Ahad, November 20, 2011

Bilasan Kasih Pendidikan Islam 2011

Salam mujahadah. Salam imtihan 2011. Salam perjuangan calon-calon SPM 2011 di seluruh Malaysia terutama pelajar-pelajar SMK Tengku Mahmud, dan anakanda sulung di SHAMS. Alhamdulillah, peperiksaan berlangsung dalam suasana damai dan cuaca yang suam-suam kuku sekejap panas sekejap hujan. Walau apapun semoga calon SPM sentiasa berhati-hati dengan hujan. Jagalah kesihatan...


Justeru esok 21.11.2011 merupakan hari peperiksaan Pendidikan Islam SPM, kami barisan guru Pendidikan Islam atas dasar kasih sayang mengadakan hari bilasan kasih hari ini bertempat di Dewan Fatimah. Saya dan Hajah Wan Zaliha sempat menitipkan beberapa helaian contoh soalan dan jawapan dengan harapan dapat dijadikan pedoman dan panduan terakhir oleh calon esok. Kalau hendak dibandingkan zaman kita periksa dulu dengan sekarang memang ibarat langit dengan bumi. Tambahan pula zaman yang masih ketandusan ICT ketika itu, telefon pun kalau ada guna duit syiling manalah maklumat akan sampai dalam masa tercepat. Walau apa pun kami reda dengan keadaan.


Zaman sekarang, malam peperiksaan saja berpuluh-puluh sms sampai menukilkan tajuk-tajuk penting peperiksaan. Jangan ter'kezut' kalau ada sms yang menukilkan jawapan A,B,C,D dari no.1-40. Tapi, calon-calon SPM janganlah mudah terpedaya dengan jawapan yang memang tak munasabah itu. Usaha berterusan sepanjang tahun saya kira amat memadai dari terjerumus dalam kancah jawapan bocor yang memang mengarut dan 'tak masuk akal' itu.


Bagi subjek saya Pendidikan Islam 1223, bukanlah subjek kritikal yang pada anggapan sesetengah pihak Pendidikan Islam ini mudah saja ibarat makan kacang hijau. Apa pun tanggapan dan pandangan apabila keputusan diumumkan mereka terkejut kalau tidak peroleh A++. Saya dan kuncu-kuncu terpaksa menagih kelas-kelas tambahan pada saat akhir kerana bimbangkan pelajar. Kalau boleh kami akan pastikan semua pelajar dapat A atau A+...Insya Allah. Maka dengan bimbingan berterusan, doa yang ikhlas, kami harapkan 'anak-anak didik' berjaya cemerlang di dunia dan akhirat.


Akhir kalam, terima kasih atas kehadiran calon Pendidikan Islam menghidupkan bilasan kasih terakhir 75/178 kehadiran. Semoga sukses.



Wassalam.

Ahad, November 13, 2011

Selamat Ulang Tahun Buat Diri Sendiri

Alhamdulillah saya masih ada umur. Umur saya walaupun tidak tahu akan noktahnya tapi saya sedar bahawa umur bagi setiap insan itu amat besar dan bermakna. Hari ini hari ulang tahun kelahiran pemilik laman 'Sedetik Masa Sejentik Rasa'. Syukur alhamdulillah.

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bonda tersayang Hajah Hasmah dan ayahanda tercinta (Arwah Hj Muhammad bin Abdullah) kerana bersusah payah melahirkan saya ke dunia yang penuh pancaroba dan pancasitara ini. Terima kasih kerana bonda dengan ikhlas dan tulus hati menyusukan saya sehingga saya dewasa dan mengenal erti kehidupan (sekarang saya sudah masuk 'waktu asar'...heh heh).

Seterusnya a million terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang sudi mengirim ucapan 'selamat hari jadi' via sms mahu pun 'muka buku'. Selalu saya ungkapkan untuk diri sendiri, semakin usiaku bertambah maka semakin dekatlah usiaku dengan 'mati'. Umur 40-an ini ada keistimewaannya sendiri. Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul Khatimul An'bia di kala usianya 40 tahun. Saya dan kebanyakan rakan-rakan juga terpilih untuk menikmati kenaikan gred (dunia belaka ni...he he..) ketika usia 40. Sahabat saya pula menambahkan zuriat bongsu ketika usia 40. Suami sahabat saya pula menambah bilangan isteri kerana usia 40-an (Masya Allah)... rakan-rakan seperjuangan pula sudah ramai yang mula mengurangkan 'minum air bergula/bersusu' ketika usia 40++, ramai juga yang mula mengikuti diet dengan pil-pil pelangsingan dan pemakanan berhemah ketika umur menginjak 40++ ; untuk apa semuanya? Tidak lain dan tidak bukan kerana usia 40+ ini adalah dianggap 'umur mula untuk hidup' atau untuk mati?



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya" (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud: “ Jika seseorang telah mencapai umur 40 tahun sedangkan kebaikannya tidak lebih banyak dari kejahatannya maka syaitan akan mengusap usap wajahnya sambil berkata; 'demi ayahku wajah ini tidak akan beruntung".



Dalam riwayat lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Siapa yang sudah berumur 40 tahun sedangkan kebaikannya tidak lebih baik dari keburukannya, maka hendaklah ia bersiap siap masuk Neraka” - Na'uzubillah..



Justeru itu, walaupun ulangtahun saya tidaklah disinari hadiah bertimbun atau kilauan emas, saya amat berterima kasih dan bersyukur kepadaNya yang masih memanjangkan usia ini. Saya berdoa andainya nyawa saya hendak dipisahkan dengan jasad biarlah setelah saya sempat melihat anak-anak membesar dalam ruh islami yang mantap iman dan taqwanya, serta sentiasa dan boleh mendoakan saya di alam barzakh dengan berterusan dan penuh keikhlasan. Semoga.

Akhir nukilan, selamat hari jadi diriku. Semoga hidupku diberkati Allah swt selama-lamanya. Amin.

Isnin, November 07, 2011

Erti Pengorbanan & Aidil Adha 1432H



Salam Aidil Adha. Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untukNya. Salawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Syukur alhamdulillah, kami sekeluarga kekanda, adinda selamat melaksanakan ibadah Qurban tahun ini.


Sebenarnya, sejak tahun-tahun kebelakangan ini memang kami adik-beradik mengambil bahagian dalam korban. Tetapi, yang ralatnya sedikit kami adik beradik termasuk menantu kurang cekap mengurus hal ehwal binatang ni terutama lembu. Terpaksalah meminta pertolongan orang-orang kampung. Kalau pun ada hanya adik ipar Zainul Abidin (suami adinda Nasirah) yang berkebolehan. Tahun ini, mereka tidak dapat bersama kami kerana Adinda Nasirah sedang dalam pantang anak ke-6. Tahniah!


Dua malam lepas, saya mendapat pesanan ringkas melalui sms yang memaklumkan perginya ke rahmatullah seorang insan nun jauh di Johor Bahru Allahyarhamah Hajah Rahimah Rahim yang merupakan ibu tunggal tempat saya menumpang bilik ketika 'posting' pertama tahun 1993. Sedih dan terharu kerana anaknya agak lambat menyampaikan berita (meninggal dunia 14.10.2011), walau bagaimanapun syukur kerana masih diberitahu. Saya baru berkira-kira hendak menjenguknya nanti kalau saya mengikuti kejohanan pingpong MSKPP di Johor. Allah lebih menyayangi beliau. Sepanjang mengenali arwah, beliau seorang yang amat taat dan tekun beribadat. Pendek kata, sepanjang masa beliau banyak habiskan masa beribadat solat sunat dan puasa sunat. Selain penyayang terhadap kucing, dan suka menziarahi saudara di Singapura. Semoga ruhnya dikalungkan dalam ikatan hati-hati orang yang beriman dan bertaqwa di sana. Al fatihah.


Dua hari raya selesailah sudah, kambing lembu segala al-an'am sudah dikorbankan maka saya kira selesai sudah cerita raya. Tinggal lagi menghitung hari menjelangnya peperiksaan SPM 2011. Saya doakan agar anak saya, anak-anak didik saya, kawan anak-anak saya yang sama-sama berjuang, berusaha tanpa rasa jemu dan ragu agar dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan damai. Ingatlah bahawa Allah swt Maha Adil (seadil namaNya), Maha Penyayang..Dia akan memberi kepada yang berusaha sepenuh daya asalkan yakin dan tawakal dengan ketentuanNya.


من جد وجد..... jumpa lagi. Wassalam.






Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails