Salam seharum kemboja. Saban tahun tatkala Mei menunjukkan wajahnya, kita seakan teruja menyambut satu hari yang dinamakan 'Hari Ibu'. Hari ibu disambut pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei. Maka persis anak ayam mencari ibu semua anak-anak sibuk mengucapkan 'Selamat Hari Ibu'.
Bagi diri saya, saya amat bersyukur kerana dianugerahi seorang ibu bernama Bonda Hasmah binti Awang. Saya memanggilnya 'Ma'. Ma telah lahir ke dunia ini 64 tahun yang lalu. Allah swt amat mengasihi Ma saya dan Dia memberi Ma kekuatan, kesihatan, pancaindera sempurna walaupun sakit peha dan sebahagian lututnya telah lama bersebati dalam perjalanan hidupnya. Saya berharap Ma sentiasa meredai dan memberkati hidup saya selamanya. Bak kata orang putih ever and forever.
Sebenarnya, saya bukanlah anak yang baik sangat kerana sampai saat ini ada ketikanya percakapan agak kasar mungkin kerana hendak membetulkan keadaan. Sepatutnya, saya tidak boleh buat begitu kerana tanpa ibu siapalah saya dan oleh kerana saya juga ibu maka saya dapat rasakan peritnya jika diterjah anak walaupun tidak pernah menjerkah. Na'uzubillah. Untuk pengetahuan Ma, bermula saya mencapai umur baligh (cukup umur..) saya tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan untuk Ma, arwah Pa, adik beradik dan cikgu-cikgu saya. Sekarang ditambah lagi kehadiran anak-anak saya. Ralat rasanya seusai solat andai tidak mendoakan Ma dan Pa. Saya yakin di antara ciri-ciri anak yang salih dan salihah ialah anak yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapa. Saya berharap Allah sentiasa makbulkan doa dan harapan saya.
Berbicara tentang saya pula, alhamdulillah anak-anak memahami pengertian hari ibu. Bagi yang sudah dewasa mereka mengirimi saya sms ucapan hari ibu. Anakanda sulung nun di Kuala Terengganu membuat panggilan 'selamat hari ibu' sore Ahad semalam. Biasanya dia antara yang paling awal. Mungkin kerana sibuk menelaah pelajaran lantaran pepriksaan OTI 1 yang sedang dijalankan. Anak yang bersekolah rendah sempat membuat kad ucapan yang amat bermakna buat saya. Walau apapun, terima kasih anak-anakku. Dikaulah permata hati dunia akhirat. Tidak rugi berbuat baik kepada ibu bapa. Syurga pasti ganjarannya nanti. Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibu? Fikir-fikirkanlah.
Bulan Mei ini banyak hari istimewa yang berlaku. Dalam bulan ini jugalah ada Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Jualan murah sempena Hari Pekerja dan Hari Berbelanja Sakan. Maklumlah anak ada 5, cikgu masing-masing ada 10 orang lebih kurang. Campur tolak darab bahagi lebih kurang 50 hadiah bakal disediakan sempena Hari Guru 2011. Terbang melayang-layang $$$$$ itu. Tak apalah setahun sekali mengajar anak mengingati guru semoga hendaknya mereka lebih cemerlang dunia akhirat. Amin....
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Bapa kamu.”
Dalam hadith ini menunjukkan keutamaan berkhidmat kepada ibu 3 kali ganda melebihi khidmat kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.
Jangan pula kamu benci kepada bapamu. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Jangan kamu benci kepada bapamu. Siapa yang benci kepada bapanya, kebencian itu bererti kekafiran (kufur nikmat). Kufur nikmat dalam hadith ini bermaksud tidak mengenang jasa ibubapa yang membelanya sejak dari kecil.
Sekadar ini sahaja coretan saya. Jumpa lagi perihal Hari Ibu tahun depan. Itu pun kalau masih ada umur yang panjang. Selamat Hari Ibu buat semua ibu di seluruh dunia tidak termasuk 'ibu ayam'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan