Jumaat, November 21, 2008

Musim 'Berkhatan'

Syukur alhamdulillah, agenda berkhatan satu-satunya anak lelaki saya (Hariz) sudah selesai pada 18. 11.2008 . Justeru itu, saya tertarik untuk menyampaikan sedikit perihal berkhatan ini.

Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.

Berkhatan termasuk di antara amalan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Fitrah (sifat semulajadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Berkhatan

Sepertimana yang tersebut dalam kitab al-Majmu‘ dan kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala maksudnya:

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”

(Surah an-Nahl: 123)

Dalam ayat ini, Allah Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w supaya mengikut ajaran-ajaran agama Nabi Ibrahim a.s, dan di antara ajaran-ajaran Nabi Ibrahim a.s itu ialah berkhatan. Perkara ini jelas dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim a.s itu sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya lapan puluh tahun, sebagaimana riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Berkhatan Nabi Ibrahim r.a ketika Baginda berumur lapan puluh tahun dengan alat qadum.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut kitab Syarh al‑Muhadzdzab ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim as ialah berkhatan. Berkhatan itu adalah wajib dalam agamanya.

Selamat berkhatan pula buat Husin Ali. Muhammad Hariz Eilman sudah selesai. Semoga semuanya selamat. Amin

Sabtu, November 15, 2008

Ustazah Pun Meniru

Suspenkan lihat tajuk saya hari ni( pastinya, bukan meniru dalam peperiksaan).. Alkisahnya begini..ada seorang ustazah tu, kiranya hubungannya terlalu rapat dengan saya. Beza umur setahun saja. Dia lebih tua dari saya.Kerjanya ialah meniru tajuk-tajuk catatan saya. Saya tak marah pada dia. Jauh sekali hendak kutuk dia SEBALIKNYA saya rasa bangga kerana di sebalik sedetik masa sejentik rasa saya ini ada orang berminat membacanya dan respon pula dalam dia punya blog.

Tak pe..tak pe..saya tak marah.Saya sayang ustazah ni.Seminggu dua ni boleh pekenakan dia sebab saya difahamkan laptop dia sudah rosak dipanah dek petir.Habis jem modem dia.

Jangan marah ustazah jay.

Dari adikmu yang 'manja'.

Khamis, November 13, 2008

SELAMAT HARI LAHIR BUAT SAYA.

Allah selamatkan saya!
Allah selamatkan saya!
Allah selamatkan saya ini..Allah selamatkan saya!!

Selamat hari lahir yang ke xx kepada saya. Rupa-rupanya usia saya sudah berubah saat ini. Saya bersyukur kerana Allah memanjangkan usia saya. Azam saya hanya satu iaitu untuk menjadi insan terbaik dalam usia yang cukup matang ini bagi seorang manusia. Saya juga bersyukur kerana saya dapat lagi bernafas saat ini walaupun kenangan catatan 'malam pertama' saya masih baru dalam ingatan.

Sudah pasti saya mahu agar malam pertama saya nanti adalah malam pertama yang indah untuk dikecap oleh manusia yang lemah serba serbi ini.

Sekali lagi saya ucapkan 'selamat hari lahir buat saya'. Terima kasih bonda kerana telah melahirkan saya dan menjadi saya seperti hari ini. Maafkan saya bonda kerana masih lagi 'berkasar' dengan bonda (sesekali).

Rabu, November 12, 2008

Malam Pertama??



Apabila menyebut malam pertama, pasti semua orang akan terbayang satu malam yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan. Nikmat duniawi yang tiada tara! Ya, satu malam di mana pasangan pengantin baru yang sah bergelar suami isteri setelah diijab qabulkan akan bersatu. Sudah tentu persepsi malam pertama yang sering berlegar-legar di ruang minda ialah malam tersebut pastinya merupakan satu malam yang segalanya adalah menyeronokkan, indah-indah, asyik-asyik dan nikmat-nikmat belaka!

Tetapi, pernahkah terbayang dan terlintas di benak fikiran kita satu malam lain yang juga dinamakan malam pertama, namun ianya bukanlah malam pertama perkahwinan?

Malam itu ialah MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?

Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”

Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Di dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

“Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”

Bagaimana pula MALAM PERTAMA kita??

Seruan Haji..

Salam buat bakal haji dan hajah 1429H. Doa saya mengiringi perjalanan tetamu-tetamu Allah yang dimuliakan untuk sama-sama berada di dua tanah suci al-haramain. Saya sempat mengunjungi seorang dua yang akan ke bumi anbiya' itu. Semoga mendapat haji yang mabrur. Amin.

Hati saya rasa sedih kenapa ramai kawan-kawan saya yang mempunyai harta masih tidak berkeinginan untuk memijakkan kaki ke Makkatul Mukarramah.Tapi, sukar juga bagi saya hendak meyemai keyakinan kepada rakan-rakan bahawa seronoknya kerja haji ini. Yang penting ada keazaman. Usia kita pun bukannya makin muda tapi dari setahun ke setahun usia bertambah. Dulu 30-an.Sekarang awal 40-an. Kata orang, penyakit pun datang dalam usia seperti ini. Bukannya saya menafikan ketentuan Allah swt. Sejak al-Quran diturunkan, Nabi Muhammad diutuskan ke muka bumi ini baginda menyeru kepada seluruh umat manusia untuk mengerjakan haji bagi yang BERKEMAMPUAN. Maksudnya, kita ini mampu dari segi fizikal, kewangan, kenderaan yang selamat, perjalanan yang aman damai, kalau isteri kena minta izin suami (selalunya isteri pergi bersama suamilah)..ada nafkah yang mencukupi untuk anak-anak di Malaysia maka kita dianggap berkemampuan.

Bukan apa, saya melihat trend sekarang, ramai yang boleh mengumpul kenderaan mewah, rumah tersergam besar dan indah, barang kemas usah cerita laa tapi kenapa susah untuk ke 'sana'? Memanglah keadaan jadi rumit dan merumitkan kalau dalam akal fikiran masih lagi memikirkan nak pergi dengan pakej mahal, kalau boleh ada pakej yang sediakan tempat tinggal dalam masjidil haram lagi baik..maka sebab itulah kerja haji jadi begitu rumit nak dilaksanakan. Cubalah kita bersifat qanaah. Kalau mampu tidak salah pergi dengan pakej mahal. Apa yang penting...kerjasama (macam lagu wonder pet pulak). Mulakan langkah anda dari sekarang. Mula-mula daftar haji dulu. Kemudian belajarlah dengan orang-orang yang bertauliah dan mahir dalam hal haji. Ingat, ustaz ustazah pun belajar kerana tidak salah belajar haji. Ilmu yang sedikit akan bertambah.

Oklah. kepada sesiapa yang sudi baca blog saya ini jangan kecil hati pula. Fikirkan positif. Kerana tanyalah siapa pun yang pernah mengerjakan haji atau umrah tidak ada seorang pun yang tidak ada rasa hendak pergi lagi melainkan nak pergi selalu. Termasuklah saya. Rindu pada baitullah. Rindu pada masjid nabi (di situ terletaknya maqam kekasih Allah) yang ada raudhah di dalamnya. Masya Allah.

Sekian dulu. Jumpa lagi.

Ahad, November 02, 2008

Jua Doa Buat Budak-budak 5 al-Khawarizmi

Salam peperiksaan buat anak-anak didikku di 5KH. Melihat usaha anda setakat ini, saya masih tidak berpuas hati. Sungguh tidak puas hati. 'Puas hati'diukur dari mata kasar berdasarkan keputusan peperiksaan, jua latihan berterusan yang tidak konsisten. Sekali ketuk sekali masuk...Alahai 5 Kh.. SPM tinggal beberapa hari lagi, anda masih khayal dalam dunia yang entah apa-apa itu.

Biarlah saya seru satu persatu nama-nama bertuah yang menghuni dunia 5KH.Harap-harap anda yang terbaca catatan ini sedar bahawa anda senantiasa dalam ingatan saya. Siang malam.Ada 9 putera dan 14 puteri. Di sebelah kanan meja guru ada nama Hirman, Din, Nizam, Aiman, Syahidin, Hisyam, Zukiman, Safwan, Azraie..Barisan puteri pula saya mulakan dengan Bazilah, Zulaikha, Siti Zaharah, Haslinda,Hanis, Akmal (tgh khayal sekarang), Farzila, Nadia, Mukhlisa, Kazimah, Safawati, Idayah, Hidayah dan Auni.

Saya sentiasa doakan kejayaan kalian.Pada setiap waktu solat berlabuh..setiap kali itulah saya mendoakan kebahagiaan, kejayaan buat kalian. Tidak pernah sepunyit pun saya merasa jemu menyampaikan ilmu untuk kalian. Cuma, kalian yang tidak dapat membezakan antara harapan seorang guru dengan 'paksaan'. Semoga bunga-bunga kejayaan mengiringi hidup kalian di dunia dan akhirat. Ingat!! Jalan mesti ke depan, bukan ke belakang.

Wassalam. Usaha + Doa + Tawakal = Kejayaan.

Rabu, Oktober 22, 2008

Doa Buat 5 Al-Biruni 2008

Entah mengapa melihat anak-anak didik di kelas, hati ini terasa sayu kerana mereka terlalu baik dan tulus dalam menghadapi hari-hari terakhir sebelum SPM. Apa orang kata, beri apa pun mereka buat tanpa bantahan dan sungutan...bayangkanlah kertas-kertas soalan latih tubi bertubi-tubi diberi, di'stapler', disusun dan macam-macam di lagi. Hebatnya anak-anak murid ni tanpa rasa jemu dan bosan menerima dengan suka hati dan riang.

Mengikut firasatku, itu adalah tanda-tanda orang yang akan berjaya dalam peperiksaan.Insya Allah. Justeru itu, di ruangan ini saya ingin mengucapkan selamat berjuang habis-habisan kepada semua murid 5 Al- Biruni: Nazira, Fatihah, Ilhami, Noriatul, Jasmin, Fitrah, Syznee, Hidayah S, Hidayah Z, Ainur, Emylia, Atiqqa, Anis, Arifah, Afiq, Nasrullah, Hamdam, Izzat, Izwan, Fahmi, Hafiz, Izyan..tapi Aimie ngan Shafawi masih lagi leka dalam dunianya sendiri. Semoga dapat keluar dari alam khayalan.

Ok. Sekian dulu untuk kali ini.

Ahad, Oktober 19, 2008

Demam Peperiksaan

Assalamualaikum.

Walaupun masih dalam kehangatan hari raya, anak-anak didik di semua sekolah mula 'demam peperiksaan'.PMR baru sahaja berakhir, SPM bakal menjelma pula. Anak-anak murid saya di 5 al-Biruni dan 5 al-Khawarizmi nampak 'semacam' saja. Hari-hari, cikgu masuk hulur kertas soalan. Kemarin soalan Perak, hari ni soalan Kelantan, belum sudah jawab semua soalan Selangor pula menanti.

Kalaulah kertas-kertas putih itu boleh bertukar warna jadi not berwarna hijau ke, merah ke, ungu ke..tentu seronok.Tapi, keseronokan menuai hasil itu wahai anak-anak didikku tidak akan diperolehi sekarang.Tunggulah bulan Mac tahun depan. Ingat pesan ustazah..bukan senang nak senang. Ingat!! Jalan MESTI ke depan, bukan ke belakang (macam iklan PETRONAS pula..)Ingat juga tips untuk mencapai ketenangan menjelang peperiksaan.Antaranya jaga solat fardu, jangan sesekali derhaka kepada ibu bapa (spt. menengking, mengherdik, memukul, menghina, menjeling, masam muka, tidak berterima kasih dll) kerana keredaan Allah swt terletak di atas keredaan ibu bapa, selalu solat hajat, baca al-Qur'an, hormati guru (tolong cikgu, berterima kasih kepada cikgu, jangan sesekali menyakiti hati cikgu)dan macam-macam lagi

Saya yakin, usaha berterusan, doa dan tawakal boleh menghasilkan sejuta bintang bergemerlapan. Dan, kejayaan yang diperolehi sudah pasti kejayaan hakiki cemerlang di dunia.. gemilang di akhirat.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM DAN STPM KEPADA SELURUH MURID DI SELURUH NEGARA

Selasa, Oktober 14, 2008

Rumah Terbuka

Assalamualaikum.

Di kesempatan ini, saya sekeluarga ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan seisi keluarga menjengah 'teratak' hamba pada hari Jumaat 17 hb. Oktober 2008 kerana ada sedikit jamuan ringan. Semoga tidak menguzurkan diri. Kehadiran anda semua amatlah dihargai.

Ahad, Oktober 12, 2008

Selamat Menduduki PMR

Nampaknya pejam celik, celik pejam..pejam tak celik-celik atau celik tak pejam-pejam ini, anak-anak saudara saya sudah sampai fasa ke 2 dalam menempuh peperiksaan selepas zaman UPSR berlalu. Esok, tangal 13.10.2008 Wan Nur Afiqah Wan Abdullah (SMKTM), Hasan Ali Mohamad Afandi(SMA Maarif) dan Nur Insyirah Amirizal (Melaka)akan menduduki PMR. Kami doakan semoga kalian dapat jawab dengan tenang,baik dan cemerlang setiap soalan peperiksaan.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails