Jumaat, Mac 18, 2011

Di Antara Suara Tsunami

Salam sewangi kemboja, secantik sakura (bunga Jepun) sehalus kimono seutuh Fuji. Muqaddimah percutian kali ini dengan runtuhnya tanah Sendai, Jepun tatkala gempa bumi dan tsunami melanda dengan penuh rakus dan lahap. Takziah orang-orang Jepun. Ambil iktibarlah aduhai rakyat dunia yang masih leka dan khayal. Khusus buat warga Malaysia.

Dalam akhbar arus perdana dua tiga hari lepas, saya terbaca rintihan seorang warga emas Jepun yang amat sedih dan berduka nestapa. Bukannya sedih dengan malapetaka tsunami sebab warga emas itu sudah merasai perkara yang lebih dahsyat dari tsunami. Sejarah Hiroshima-Nagasaki masih dan tetap segar dalam ingatan lampaunya. Namun yang mendukacitakan dia ialah sifat pemuda-pemudi Jepun yang tidak sanggup menghadapi cabaran. Semangat kasih sayang yang hilang. Katanya, semasa menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan agar semua penghuni bangunan yang didudukinya naik ke tingkat atas, mereka (warga emas) ini berpisat-pisat naik walaupun tidak mampu memanjat tangga yang tinggi. Tiba-tiba (wah, ada tiba-tiba pula) pemuda pemudi Jepun tadi bukannya hendak membantu warga emas yang rata-ratanya tidak mampu mendaki dengan cepat MALAH ditolak, dipijak, ditepis orang-orang tua bangka itu bagi memudahkan laluan mereka ke atas. Masya Allah.

Warga Emas Jepun

Justeru itulah sejentik rasa ini terasa begitu goyahnya muda mudi ini dalam menghadapi kemelut yang melanda. Ingat, ibu bapa boleh membesarkan anak-anaknya walaupun ramai tapi belum tentu sepuluh anak dapat menjaga ibu bapa dengan baik.
Betullah, didik dan ajarlah anak-anakmu dengan akhlaq Islamiyah yang sejati, yang bukan hanya dapat membentuk harga diri dan dapat menilai akal budi manusia lain. Justeru saya bagai teringat2 kata-kata ini, "ibu bapa menjaga anak-anak mereka agar mereka terus hidup tapi anak-anak menjaga ibu bapa mereka untuk mati". Alahai.....
Jumpa lagi antara Tsunami. Tsunami sekeping hati dan Tsunami realiti. Wassalam.

Khamis, Februari 03, 2011

Apa Yang Patut Ibu Bapa buat

Pejam celik, pejam celik hari ini sudah pun masuk hari ke 3 bulan Februari. Kehidupan kita semakin hari semakin mencabar. Usaha mendidik anak bangsa, mendidik anak sendiri tidak lagi boleh dilakukan sembrono. Hanya orang-orang yang buta ilmu dan buta mata hati dunia sahaja yang menganggap mudahnya membesar dan mendewasakan anak.

Begini, diringkaskan cerita ramai anak-anak kita yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM dan STPM. Saya tahu ramai yang pandai mencari rezeki sendiri dan mahu berdikari dengan membuat kerja-kerja sampingan. Semalam jumpa anak murid kerja kedai kasut. Seorang lagi kerja kedai jual telefon dan kad prabayar. Ada kerja kat pam minyak. Jurujual 'Econjaya' atau 'Supermas' jangan ceritalah. Baguslah. Tapi, ibu bapa kena beringat bahawa apabila berada di luar dari lingkungan mata ibu bapa ini sesekali pergilah tengok. Pantau pergerakan mereka. Lihat dengan siapa mereka berkawan. Batas pergaulan bagaimana?

Tentulah tidak salah dan bukan menjadi dosa sekiranya kita ibu bapa mendahului anak dalam mengetahui pergerakan mereka di dunia yang penuh pancaroba ini. Janganlah hendaknya apabila berlaku sesuatu barulah hendak berbuat sesuatu. Kitakan ibu...kitakan bapa... Jadilah ibu bapa cemerlang. Insya Allah anak akan cemerlang.

Ada juga perihalnya seorang anak itu hendak belajar ilmu agama di pondok di negeri Kelantan serambi Mekah. Alhamdulillah, sejuk hati mendengarnya. Tapi, si ibu pula yang risau takut anaknya tidak selesa belajar. Asrama uzurlah. Tiada kelengkapanlah. Masya Allah, anak hendak belajar ilmu bersungguh-sungguh tapi si ibu...?? Itulah dunia hari ini. Yang baik bagi sesetengah orang, belum tentu baik bagi orang lain. Yang salah pada pandangan mata kita, belum tentu salah pada mata orang lain.

Fikir-fikirkanlah. Saya hanya meluahkan apa yang terbuku dalam hati saya. Ingatlah hidup kita di dunia ini amatlah singkat. Gunalah masa sihat dengan sebaik-baiknya sebelum menjengah masa sakit. Gunalah masa hidup kita dengan manfaat sebelum datangnya ..."bila izrail datang memanggil, jasad terbujur di pembaringan.."

Jumpa lagi.

Isnin, Januari 31, 2011

Cuti Menggamit Jiwa

Salam sewangi kasturi seharum kemboja. Hari ini saya bercuti. Orang kata cuti ganti tahun baru Cina. Arakian dapatlah sedikit sebanyak meng'update' blog yang kian berkarat dan berkulat ini tanpa info terkini dan menarik.
Harapan saya agar catatan ini nanti sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kerinduan peminat-peminat yang seringkali menziarahi 'Sedetik Masa Sejentik rasa'. Usai menghantar anakanda 'Inayatul Fasihah dan 'Ifwatul Iman di SK Tg Mahmud, saya singgah mencari suapan akhbar semasa..dan, belilah makanan pagi sebungkus dua. Maklumlah cuti secara solo ni kenalah bergerak solo. Anak-anak dan Sang Arjuna janganlah jealous. Cutinya saya bukan cuti bersahaja. Sambil-sambil menatap akhbar, jemari ini ligat melayari internet dan mencari bahan-bahan menarik untuk disajikan buat pelajar nanti. Wah..macam bagus saja bunyinya. Tapi, itulah realitinya setakat ini.
Tangan kiri pula aktif mendail nombor telefon rakan-rakan yang anak mereka belajar di Egypt. Khabarnya bantahan, demonstrasi, rusuhan terhadap Mubarak, beribu-ribu banduan terlepas dari tahanan, kekurangan makanan dll mula menerjah rakyat Mesir. Bertanya khabar agar ibu bapa tidak merana memikirkan hal anak-anak. Memang akan memikirkannya..yalah anak kita. Berdoalah semoga semuanya selamat sejahtera dan dilindungi Allah swt di mana sahaja mereka berada.
Nampaknya, saya kena berhenti dulu. Panggilan kain melambai-lambai minta dibelai. Jumpa lagi. Wa'ilalliqa'.

Rabu, Januari 26, 2011

Pergi Tak Kembali

Teringat pula tajuk lagu kumpulan Rabbani nyanyian Allahyarham Ustaz Asri..'Pergi Tak Kembali'. Semalam usai solat Maghrib, saya mendapat khabar perginya seorang insan yang amat berjasa dalam menginsankan hidup saya. Perginya tak akan kembali tok guru qur'an Hajah Khadijah Abdullah. Semoga Allah swt merahmati tok guru. Semoga selamatlah perbaringanmu di alam barzakh dengan penuh kesenangan dan ketenangan hakiki bersama-sama kekasih-kekasih Allah para anbia', aulia', syuhada', mukminin wal mukminat kerana janji Allah terhadap hambaNya yang mengajarkan al-Quran buat hambaNya adalah janji yang benar dan nyata. Syurga menantimu, Insya Allah!
Takziah buat Abang Rosdi, Kak Alma dan Yati..semoga tabah menghadapi pemergiannya. Alfatihah.

Isnin, Januari 17, 2011

Ya Allah Sembuhkanlah Tok Guruku!

Assalamualaikum. Salam sewangi kasturi. Apa khabar rumah sedetik masaku ini? Masih hidup rupanya...ya..masih hidup kerana pemilik blog ini masih hidup. Terima kasih Allah. Syukran Allah.

Sore tadi, saya bersama kekanda Jailami dan adinda Rabihah sempat menziarahi insan paling istimewa yang mengajar kami kalamullah sejak kami kecil lagi. Ya, kami menziarahi tok guru al-quran - Mak Su Joh yang suatu ketika dulu adalah insan yang berjasa mengajar kami belajar al-qur'an..dan tempat kami khatam al-qur'an. Hari ini Mok Su terlantar kerana penyakit paru-paru berair. Syafakillah!! Sedih pula melihat matanya yang sayu, nafasnya yang tersekat-sekat, badannya yang kian susut hanya menampakkan tulang. Ya Allah, sembuhkanlah penyakit tok guru kami itu. Kami tidak mampu membalas walau sebanyak mana pun harta jika hendak dibandingkan dengan ilmu al-qur'an yang telah menyinggahi dalam hati-hati kami.

Kekanda jailami, masihkah kau ingat kita bukan hanya pergi mengaji malah lebih jauh lagi kita buat naiya pada anak tok guru kita. Kanda Mi ingat bukan 'abang Rosdi' anak tok guru kita yang jadi abang polis tu. Adinda tak sangka pula Si Rosdi boleh jadi polis. Dulu, dinda pernah cucuk dengan lidi penunjuk al-Qur'an dalam telinga Rosdi. Sampai bernanah. Kalau dia ingat hal itu mesti dia marah kat kita. Mujurlah tak jadi abang ipar dinda. he he he...

Oklah. kisah Si Rosdi tu hanyalah selingan sahaja. Memang pun anak-anak perempuan arwah Cikgu Muhammad ni nakal sikit. Tapi, nakal tu kerana kita cerdik. Insya Allah. Jumpa lagi dalam catatan akan datang.

Wassalam.

Rabu, Disember 22, 2010

Masya Allah Sedapnya Suara..

Selamat tinggal 2010

Selamat tinggal .. Selamat datang..

Salam Muharam. Pejam celik, tidur jaga, makan minum akhirnya saat-saat perpisahan dengan dunia percutian sudah hampir sampai ke penghujungnya. Selamat tinggal 2010 yang mencatat 1001 cerita, ahlan wa sahlan 2011 yang belum tentu akar cerita. Apa yang saya harapkan agar tahun demi tahun, bulan demi bulan, hari demi hari kehidupan saya sebagai hamba Allah di atas muka bumi yang menukil sejuta rahmat ini memberikan kekuatan lahir dan batin.

Ada kalanya apa yang kita rancang tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Ada kalanya sesuatu yang tidak dirancang menjadi pula. Apa-apa pun kita hendaklah kembali kepada Qada' dan Qadar Dia. Manusia hanya merancang yang menentukan hanyalah dia. Kehadiran tahun 2011 mungkin mencatat cerita baru dalam diari hidup saya yang bernama HAMILAH BINTI MUHAMMAD. Alhamdulillah syukur kerana pada awalnya saya hanya merancang begini begini untuk peningkatan kerjaya saya. Tapi, Allah s.w.t itu memang Maha Penguji yang hebat. Dia uji saya dengan memberi apa yang saya minta. Pada awalnya mendapat tahu saya berjaya melepasi tahap demi tahap ujian sehingga datangnya sekeping surat tahniah dari Tuan Pengarah JPN saya hilang semangat takut dan bimbang amanah tidak terlaksana.

Setiap detik masa, fikiran saya keliru. Hampir setiap malam saya merayu dan merintih dengan Dia agar memberi lebih kekuatan dalam mengharungi ujian dunia. Alhamdulillah, perasaan saya tenang setenang-tenangnya umpama air di tasik yang tidak disentuh.

Justeru itu, tanggal 1 Muharam 1432 saya tekadkan azam dan tidak akan menoleh lagi ke belakang. Setiap apa yang ditentukan dalam hidup pasti ada hikmah yang besar yang hanya Allah s.w.t tahu. Saya berdoa semoga saya dapat meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya saya seorang guru yang cukup mulia ini. Benarlah kata-kata ayahanda saya Hj. Muhammad bin Abdullah tugas guru itu amat mulia. Jadilah guru yang mursyid nabi. Anggaplah murid-murid itu sebagai anak kita sendiri. Kalau perlu ditegur; tegurlah. Kalau perlu dimarah; marahlah kerana kita bakal melahirkan 'produk' insan kamil bukannya barangan berjenama yang dijaga semasa masih baru atau cantik. Setelah warnanya pudar kita boleh trade in atau jual sahaja. Insan kamil bukan begitu.

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. " (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Kesimpulan Hadis:

Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri dari mengumpulkan harta yang haram.

Makanya saya mahu kerjaya ini mendapat keberkatan Allah dan tidaklah termasuk dalam kategori manusia sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Orang yang paling menyesal pada hari Kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Hadis ini menggalakkan umat Muslimin supaya menggunakan segala kesempatan hidup di dunia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang berguna kepada kehidupan keagamaan dan keduniaannya. Dengan ilmu pengetahuan yang betul, dapat dilakukan amalan-amalan ibadah yang betul. Amalan ibadah tanpa ilmu pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bida'ah dan kekeliruan yang merosakkan agamanya.

Disamping itu ilmu pengetahuan boleh membuka ufuk pemikiran dan mendalamkan kesedaran dan keinsafan yang menguatkan keyakinan dan tauhid terhadap Allah s.w.t., dan dengan demikian akan meningkatkan darjat kita disisi Allah di hari Kiamat kelak.

Hadis ini juga menggariskan satu panduan yang penting iaitu tujuan belajar ialah beramal sama ada ia seorang pelajar atau seorang guru, kerana amalan itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang yang berilmu.

Kata pepatah Arab "Ilmu tanpa amal laksana pokok tanpa buah" alangkah ruginya seorang guru yang tidak mandapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang yang belajar darinya memungut keuntungan -keuntungan yang abadi.

Sayonara 2010. Selamat bertemu 2011.

Sekian, wassalam.
(Hati oh hati..berdebar juga menanti keputusan pmr anakanda Aimann esok. Semoga kejayaan menghiasi hidup anakanda dunia dan akhirat. Amin)

Khamis, Disember 09, 2010

Sudah 'Merdeka' Rupanya Calon SPM 2010

Alhamdulillah, setelah berjuang sepenuh jiwa raga periuk belanga khalas juga anak-anak murid dalam menjawab soalan SPM 2010. Tapi ingat, jangan lupa solat hajat yang iltizam dan istiqamah kerana jawapan-jawapan anda tentunya akan dinilai sedikit masa lagi. Pun janganlah mentang-mentang sudah khalas peperiksaan remaja lepasan SPM ini menghabiskan masa berpeleseran tanpa tujuan.
Tentulah tidak salah untuk kita sedikit gembira kerana perkara yang cukup hebat digalas sepanjang tahun sudah berakhir tapi janganlah berakhir dengan tragedi. Sehari dua ini banyak berita memaparkan kemalangan jiwa anak-anak lepasan SPM 2010 di jalan raya. Sukanya hati mereka. Bagi saya, ada baiknya tempoh menunggu keputusan itu diisi dengan perkara-perkara berfaedah terhadap spiritual, mental, fizikal dll. Bagi saya penuhilah ruang dan isilah peluang masa 'menunggu' dengan mencari ilmu Allah yang tersangatlah luas dan hebatnya di atas maya pada ini. Paling tidak berbakti dan berkhidmatlah seikhlas hati untuk ibu bapa tercinta setelah saban waktu tanpa rasa jemu meluangkan waktu buat anak-anak menghadapi peperiksaan.
Cintailah Allah!
Sekian, Wassalam.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails