Salam Aidil Adha. Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untukNya. Salawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Syukur alhamdulillah, kami sekeluarga kekanda, adinda selamat melaksanakan ibadah Qurban tahun ini.
Sebenarnya, sejak tahun-tahun kebelakangan ini memang kami adik-beradik mengambil bahagian dalam korban. Tetapi, yang ralatnya sedikit kami adik beradik termasuk menantu kurang cekap mengurus hal ehwal binatang ni terutama lembu. Terpaksalah meminta pertolongan orang-orang kampung. Kalau pun ada hanya adik ipar Zainul Abidin (suami adinda Nasirah) yang berkebolehan. Tahun ini, mereka tidak dapat bersama kami kerana Adinda Nasirah sedang dalam pantang anak ke-6. Tahniah!
Dua malam lepas, saya mendapat pesanan ringkas melalui sms yang memaklumkan perginya ke rahmatullah seorang insan nun jauh di Johor Bahru Allahyarhamah Hajah Rahimah Rahim yang merupakan ibu tunggal tempat saya menumpang bilik ketika 'posting' pertama tahun 1993. Sedih dan terharu kerana anaknya agak lambat menyampaikan berita (meninggal dunia 14.10.2011), walau bagaimanapun syukur kerana masih diberitahu. Saya baru berkira-kira hendak menjenguknya nanti kalau saya mengikuti kejohanan pingpong MSKPP di Johor. Allah lebih menyayangi beliau. Sepanjang mengenali arwah, beliau seorang yang amat taat dan tekun beribadat. Pendek kata, sepanjang masa beliau banyak habiskan masa beribadat solat sunat dan puasa sunat. Selain penyayang terhadap kucing, dan suka menziarahi saudara di Singapura. Semoga ruhnya dikalungkan dalam ikatan hati-hati orang yang beriman dan bertaqwa di sana. Al fatihah.
Dua hari raya selesailah sudah, kambing lembu segala al-an'am sudah dikorbankan maka saya kira selesai sudah cerita raya. Tinggal lagi menghitung hari menjelangnya peperiksaan SPM 2011. Saya doakan agar anak saya, anak-anak didik saya, kawan anak-anak saya yang sama-sama berjuang, berusaha tanpa rasa jemu dan ragu agar dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan damai. Ingatlah bahawa Allah swt Maha Adil (seadil namaNya), Maha Penyayang..Dia akan memberi kepada yang berusaha sepenuh daya asalkan yakin dan tawakal dengan ketentuanNya.
من جد وجد..... jumpa lagi. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan