Sabtu, Mei 30, 2009

Selamat Datang Ke 'Lagenda Mahsuri'

Salam percutian buat warga pendidik setelah penat bertugas demi agama, negara dan bangsa. Cuti sekolah macam biasalah. Selain rutin harian iaitu 'tanda kehadiran kain baju', atau relief memasak atau 'memeriksa kertas-kertas dan sampah sarap dengan batang penyapu'..maka saya rasa tugas saya makin bertambah. Saya harap hendaknya hati saya ikhlas lillahi taala dan bukannya 'lellah'.

Malam tadi, saya mengiringi pemergian 'sang arjuna' dan anakanda ke Pulau Lagenda Mahsuri dengan perasaan sayu. Iyalah..berjauhan 3-4 hari..Tak adalah 'teman berbalah' saya seketika. Saya juga tidak mengirim sesuatu yang istimewa melainkan yang istimewa itu hadir dengan sendirinya tatkala kepulangannya nanti. Sebotol minyak gamat sudah memadai..sedetik masa dulu sebelum melelapkan mata minyak wangi cleopatra menemani malam. Kini, cleopatra bertukar jadi 'minyak gamat', kadang-kadang minyak mastika, TYT atau minyak yuyee..alahai, sekejapnya masa berlalu.

Buat arjuna dan anakanda yang berpergian ke Langkawi, selamat bercuti dan ambillah peluang ini dengan penuh hikmah dan tenang. Sampaikan salam buat 'Idaman Suri' dan juga 'Daim'.

Jumpa lagi. Kenang daku dalam doamu!!

Ahad, Mei 24, 2009

Luahan Hati Seorang Isteri

Salam syahdu buat sang arjuna yang bergelar 'bapak', 'suami', 'mas', 'kang'..atau sesiapa jua yang patut dipanggil lelaki. Kisahnya begini, sebagai 'ustazah' katakan, maka satu dua hal dijadikan juga tempat rujukan. Dari hal-hal hukum hakam, hinggalah soal rumahtangga suami isteri. Bukan 'buka pekung di dada' tapi sekadar menghurai kemelut di hati.
Kata kawan saya (nama dirahsiakan), "Ustazah, saya ada masalah sikit. Begini, saya rasa sedih sangat sebab suami saya macam tak endah sangat soal pelajaran anak-anak. Ustazah pun tahulah kan, sekarang ni musim exam..sekolah menengah exam, sekolah rendah exam...waktu malam lepas maghrib saya jadi lipas kudung. Mana nak sediakan makan malam. Mana nak ajar anak baca qur'an..mana nak ajar anak-anak buat latihan, esok nak exam. Suami saya lepas maghrib (alhamdulillah berjemaah), dia akan menghadap tv aje. Boleh tengok berita itu, berita ini. Macamana nak buat ustazah, tolonglah saya".
Saya kasihan jugalah mendengarnya. Isteri ni kadang-kadang bukan boleh diberi muka sangat. Haaa, itu kata-kata suami. Tapi bagi saya, saya serulah wahai suami kasihanilah isteri anda. Dia juga penat seperti anda. Hargailah isteri anda. Setiap bulan hadiahilah gelang emas ke..atau ajak makan kat hotel lima bintang ke...atau ajak shopping kat KB Mall, TESCO, Giant atau Mydin Mall. Paling tidak tukarkanlah 'hp'nya kepada telefon terkini, canggih dan comel. Janganlah suami pakai hp canggih, isteri pakai hp 'cap ayam'..Emm, barulah isteri tak mengeluh.
Hidup suami isteri ni kenalah saling bantu membantu, kerjasama. Bukankah Allah swt berfirman dalam al-Qur'an, "Isteri-isteri kamu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka".
Wassalam. Jumpa lagi.

Sabtu, Mei 16, 2009

Terima kasih Cikgu 1975 - 1987

Entah kenapa malam ini, saya begitu sedih dan menjadi perindu sedetik masa sejentik rasa tika mana saya mula mengenal cikgu. Cikgu pertama tentulah ayahanda tercinta - Hj Muhammad Abdullah (alfatihah pa 23.06.2006). Sebenarnya sekolah pertama saya ialah Tadika Dengir ketika itu saya dibimbing oleh Cikgu Limah Daud. Alhamdulillah, saya sudah boleh membaca ketika itu usia 6 tahun. Arwah Pa suka belikan saya komik Bujal atau Bambino. Apabila naik darjah 1 di SK Pusat Jerteh, arwah Pa mula belikan saya majalah Dewan Pelajar. Terima kasih pa.

Ketika dalam darjah 1-4 di SKPJ, saya masih ingat cikgu-cikgu saya terutama Cg Fatimah, Cg Khadijah, Cg Zaid, Cg Wan Bahari, Cg Sofia, Cg Adnan, Ust Mariam...dan kini mereka ramai yang sudah pun bersara ataupun sudah meninggal dunia?? Jasamu cikgu akan saya kenang hingga akhir zaman.

Darjah 5-6 saya berpindah ke SK Tg. Mahmud (kini sekolah anak-anak)..Apa khabar Cikgu Ali Akbar (matematik), Cikgu Rabiatul Adawiyah pula telah dijemput ilahi tahun lepas. Mujurlah saya sempat memeluk dan mencium tangannya semasa bertemunya ketika menjadi guru kontrak 2 tahun lepas. Beliau banyak mengajar saya erti keberanian dan kehidupan. Terima kasih cikgu. Cikgu Rosnani apa khabar? Cikgu Basir? Cikgu Mat Yusof...Kadang-kadang, saya jadi terharu adakah sedetik masa nanti anak-anak didik saya mengingati saya? YM Engku Taib, guru besar saya masih kuatkan cikgu?

1981-87 mengisi usia remaja bersekolah di Kuala Terengganu..Terima kasih Cg Rose Hazlifah, Ust Zainun, Cg Sakinah, Cg Rosnah, Ust Hawiah, Ust Habidah, Cg Ismail, Cg. Sulaiman (SMA Khairiah). Jua cikgu SMA Sultan Zainal Abidin, K.Trg terutama Cg Zaleha, Cg Hilmiah, Teacher Halina, Cg Md. Radzi (Math), Cg Ariffin (Sains), Us. Ghazali, Us. Samad (fiqh), Cg Musa, Cg Md Yakin (banyak bantu pidato piala diraja), Cg Aziz Wahid (pingpong), Us Aziz 3A, Cg MYO, Cg Latif, Cg Mohd Yusof, Cg Man Seni (buku teks), Cg Habsah (pg. am), Us YM Eg. Alwi, Ust. Fahzah (Bhs. Arab)..dan ramai lagi sehingga tidak terhitung. Saya akan ingat dan kenang jasa cikgu selamanya. Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu!

Sempena hari guru hari ini 16 Mei 2009 saya ucapkan "selamat hari guru cikgu!". Tanpa cikgu saya tidak mungkin menjadi insan seperti hari ini. Maafkan salah silap saya. Ya Allah, rahmatilah guru-guruku ini. Selamatkanlah hidupnya di dunia dan akhirat.

Terima kasih cikgu. Panjang umur jumpa lagi.

Selamat Hari Guru 2009 Semua Guru..

Selamat Hari Guru 2009. Selamat Hari Guru buat Tuan Pengetua dan mantan-mantan pengetua. Selamat Hari Guru untuk Guru Penolong Kanan. Selamat Hari Guru buat rakan seperjuangan. Selamat Hari Guru Cikgu Fariza Nurbaya & Cikgu Mohamad Affandi, Cikgu Wan Abdullah & Ustazah Jailami, Ustaz Amirizal & Ustazah Insijam, Cikgu Zainul Abidin & Cikgu Nasirah, Encik Muhammad Asruf & Cikgu Fazurina, Ustazah Rabihah, Cikgu Jamaliza & Cikgu Nur Aini, Cikgu Muhammad Auzan, Ustazah Nor Azimah & Cikgu Amir Azha, Cikgu Che Yam & Cikgu Ambran, Cikgu Siti Aminah, Cikgu Abadah, Cikgu Roslaili, Ustazah Sh. Norhaidah, Ustazah Kay, Ust. Yusnida dan ramai lagi cikgu itu, cikgu ini, ustazah itu dan ustaz ini.. "Guru Pembina Negara Bangsa".

Wassalam.
(Istimewa Selamat Hari Guru Ustaz Termezi)

Selasa, Mei 12, 2009

Guru Oh Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada semua guru khususnya buat ayahandaku Hj Muhammad Abdullah)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

'Tragedi' Mei,2009

Assalamualaikum.

Macam yang selalu saya tuturkan di sini bahawa Malaysia sentiasa ada hari istimewa. Yang terbaru ialah Hari Ibu 2009. Itu tidak termasuk hari jadi suku sakat yang banyak terjadi dalam bulan Mei ini. Selamat Hari Jadi untuk Abang Nd, Zul, Umi Nor, Kak Waina dan Acheq. Wah!Wah! Boleh pakat buat 'jamuang' ni. Yalah..rakyat Malaysia bukankah rakyat yang hidup untuk makan. Bukannya makan untuk hidup.

Gurau saja suku sakat semua..saya sebenarnya amat suka mengingat hari jadi semua. Siap save dalam handphone lagi. Suka melihat orang lain gembira menerima ucapan. Nak beri hadiah istimewa bimbang tak terberi pula. Jadi, sekadar ingatan dan ucapan boleh dititipkan melalui sms, e-mail dll.

Ok, semoga berbahagia dilahirkan ke dunia. Menjadi insan cemerlang, gemilang, terbilang fiddunya wal akhirah.

Sabtu, Mei 09, 2009

SELAMAT HARI IBU 2009!

Salam rindu buat ibu-ibu di seluruh dunia. Selamat Hari Ibu 2009. Sebenarnya sambutan hari ibu ini saya hanya tahu apabila saya menjadi ibu. Bagi saya hari ibu - biasalah! Tapi, apabila usia saya kian bertambah dan anak-anak makin membesar saya merindukan ucapan hari ibu dari anak-anak. Kadang-kadang, kalau dapat 'hadiah' pun kira ok. Paling tidak pun ada makan-makan di restoran kegemaran.

Emm, dalam hidup ini saya dilahirkan oleh seorang ibu Hasmah binti Awang namanya. Beliau lahir ke dunia ini tanggal 21.10.1947. Selamat hari ibu ma. Malam ini bonda bertolak ke Melaka. Nampaknya hari ibu disambut di Melaka. Halalkanlah setitik air susumu untuk membesarkan daku...tak terbalas jasa dan pengorbananmu ma.

Oleh kerana saya juga menjadi ibu kepada anak-anak saya, saya ucapkan selamat hari ibu kepada saya sendiri. Tahniah kerana saya berjaya menjadi ibu yang pandai berleter kepada anak-anak. Saya WAJIB bersabar jika ingin menjadi ibu yang hebat cemerlang dan gemilang di dunia dan akhirat.

SELAMAT HARI IBU.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails