Ahad, Ogos 26, 2012

Raya + Malaysia - Jordan: 1 Destinasi




Salam Lebaran. Salam Aidil Fitri. Salam Hari Raya Puasa. Begitulah putaran waktu, hanya sekejap Dia pinjamkan RamadhanNya sekarang sudah berada di Syawal mulia. Sayu, hiba entahkan ini Ramadan terakhir kita. Tapi, apakan daya hendak tak hendak kita kena hadapi jua. Hidup mati tiada siapa dapat menduga. Hari ini hari orang, esok lusa pasti hari kita.

Sebelum catatan ini melangkah jauh, ingin sekali lagi saya rakamkan ucapan syukur dan tahniah buat anak-anak kerana berjaya melalui detik Ramadan 1433H. Syukur kerana dapat merasai keindahan tarawih. syukur kerana dapat melalui sahur dengan sempurna tanpa ada yang 'tidak terkejut', letih macamana pun alhamdulillah tepat jam 4.15 pagi mata pasti terbuka dan hati akan teringat pada anak-anak terutama si bongsu. Andainya tidak bersahur...?

Oleh kerana puasa Ramadan berakhir sudah, raya pun sudah selesai kini tiba masa menyiapkan diri buat anakanda sulung pengarang jantungku. Melihat 'kerelaxannya' bikin saya rimas kerana tempoh persiapannya hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.Begitulah anak-anak zaman sekarang (anak saya saja kot..) semuanya kena bermula dari kita. Dia yang hendak 'belayar jauh' hati ibu pula gundah gulana. Lambaian selamat tinggal bumi Malaysia bagai terbayang-bayang di tubir mata. Manakala  lambaian selamat datang Jordan melambai-lambai. University of Yarmouk, Irbid



Jenuh jugalah saya mendapatkan images dalam google demi memastikan anakanda bakal bermujahadah di bumi anbiya' dan mumtaz dalam pelajaran kerana bukan senang mendapat peluang keemasan seperti ini. Terima kasih pihak MAIDAM Terengganu kerana menaja 43 orang rakyat Terengganu berlabuh di bumi Jordan mencari ilmu duniawi dan ukhrawi. 

Oklah dulu. Permisi seketika. Walaupun di mana jua anda berada bumi malaysia ataupun Jordan, matlamat kita hendaklah jelas dan jitu. Wassalam.

Ahad, Julai 22, 2012

Adakah Ramadan Terakhir?

Salam Ramadan 1433H

Hari ini 2 Ramadan 1433H bersamaan 22 Julai 2012, bermakna sudah dua hari kita berpuasa. Adakah Ramadan kali ini lebih bermakna atau makin malap dari tahun-tahun sudah. Ya Allah, jadikanlah puasa kami puasa yang diberkati dan tidaklah kami ini termasuk dalam golongan yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dahaga.

Alhamdulillah, program tadarus al-Qur'an berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. Selepas Maghrib sebelum Isya' dan tarawih kami sempat habiskan juzuk pertama bersama anak-anak. Teruja pula menanti Ramadan. Semoga kedatangan Ramadan kali ini menghidupkan hati-hati kami untuk menjadi pencetus dalam berbuat amal ibadat dan kebajikan.

Tarawih? Hari ini sudah hari ketiga kita bertarawih. Malam pertama di Masjid Hadhari, malam kedua di Masjid Ulul Albab, baru malam ini kami sempat bertarawih di kampung sendiri di Masjid Haji Ishak, Dengir. ya Allah, terimalah ibadat kami Ya Allah.
  • Hadis riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa, yang maknanya: “Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
  • Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, yang maknanya: “Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan”.
Ya Allah, tolonglah kami dalam agamaMu. Kami berikrar untuk menguatkan iman dan taqwa kami tetapi kami tidak mampu tanpa bantuanMu. Permudahkan segala urusan kami, ibubapa kami dan anak-anak kami dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini. Seandainya Ramadan ini masih dapat kami lalui maka Kau luaskanlah jalan menuju kebaikan. Kami mengharapkan maghfirahMu dan lailatul qadrMu.
Salam Ramadan.
HambaMu. 

Selasa, Mei 22, 2012

Bersediakah Aku?

Letih sungguh fikiran saya seminggu ini. Kalaulah tiada keimanan yang tinggi danm kekuatan fizikal demi mengharungi makna kehidupan yang kian mencabar dan tercabar pasti sudah lama aku jatuh tersungkur. Namun satu perkara yang aku amat suka kerana fikiran kusut dan jiwa yang resah ini dapat kuluahkan dalam rumah 'sedetik masa sejentik rasa' ini tanpa ragu-ragu. Insya Allah, jarang ada pembaca setia sekarang. Maka saya lebih bebas berkarya. Berkarya? Agaknyalah.

Dua minggu lepas, saya dihubungi sahabat setia Ustazah Ain dari SMK Kuala Besut mohon sedikit pertolongan buat mengubat sedikit pelajar SPM sekolahnya bagi mp Pendidikan islam. Saya memang bukan orang yang paling layak..tapi, memikirkan sebuah persahabatan dan atas dasar tanggungjawab sesama muslim saya pasrahkan jemputan itu. Makanya berbuat jugalah persediaan agar perjalanan kem @ bengkel berjalan lancar. Tolonglah daku Ya Allah. Demi zatMu yang Maha Agung....

Kemudian, perkara kedua datang pula. Satu hal yang macam tidak logik di akal insan lemah seperti saya mampu menggapainya. Entahlah dalam bidang perjawatan ini, manusia ini kadang-kadang datang perasaan ingin mencuba sesuatu yang orang lain payah untuk mencuba. PERMOHONAN GC DG52. Masya Allah menyebut kalimat itu pun rasa macam kelakar sendiri jadinya. Justeru, dengan sedikit kekuatan yang hampir lumpuh ber'usaha' juga mengisi borang itu walaupun jasa dan sumbangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa umpama sesuatu perkara luarbiasa. Dengan lain perkataan AKU TIDAK ADA APA-APA. Melainkan sedikit kekuatan yang diberikan Allah swt dan sedikit keyakinan. Namun, aku tidak mengharap. He he...

Isu ketiga pula datang, dalam fikiran yang agak berserabut.. alhamdulillah segala perjalanan peperiksaan OTI 1 Tingkatan 4 dan 5 berjalan lancarjuga walaupun daerah 'pondok jaga' dan 'pkg raja' hampir saban waktu aku hubungi dan lawati semata-mata ingin melengkapkan soalan peperiksaan pelajar. Kadang-kadang, tubuh kerdil ini terasa letih dan cukup 'lipas kudung' menghadapinya agar rakan-rakan guru tidak merasa susah mengawasi pelajar. Tapi, bagi insan-insan yang pernah saya berjanji kadang-kadang banyak janji saya lupa tunaikan. Bukan kerana khianat atau sengaja tetapi kerana AKU MANUSIA BIASA YANG SELALU LUPA. Maafkan saya. Maafkan aku. (teringat pula lagu Jamal Abdillah)

Dalam cuti yang bakal datang sehari dua lagi, bukan waktu yang sesuai untuk insan sepertiku goyang kaki. Sudah lama kaki tidak bergoyang. Tak sempat bro... . Ops, saya kena pula menyediakan sedikit sebanyak persediaan buat anakanda sulungku yang bakal mengikuti kursus Bahasa Arab di Unisza. Alhamdulillah, dia bakal memijak bumi anbia' di Urdun (Jordan). Syukur. Dan saya beristighfar kepada Allah swt atas segala perasaan riak. Sedikit pun tidak ada kerana anak saya hanya terpilih dari kalangan insan biasa yang hanya cukup syarat dan melepasi syarat untuk belajar di Jordan. Anakku Nuzul Badree, belajarlah betul-betul. Ingat Allah swt , ingat Nabi Muhammad saw, ingat mama dan abah kerana bukan sedikit ketahanan diri yang terpaksa mama dan abah hadapi dalam membesarkan anak-anak. Bukan mudah menghadapi tuntutan dan keperluan anak dalam dunia pancaroba ini. Hanya orang yan g benar-benar tabah dapat melaluinya. Syukur Ya Allah. Syukur.

16 Mei yang lalu..hari Guru berlalu dengan penuh lesu dan bisu. Tiada rasa sangat. Tapi setiap kali kedatangannya hanya satu terbayang di fikiran...ingat arwah Ayahanda Muhammad Abdullah. Selamat hari guru pa. Maaf, sudah lama tidak tidak menziarahi 'rumah kecilmu' wealaupun hanya beberapa meter sahaja dari rumahku. Walau ayahanda berada di 'rumah kecil', anakanda senantiasa berdoa agar Allah lapangkan rumahmu Pa, selamatkan Pa dan umat islam yang lain dari segala azab yang mencengkam. Ya Allah, kasihanilah kedua ibu bapaku. Pengorbanan mereka tiada galang gantinya. Aku bersyukur dilahirkan dari mereka.

Rasa macam ingin berundur dulu catatan ini. Semoga anak-anak ceria menghadapi peperiksaan pertengahan tahun 2012. Aku bersyukur di atas kehidupan ini. Aku bersyukur.

Wassalam.

,

Ahad, Mei 06, 2012

Rindu berbicara di Sedetik Rasa

Salam pertemuan di Sedetik Rasa. Sudah sekian lama tidak berbicara seakan kelu 'lidah' untuk berkata-kata. Sibuk sangatkah saya? Sebenarnya kitalah yang mengurus masa bukan masa yang mengurus kita. Mungkin saya bukan pakar dalam pengurusan masa.

Pejam celik -  pejam celik sekarang tibalah masa untuk anak-anak berjuang di medan peperiksaan. Tahun 2012 ini mencatat seribu kesibukan sendiri bagi kami.. tiga dari anak kami bakal menduduki pepriksaan penting. Kak Ngah SPM. Abg Hariz PMR dan 'Inayatul UPSR. Bukan sedikit masa dan pengorbanan dalam merealisasikan impian anak-anak untuk berjaya. Pagi ada kelas. Petang ada kelas. Malam pun ada kelas. Minggu ini peperiksaan OTI 1 bakal berada di landasan.

Kadang-kadang terfikir juga di benak senja ini apa yang dikejar atau dicari dalam kehidupan ini. Pasti jawapannya kami mencari keredaan Allah SWT. kejayaan biarlah dinukil di dunia mahupun di akhirat. Anak-anak adalah permata hati yang tiada tolok bandingnya. Jangan kerana angkara kita, anak-anak terabai hidupnya....

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. أبو داود وابن ماجه

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."

( Abu Daud dan Ibnu Majah)

Permisi dulu. Wassalam.Jumpa lagi.




Ahad, Februari 05, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433H





Selamat bersua kembali di laman 'Sedetik Masa Sejentik Rasa' ini. Pertama-tama, saya mengucapkan syukur alhamdulillah segala puji-pujian hanyalah untukMu Ya Allah. Salawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Pada hemat saya, pada tahun baru 2012 ini adalah catatan pertama saya di blog ini. Usah ditanya kenapa atau mengapa, apa yang pasti kalau Allah swt tidak mengizinkan saya menulis pasti tulisan atau catatan apa pun tidak akan berhasil walaupun pena ataupun keypad dihadapan kita. Hendak dikatakan bahawa masa tidak ada pasti ianya adalah ucapan klise untuk menutup kelemahan diri.

Hakikatnya itulah kelemahan manusia biasa seperti saya. Siapalah saya hanya insan kerdil yang sentiasa alpa dan lalai namun masih menyedari hakikat diri. Marilah kita sama-sama istiqamah melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w yang tercinta. Sesungguhnya amat ramai yang menyatakan cinta kepada Rasulullah s.a.w tapi hanya sekadar manisan di bibir sahaja. Justeru cintailah nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirahnya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya. Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya. Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja.
Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat. Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang terhebat di dunia.


Salam Maulidur Rasul 1433H. Sayang Allah, sayang Rasulullah s.a.w, sayang ibu bapa, sayang cikgu kita. Sayang semuanya.


Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails