Rabu, Disember 22, 2010

Masya Allah Sedapnya Suara..

Selamat tinggal 2010

Selamat tinggal .. Selamat datang..

Salam Muharam. Pejam celik, tidur jaga, makan minum akhirnya saat-saat perpisahan dengan dunia percutian sudah hampir sampai ke penghujungnya. Selamat tinggal 2010 yang mencatat 1001 cerita, ahlan wa sahlan 2011 yang belum tentu akar cerita. Apa yang saya harapkan agar tahun demi tahun, bulan demi bulan, hari demi hari kehidupan saya sebagai hamba Allah di atas muka bumi yang menukil sejuta rahmat ini memberikan kekuatan lahir dan batin.

Ada kalanya apa yang kita rancang tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Ada kalanya sesuatu yang tidak dirancang menjadi pula. Apa-apa pun kita hendaklah kembali kepada Qada' dan Qadar Dia. Manusia hanya merancang yang menentukan hanyalah dia. Kehadiran tahun 2011 mungkin mencatat cerita baru dalam diari hidup saya yang bernama HAMILAH BINTI MUHAMMAD. Alhamdulillah syukur kerana pada awalnya saya hanya merancang begini begini untuk peningkatan kerjaya saya. Tapi, Allah s.w.t itu memang Maha Penguji yang hebat. Dia uji saya dengan memberi apa yang saya minta. Pada awalnya mendapat tahu saya berjaya melepasi tahap demi tahap ujian sehingga datangnya sekeping surat tahniah dari Tuan Pengarah JPN saya hilang semangat takut dan bimbang amanah tidak terlaksana.

Setiap detik masa, fikiran saya keliru. Hampir setiap malam saya merayu dan merintih dengan Dia agar memberi lebih kekuatan dalam mengharungi ujian dunia. Alhamdulillah, perasaan saya tenang setenang-tenangnya umpama air di tasik yang tidak disentuh.

Justeru itu, tanggal 1 Muharam 1432 saya tekadkan azam dan tidak akan menoleh lagi ke belakang. Setiap apa yang ditentukan dalam hidup pasti ada hikmah yang besar yang hanya Allah s.w.t tahu. Saya berdoa semoga saya dapat meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya saya seorang guru yang cukup mulia ini. Benarlah kata-kata ayahanda saya Hj. Muhammad bin Abdullah tugas guru itu amat mulia. Jadilah guru yang mursyid nabi. Anggaplah murid-murid itu sebagai anak kita sendiri. Kalau perlu ditegur; tegurlah. Kalau perlu dimarah; marahlah kerana kita bakal melahirkan 'produk' insan kamil bukannya barangan berjenama yang dijaga semasa masih baru atau cantik. Setelah warnanya pudar kita boleh trade in atau jual sahaja. Insan kamil bukan begitu.

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. " (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Kesimpulan Hadis:

Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri dari mengumpulkan harta yang haram.

Makanya saya mahu kerjaya ini mendapat keberkatan Allah dan tidaklah termasuk dalam kategori manusia sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Orang yang paling menyesal pada hari Kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Hadis ini menggalakkan umat Muslimin supaya menggunakan segala kesempatan hidup di dunia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang berguna kepada kehidupan keagamaan dan keduniaannya. Dengan ilmu pengetahuan yang betul, dapat dilakukan amalan-amalan ibadah yang betul. Amalan ibadah tanpa ilmu pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bida'ah dan kekeliruan yang merosakkan agamanya.

Disamping itu ilmu pengetahuan boleh membuka ufuk pemikiran dan mendalamkan kesedaran dan keinsafan yang menguatkan keyakinan dan tauhid terhadap Allah s.w.t., dan dengan demikian akan meningkatkan darjat kita disisi Allah di hari Kiamat kelak.

Hadis ini juga menggariskan satu panduan yang penting iaitu tujuan belajar ialah beramal sama ada ia seorang pelajar atau seorang guru, kerana amalan itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang yang berilmu.

Kata pepatah Arab "Ilmu tanpa amal laksana pokok tanpa buah" alangkah ruginya seorang guru yang tidak mandapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang yang belajar darinya memungut keuntungan -keuntungan yang abadi.

Sayonara 2010. Selamat bertemu 2011.

Sekian, wassalam.
(Hati oh hati..berdebar juga menanti keputusan pmr anakanda Aimann esok. Semoga kejayaan menghiasi hidup anakanda dunia dan akhirat. Amin)

Khamis, Disember 09, 2010

Sudah 'Merdeka' Rupanya Calon SPM 2010

Alhamdulillah, setelah berjuang sepenuh jiwa raga periuk belanga khalas juga anak-anak murid dalam menjawab soalan SPM 2010. Tapi ingat, jangan lupa solat hajat yang iltizam dan istiqamah kerana jawapan-jawapan anda tentunya akan dinilai sedikit masa lagi. Pun janganlah mentang-mentang sudah khalas peperiksaan remaja lepasan SPM ini menghabiskan masa berpeleseran tanpa tujuan.
Tentulah tidak salah untuk kita sedikit gembira kerana perkara yang cukup hebat digalas sepanjang tahun sudah berakhir tapi janganlah berakhir dengan tragedi. Sehari dua ini banyak berita memaparkan kemalangan jiwa anak-anak lepasan SPM 2010 di jalan raya. Sukanya hati mereka. Bagi saya, ada baiknya tempoh menunggu keputusan itu diisi dengan perkara-perkara berfaedah terhadap spiritual, mental, fizikal dll. Bagi saya penuhilah ruang dan isilah peluang masa 'menunggu' dengan mencari ilmu Allah yang tersangatlah luas dan hebatnya di atas maya pada ini. Paling tidak berbakti dan berkhidmatlah seikhlas hati untuk ibu bapa tercinta setelah saban waktu tanpa rasa jemu meluangkan waktu buat anak-anak menghadapi peperiksaan.
Cintailah Allah!
Sekian, Wassalam.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails