Khamis, September 25, 2008

MENGAPA DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR ?

Bagaimanakah malam al-Qadar itu?
Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

Oleh itu hidupkanlah malam Ramadan dengan beriktikaf, menunaikan Ibadah solat, berzikir, mengaji al-Quran mendengar hal-hal yang berguna, mengulang kaji berkenaan Puasa, Solat, Zakat fitrah dan berbagai Ilmu Pengetahuan yang boleh merapatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t.dan dengan sesama manusia.

Mereka yang beriman akan berusaha dengan bersungguh-sungguh menghidupkan malam Ramadhan dengan solat tarawih,berzikir,membaca al-Quran,mempelajari Ilmu pengetahuan yang berguna terutama sekali berkenaan ibadah Puasa,dengan demikian dapatlah ia menunaikan ibadah Puasa Ramadan dengan baik dan diterima Allah ibadahnya itu serta mendapat balasan yang berlipat ganda melebihi seribu bulan. Semoga keselamatan yang diperoleh hingga terbitnya fajar,amin….

Wallahua'alam

Bondaku Hajah Hasmah Awang



Bonda,Baru kini kusedar ketiadaanmu di sisi amat bermakna.
Apatah lagi di saat Aidil Fitri kian menjelang.
Anakanda merindui suaramu, leteranmu, senyumanmu
dan...
air tanganmu membuat juadah malam raya.

Bonda,
Jauh bonda beraya di bumi anbiya' impian semua.
anakanda terkenang kasih sayangmu.
di tubir mata ini,
ada titisan jernih,
merindui akan dirimu,
umpama Sang Pungguk rindukan bulan,
umpama laila rindukan majnunnya.

Namun dikau bukan bulan bukan juga majnun
KAU adalah insan paling istimewa
di telapak kakimu terhampar syurga
di rahimmu aku berteduh
di dadamu aku merasa hangatnya kasih ibu
umpama mengalirnya harga sebuah
pengorbanan yang kau luahkan
dengan penuh kepayahan
tanggal 13 november 1968.

Salam sayang buatmu
Bonda Hasmah Awang
Kau ratu hatiku.

Rabu, September 24, 2008

Kad Raya

Selamat hari raya..semua orang boleh menyampaikan ucapan raya baik melalui email, sms dan apa-apa cara pun. Tapi, bagi saya hari raya seolah-olah tidak bermakna tanpa melayangkan kad raya terutama kepada keluarga terdekat dan sahabat-sahabat ketatku.

Kad raya,
walaupun agak tradisional jika hendak dibandingkan dengan zaman yang maha canggih ini tetapi bagi saya kad raya sempena hari raya ada sentimental value tersendiri. Siapa yang ajar semua ini??Siapa lagi kalau bukan arwah Pa tercinta. Beliau selalu menyuruh anak-anak hantar kad kepada guru-guru..dan bila anak-anaknya sudah dewasa tanpa disuruh dipaksa anaknya pandai pula menghantar kad raya buat kekasih.

Alhamdulillah, tahun 2008 ini walaupun masa begitu deras saya sempat melayangkan kad-kad raya buat insan yang tersayang dan mempunyai jasa kenangan sendiri dengan diri ini. Mana mungkin saya melupakan Hjh Rahimah Rahim JB(ibu angkat-posting jb'93)
Pak Cik Kasim Bt Gemuroh, Hj Mohd Noor Felda Kerteh( bapa angkat OPKIM PERMATA UKM),Syed Anuar GPMS, Kanda Za, kanda Mi, Adik Jam, Adik Rah, Adik Bi, kawan-kawan Nor Azimah, Kak Yam,Kak Abadah, Saudara-saudara sekapal musim haji KT29 2005 Hjh Noor Fauziah, Hjh Kamariah, Hjh Latifah dll.

Walaupun ada orang kata membazir tenaga, masa kerana mengepos kad raya bagi saya, saya tetap dengan diri saya. Walaupun jarang orang membalas kad-kad raya dari saya - saya tak kisah. Aimann tak kisah. Janji saya ingat kawan-kawan dan keluarga saya.

Apa pula pendapat anda???

Isnin, September 22, 2008

Sedetik Masa Dahulu..



Sedetik masa dahulu
kucapai tanganmu, kucium pipimu, kupeluk dirimu..
kerana kau insan istimewa
yang melahir dan membesarkan diriku
seperti ini

Sedetik masa dahulu
kami anak-anakmu yang nakal akan beratur menunggu
pemberian duit raya darimu
walaupun tidak sebesar mana akan nilainya
kami menghargainya
buktinya sampai ke hari ini duit rayamu masih utuh tersimpan
di dalam diari kenanganku
walaupun kini warna duit sudah bertukar rupanya

Sedetik masa dahulu
Bulan Ramadan seperti ini kita bertarawih bersama
bersimpuh berjemaah menjamah hidangan
walaupun hidangannya tidak sehebat duniaku hari ini
kami gembira menikmatinya

Sedetik masa sudah berlalu
yang tinggal hanyalah bilah-bilah kenangan yang tidak mungkin sama sekali akan terpadam dari lipatan ingatanku

Kenangan bersamamu ayahanda sentiasa harum di hati ini
aku merinduimu dulu, kini dan selamanya

Salam sayang untukmu ayahanda Hj Muhammad bin Abdullah

Sabtu, September 20, 2008

Kuseru Namamu Lailatul Qadar

Assalamualaikum,
Lailatulqadar atau malam yang ditaqdirkan adalah merupakan suatu tawaran istimewa dan paling besar daripada Allah(swt)untuk hamba-hambanya yang beriman sebagaimana firmanNya yang bermaksud:Malam yang ditakdirkan itu adalah lebih baik dalam seribu bulan.

Berhubung dengan masa dan waktunya,maka tidak didapati sebarang keterangan yang tepat mengenainya,tetapi pada dasarnnya ia tetap wujud dalam bulan Ramadan.Walau bagaimana pun berdasarkan kepada hadis-hadis, baginda telah membuat kita mendapatinya sebagaimana sabdanya bermaksud :Berjagalah kamu akan LAILATULQADAR pada malam yang witir(ganjil)dari sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan.

sekian,wassalam.

SELAMAT HARI RAYA



Sesungguhnya dalam meniti perjalanan hari..sedar atau tanpa disedari banyak perbuatan, perkataan, sifat, renungan yang kadang-kadang kita ikhlas melakukannya tapi bagi orang lain merasakan sebaliknya. Jadi sebagai manusia biasa yang berlidah tanpa tulang ini tentu tidak ada kuasa luar biasa bagi mentafsirkan makna yang tersilap.

Lebih-lebih lagi dengan ahli keluarga sendiri..terlalu banyak khilaf yang dilakukan. Maafkan saya sekeluarga.

PTK

Alhamdulillah keputusan PTK kohot 7 bil6/2008 sudah keluar keputusannya siang tadi. Bermakna berakhir sudah kemelut perjuangan dalam PTK setelah lulus. Biarpun tidak cemerlang mana. Well, saya bersyukur. Tahniah untuk Cikgu Abadah dan Cikgu Ridzuan kerana berjaya mendapat IV-IV.

Itu namanya rezeki Ramadan.Berkat bulan Ramadan. Hasil usaha dan iltizam berterusan..dengan bantuan sifu-sifu daerah Besut Pn Hjh Fariza Nurbaya, Cikgu Tn Hj Mohamad Affandi dll.

Semoga rezeki tuan-tuan, puan-puan diberkati Allah s.w.t. yang menolong dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Hanya Allah s.w.t yang boleh membalasnya.

Amin.

Khamis, September 18, 2008

Anak Oh Anak

Semalam cuti Nuzul Quran 17 Ramadan 1429H. Hampir seminggu saya tak dapat membuat catatan dalam Sedetik Masa kerana ada masalah laptop. Kekanda berdua Kekanda Za dan Kekanda Mi sudah selesai acara majlis berbuka...saya bila pulak?? Insya Allah sebelum raya saya akan buat juga majlis buka puasa panggil adik-beradik tercinta. Kekawan kat sekolah ramai yang ambil cuti hari ni dengar khabarnya 'shopping' raya. Anak-anak sibuk tanya, "Mama, bila nak beli baju raya? Bila nak beli kasut raya? Tudung raya?".

Kesiannya aduhai anak-anakku..sabarlah sayang. Tiba masanya, sampai rasanya untuk membeli baju raya kita akan pergi. Kadang-kadang terasa sedih sangat sebab hati terlalu rindu pada Ma, arwah Pa, arwah Nenda (Mok) semacam tidak ada mood untuk raya. Tapi, bila teringatkan anak-anak..sedih pulak. Kerana anak-anaklah, mama ini semangat untuk masak sahur..kerana anak-anaklah mama rajin ke dapur masak juadah istimewa..semuanya keranamu anak-anak tercinta.

Sabtu, September 06, 2008

Masih Segar Dalam Ingatan



Salam Puasa. Esok masuk hari ketujuh kita berpuasa. Masya Allah..Subhanallah.. tidak terasa sedetik masa itu terlalu bangat ia berlalu. Umpamanya, kenangan di Masjid Nabi.Saya teringat maksud hadis daripada Abu Hurairah, r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Satu sembahyang di masjid ku ini lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjid al-haram di Mekah."


Alhamdulillah, semasa perjalanan haji bermula 11 Disember 2005 saya diberi peluang oleh Dia yang mempunyai segala kekuatan dan kebesaran Allahu Akbar, saya sempat menunaikan 40 waktu Solat Fardu. Dengan Izin Allah S.W.T jua dalam kesempatan itu semuanya saya dapat lakukan dalam masjid Nabi yang saya cintai. Sedikit pengetahuan 'broken' Lughah Arabiyah saya diberi kekuatan memujuk pengawal di pintu masjid untuk bergerak ke dalam. Banyak kali dapat berdampingan dengan kekanda Za di Masjid Nabawi ini. Masih segar dalam ingatan, sering kali saya termengantuk kerana berlaku sedikit perubahan waktu.


Saya mengambil peluang ke Raudhah..(salah satu daripada taman-taman syurga) hanya tiga kali sahaja. Itu pun dalam situasi yang amat bersesak dan menyesakkan. Tapi, sabar..sabar hajjah..Dalam hatiku aku berdoa, aku datang bukan untuk berperang sekadar untuk menikmati kebeningan Raudhah. Pertama kali dapat memijak carpet hijau putih (terbayang2 ingatan semasa sesi ceramah haji, kalau kaki berada di hamparan hijau itulah Raudhah). Subhanallah!! Dalam diasak, terasak dan begitu sesak saya hampir menitiskan airmata akhirnya saya berjaya memijakkan kaki ke Raudhah. Terus teringat apa yang patut dilakukan.


Dengan penuh kesyukuran dan terharu, saya tadahkan tangan dan berterima kasih kepada Allah s.w.t kerana Dia memudahkan urusan. Saya mencari ruang yang agak lengang lalu menyampaikan salam kepada kekasih Allah, Assalamualaika ya Rasulullah, Assalamualaika ya nabiyullah, Assalamualaika ya Habiballah..ketika itu air mata menitis deras tanpa disedari, saya ucapkan pula salam buat Saiyidina Abu Bakar seterusnya Saiyidina Umar yang berpeluang dimaqamkan di sisi Rasulullah.


Saya ingin Solat Tahiyyatul Masjid di situ..ingat bukan Solat untuk Nabi (Solat hanya untuk Allah s.w.t) Dua orang polis wanita bertanya adakah saya sudah selesai
( Khalasti ya Malizi), saya jawab.."La, uridu Solat". Terus sahaja mereka menyuruh Solat dekat dengannya..setiap kali ada jemaah lain ingin lalu di hadapan polis itu berkata.."Malizi Solah!Maliziy Solah", Syukran saudara seagamaku. Lalu, saya tidak ingin menjadi tamak seusai solat dan berdoa seadanya saya beredar untuk memberi ruang kepada orang lain. Bukankah orang lain juga ingin merasa nikmat berada di Raudhah? Saya tanamkan azam, akan datang lagi sebelum berangkat ke Makkatul Mukarramah"


Demikianlah, semoga dengan sedikit catatan ini dapat menghilangkan kerinduan kepada bumi anbiya' al-Haramain. Suatu masa nanti, saya pasti akan menyusul lagi...

Makkatul Mukarramah..Sentiasa Dalam Ingatan



Makkah, masih terasa kehangatan berada di bumi Anbiya' 2005. Pertama kali ingin melihat rumahMu, hatiku berdebar. Adakah aku layak menjadi tetamu agungMu?? Akan adakah ruang untukku solat kepadaMu. Melihat betapa ramai tetamu yang Kau jemput..aku tidak bimbang ketiadaan tempat untukku sujud kepadaMu kerana keyakinanku padaMu tidak pernah berbelah bahagi.

Makkah,
RumahMu sentiasa dipenuhi tetamu. Hitamkah kulitnya, putihkah dia, merahkah warnanya.. mereka diraikan penuh makna.Mendapat tempat untuk solat di hamparan rumahMu adalah satu kesyahduan buatku.

Makkah,
Aku kini terasa rindu dan amat rindu padamu. Ingin melihat KaabahMu, bersolat dan doa berhajat di bumi kekasihMu...adalah impianku yang akan kulestarikan selagi nyawa dikandung badan.

Yang Merindui RumahMu.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails