Rabu, Ogos 26, 2009

Ramadan al-Mubarak 1430H

Mari tadarus sl-Quran

Ramadan al-Karim
Syukur alhamdulillah kerana dengan izin dan 'inayahNya, kita masih diberi peluang untuk menjalani ibadat puasa tahun ini. Hari ini, sudah masuk hari ke-5 puasa. Alhamdulillah. Namun, puasa tidak menghalang aktiviti harian saya.

Tahun ni Masjid Haji Ishak, Dengir mengambil huffaz sebagai imam. Masya Allah, hebatnya anak-anak muda ini. Muhammad Hariz kena belajar betul-betul untuk menjadi hafiz suatu masa nanti. Mama sentiasa doakan itu. Tapi, UPSR kena berjuang habis-habisan. Ya Allah! Permudahkanlah urusan kami. Sebagaimana Kau menciptakan kami dengan mudah maka kami mohon mudahkanlah urusan kami. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukMu.

Semalam 25/08/09, saya menduduki peperiksaan PTK TK3 di SMKNS. Semoga berjayalah untuk diri sendiri. Syukran buat Mah, Kak Elly dan 'Ain kerana sudi berkongsi idea untuk PTK. Tapi saya akuilah payahnya nak dapat IV.

Sekian dulu. Rasa mengantuk pula, maklumlah selepas bangun sahur tadi masih tidak sempat melelapkan mata seketika. Jumpa lagi.

Ahad, Ogos 16, 2009

Pergi Tak Kembali - Belasungkawa Asri Rabbani


Salam penghujung Syaaban.

Hujung minggu ini, tidak banyak perkara yang saya dapat lakukan. Kiranya membasuh, menjemur, melipat, menyimpan dll soal kain baju.. tidak dapat dilaksanakan kerana 'nyawa' saya rosak seketika. 'Nyawa' berjenama sharp (lama punya) dan panasonic (baru sikit) terhenti seketika dijangkiti virus H1N1. Pada hemat saya kalau benda lain terhenti saya masih boleh goyang kaki tapi kalau yang ini saya memang risau habis. (Alhamdulillah, hari ini masalah sudah selesai...he he he selamat melipat kain baju ya!!)

Namun sedetik masa ini begitu teringin menterjemahkan satu pemergian insan yang amat lunak suaranya, bagus showmanshipnya..tak lain tak bukan perihal penasyid tersohor tanah air Allahyarham Asri Ibrahim namanya. Saya membesar di jalanan (sambil bawa kereta) dengan alunan suaranya. Siapa kata seorang ustazah tidak boleh berhibur. Boleh dikatakan saya mengikuti perkembangan lagu-lagu nasyidnya. Tapi, Allah swt lebih sayangkan dia. Terkejut saya apabila Kekanda Za maklumkan kembalinya Asri ke pangkuan ilahi (semasa tahlil rumah ma).. Innalillahhi wainna ilaihi rajiun. Semoga Allah tempatkan saudara Asri dalam kalangan hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Saya menangis jugalah.

Dengan slogan Hiburan Mendidik Rohani, saya terhibur dengan lagu-lagunya. Suaranya hebat. Semoga isteri dan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini.
Alfatihah.

Isnin, Ogos 10, 2009

H1N1 Wabak Atau Bala?

Di mana-mana sahaja hari ini di sekolah, di pejabat, bank, pasar, tandas, kampung, kedai kopi, kedai dobi dan macam-macam tempat lagi orang bercakap tentang virus H1N1..Benarkah ianya wabak yang sukar disekat atau bala Allah swt di atas kebejatan dan sifat kebinatangan manusia yang akhirnya memamah diri sendiri..umpama api yang memamah kayu api pada musim kemarau??

Bacalah info H1N1 di sini. Syukran Rembulan kerana sudi berkongsi info dan memberi maklumat terkini.

Sang Arjuna baru saja pulang dari kuala terengganu mengambil anak sulung yang 'kurang sihat' di SHAMS. Semoga anakanda cepat sembuh..Ya Allah! Demi zatMu yang Maha Agung, Kau selamatkanlah seluruh umat islam, warga sekolah SMKTM dan ahli keluarga tercinta dari dibelenggu oleh penyakit-penyakit berbahaya yang tidak mampu kami hadapi. Teguhkanlah iman kami.

Wassalam.

Jumaat, Ogos 07, 2009

Bersama Prof. Muhd Kamil Travelog Haji

Semalam 7 hb. Ogos 2009 saya berkesempatan menghadiri majlis temu murni anak lelaki saya di Sk tg. Mahmud. Sedikit rasa teruja kerana dapat mendengar 'amanat' daripada Prof. Muhd Kamil penulis buku 'Travelog Haji'. Saya sempat mencatat beberapa isi penting lewat paparan power-point di bilik tayangan tingkat empat sekolah. Masya Allah, lenguh juga lutut mendaki tangga. Emm, tanda-tanda lima perkara sebelum lima perkaralah tu...kiranya saya bukan lagi orang muda.

Sebenarnya, Prof Muhd Kamil ini abang kepada kawan sekolah rendah saya dulu iaitu Saiful Anuar. Lewat kata-katanya semalam..kita mesti ada IMPIAN. Memang banyak impian ini yang belum tertunai. Walau bagaimanapun saya panjatkan kesyukuran kerana sudah banyak juga impian dimakbulkan oleh Allah swt. Kita juga mesti ada KEBERANIAN. Ya, berani. Kadang-kadang saya memang tidak ada keberanian. Nak berjumpa dengan Tuan Pengetua pun tak berani. Nampaknya selepas ini saya kena suntik keberanian dalam jiwa ini.

Namun, yang paling berkesan ialah peranan DOA seorang hamba kepada Pencipta Alam ini. Impian yang tinggi terhadap anak-anak wajar disusuli dengan doa..Ya Allah, Kau berilah jua kekuatan kepadaku untuk terus berdoa dan berdoa. Makbulkanlah doaku, doa suamiku, doa ibu bapaku, doa anak-anakku agar berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Tenangkanlah hati anakandaku Nuzul Badree dan Muhammad Hariz Eilman yang akan menduduki PMR dan UPSR. Kasihanilah mereka Ya Allah. Makbulkanlah doa kami dan doa-doa mereka.

Wassalam. Jumpa lagi. (Arjuna sudah bertolak dari Melaka 8.00 malam tadi, semoga selamat sampai ke destinasi..adinda sudah kangen padamu)

Sejentik Rasa Di Ambang Ramadan

Sudah pertengahan syaaban rupanya kita. Lambaian Ramadan melambai-lambai..pintu syurga mungkin sudah terkuak sedikit, dan neraka kian menjauh bagi memberi laluan untuk kita. Setiap tahun kita berpuasa dengan penuh ketaatan, ke’tawadhu’an’, solat tarawih berantaian dari satu rakaat ke satu rakaat..tahajud dan witir silih berganti. TAPI, sejauh manakah amalan kita? Adakah hanya di bumi nyata atau hanya di bulan Ramadan?

Kaum wanita sering memikirkan menu berbuka puasa..ayam percikkah kita? Ikan bakar tandoorikah kita hari ini? Daging panggang? Daging singgang?Ikan singgang? (tak main laa...), Kerutupkah kita hari ini? ’Pembasuh mulut’nya pula bagaimana? Menu selepas tarawih mesti ada..paling tidak popia goreng, atau kebab, atau murtabak?? Buruknya amalan berpuasa kita.

Sejauh mana penghayatan ramadan kita? Sempurnakah puasa kita? Bagi diri ini apa sangatlah kiranya. Melihat anak-anak berpuasa dengan penuh keletihan, pucat (awal-awal puasa), kemudian berbuka dengan penuh nikmat sambil berdoa
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك يا أرحم الراحمين
saya sudah cukup terharu. Sambil berbuka sambil mulut berkata-kata..Abang Hariz, Kak Ngah, Inayatul atau Aceq (nak puasa jugakah nanti?)..Ingat, kita berpuasa dan kita mampu berbuka dengan juadah istimewa. Tapi, apa khabar saudara-saudara kita yang hidup penuh kemelaratan? Mereka belum pasti dapat berbuka dengan sepinggan nasi. Oleh itu anak-anakku marilah kita muhasabah diri agar Ramadan nanti kita lalui dengan sederhana dan ikhlas.

Ok anak-anak, cepat kita tunaikan solat maghrib. Amalan tadarus tradisi keluarga kita sama-sama diimarahkan. Ya Allah! Engkaulah Tuhan sekalian alam. Engkaulah yang menciptakan kami dan Engkau jua yang mematikan kami. Ramadan tahun ini kuatkanlah iman kami, berilah kami dan anak-anak kami kemudahan dan kekuatan bertadarus kalamMu. Amin ya rabbal alamin.

Wassalam. Dengan rindu yang makin mendalam menanti tibanya Ramadan.


Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails