Ahad, Februari 01, 2009

Hari Persahabatan Sedunia

Malam tadi bertalu-talu sms masuk ke 'hp tua' saya lewat bunyinya begini, "Persahabatan itu seperti tangan dengan mata. Saat tangan terluka mata menangis. Saat mata menangis tangan menghapusnya.. SELAMAT HARI PERSAHABATAN SEDUNIA. Kirim ini kepada semua teman yang disayangi. Lihat berapa banyak anda dapat balasan, kalau lebih dari tujuh bererti U ARE LOVEABLE. Take care".

Lalu mulalah tangan saya meng'forward' sms itu kepada rakan taulan saya walau di mana pun mereka berada di darat dan di lautan, udara dan pergunungan. Dan..tertunggu-tunggulah diri saya 'kot-kot' saya akan dapat paling tidak 10 balasan. Hemm, malangnya sehingga embun menitis dan tulang belulang saya perlu di selimut dengan gebar malam saya hanya layak mendapat 4 sms. Saya tidak kecil hati tapi saya naik hairan bin ajaib itu sahajakah nilai saya pada mata mereka? Sedih juga rasanya...teman sekatil saya sudah mula bersuara entah apa yang ditunggu malam-malam buta begini. Terkebil-kebil katanya. Kalau mata dinda masih belum mahu pejam pergilah ambil wudu'. Bangun solat sunat ke..baca qu'ran ke..

Oleh kerana 'syaitan' lebih kuat menggoda saya, saya paksa mata saya untuk pejam. Tatkala saya bangun pagi ini (walaupun bukan jam 4.30 am..) ada lagi beberapa sms persahabatan. Entah betul ada atau tidak hari persahabatan sedunia. Rasa saya 'hari permusuhan sedunia' sentiasa ada. Hari-hari kita baca negara itu musuh negara ini. Dan lagi banyak hari-hari sedunia yang kita suka sambut. Ada hari ibu, hari bapa, ada hari kanak-kanak, hari AIDS pun ada, hari jualan murah jangan ceritalah, hari ayam serama (ada??), hari kekasih, hari penjenayah? tak tahu pula saya kalau ada hari penjenayah. Hari itu bolehlah ditauliahkan sebagai hari penjenayah rehat-rehat sambil minum 'kopi secawan'. He he ...

Walau apapun, saya menghargai hari persahabatan sedunia. Terima kasih buat sahabat-sahabat saya yang sentiasa mengingati saya walaupun sekadar menulis 'terima kasih' bagi menyatakan persahabatan dalam facebook. Tetapi siapa pun sahabat saya suami sayalah sahabat yang terbaik buat saya. Dia sentiasa ada ketika saya memerlukan..ketika saya menangis dialah yang menyapu si air mata..ketika saya gembira dialah yang lebih gembira kerana katanya isteri adalah rusuk suami, gembira dia gembiralah suami. Sedih dia sedihlah suami. Iya ke?

Selamat Hari Persahabatan Sedunia dari saya.

1 ulasan:

  1. bukannya taknak balas sms.. nilai persahabatan bukan terletak pada sebanyak mana terima sms, tetapi selama mana kita sentiasa dihati mereka.. daripada fwd kpd org yg sama lebih baik panjang2kan kepada sahabat yg lain pula.. dok gitu?

    BalasPadam

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails