Jumaat, April 09, 2010

Apabila Sudah Rindu...






Anakanda dan warga aspuri shams
Salam Jumaat. Hari yang penuh barakah, dilimpahi rahmat dan saiyyidul ayyam. Alhamdulillah, saya masih bernafas hari ini. Saya masih dapat mandi sendiri sebelum oranh lain mandikan saya. Saya dapat bersolat sendiri sebelum orang lain solatkan untuk saya. Dan..saya dapat berjalan sendiri sebelum orang lain mengusung saya. Iya, saya masih hidup. Makanya saya perlu teruskan kehidupan ini dengan aturan yang sebaik mungkin. Insya Allah.

Selepas berbincang dengan arjuna, kami sepakat sebelum solat Jumaat berangkat ke Kuala Terengganu buat menjengah anakanda Nuzul Badree yang sudah 3 minggu tidak berkesempatan pulang ke rumah. Minggu lepas anakanda dilantik sebagai fasilitator KRIS (Kem Remaja Islam) sekolahnya. Minggu ini dia bersekolah pada Sabtu sebagai gantian raya. Minggu depan katanya mengikuti Kursus Kepimpinan Pengawas SHAMS. Sedih pula apabila terpaksa berpisah lama tidak melihat anak di depan mata. Walaupun tahu bahawa kerja buatnya amat murni dan terpuji. Kak, Allah tahu mama amat rindukan kakak.

Sesampai di Batu Rakit, suami dan Hariz solat Jumaat. Kami berempat ambil kesempatan menjamah keropok lekor goreng di warung sebelum masjid. Jangan jeles! Sesudah itu, kami terus sambung perjalanan. Nampaknya awal-awal lagi saya kena 'drive', drebar 1 mengantuk. Alahai, apabila sudah berumur.
Lebih kurang jam 2.45 petang, kami sampai di SHAMS. Saya dan anak-anak perempuan terus menuju ke Masjid SHAMS untuk solat Zuhur. Alhamdulillah, masih dapat menunaikan hak Allah yang amat besar ini. Kami naik ke tingkat dua masjid. Suasana agak tenang dan damai. Di sudut kanan masjid ada 2-3 budak mengaji al-Qur'an. Di saf yang paling depan ada dua orang warga asrama sedang solat berjemaah. Saya menghampar sejadah di sebelah kiri imamah. Masya Allah, rupa-rupanya anakanda Nuzul Badree yang mengimamkan solat bersama teman sebiliknya Addini. Entah kenapa hati begitu sayu berjumpa anak dalam situasi begitu. Kami berpeluk seketika. Saya kira, itu sesuatu yang amat patut dilakukan. Pelukan mesra dan tanda kasih sayang tulus ikhlas antara anak ibu, anak bapa.
Kami kemudiannya ajak kakak keluar sekejap. Anak-anak semuanya nak pergi Mydin Mall. Tak apalah, kita ikut pendapat anak. Orang ramai berbondong-bondong memenuhi setiap ruang hari cuti seperti ini. Semua mengambil peluang cari keperluan di tempat yang harganya amat berpatutan. Di kampung kita pun belum tentu harga barang serendah Mydin. Kesian pula pada orang kampung. Rakyat marhaen yang susah untuk ke mana-mana terpaksa percaya pada harga di kedai-kedai kampung dan supermarket bangsa Cina.

Tatkala jarum jam menunjuk ke angka 6.00 petang, maka saya kira kami perlu bersayonara seketika. Ada umur jumpa lagi...harapan kami kepada anak-anak, berusahalah sedaya mungkin kerana peluang mungkin datang hanya sekali. Orang tua dihormati, kanak-kanak disayangi.
Sekian, jumpa lagi.الى اللقاء.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails