Selasa, Ogos 24, 2010

Raya Sudah Dekat?

Salam Ramadan. Adakah raya sudah dekat? Saya yakin semua orang tahu bahawa apabila puasa maka pengakhirannya adalah hari raya. Dan lagi, apabila seminggu puasa sudah berdentum dentam bunyi mercun dan segala 'mak neka' mercun. Walhasilnya setiap hari ada sahaja berita dan kisah budak kudung tangan, buta mata, tercabut telinga, terburai otak akibat benda jadah itu. Inilah adat orang kita, puasa tak hebat mana tapi bahagian mencipta alat-alat itu mengalahkan pakar nuklear Rusia. Nak salahkan siapa dalam hal ini? Bukan ibu bapa tidak pantau. Bahkan ibu bapa sendiri khabarnya ada yang menjadi dalang dalam penjualan dan pembuatan mercun. Hebatnya orang kita. Hebat sungguh Melayu kita.

Minggu lepas di sekolah saya pun sudah ada murid yang berani menjadi 'pengebom berani mati' ni. Mereka ni umpama lontar batu sembunyi tangan. Sampai sudah 'agen FBI' tak boleh kesan. Hebat sungguh budak sekolah kita.

AWAS! Jangan main mercun..'mainlah BOM'

Agaknya budak-budak kita lebih baik jangan larang buat sesuatu. Lagi kita larang lagi menjadi-jadi. Lebih baik kita tampal kat papan-papan tanda SELAMAT MAIN MERCUN. Apalah sangat dengan hilangnya 3 'putung' jari. Apalah sangat sedihnya hilang sebelah mata? Apalah salahnya berjalan dengan sebelah kaki?

Justeru itu, saya ini hamba Allah SWT yang amat dhaif di sisiNya. Hanya peringatan demi peringatan saja yang mampu saya lontarkan. Ingatlah bahawa rebutlah peluang beramal ibadat dalam bulan yang mulia ini. Janganlah dicemari dengan 'Qiyammul Mercun'. Bulan Ramadan masih luas terbentang di sana. Sudah khatamkah baca dan mengkaji al-Qur'an?

Apabila masuk Ramadan ulama'-ulama' Islam memberi tumpuan khusus kepada menambahkan amal dan tilawah al-Quran. Imam Malik misalnya meninggalkan pengajian hadis dan memberi tumpuan kepada tilawah al-Quran. Begitu juga dengan Imam as- Shafi'i. Beliau sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.

Sesungguhnya Ramadan bulan amal! Bulan Tilawah al-Quran! Bulan menundukkan hawa nafsu! Bulan qiyamullail! Bulan taubat! Bulan Zikrullah! Bulan sedekah! Bulan iktikaf! Bulan mencari lailatul qadar! Ramadan seharusnya berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Sebelas bulan sebelumnya kita bergelumang dengan pelbagai dosa. Makanya inilah peluang untuk kita untuk mendapatkan keampunan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Kita diajar oleh Rasulullah agar sentiasa membaca doa "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memberi maaf, maka maafkan daku" dalam bulan Ramadan.

Semoga kita dilembutkan hati dipermudahkan Allah swt untuk beribadat. Apalah guna rumah yang indah kalau sunyi dengan bacaan al-Qur'an. Apalah guna kereta menjalar kalau takut menjejak masjid. Apalah guna jasad dan badan kalau rohani kosong dan lompang.

Wassalam.

Ahad, Ogos 22, 2010

Pucuk Kayu Belimbing Batu

Salam Ramadan. Alhamdulillah dengan segala taufiq dan hidayahNya kita masih dapat meneruskan ibadat suci ini hari ini (tahun depan belum lagi tentu..) dengan selamatnya. Sebenarnya, saya menukil dalam 'Sedetik Masa' ini sekadar mengisi waktu mengambil anak kelas fardu 'ain - 'Inayatul Fasihah. Mujurlah dalam bulan puasa ini dia tidak pernah menyebut untuk ponteng kelas fardu ain. Kita pula yang mengada- ada agar 'ponteng' sekali sekala. Alahai anak mama.

Semua murid sekolah seluruh Terengganu yang mengambil SPM 2010 sedang menduduki peperiksaan percubaan sekarang. Kena pula mengawas peperiksaan bulan puasa ni ( bukan menyalahkan bulan Ramadan), badan cepat letih, mata pula senang nak terpejam. Kalau ada pula angin sepoi-sepoi bahasa masuk di celahan pintu Dewan Jubli Emas ni lagilah terbuai dengan kenangan di kamar tidur. Jadi, dari pejam mata tak tentu hala mana tahu lalu pula 'polis trafik', kes naiya ni. Saya pun berjalan-jalanlah pusing dewan. Sempat pula mendengar Kak Ton dengan Ustazah Wan Z berbual-bual perlahan. Oh.. rupa-rupanya kakak-kakak kita ni sedang berbincang 'menu' kurangkan kencing manis dan darah tinggi. Ustazah Wan Z kata, serai kayu pun ok..boleh kurang juga. Mmm, entahlah teringat masa jaga exam dulu-dulu ketika anak kecil berderet kita sering membincangkan cara-cara 'family planning' - nak jarak anaklah 'kunun'nya. Apabila usia sudah begini topik sudah bertukar. Kita nampaknya kena fikir macamana nak kurangkan gula dalam darah, atau turunkan tekanan darah ke tahap normal.

Justeru itu, hal ini mengingatkan saya bahawa kita tidak selamanya muda. Akan tiba waktunya kitaakan tua, selepas itu bangka, selepas itu ke alam kuburlah kita. Di sana, kita menunggu masa tibanya hari perhitungan atau hari akhirat yang mana segala amalan kita akan dihisab. Condong kepada kebaikankah kita, atau 'kesudahan' yang azab. Wallahu'a'lam.

Jumaat, Ogos 20, 2010

Adab berbuka puasa menurut sunnah Rasulullah saw


Salam Ramadan ke-10. Sebarang adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunnah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwattha', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: "Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: "Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas." (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu'jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan)

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: "Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk. (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada dalam kalangan kita yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya: Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut: Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.: Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka. (Riwayat Ibn Majah)

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut: ''Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota." (Faidh al-Qadir, 2/500).

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.: "Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat. (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Semoga adab-adab di atas akan kita laksanakan dan amalkan. Apalah gunanya ilmu kalau tiada amal. Jumpa lagi.

Khamis, Ogos 12, 2010

Tazkirah

Murid-murid khusyu' mendengar kata bicara..

Semua murid perempuan SMKTM 2010

Ramadan 2, 1431H.. alhamdulillah dengan izinNya saya dapat bersama-sama semua murid dan guru perempuan di Dewan Jubli Emas SMKTM. Sebenarnya, saya tidak pula tahu bahawa saya akan diberi amanah untuk menyampaikan sedikit tazkirah buat budak-budak ini. Memang tanpa persediaan yang cukup rapi saya menyampaikan juga hal-hal yang semakin menular dalam masyarakat hari ini - kelencongan akhlaq remaja.

Bagi saya, kalau dengan budak-budak sahaja rasanya tiada masalah untuk disampaikan. Tapi, bila ada cikgu-cikgu lain saya rasa gayat jugalah maklumlah siapa saya? Saya sekadar manusia biasa. Kadang-kadang kita hendak menyuruh kebaikan @ amar maaruf diri sendiri kena betul dulu. Saya berharap semoga menjadi hambaNya yang terpelihara dari melakukan kemungkaran. Walau bagaimanapun, syukur kepada Allah kerana Misi 1 tahun 2010 berjaya dilaksanakan.

Saya doakan semoga tazkirah ini akan ada kesinambungannya. Sebelum saya mengundur diri, sama-samalah kita meng'ihya'kan Ramadan al-Mubarak dengan amalan sepanjang masa.

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” [HR Al-Bukhari: 3277, Muslim: 1079]

Rabu, Ogos 11, 2010

Apabila Si Bongsu Mula Puasa..

'Ifwatul Iman & 'Inayatul Fasihah..

Salam Ramadan. Alhamdulillah hari ini kita selesai mengerjakan ibadat puasa hari pertama bulan Ramadan tahun ini. Nampaknya, ahli puasa bertambah tahun ini. Si Bongsu 'Ifwatul Iman beriya-iya benar untuk puasa. Patut pun beriya-iya, sudah 6 tahun umurnya. Pagi tadi, ketika menitipkannya ke Tadika Pintar, saya sempat berpesan kepada cikgunya mana tahu dia tak tahan. Namun, dalam 3.00 petang tadi semasa ingin mengambilnya dia masih dapat bertahan. Syukur.

Usai solat Asar tadi, dia dibawa ke Bazar Ramadan untuk mencari juadah kegemaran. Entah apanya yang dia suka tatkala pulang hanya sebotol air revive dan martabak special. Hmm, tak apalah semoga dia dapat menyempurnakan ibadat puasanya tahun ini. Semoga diberi kekuatan.
Sebelum mata terpejam hari ini, saya kena ke dapur dulu menyediakan bahan-bahan untuk bersahur nanti. Orang dewasa seperti kita sekadar meneguk air seteguk dua dan sedikit makanan atau sebiji dua kurma sudah memadai. Namun bagi si anak, sahur adalah perkara mesti yang diisi dengan makanan berat. Oleh itu, saya permisi dulu. Jumpa lagi.

Selasa, Ogos 10, 2010

Harapan Ramadan

Syukur alhamdulillah dengan taufiq dan inayahNya, nur dan hidayahNya kita dapat menyempurnakan tuntutan solat tarawih yang istimewanya hanya terdapat dalam bulan yang penuh barakah ini. Malam ini, kami berenam kecuali kakak Nuzul berbondong ke Masjid Haji Ishak, Dengir buat menyempurnakan solat sunat ini. Imamnya budak tahfiz. Bagus bacaannya. Bilalah anakanda saya berpeluang menjadi hafiz?
Ya hannan, ya mannan, ya zal jalali wal ikram..kami mohon terimalah ibadat kami. Teguhkan iman kami. Mantapkanlah aqidah kami. Jadikan kami ini hambaMu yang senantiasa taat dan patuh pada ajakanMu. Lembutkanlah hati kami untuk membuat sekalian banyak kebaikan dan kebajikan. Basahilah lidah kami dengan melantun bahasa al-Qur'an. Malah istiqamah menyebut namaMu yang begitu indah.
Apa yang lebih penting sempurnakanlah ibadat puasa kami tahun ini. Manalah tahu puasa tahun ini yang terakhir buat kami.
Sekadar ini dulu. Kena stand by bangun lebih awal lagi untuk menyediakan sahur buat anak-anak tercinta. Semoga puasa kita nanti bukan puasa yang hanya memperoleh lapar dan dahaga semata-mata.
Yang mengharap keredaanMu- aku yang lemah ini.

Isnin, Ogos 09, 2010

Cara-cara Mengatasi Marah II

Salam di penghujung Syaaban. Masih lagi berkisar tentang marah. Kita MESTI INGAT BAHAWA seorang yang selalu marah atau sering marah, terbukti memiliki tekanan darah dan kolesterol yang tinggi. Begitu juga dengan pengeluaran asam amino, sebagai penyebab terjadinya penyakit jantung. Oleh itu, marah harus dapat dikendalikan agar kesihatan tubuh dapat tetap terjaga.

Marah terbukti mengancam kesihatan kerana meningkatkan timbulnya serangan hipertensi, kolesterol meningkat, pembuluh darah arteri tersumbat, penyakit jantung, serta menurunnya kekebalan tubuh yang mudah terkena penyakit lain.

Di saat kita marah, jantung akan bekerja lebih kuat dan bernafas lebih cepat. Tidak hairanlah pada saat marah, kekuatan kita menjadi luar biasa. Buktinya? Suara makin menggelegar, isinya berubah menjadi bentuk makian, teriakan dan gerakan tubuh yang kuat. Belum lagi ekspresi wajah yang menyeramkan, mata merenung tajam, wajah merah padam atau berubah pucat lesi.
Justeru itu, jangan marah. Sempena kedatangan Ramadan al-Mubarak yang amat berkat ini bersihkanlah jiwa kita. Bersihkanlah hati kita. Semoga berhasil.

Ahad, Ogos 08, 2010

Cara-cara Mengatasi Rasa Marah I

Salam sejahtera. Salam bahagia. Akhir-akhir ini saya melihat bagai satu fenomena sikap sebahagian kita ini mudah marah dan pemarah. Salah sikit marah. Kurang beri perhatian marah. Malah..hari-hari disogok dengan marah. Anak marah ibu. Ibu marah anak. Kakak marah adik. Suami maraah isteri. Isteri marah suami. Ingatlah sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair ,"Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau".

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qais, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita mesti membuangkan rasa "ketuanan"

kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanir rajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudu' kerana wudu' dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah. Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insya Allah kemarahan akan mulai reda.

Semoga kita sama-sama mentarbiyah jiwa kita dengan sifat lemah lembut kerana amatlah tidak berdosa kalau kita berlemah lembut dalam perkara kebaikan dan bertegas dalam perkara kemungkaran. Wallahu a'lam. Jumpa lagi dalam catatan II akan datang...TUNGGU!! (Tadi saya pun kena marah..sabar je lah)

Ramadan 1431H


Alhamdulillah, pagi ini telah selesai miftah Ramadan al-Mubarak 1431H. Sekadar tazkirah dari Tn Hj Hamzah Hamat dan program-program yang bakal diusahakan sepanjang Ramadan ini. Namun, jauh di sudut hati masih belum pasti adakah program itu bakal terlaksana dengan jayanya atau tidak.
Setelah berbincang dengan keluarga panitia Pendidikan Islam aktiviti-aktiviti yang dicadangkan ialah:
1. Pertandingan azan
2. Menulis jawi
3. Ayat dan terjemahan
4. Khat
5. Kuiz Ramadan
Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami ini. semoga kami diberikan petunjuk dan hidayah dalam membimbing jiwa-jiwa insan yang gersang dalam pencarian rohani ini. Rabbi yassir wala tu'assir. Amin.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails