Salam semua.
Sebenarnya lama sungguh saya tidak menjengah 'rumah sedetik masa sejentik rasa' saya ini. Rindu sangat. Sepanjang cuti persekolahan ini banyak peristiwa suka duka, manis masam, dan banyak lagi yang berlaku. Tapi, tidak perlulah saya perincikan. Cukuplah saya katakan bahawa cuti sekolah ni banyak mengajar erti ketabahan melayan karenah putera puteri di rumah.
Saya ingat, cuti sekolah ini biarlah dapat 'mengajar' anak dara saya goreng ikan atau buat 'singgang ikang' TAPI sebaliknya saya yang digoreng dan disinggang selalu. Nak buat macamana..
Saya ingat, cuti sekolah ni biarlah dapat tunjukcara lebih dekat 'cara-cara menyambut tetamu'.. sekurang-kurangnya anak dara saya boleh buat teh sekole atau menggoreng keropok lekor, TAPI walhasilnya saya yang jadi kole dan jadi keropok lekor...mmm
Saya ingat, cuti sekolah ni biarlah anak-anak saya dapat hafaz ayat-ayat lazim sekurang-kurangnya juzuk 30..TAPI, mereka nampaknya lebih dulu berguru dengan televisyen yang lebih hebat pengajarannya (alhamdulillah, mereka sudah dapat menghafaz 30 lagu rock atau balada atau poprock...) Bertuahnya saya??
Saya ingat, cuti sekolah ni biarlah anak-anak saya melentikkan jari jemari dengan unsur-unsur kesenian melipat kain baju yang bertimbun siang malam..TAPI sampai lentik tulang belakang saya menghabiskan waktu senggang saya melipat baju seluar mereka (termasuk anak baju). Alahai...
Saya ingat, cuti sekolah ni saya dapat jadi 'permaisuri' di hati anak..tapi rupanya saya jadi macam 'ibu tiri', pagi-pagi lagi siaran radio HOT FM saya sudah beroperasi.Kalimat pertama tentulah "bangun..bangun..subuh dah nak lari", lepas tu tentulah kalimat , "jemur kain weh..buka tingkap yo..basuh pinggan deh.." Saya hanya perlu buat rakaman sahaja untuk tempoh masa 52 hari kita bercuti (akhirnya, saya juga yang kena buat..)
Saya ingat, saya masih belum mampu memanusiakan erti kemanusiaan dan kehidupan bermakna untuk anak-anak saya. Semoga Allah Taala membuka pintu hati dan pintu rezeki buat anak-anak tercinta akan erti sebuah kehidupan yang hanya sementara di dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan