat pengiktibaran menghayati bulan yang penuh berkat ini - Ramadan al-Mubarak.

Salam Ramadan 1429H/2008M

Malam tadi semasa berita Buletin Utama, aku dan anak-anak jua suami tidak sabar-sabar menunggu pengumuman puasa Ramadan. Suami kata jatuh hari Selasa..Aku kata hari Isnin. Anak-anak semua nak hari Isnin. Nampaknya suami sorang saja hari Selasa. Dan, masa yang ditunggu pun tiba Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja (bapa saudara suami Erra Fazira) mengumumkan puasa jatuh hari Isnin. Alhamdulillah. Terus kami sekeluarga bersiap siaga ke masjid Hj Ishak. Ambil keberkatan malam Ramadan yang pertama. Lalu, aku teringat bahawa setiap malam Ramadan itu sentiasa ada kelebihan-kelebihan tertentu. Sekadar menyentuh malam pertama hingga kelima, semoga dapat memberi info kepada rakan-rakan dan ahli keluarga mengingat kembali.



1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.



2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.



3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.



4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.



5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.



Akhir kalam dari hamba yang lemah ini, marilah kita berbuat amal salih dan kebaikan semoga puasa tahun ini menunjukkan kecemerlangan. Amin..

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails