Salam Ramadan. Alhamdulillah hari ini kita selesai mengerjakan ibadat puasa hari pertama bulan Ramadan tahun ini. Nampaknya, ahli puasa bertambah tahun ini. Si Bongsu 'Ifwatul Iman beriya-iya benar untuk puasa. Patut pun beriya-iya, sudah 6 tahun umurnya. Pagi tadi, ketika menitipkannya ke Tadika Pintar, saya sempat berpesan kepada cikgunya mana tahu dia tak tahan. Namun, dalam 3.00 petang tadi semasa ingin mengambilnya dia masih dapat bertahan. Syukur.
Usai solat Asar tadi, dia dibawa ke Bazar Ramadan untuk mencari juadah kegemaran. Entah apanya yang dia suka tatkala pulang hanya sebotol air revive dan martabak special. Hmm, tak apalah semoga dia dapat menyempurnakan ibadat puasanya tahun ini. Semoga diberi kekuatan.
Sebelum mata terpejam hari ini, saya kena ke dapur dulu menyediakan bahan-bahan untuk bersahur nanti. Orang dewasa seperti kita sekadar meneguk air seteguk dua dan sedikit makanan atau sebiji dua kurma sudah memadai. Namun bagi si anak, sahur adalah perkara mesti yang diisi dengan makanan berat. Oleh itu, saya permisi dulu. Jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan