Rabu, Mei 18, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Berlalulah sudah tarikh keramat setiap tahun 16 Mei disambut sederhana (macam hari raya je..). Walau apa pun tema, walau apa pun jenis sambutannya sama ada pelajar meraikan guru atau guru meraikan pelajar (sekolah sayalah ni) hari guru sudah berlalu. Rutin guru berlangsung seperti biasa. Masuk kelas, keluar kelas. Bawa bungkusan skrip peperiksaan pertengahan tahun ke hulu ke hilir sebagai satu amanah dan tanggungjawab memeriksa dan menilai pengetahuan dan hasil p & p sepanjang setengah tahun 2011.

Saya seperti dulu juga. Hari guru tidak sah rasanya kalau tidak berikrar dan menyanyi sepenuh hati (masa inilah nak tunjuk suara merdu). TETAPI, sampai di bait..."Amanah yang diberi, Kami tak persiakan. Apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan..", tak semena-mena air mata tumpah dan nyanyian saya mula tersekat. Begitulah seorang Hamilah sejak menyambut hari guru pertama di SM Convent, Johor Bahru hinggalah sekarang. Kenapa perlu menangis? Entahlah. Terasa tugas guru itu amat berat kalau kita menyungguhi memahami peranannya. Ya Allah, terimalah amal ibadatku, terimalah amalan dan tanggungjawab sebagai murabbi ini di sisiMu sebagai satu tugas yang diamanahkan di dunia. Jadikanlah aku insan yang tulus ikhlas memikul tugas guru yang amat mulia ini.

Akhir kalam, berbahagialah menjadi guru yang mursyid nabi. Terima kasih cikgu. Selamat hari guru ahli keluarga Cikgu haji Muhammad Abdullah seramai 16 orang setakat ini iaitu Hj Mohamad Affandi & Hajah Fariza Nurbaya, Hj Wan Abdullah & Hajah Jailami, Termezi & Hamilah, Ustaz Amirizal & Ustazah Insijam, Cikgu Zainul Abidin & Cikgu Nasirah, Ustazah Rabihah, En Muhammad Asruf & Cikgu Pazurina, Ustaz Jamaliza & Cikgu Nur Aini jua adinda Muhammad Auzan nun jauh di sempadan Ganu-Pahang. Jadilah guru yang mursyid nabi. Jangan ponteng kelas, jangan jadi guru yang kencing berdiri nanti muridmu kencing berlari.

Jumpa lagi kalau umur masih panjang hari guru 2012. Alfatihah buat ayahanda Muhammad Abdullah pencetus anak-anak menjadi guru harapan dan cemerlang.

Sabtu, Mei 14, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2011

Salam.



selamat hari guru 2011


Dua hari lagi negara akan menyambut Hari Guru 2011. Kalau hendak digambarkan perasaan ketika ini saya awal-awal lagi sudah berasa sayu setiap kali menyambutnya. Bagai terkenang-kenang sambutan Hari Guru 2006 ketika bersama ayahanda buat kali terakhir. Apa-apa hal pun kata-kata lagu Pelangi 'Biarku Menjadi Lilin' terasa dekat di hati ini....

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling
Dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan
Rela aku berkorban
Demi satu harapan
Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini
dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh
terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh
Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan
Setiap pemberian
Demi satu ikatan
Keikhlasan dihati
Walaupun sering kau ragui
Pada suatu masa
Dan suatu ketika
Akan ketara jua
Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian
saat kau kegelapan
Kurela menerangkan
Aku senang begini
dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri

Akhir kalam, biarlah saya menjadi orang pertama mengucapkan 'Selamat hari guru' buat semua guru di mana jua anda berada. Terima kasih cikgu-cikgu SK Pusat Jerteh 1975-1978, SR Tengku Mahmud 1979-1980, SMA Khairiah, Kuala Terengganu 1981-1983 dan SMA Sultan Zainal Abidin 1984-1987..jasamu guru akan kukenang selagi hayat dikandung badan.


Isnin, Mei 09, 2011

Selamat Hari Ibu 2011

Salam seharum kemboja. Saban tahun tatkala Mei menunjukkan wajahnya, kita seakan teruja menyambut satu hari yang dinamakan 'Hari Ibu'. Hari ibu disambut pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei. Maka persis anak ayam mencari ibu semua anak-anak sibuk mengucapkan 'Selamat Hari Ibu'.

Bagi diri saya, saya amat bersyukur kerana dianugerahi seorang ibu bernama Bonda Hasmah binti Awang. Saya memanggilnya 'Ma'. Ma telah lahir ke dunia ini 64 tahun yang lalu. Allah swt amat mengasihi Ma saya dan Dia memberi Ma kekuatan, kesihatan, pancaindera sempurna walaupun sakit peha dan sebahagian lututnya telah lama bersebati dalam perjalanan hidupnya. Saya berharap Ma sentiasa meredai dan memberkati hidup saya selamanya. Bak kata orang putih ever and forever.

Sebenarnya, saya bukanlah anak yang baik sangat kerana sampai saat ini ada ketikanya percakapan agak kasar mungkin kerana hendak membetulkan keadaan. Sepatutnya, saya tidak boleh buat begitu kerana tanpa ibu siapalah saya dan oleh kerana saya juga ibu maka saya dapat rasakan peritnya jika diterjah anak walaupun tidak pernah menjerkah. Na'uzubillah. Untuk pengetahuan Ma, bermula saya mencapai umur baligh (cukup umur..) saya tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan untuk Ma, arwah Pa, adik beradik dan cikgu-cikgu saya. Sekarang ditambah lagi kehadiran anak-anak saya. Ralat rasanya seusai solat andai tidak mendoakan Ma dan Pa. Saya yakin di antara ciri-ciri anak yang salih dan salihah ialah anak yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapa. Saya berharap Allah sentiasa makbulkan doa dan harapan saya.

Berbicara tentang saya pula, alhamdulillah anak-anak memahami pengertian hari ibu. Bagi yang sudah dewasa mereka mengirimi saya sms ucapan hari ibu. Anakanda sulung nun di Kuala Terengganu membuat panggilan 'selamat hari ibu' sore Ahad semalam. Biasanya dia antara yang paling awal. Mungkin kerana sibuk menelaah pelajaran lantaran pepriksaan OTI 1 yang sedang dijalankan. Anak yang bersekolah rendah sempat membuat kad ucapan yang amat bermakna buat saya. Walau apapun, terima kasih anak-anakku. Dikaulah permata hati dunia akhirat. Tidak rugi berbuat baik kepada ibu bapa. Syurga pasti ganjarannya nanti. Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibu? Fikir-fikirkanlah.

Bulan Mei ini banyak hari istimewa yang berlaku. Dalam bulan ini jugalah ada Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Jualan murah sempena Hari Pekerja dan Hari Berbelanja Sakan. Maklumlah anak ada 5, cikgu masing-masing ada 10 orang lebih kurang. Campur tolak darab bahagi lebih kurang 50 hadiah bakal disediakan sempena Hari Guru 2011. Terbang melayang-layang $$$$$ itu. Tak apalah setahun sekali mengajar anak mengingati guru semoga hendaknya mereka lebih cemerlang dunia akhirat. Amin....

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Bapa kamu.”

Dalam hadith ini menunjukkan keutamaan berkhidmat kepada ibu 3 kali ganda melebihi khidmat kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

Jangan pula kamu benci kepada bapamu. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Jangan kamu benci kepada bapamu. Siapa yang benci kepada bapanya, kebencian itu bererti kekafiran (kufur nikmat). Kufur nikmat dalam hadith ini bermaksud tidak mengenang jasa ibubapa yang membelanya sejak dari kecil.

Sekadar ini sahaja coretan saya. Jumpa lagi perihal Hari Ibu tahun depan. Itu pun kalau masih ada umur yang panjang. Selamat Hari Ibu buat semua ibu di seluruh dunia tidak termasuk 'ibu ayam'.

Selasa, Mei 03, 2011

Jangan Jadi Api Yang Memakan Kayu Api...

Salam. Sekian lama menyepikan diri saya seolah-olah terpanggil dan dipanggil dalam menyebut satu sifat yang amat jelek dalam diri manusia iaitu HASAD DENGKI. Kenapa manusia suka berhasad dengki sesama manusia. Sedangkan kalau ditaqdirkan kita mati keadaan kita sama sahaja iaitu dikapankan dengan kain putih yang amat murah harganya dan diberikan ruang yang amat sedikit dan terpencil yang namanya lubang kubur. Alahai, alangkah buruknya sifat dengki yang ada dalam seketul hati manusia. Justeru saya teringat Imam al Ghazali merumuskan bahawa terdapat 7 sebab musabab mengapa timbulnya sifat itu dalam diri manusia iaitu:

PERTAMA : Perseteruan Dan Kebencian - ianya merupakan sebab yang paling kuat dan paling jelas. Seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak disetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian. Orang yang sedemikian akan merasa gembira apabila apa sahaja kesusahan atau bencana yang menimpa ke atas diri orang yang dimarahi dan dibencinya, sebaliknya dia akan rasa berdukacita dan bersedih jika orang yang dimusuhinya mendapat nikmat dan kesenangan. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud :

"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya..."( Surah Ali Imran : Ayat 120 )

KEDUA : Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan - iaitu terasa begitu berat dalam hatinya atau terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas darinya. Jika ada di antara mereka yang setaraf dengannya mendapat sesuatu yang lebih darinya, sama ada tentang pangkat atau ilmu pengetahuan ataupun harta kekayaan, maka dia merasa bimbang kalau-kalau teman setarafnya itu bersikap angkuh atau takbur ke atas dirinya. Dia rela kalau temannya itu terus berada dalam keadaan atau kedudukan yang sama taraf dengan dirinya, sebaliknya tidak rela kalau temannya itu lebih mengatasi darinya.

KETIGA : Angkuh (Takbur ) - angkuh serta meninggi diri dengan memperkecil-kecilkan apa yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya. Beliau sentiasa bimbang dan takut jika orang lain yang diperkecilkannya itu tidak lagi menurut ataupun mengikut segala kehendak hatinya. Sifat hasad yang berpunca daripada takbur ini adalah suatu sifat yang dipunyai oleh kebanyakan orang bangsawan Arab Jahiliah.

KEEMPAT : Ta'ajub - rasa ta'ajub atau rasa hairan dengan kenikmatan, kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri, tetapi tidak sampai kepada tahap angkuh dan sombong. Orang yang sedemikian akan sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain membodek serta memuji dirinya ( suka diampu ). Akan lahir rasa sakit dalam hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya.

KELIMA : Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai - perasaan ini terkhusus bagi mereka yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau cita-cita yang yang sama, seperti adik-beradik yang berhasad dengki sesama mereka bagi mendapatkan kepercayaan bapanya. Perasaan ini juga banyak terdapat di kalangan orang-orang politik yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan pengaruh daripada pemimpin atasan. Jika sampai ke tahap orang lain itu boleh menyekat cita-cita ataupun menghalang matlamatnya, maka hasad dengki akan menguasai dirinya bagi membolehkan dirinya berjaya dan pesaingnya gagal.

KEENAM : Gilakan nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang tertentu - seperti seseorang yang bercita-cita untuk mencapai kejayaan atau untuk menjadi juara dan jaguh dalam satu-satu bidang tertentu yang tidak ada tandingannya, ataupun yang berusaha agar rekodnya tidak dapat ditandingi oleh orang lain dengan tujuan supaya dirinya sentiasa disanjungi dan dipuja oleh orang ramai. Orang yang sedemikan, jika mendengar berita tentang terdapatnya orang lain yang mampu menandingi serta mengatasinya maka akan sakitlah hatinya. Ianya lebih suka jika pencabarnya itu diragut maut atau hilang keistimewaan yang dinikmatinya, supaya dia kekal sebagai juara tanpa ada tandingan atau saingan.

KETUJUH : Busuk Hati - hasad yang berpunca daripada busuk hati ini payah untuk dirawat kerana sifat busuk hati ini semacam sudah sebati dalam dirinya. Orang yang hasad kerana busuk hati adalah seorang yang paling bakhil, kerana ia beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah datangnya dari milik Allah. Orang ini cukup bakhil dan busuk hatinya kerana apa yang hendak diberi oleh Allah kepada orang lainpun beliau sanggup mempertikaikan Allah kerana memberi kenikmatan kepada orang lain.

Justeru itu jauhilah sifat buruk yang bernama hasad dengki ini. Adalah diharapkan kita jauhi daripada mengamalkan sifat mazmumah ini. Ianya bukan sesuatu yang baik untuk dijadikan sebahagian daripada diri dalam menjalani kehidupan seharian.

Semoga kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memperbaiki diri ini.
Wallahu a'lam.

Selasa, April 19, 2011

Sedetik Di Majlis Timang Kasih

Alhamdulillah syukur, Dia masih memanjangkan hayat saya di dunia yang fana' ini. Syukur masih hidup, masih bernafas, masih bergelar manusia bukannya jenazah.

Semalam tanggal 18.04.2011 kami (saya dan suami) meluangkan masa di majlis penuh gemilang SHAMS bagi menandakan ikrar pelajar melakar sejarah 'kegemilangan' di Dewan Abu Bakr As Siddiq. Semoga ikrar akan termakbul jua seiring usaha dan doa. Saya baru kali pertama mengambil cuti rehat khas tahun ini. Entahlah, saya rasa orang lain pun macam saya juga kalau tidak terpaksa cuti maka saya tidak akan cuti. Tapi, demi anak dan anak-anak pengorbanan ibu dan ayah meluangkan masa bersama di bilik kelas masing-masing bagai satu kepuasan tersendiri. Saya boleh bertanya guru kelas dan guru mpnya terutama subjek "killer". Anak mesti rajin bertanya guru apa jua masalah dalam pelajaran. MESTI tanya cikgu. Puas saya nasihatkan anak saya jangan malu bertanya...

Saya juga agak terkejut dengan berita pemergian tokoh al-Qur'an Ustaz Mohamad Noor Besar kembali ke rahmatullah. Masih terbayang ucap katanya yang lembut bagai ucapan ayah dengan anak tatkala mengikuti kursus Tahsin al-Qur'an di Kuantan beberapa tahun lepas. Semalam, apabila diumumkan oleh YDP PIBG Shams...menitis juga sang air mata ini. Orang yang baik cepat dipanggil Ilahi. Semoga ruhnya ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Amin.

Sempat juga bertemu rakan-rakan lama yang menjadi pengajar SHAMS, Wan Samiah Wan Sulung, Ustaz Zubaidi, Sharifah Radhiah (tak sempat berjumpa) dan sempat juga menitipkan pesan agar melihat-lihat anak sulung kesayangan. Sedih pula teringatkan kakak. Dia sebenarnya aktif dan sentiasa ingin aktif. Hampir dalam setiap bidang ingin diceburinya. Terbayang-bayang bagai cerminan diri sendiri. Cuma hati seorang ibu begitulah dalam arus globalisasi ini hanya manusia yang benar-benar cemerlang mudah mendapat peluang pertama. Ya Allah, Ya Tuhan padaMu kumohon agar permudahkan segala urusan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami dalam meneruskan kehidupan di persada dunia yang hangat ini. Ya Allah, bukakanlah pintu taubat, pintu kerajinan, pintu kerahmatan, pintu kemuliaan dan pintu-pintu kebaikan terhadap kami, ibu bapa kami, keluarga kami, rakan-rakan kami, jiran tetangga kami dan muslim muslimat al ahya'i minhum wal amwaat.

Sekadar ini sahaja..jumpa lagi. Wassalam.

Ahad, April 03, 2011

Selamat Hari Jadi


Sekadar ini di hari jadi suami...semoga berbahagia hendaknya!

Selamat menyambut ulangtahun kelahiran buat suami tersayang. Sebenarnya tarikh itu sudah berlalu seminggu yang lalu cuma baru saat ini saya dapat catatkan di sini. Tanggal 27 mac 2011, ucapan "Allah selamatkan Ustaz, Allah selamatkan Ustaz, Allah selamatkan Ustaz Mizi, Allah selamatkan Ustaz" bergema di Dewan Besar SMK Kuala Besut. Pasti terharu kerana seumur hidupnya tidak pernah diraikan sedemikian rupa walaupun oleh isteri sendiri. Sepulangnya dari sekolah, suami membawa pulang sekotak kek berlapis epal yang memang tidak mampu kami habiskan sekeluarga. Sepatutnya kek itu dihabiskan di SMKKB sahaja tetapi entah macamana dibawa suami pulang ke rumah. Apa pun terima kasih warga sekolah.


Hadiah istimewa - KEMBARA MENCARI TUHAN buat suami!


Dalam perjalanan kita yang makin singkat dan kian dekat denganNya, wajarlah kita taqarrub ilallah tanpa ada rasa culas mahupun malas. Pertambahan usia adalah lumrah manusia selagi masih hidup. Jumpa lagi. Wassalam.

Rabu, Mac 23, 2011

Apabila Beduk Sudah Berbunyi...

Salam semanis kismis! Jumpa lagi di Sedetik Masa kita rupanya. Insya Allah, hanya satu catatan yang ringkas dinukilkan di sini.

Hari ini, keputusan SPM 2010 diumumkan. Ayat klise, TAHNIAH kepada yang berjaya. Usah BERPUTUS ASA kepada yang kurang bernasib baik untuk cemerlang. Sebenarnya bukan tidak bernasib baik cuma Allah SWT menguji anak-anak kita sejauh mana mereka reda dan bersyukur dengan pemberian Allah. Jadi, bersyukurlah. Bukankah Allah SWT mengatakan,"Barang siapa yang bersyukur, Aku akan tambahkan nikmatKu. Barang siapa yang kufur, sesungguhnya azab Allah yang amat pedih (menanti)".

Alhamdulillah, tahun 2010 tiga orang anak buah saya menduduki SPM. Semoga semuanya berjaya dengan cemerlang di dunia lebih-lebih lagi akhirat. Wan Nur Afiqah, Hassan Ali dan Nur Insyirah...من جد وجد !!

Salam sayang buat semua.

Jumaat, Mac 18, 2011

Di Antara Suara Tsunami

Salam sewangi kemboja, secantik sakura (bunga Jepun) sehalus kimono seutuh Fuji. Muqaddimah percutian kali ini dengan runtuhnya tanah Sendai, Jepun tatkala gempa bumi dan tsunami melanda dengan penuh rakus dan lahap. Takziah orang-orang Jepun. Ambil iktibarlah aduhai rakyat dunia yang masih leka dan khayal. Khusus buat warga Malaysia.

Dalam akhbar arus perdana dua tiga hari lepas, saya terbaca rintihan seorang warga emas Jepun yang amat sedih dan berduka nestapa. Bukannya sedih dengan malapetaka tsunami sebab warga emas itu sudah merasai perkara yang lebih dahsyat dari tsunami. Sejarah Hiroshima-Nagasaki masih dan tetap segar dalam ingatan lampaunya. Namun yang mendukacitakan dia ialah sifat pemuda-pemudi Jepun yang tidak sanggup menghadapi cabaran. Semangat kasih sayang yang hilang. Katanya, semasa menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan agar semua penghuni bangunan yang didudukinya naik ke tingkat atas, mereka (warga emas) ini berpisat-pisat naik walaupun tidak mampu memanjat tangga yang tinggi. Tiba-tiba (wah, ada tiba-tiba pula) pemuda pemudi Jepun tadi bukannya hendak membantu warga emas yang rata-ratanya tidak mampu mendaki dengan cepat MALAH ditolak, dipijak, ditepis orang-orang tua bangka itu bagi memudahkan laluan mereka ke atas. Masya Allah.

Warga Emas Jepun

Justeru itulah sejentik rasa ini terasa begitu goyahnya muda mudi ini dalam menghadapi kemelut yang melanda. Ingat, ibu bapa boleh membesarkan anak-anaknya walaupun ramai tapi belum tentu sepuluh anak dapat menjaga ibu bapa dengan baik.
Betullah, didik dan ajarlah anak-anakmu dengan akhlaq Islamiyah yang sejati, yang bukan hanya dapat membentuk harga diri dan dapat menilai akal budi manusia lain. Justeru saya bagai teringat2 kata-kata ini, "ibu bapa menjaga anak-anak mereka agar mereka terus hidup tapi anak-anak menjaga ibu bapa mereka untuk mati". Alahai.....
Jumpa lagi antara Tsunami. Tsunami sekeping hati dan Tsunami realiti. Wassalam.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails