Selasa, Mei 22, 2012

Bersediakah Aku?

Letih sungguh fikiran saya seminggu ini. Kalaulah tiada keimanan yang tinggi danm kekuatan fizikal demi mengharungi makna kehidupan yang kian mencabar dan tercabar pasti sudah lama aku jatuh tersungkur. Namun satu perkara yang aku amat suka kerana fikiran kusut dan jiwa yang resah ini dapat kuluahkan dalam rumah 'sedetik masa sejentik rasa' ini tanpa ragu-ragu. Insya Allah, jarang ada pembaca setia sekarang. Maka saya lebih bebas berkarya. Berkarya? Agaknyalah.

Dua minggu lepas, saya dihubungi sahabat setia Ustazah Ain dari SMK Kuala Besut mohon sedikit pertolongan buat mengubat sedikit pelajar SPM sekolahnya bagi mp Pendidikan islam. Saya memang bukan orang yang paling layak..tapi, memikirkan sebuah persahabatan dan atas dasar tanggungjawab sesama muslim saya pasrahkan jemputan itu. Makanya berbuat jugalah persediaan agar perjalanan kem @ bengkel berjalan lancar. Tolonglah daku Ya Allah. Demi zatMu yang Maha Agung....

Kemudian, perkara kedua datang pula. Satu hal yang macam tidak logik di akal insan lemah seperti saya mampu menggapainya. Entahlah dalam bidang perjawatan ini, manusia ini kadang-kadang datang perasaan ingin mencuba sesuatu yang orang lain payah untuk mencuba. PERMOHONAN GC DG52. Masya Allah menyebut kalimat itu pun rasa macam kelakar sendiri jadinya. Justeru, dengan sedikit kekuatan yang hampir lumpuh ber'usaha' juga mengisi borang itu walaupun jasa dan sumbangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa umpama sesuatu perkara luarbiasa. Dengan lain perkataan AKU TIDAK ADA APA-APA. Melainkan sedikit kekuatan yang diberikan Allah swt dan sedikit keyakinan. Namun, aku tidak mengharap. He he...

Isu ketiga pula datang, dalam fikiran yang agak berserabut.. alhamdulillah segala perjalanan peperiksaan OTI 1 Tingkatan 4 dan 5 berjalan lancarjuga walaupun daerah 'pondok jaga' dan 'pkg raja' hampir saban waktu aku hubungi dan lawati semata-mata ingin melengkapkan soalan peperiksaan pelajar. Kadang-kadang, tubuh kerdil ini terasa letih dan cukup 'lipas kudung' menghadapinya agar rakan-rakan guru tidak merasa susah mengawasi pelajar. Tapi, bagi insan-insan yang pernah saya berjanji kadang-kadang banyak janji saya lupa tunaikan. Bukan kerana khianat atau sengaja tetapi kerana AKU MANUSIA BIASA YANG SELALU LUPA. Maafkan saya. Maafkan aku. (teringat pula lagu Jamal Abdillah)

Dalam cuti yang bakal datang sehari dua lagi, bukan waktu yang sesuai untuk insan sepertiku goyang kaki. Sudah lama kaki tidak bergoyang. Tak sempat bro... . Ops, saya kena pula menyediakan sedikit sebanyak persediaan buat anakanda sulungku yang bakal mengikuti kursus Bahasa Arab di Unisza. Alhamdulillah, dia bakal memijak bumi anbia' di Urdun (Jordan). Syukur. Dan saya beristighfar kepada Allah swt atas segala perasaan riak. Sedikit pun tidak ada kerana anak saya hanya terpilih dari kalangan insan biasa yang hanya cukup syarat dan melepasi syarat untuk belajar di Jordan. Anakku Nuzul Badree, belajarlah betul-betul. Ingat Allah swt , ingat Nabi Muhammad saw, ingat mama dan abah kerana bukan sedikit ketahanan diri yang terpaksa mama dan abah hadapi dalam membesarkan anak-anak. Bukan mudah menghadapi tuntutan dan keperluan anak dalam dunia pancaroba ini. Hanya orang yan g benar-benar tabah dapat melaluinya. Syukur Ya Allah. Syukur.

16 Mei yang lalu..hari Guru berlalu dengan penuh lesu dan bisu. Tiada rasa sangat. Tapi setiap kali kedatangannya hanya satu terbayang di fikiran...ingat arwah Ayahanda Muhammad Abdullah. Selamat hari guru pa. Maaf, sudah lama tidak tidak menziarahi 'rumah kecilmu' wealaupun hanya beberapa meter sahaja dari rumahku. Walau ayahanda berada di 'rumah kecil', anakanda senantiasa berdoa agar Allah lapangkan rumahmu Pa, selamatkan Pa dan umat islam yang lain dari segala azab yang mencengkam. Ya Allah, kasihanilah kedua ibu bapaku. Pengorbanan mereka tiada galang gantinya. Aku bersyukur dilahirkan dari mereka.

Rasa macam ingin berundur dulu catatan ini. Semoga anak-anak ceria menghadapi peperiksaan pertengahan tahun 2012. Aku bersyukur di atas kehidupan ini. Aku bersyukur.

Wassalam.

,

Ahad, Mei 06, 2012

Rindu berbicara di Sedetik Rasa

Salam pertemuan di Sedetik Rasa. Sudah sekian lama tidak berbicara seakan kelu 'lidah' untuk berkata-kata. Sibuk sangatkah saya? Sebenarnya kitalah yang mengurus masa bukan masa yang mengurus kita. Mungkin saya bukan pakar dalam pengurusan masa.

Pejam celik -  pejam celik sekarang tibalah masa untuk anak-anak berjuang di medan peperiksaan. Tahun 2012 ini mencatat seribu kesibukan sendiri bagi kami.. tiga dari anak kami bakal menduduki pepriksaan penting. Kak Ngah SPM. Abg Hariz PMR dan 'Inayatul UPSR. Bukan sedikit masa dan pengorbanan dalam merealisasikan impian anak-anak untuk berjaya. Pagi ada kelas. Petang ada kelas. Malam pun ada kelas. Minggu ini peperiksaan OTI 1 bakal berada di landasan.

Kadang-kadang terfikir juga di benak senja ini apa yang dikejar atau dicari dalam kehidupan ini. Pasti jawapannya kami mencari keredaan Allah SWT. kejayaan biarlah dinukil di dunia mahupun di akhirat. Anak-anak adalah permata hati yang tiada tolok bandingnya. Jangan kerana angkara kita, anak-anak terabai hidupnya....

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. أبو داود وابن ماجه

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."

( Abu Daud dan Ibnu Majah)

Permisi dulu. Wassalam.Jumpa lagi.




Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails