Selamat bersua kembali di laman 'Sedetik Masa Sejentik Rasa' ini. Pertama-tama, saya mengucapkan syukur alhamdulillah segala puji-pujian hanyalah untukMu Ya Allah. Salawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.
Pada hemat saya, pada tahun baru 2012 ini adalah catatan pertama saya di blog ini. Usah ditanya kenapa atau mengapa, apa yang pasti kalau Allah swt tidak mengizinkan saya menulis pasti tulisan atau catatan apa pun tidak akan berhasil walaupun pena ataupun keypad dihadapan kita. Hendak dikatakan bahawa masa tidak ada pasti ianya adalah ucapan klise untuk menutup kelemahan diri.
Hakikatnya itulah kelemahan manusia biasa seperti saya. Siapalah saya hanya insan kerdil yang sentiasa alpa dan lalai namun masih menyedari hakikat diri. Marilah kita sama-sama istiqamah melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w yang tercinta. Sesungguhnya amat ramai yang menyatakan cinta kepada Rasulullah s.a.w tapi hanya sekadar manisan di bibir sahaja. Justeru cintailah nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.
Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirahnya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya. Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya. Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja.
Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat. Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang terhebat di dunia.
Salam Maulidur Rasul 1433H. Sayang Allah, sayang Rasulullah s.a.w, sayang ibu bapa, sayang cikgu kita. Sayang semuanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan