Sabtu, September 18, 2010

Cukup-cukuplah Raya..

Salam Syawal ke-9. Masya Allah, lamanya raya. Kadang-kadang tertanya-tanya sendiri bilalah 'orang kita' ni hendak beraya sakan. Bukan salah menziarah, tapi salahnya apabila menganggap hari raya itu sebulan lamanya. Berkiranya kita dengan Allah swt, setelah Dia mensyari'atkan kita berpuasa Ramadan selama sebulan dan kita pun patuh dgn segala larangan-laranganNya, taat dengan semua perintahNya - maka kita pun beraya sebulan juga bagai nak rak. Jadi, CUKUP-CUKUPLAH RAYA tu.

Selepas ini banyak lagi agenda yang hendak diteruskan. Bagi orang yang anaknya mengambil UPSR sebaik sahaja sekolah bermula esok peperiksaan akan bermula. Selepas itu, PMR pula menanti. Termasuklah anak sendiri. Cuti sekolah dan raya lebih kurang 2 minggu dipulun habis-habis cuti dengan tengok TV, tidur, makan, tidur balik, 'menengung situ, menengung sini', kita juga yang berdebar hati. Aduhai anak, cukup-cukuplah raya.

Buat diri sendiri apa kurangnya, kira beraya jugalah. Alhamdulillah sampai juga kaki ke rumah kawan-kawan lama. Terima kasih sahabat semua. Mujurlah Aidil Fitri ini mendekatkan perasaan kita. Sekarang agenda utama ialah usaha melawan godaan 'open house' untuk berpuasa sunat Syawal. Aduhai hati.. sabarlah, kuatkanlah imanku.

Dalam ghalib beraya, ramai orang bertanya ," Adakah harus menghimpunkan niat puasa enam hari di bulan Syawal dengan puasa Qada’ iaitu satu puasa untuk dua niat/tujuan? Saya terpanggil untuk menilik jawapan Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu menunaikan puasa Qada' yang tertanggung atasnya terlebih dahulu kerana berbuka pada bulan Ramadan, kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang paling baik (afdal) kerana Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Hutang dengan Allah lebih utama untuk ditunaikan”.
Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.


Dalam pada itu, harus dihitung puasa enam dari puasa Qadha yang dilakukan dalam bulan Syawal mengikut pandangan mazhab Syafi’i.[1] Namun yang paling baik ialah mengasingkan kedua-duanya (yakni dilakukan berasingan) untuk mengelak pertikaian dari pandangan mazhab lain (yang tidak mengharuskannya) di samping dapat memperbanyakkan amal soleh. Dan harus juga ia mendahulukan puasa enam hari dalam bulan syawal dan menunaikan puasa qadha di bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadan berikutnya”.

Wallhu A’lam. Sekian, jumpa lagi.


Rujukan; 1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 99. [1] Lihat dalam al-Majmu’, 3/235.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails