Sabtu, September 06, 2008

Masih Segar Dalam Ingatan



Salam Puasa. Esok masuk hari ketujuh kita berpuasa. Masya Allah..Subhanallah.. tidak terasa sedetik masa itu terlalu bangat ia berlalu. Umpamanya, kenangan di Masjid Nabi.Saya teringat maksud hadis daripada Abu Hurairah, r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Satu sembahyang di masjid ku ini lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjid al-haram di Mekah."


Alhamdulillah, semasa perjalanan haji bermula 11 Disember 2005 saya diberi peluang oleh Dia yang mempunyai segala kekuatan dan kebesaran Allahu Akbar, saya sempat menunaikan 40 waktu Solat Fardu. Dengan Izin Allah S.W.T jua dalam kesempatan itu semuanya saya dapat lakukan dalam masjid Nabi yang saya cintai. Sedikit pengetahuan 'broken' Lughah Arabiyah saya diberi kekuatan memujuk pengawal di pintu masjid untuk bergerak ke dalam. Banyak kali dapat berdampingan dengan kekanda Za di Masjid Nabawi ini. Masih segar dalam ingatan, sering kali saya termengantuk kerana berlaku sedikit perubahan waktu.


Saya mengambil peluang ke Raudhah..(salah satu daripada taman-taman syurga) hanya tiga kali sahaja. Itu pun dalam situasi yang amat bersesak dan menyesakkan. Tapi, sabar..sabar hajjah..Dalam hatiku aku berdoa, aku datang bukan untuk berperang sekadar untuk menikmati kebeningan Raudhah. Pertama kali dapat memijak carpet hijau putih (terbayang2 ingatan semasa sesi ceramah haji, kalau kaki berada di hamparan hijau itulah Raudhah). Subhanallah!! Dalam diasak, terasak dan begitu sesak saya hampir menitiskan airmata akhirnya saya berjaya memijakkan kaki ke Raudhah. Terus teringat apa yang patut dilakukan.


Dengan penuh kesyukuran dan terharu, saya tadahkan tangan dan berterima kasih kepada Allah s.w.t kerana Dia memudahkan urusan. Saya mencari ruang yang agak lengang lalu menyampaikan salam kepada kekasih Allah, Assalamualaika ya Rasulullah, Assalamualaika ya nabiyullah, Assalamualaika ya Habiballah..ketika itu air mata menitis deras tanpa disedari, saya ucapkan pula salam buat Saiyidina Abu Bakar seterusnya Saiyidina Umar yang berpeluang dimaqamkan di sisi Rasulullah.


Saya ingin Solat Tahiyyatul Masjid di situ..ingat bukan Solat untuk Nabi (Solat hanya untuk Allah s.w.t) Dua orang polis wanita bertanya adakah saya sudah selesai
( Khalasti ya Malizi), saya jawab.."La, uridu Solat". Terus sahaja mereka menyuruh Solat dekat dengannya..setiap kali ada jemaah lain ingin lalu di hadapan polis itu berkata.."Malizi Solah!Maliziy Solah", Syukran saudara seagamaku. Lalu, saya tidak ingin menjadi tamak seusai solat dan berdoa seadanya saya beredar untuk memberi ruang kepada orang lain. Bukankah orang lain juga ingin merasa nikmat berada di Raudhah? Saya tanamkan azam, akan datang lagi sebelum berangkat ke Makkatul Mukarramah"


Demikianlah, semoga dengan sedikit catatan ini dapat menghilangkan kerinduan kepada bumi anbiya' al-Haramain. Suatu masa nanti, saya pasti akan menyusul lagi...

Tiada ulasan:

Catat Komen

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails