Isnin, Januari 31, 2011

Cuti Menggamit Jiwa

Salam sewangi kasturi seharum kemboja. Hari ini saya bercuti. Orang kata cuti ganti tahun baru Cina. Arakian dapatlah sedikit sebanyak meng'update' blog yang kian berkarat dan berkulat ini tanpa info terkini dan menarik.
Harapan saya agar catatan ini nanti sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kerinduan peminat-peminat yang seringkali menziarahi 'Sedetik Masa Sejentik rasa'. Usai menghantar anakanda 'Inayatul Fasihah dan 'Ifwatul Iman di SK Tg Mahmud, saya singgah mencari suapan akhbar semasa..dan, belilah makanan pagi sebungkus dua. Maklumlah cuti secara solo ni kenalah bergerak solo. Anak-anak dan Sang Arjuna janganlah jealous. Cutinya saya bukan cuti bersahaja. Sambil-sambil menatap akhbar, jemari ini ligat melayari internet dan mencari bahan-bahan menarik untuk disajikan buat pelajar nanti. Wah..macam bagus saja bunyinya. Tapi, itulah realitinya setakat ini.
Tangan kiri pula aktif mendail nombor telefon rakan-rakan yang anak mereka belajar di Egypt. Khabarnya bantahan, demonstrasi, rusuhan terhadap Mubarak, beribu-ribu banduan terlepas dari tahanan, kekurangan makanan dll mula menerjah rakyat Mesir. Bertanya khabar agar ibu bapa tidak merana memikirkan hal anak-anak. Memang akan memikirkannya..yalah anak kita. Berdoalah semoga semuanya selamat sejahtera dan dilindungi Allah swt di mana sahaja mereka berada.
Nampaknya, saya kena berhenti dulu. Panggilan kain melambai-lambai minta dibelai. Jumpa lagi. Wa'ilalliqa'.

Rabu, Januari 26, 2011

Pergi Tak Kembali

Teringat pula tajuk lagu kumpulan Rabbani nyanyian Allahyarham Ustaz Asri..'Pergi Tak Kembali'. Semalam usai solat Maghrib, saya mendapat khabar perginya seorang insan yang amat berjasa dalam menginsankan hidup saya. Perginya tak akan kembali tok guru qur'an Hajah Khadijah Abdullah. Semoga Allah swt merahmati tok guru. Semoga selamatlah perbaringanmu di alam barzakh dengan penuh kesenangan dan ketenangan hakiki bersama-sama kekasih-kekasih Allah para anbia', aulia', syuhada', mukminin wal mukminat kerana janji Allah terhadap hambaNya yang mengajarkan al-Quran buat hambaNya adalah janji yang benar dan nyata. Syurga menantimu, Insya Allah!
Takziah buat Abang Rosdi, Kak Alma dan Yati..semoga tabah menghadapi pemergiannya. Alfatihah.

Isnin, Januari 17, 2011

Ya Allah Sembuhkanlah Tok Guruku!

Assalamualaikum. Salam sewangi kasturi. Apa khabar rumah sedetik masaku ini? Masih hidup rupanya...ya..masih hidup kerana pemilik blog ini masih hidup. Terima kasih Allah. Syukran Allah.

Sore tadi, saya bersama kekanda Jailami dan adinda Rabihah sempat menziarahi insan paling istimewa yang mengajar kami kalamullah sejak kami kecil lagi. Ya, kami menziarahi tok guru al-quran - Mak Su Joh yang suatu ketika dulu adalah insan yang berjasa mengajar kami belajar al-qur'an..dan tempat kami khatam al-qur'an. Hari ini Mok Su terlantar kerana penyakit paru-paru berair. Syafakillah!! Sedih pula melihat matanya yang sayu, nafasnya yang tersekat-sekat, badannya yang kian susut hanya menampakkan tulang. Ya Allah, sembuhkanlah penyakit tok guru kami itu. Kami tidak mampu membalas walau sebanyak mana pun harta jika hendak dibandingkan dengan ilmu al-qur'an yang telah menyinggahi dalam hati-hati kami.

Kekanda jailami, masihkah kau ingat kita bukan hanya pergi mengaji malah lebih jauh lagi kita buat naiya pada anak tok guru kita. Kanda Mi ingat bukan 'abang Rosdi' anak tok guru kita yang jadi abang polis tu. Adinda tak sangka pula Si Rosdi boleh jadi polis. Dulu, dinda pernah cucuk dengan lidi penunjuk al-Qur'an dalam telinga Rosdi. Sampai bernanah. Kalau dia ingat hal itu mesti dia marah kat kita. Mujurlah tak jadi abang ipar dinda. he he he...

Oklah. kisah Si Rosdi tu hanyalah selingan sahaja. Memang pun anak-anak perempuan arwah Cikgu Muhammad ni nakal sikit. Tapi, nakal tu kerana kita cerdik. Insya Allah. Jumpa lagi dalam catatan akan datang.

Wassalam.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails