Jumaat, Mei 14, 2010

Selamat Hari Cikgu 2010

Assalamu'alaikum cikgu. Tinggal 24 jam lagi kita semua warga pendidik akan menyambut hari guru 2010. Masih tema yang sama dengan 2009, 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Memang setiap kali menyambut hari guru saya selalu merasa sayu dan hiba. Sayu kerana amat berbangga menjadi guru. Begitu juga setiap kali menyanyi lagu 'Guru Malaysia'..hampir setiap tahun saya gagal menghabiskan lagu itu kerana lagu saya bercampur dengan air mata terutama pada kalimat..."amanah yang diberi, kami tak persiakan.. apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan"..

Hiba pula bukan kerana apa tetapi hiba apabila teringatkan sejarah keluarga guru Haji Muhammad yang pernah tersiar dalam akhbar arus perdana tanggal 16 Mei 2006. Sebulan setelah gambar ayahanda Haji Muhammad Abdullah dan 15 keluarga guru terpampang di muka depan akhbar, ayahanda dipanggil Pencipta Agung menghadapNya demi kelangsungan sebuah perjalanan hidup manusia yang serba tidak kekal di dunia yang fana' ini. Alfatihah Pa..

Justeru itu hidup bagi yang hidup tetap diteruskan. Maka berbahagialah aduhai guru kerana kita diciptakan untuk menjadi guru di atas muka bumi ini. Guru yang bukan setakat mengajar ABC, alif ba ta, +-x/..bahkan lebih dari itu. Justeru itu, hargailah guru-guru anda (buat pelajar) dan guru-guru kita dahulu. Apa khabar cikgu-cikgu saya. Saya harap cikgu masih sihat walaupun ramai yang sudah meninggalkan dunia guru (pencen..atau meninggal..), dan cikgu sentiasa dilimpahkan kebahagiaan dan ketenangan jiwa mengharungi dunia yang kian mencabar ini. Maafkan saya cikgu kerana semasa saya menjadi anak murid kepada cikgu dulu 1975-1987 saya tidak dapat memberi hadiah berharga melainkan kad-kad ucapan buatan sendiri atau sekadar sebatang pen merah 'reynold' berharga 25sen agar cikgu mudah menyemak kerja buat kami.

Bukan seperti zaman sekarang, murid-murid kita lebih kaya dari cikgu sebab mereka anak peguam, anak doktor, anak pensyarah, anak Yang Berhormat, anak Pengarah..kita dulu apalah sangat. Rata-rata kawan saya adalah anak petani, peneroka, penternak 5 ekor ayam.. kalau kaya sikit pun anak Tok Penggawa sebab dapat duduk quarters kerajaan. Telefon bimbit mereka lebih canggih dari cikgu..Laptop mereka lebih hebat dari cikgu..itu sebab bila mereka berjaya dengan penuh gemilang mereka mudah berkata,"kejayaan saya ini kerana usaha saya, solat hajat saya dan ibu bapa saya". Tetapi, bila mereka kurang menyerlah dalam peperiksaan, mereka mudah berkata.."sebab cikgu tak berapa cakna dan tak cari dia masa dia ponteng". Alahai....

Hadiah untuk guru? Nanti saya fikir-fikirkan sejenak.. mungkin yang ini:

pen berjenama..
atau yang ini?
jam tangan bonia..
atau yang ini??

gelang emas habib jewels

Hakikatnya setiap tahun saya merasa bangga kerana sentiasa diberikan oleh murid-murid saya hadiah istimewa seperti di bawah buat mengesat air mata ketika suka mahupun duka atau peluh tatkala memanjat tangga-tangga kelas di tingkat 3 atau 4.

Justeru itu berbahagialah menjadi guru. GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi). Walaupun tiada emas permata atau tinta emas yang kita peroleh bersyukurlah kerana kita berjaya melahirkan manusia ternama di dunia ini.

Sekian, wassalam. Jumpa lagi dalam coretan dan catatan akan datang.

SELAMAT HARI GURU!

Tiada ulasan:

Catat Komen

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails