Selasa, Ogos 24, 2010

Raya Sudah Dekat?

Salam Ramadan. Adakah raya sudah dekat? Saya yakin semua orang tahu bahawa apabila puasa maka pengakhirannya adalah hari raya. Dan lagi, apabila seminggu puasa sudah berdentum dentam bunyi mercun dan segala 'mak neka' mercun. Walhasilnya setiap hari ada sahaja berita dan kisah budak kudung tangan, buta mata, tercabut telinga, terburai otak akibat benda jadah itu. Inilah adat orang kita, puasa tak hebat mana tapi bahagian mencipta alat-alat itu mengalahkan pakar nuklear Rusia. Nak salahkan siapa dalam hal ini? Bukan ibu bapa tidak pantau. Bahkan ibu bapa sendiri khabarnya ada yang menjadi dalang dalam penjualan dan pembuatan mercun. Hebatnya orang kita. Hebat sungguh Melayu kita.

Minggu lepas di sekolah saya pun sudah ada murid yang berani menjadi 'pengebom berani mati' ni. Mereka ni umpama lontar batu sembunyi tangan. Sampai sudah 'agen FBI' tak boleh kesan. Hebat sungguh budak sekolah kita.

AWAS! Jangan main mercun..'mainlah BOM'

Agaknya budak-budak kita lebih baik jangan larang buat sesuatu. Lagi kita larang lagi menjadi-jadi. Lebih baik kita tampal kat papan-papan tanda SELAMAT MAIN MERCUN. Apalah sangat dengan hilangnya 3 'putung' jari. Apalah sangat sedihnya hilang sebelah mata? Apalah salahnya berjalan dengan sebelah kaki?

Justeru itu, saya ini hamba Allah SWT yang amat dhaif di sisiNya. Hanya peringatan demi peringatan saja yang mampu saya lontarkan. Ingatlah bahawa rebutlah peluang beramal ibadat dalam bulan yang mulia ini. Janganlah dicemari dengan 'Qiyammul Mercun'. Bulan Ramadan masih luas terbentang di sana. Sudah khatamkah baca dan mengkaji al-Qur'an?

Apabila masuk Ramadan ulama'-ulama' Islam memberi tumpuan khusus kepada menambahkan amal dan tilawah al-Quran. Imam Malik misalnya meninggalkan pengajian hadis dan memberi tumpuan kepada tilawah al-Quran. Begitu juga dengan Imam as- Shafi'i. Beliau sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.

Sesungguhnya Ramadan bulan amal! Bulan Tilawah al-Quran! Bulan menundukkan hawa nafsu! Bulan qiyamullail! Bulan taubat! Bulan Zikrullah! Bulan sedekah! Bulan iktikaf! Bulan mencari lailatul qadar! Ramadan seharusnya berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Sebelas bulan sebelumnya kita bergelumang dengan pelbagai dosa. Makanya inilah peluang untuk kita untuk mendapatkan keampunan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Kita diajar oleh Rasulullah agar sentiasa membaca doa "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memberi maaf, maka maafkan daku" dalam bulan Ramadan.

Semoga kita dilembutkan hati dipermudahkan Allah swt untuk beribadat. Apalah guna rumah yang indah kalau sunyi dengan bacaan al-Qur'an. Apalah guna kereta menjalar kalau takut menjejak masjid. Apalah guna jasad dan badan kalau rohani kosong dan lompang.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails