Isnin, Oktober 24, 2011

SALAM IMTIHAN 2011


Salam rindu di angin lalu. Alhamdulillah, setelah berbulan tidak berkesempatan menulis di laman 'sedetik masa, sejentik rasa', entah mimpi apa malam tadi hingga saya begitu teruja mencatat bilah-bilah kehidupan yang cukup mencabar.

Berdebar sungguh perasaan sekarang, debaran seorang ibu terhadap anak yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi. Mengingatkan lajunya hari-hari berputar, saya jadi tidak keruan apa pula perasaan anakanda di sana. Saya tahu, anak-anak calon SPM sudah 'demam' sekarang. Apa yang saya boleh buat? Hanya doa dan harapan yang tidak pernah putus mengharapkan (raja') kejayaan anak dan anak-anak didik.

Meski dalam debaran yang bertalu, saya masih sempat mengikuti Hari pertandingan Ko-kurikulum MSKPP berkampung di Hulu Terengganu dari 20-22 hb Oktober,2011. Alhamdulillah dengan rasa rendah dirinya saya dengan dukacitanya menjadi JUARA PINGPONG kategori wanita dan bakal mewakili negeri Terengganu tanah airku ke negeri Johor Disember kelak. Itu pun kalau tidak ada aral di tengah jalan. Terima kasih suami, kekanda Jailami Muhammad, anak-anak tersayang di atas dorongan dan sokongan yang tidak ada belah tepinya.

Oklah, kita tutup dulu cerita sukan. Kita bicara soal peperiksaan anak-anak kita. 20 hari lagi tibalah masa yang ditunggu berjuang di medan peperiksaan. Apa khabar anak-anak 5 Ibnu Jarir, 5 Ibnu Khaldun dan 5 Ibnu Taimiyah. Kesungguhan sebahagian besar dari anda amat saya sanjungi. Namun, di mana semangat daya juang beberapa cebis pejuang yang sudah mengalah sebelum berjuang. Soalan-soalan percubaan setiap negeri seantero alam sudah diedarkan sayangnya masih ada yang masih menutup sebelah mata. Entengnya subjek Pendidikan Islam kod 1223 di mata kalian. Sudah berapa kali kalian menghafaz ayat-ayat yang bakal menerjah anda nanti? Alahai, harapnya berubahlah sikap anda itu walaupun nasib kamu mungkin tidak boleh diubah. Betulkah bahasa saya ni.

Anakanda Nuzul Badree, permata hati abah dan mama. Kami tahu kesungguhan anakanda dalam melayari erti perjuangan ini. Berusahalah selagi ada daya, ada masa dan selagi mata masih terbuka dan selagi nafas masih menyala. Sulamilah hari-hari mendatang dengan doa dan tawakal ilallah kerana Dia Yang Maha Pemberi segalanya. Bonda senantiasa berdoa buat kejayaan anakanda dan adik-adik yang masih hijau. Mereka pasti akan me jadikan anakanda sebagai 'role model' suri teladan hidup yang bakal menggegar dunia.

Akhir kalam dari saya, semoga semua berjaya dan sukses dalam kehidupan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

p/s: Bonda sudah buat semakan Darul Qur'an-UIAM dukacita dimaklumlah permohonan anda tidak berjaya. Cuba lagi lain kali. Salam sayang sewangi puisi. Allah swt tahu apa ada dalam sekeping hati ini.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails