Ahad, Februari 05, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433H





Selamat bersua kembali di laman 'Sedetik Masa Sejentik Rasa' ini. Pertama-tama, saya mengucapkan syukur alhamdulillah segala puji-pujian hanyalah untukMu Ya Allah. Salawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Pada hemat saya, pada tahun baru 2012 ini adalah catatan pertama saya di blog ini. Usah ditanya kenapa atau mengapa, apa yang pasti kalau Allah swt tidak mengizinkan saya menulis pasti tulisan atau catatan apa pun tidak akan berhasil walaupun pena ataupun keypad dihadapan kita. Hendak dikatakan bahawa masa tidak ada pasti ianya adalah ucapan klise untuk menutup kelemahan diri.

Hakikatnya itulah kelemahan manusia biasa seperti saya. Siapalah saya hanya insan kerdil yang sentiasa alpa dan lalai namun masih menyedari hakikat diri. Marilah kita sama-sama istiqamah melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w yang tercinta. Sesungguhnya amat ramai yang menyatakan cinta kepada Rasulullah s.a.w tapi hanya sekadar manisan di bibir sahaja. Justeru cintailah nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirahnya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya. Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya. Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja.
Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat. Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang terhebat di dunia.


Salam Maulidur Rasul 1433H. Sayang Allah, sayang Rasulullah s.a.w, sayang ibu bapa, sayang cikgu kita. Sayang semuanya.


Ahad, November 20, 2011

Bilasan Kasih Pendidikan Islam 2011

Salam mujahadah. Salam imtihan 2011. Salam perjuangan calon-calon SPM 2011 di seluruh Malaysia terutama pelajar-pelajar SMK Tengku Mahmud, dan anakanda sulung di SHAMS. Alhamdulillah, peperiksaan berlangsung dalam suasana damai dan cuaca yang suam-suam kuku sekejap panas sekejap hujan. Walau apapun semoga calon SPM sentiasa berhati-hati dengan hujan. Jagalah kesihatan...


Justeru esok 21.11.2011 merupakan hari peperiksaan Pendidikan Islam SPM, kami barisan guru Pendidikan Islam atas dasar kasih sayang mengadakan hari bilasan kasih hari ini bertempat di Dewan Fatimah. Saya dan Hajah Wan Zaliha sempat menitipkan beberapa helaian contoh soalan dan jawapan dengan harapan dapat dijadikan pedoman dan panduan terakhir oleh calon esok. Kalau hendak dibandingkan zaman kita periksa dulu dengan sekarang memang ibarat langit dengan bumi. Tambahan pula zaman yang masih ketandusan ICT ketika itu, telefon pun kalau ada guna duit syiling manalah maklumat akan sampai dalam masa tercepat. Walau apa pun kami reda dengan keadaan.


Zaman sekarang, malam peperiksaan saja berpuluh-puluh sms sampai menukilkan tajuk-tajuk penting peperiksaan. Jangan ter'kezut' kalau ada sms yang menukilkan jawapan A,B,C,D dari no.1-40. Tapi, calon-calon SPM janganlah mudah terpedaya dengan jawapan yang memang tak munasabah itu. Usaha berterusan sepanjang tahun saya kira amat memadai dari terjerumus dalam kancah jawapan bocor yang memang mengarut dan 'tak masuk akal' itu.


Bagi subjek saya Pendidikan Islam 1223, bukanlah subjek kritikal yang pada anggapan sesetengah pihak Pendidikan Islam ini mudah saja ibarat makan kacang hijau. Apa pun tanggapan dan pandangan apabila keputusan diumumkan mereka terkejut kalau tidak peroleh A++. Saya dan kuncu-kuncu terpaksa menagih kelas-kelas tambahan pada saat akhir kerana bimbangkan pelajar. Kalau boleh kami akan pastikan semua pelajar dapat A atau A+...Insya Allah. Maka dengan bimbingan berterusan, doa yang ikhlas, kami harapkan 'anak-anak didik' berjaya cemerlang di dunia dan akhirat.


Akhir kalam, terima kasih atas kehadiran calon Pendidikan Islam menghidupkan bilasan kasih terakhir 75/178 kehadiran. Semoga sukses.



Wassalam.

Ahad, November 13, 2011

Selamat Ulang Tahun Buat Diri Sendiri

Alhamdulillah saya masih ada umur. Umur saya walaupun tidak tahu akan noktahnya tapi saya sedar bahawa umur bagi setiap insan itu amat besar dan bermakna. Hari ini hari ulang tahun kelahiran pemilik laman 'Sedetik Masa Sejentik Rasa'. Syukur alhamdulillah.

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bonda tersayang Hajah Hasmah dan ayahanda tercinta (Arwah Hj Muhammad bin Abdullah) kerana bersusah payah melahirkan saya ke dunia yang penuh pancaroba dan pancasitara ini. Terima kasih kerana bonda dengan ikhlas dan tulus hati menyusukan saya sehingga saya dewasa dan mengenal erti kehidupan (sekarang saya sudah masuk 'waktu asar'...heh heh).

Seterusnya a million terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang sudi mengirim ucapan 'selamat hari jadi' via sms mahu pun 'muka buku'. Selalu saya ungkapkan untuk diri sendiri, semakin usiaku bertambah maka semakin dekatlah usiaku dengan 'mati'. Umur 40-an ini ada keistimewaannya sendiri. Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul Khatimul An'bia di kala usianya 40 tahun. Saya dan kebanyakan rakan-rakan juga terpilih untuk menikmati kenaikan gred (dunia belaka ni...he he..) ketika usia 40. Sahabat saya pula menambahkan zuriat bongsu ketika usia 40. Suami sahabat saya pula menambah bilangan isteri kerana usia 40-an (Masya Allah)... rakan-rakan seperjuangan pula sudah ramai yang mula mengurangkan 'minum air bergula/bersusu' ketika usia 40++, ramai juga yang mula mengikuti diet dengan pil-pil pelangsingan dan pemakanan berhemah ketika umur menginjak 40++ ; untuk apa semuanya? Tidak lain dan tidak bukan kerana usia 40+ ini adalah dianggap 'umur mula untuk hidup' atau untuk mati?



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya" (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud: “ Jika seseorang telah mencapai umur 40 tahun sedangkan kebaikannya tidak lebih banyak dari kejahatannya maka syaitan akan mengusap usap wajahnya sambil berkata; 'demi ayahku wajah ini tidak akan beruntung".



Dalam riwayat lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Siapa yang sudah berumur 40 tahun sedangkan kebaikannya tidak lebih baik dari keburukannya, maka hendaklah ia bersiap siap masuk Neraka” - Na'uzubillah..



Justeru itu, walaupun ulangtahun saya tidaklah disinari hadiah bertimbun atau kilauan emas, saya amat berterima kasih dan bersyukur kepadaNya yang masih memanjangkan usia ini. Saya berdoa andainya nyawa saya hendak dipisahkan dengan jasad biarlah setelah saya sempat melihat anak-anak membesar dalam ruh islami yang mantap iman dan taqwanya, serta sentiasa dan boleh mendoakan saya di alam barzakh dengan berterusan dan penuh keikhlasan. Semoga.

Akhir nukilan, selamat hari jadi diriku. Semoga hidupku diberkati Allah swt selama-lamanya. Amin.

Isnin, November 07, 2011

Erti Pengorbanan & Aidil Adha 1432H



Salam Aidil Adha. Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untukNya. Salawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Syukur alhamdulillah, kami sekeluarga kekanda, adinda selamat melaksanakan ibadah Qurban tahun ini.


Sebenarnya, sejak tahun-tahun kebelakangan ini memang kami adik-beradik mengambil bahagian dalam korban. Tetapi, yang ralatnya sedikit kami adik beradik termasuk menantu kurang cekap mengurus hal ehwal binatang ni terutama lembu. Terpaksalah meminta pertolongan orang-orang kampung. Kalau pun ada hanya adik ipar Zainul Abidin (suami adinda Nasirah) yang berkebolehan. Tahun ini, mereka tidak dapat bersama kami kerana Adinda Nasirah sedang dalam pantang anak ke-6. Tahniah!


Dua malam lepas, saya mendapat pesanan ringkas melalui sms yang memaklumkan perginya ke rahmatullah seorang insan nun jauh di Johor Bahru Allahyarhamah Hajah Rahimah Rahim yang merupakan ibu tunggal tempat saya menumpang bilik ketika 'posting' pertama tahun 1993. Sedih dan terharu kerana anaknya agak lambat menyampaikan berita (meninggal dunia 14.10.2011), walau bagaimanapun syukur kerana masih diberitahu. Saya baru berkira-kira hendak menjenguknya nanti kalau saya mengikuti kejohanan pingpong MSKPP di Johor. Allah lebih menyayangi beliau. Sepanjang mengenali arwah, beliau seorang yang amat taat dan tekun beribadat. Pendek kata, sepanjang masa beliau banyak habiskan masa beribadat solat sunat dan puasa sunat. Selain penyayang terhadap kucing, dan suka menziarahi saudara di Singapura. Semoga ruhnya dikalungkan dalam ikatan hati-hati orang yang beriman dan bertaqwa di sana. Al fatihah.


Dua hari raya selesailah sudah, kambing lembu segala al-an'am sudah dikorbankan maka saya kira selesai sudah cerita raya. Tinggal lagi menghitung hari menjelangnya peperiksaan SPM 2011. Saya doakan agar anak saya, anak-anak didik saya, kawan anak-anak saya yang sama-sama berjuang, berusaha tanpa rasa jemu dan ragu agar dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan damai. Ingatlah bahawa Allah swt Maha Adil (seadil namaNya), Maha Penyayang..Dia akan memberi kepada yang berusaha sepenuh daya asalkan yakin dan tawakal dengan ketentuanNya.


من جد وجد..... jumpa lagi. Wassalam.






Isnin, Oktober 24, 2011

SALAM IMTIHAN 2011


Salam rindu di angin lalu. Alhamdulillah, setelah berbulan tidak berkesempatan menulis di laman 'sedetik masa, sejentik rasa', entah mimpi apa malam tadi hingga saya begitu teruja mencatat bilah-bilah kehidupan yang cukup mencabar.

Berdebar sungguh perasaan sekarang, debaran seorang ibu terhadap anak yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi. Mengingatkan lajunya hari-hari berputar, saya jadi tidak keruan apa pula perasaan anakanda di sana. Saya tahu, anak-anak calon SPM sudah 'demam' sekarang. Apa yang saya boleh buat? Hanya doa dan harapan yang tidak pernah putus mengharapkan (raja') kejayaan anak dan anak-anak didik.

Meski dalam debaran yang bertalu, saya masih sempat mengikuti Hari pertandingan Ko-kurikulum MSKPP berkampung di Hulu Terengganu dari 20-22 hb Oktober,2011. Alhamdulillah dengan rasa rendah dirinya saya dengan dukacitanya menjadi JUARA PINGPONG kategori wanita dan bakal mewakili negeri Terengganu tanah airku ke negeri Johor Disember kelak. Itu pun kalau tidak ada aral di tengah jalan. Terima kasih suami, kekanda Jailami Muhammad, anak-anak tersayang di atas dorongan dan sokongan yang tidak ada belah tepinya.

Oklah, kita tutup dulu cerita sukan. Kita bicara soal peperiksaan anak-anak kita. 20 hari lagi tibalah masa yang ditunggu berjuang di medan peperiksaan. Apa khabar anak-anak 5 Ibnu Jarir, 5 Ibnu Khaldun dan 5 Ibnu Taimiyah. Kesungguhan sebahagian besar dari anda amat saya sanjungi. Namun, di mana semangat daya juang beberapa cebis pejuang yang sudah mengalah sebelum berjuang. Soalan-soalan percubaan setiap negeri seantero alam sudah diedarkan sayangnya masih ada yang masih menutup sebelah mata. Entengnya subjek Pendidikan Islam kod 1223 di mata kalian. Sudah berapa kali kalian menghafaz ayat-ayat yang bakal menerjah anda nanti? Alahai, harapnya berubahlah sikap anda itu walaupun nasib kamu mungkin tidak boleh diubah. Betulkah bahasa saya ni.

Anakanda Nuzul Badree, permata hati abah dan mama. Kami tahu kesungguhan anakanda dalam melayari erti perjuangan ini. Berusahalah selagi ada daya, ada masa dan selagi mata masih terbuka dan selagi nafas masih menyala. Sulamilah hari-hari mendatang dengan doa dan tawakal ilallah kerana Dia Yang Maha Pemberi segalanya. Bonda senantiasa berdoa buat kejayaan anakanda dan adik-adik yang masih hijau. Mereka pasti akan me jadikan anakanda sebagai 'role model' suri teladan hidup yang bakal menggegar dunia.

Akhir kalam dari saya, semoga semua berjaya dan sukses dalam kehidupan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

p/s: Bonda sudah buat semakan Darul Qur'an-UIAM dukacita dimaklumlah permohonan anda tidak berjaya. Cuba lagi lain kali. Salam sayang sewangi puisi. Allah swt tahu apa ada dalam sekeping hati ini.

Selasa, Ogos 09, 2011

Puasa Ramadan 1432H Vs Percubaan SPM 2011

Salam Ramadan al-Karim buat semua umat Islam seantero dunia di mana jua berada, mahupun bangsa apa. Hari ini sudah masuk hari ke-9 kita berpuasa. Bermakna sudah 9 malam kita mengerjakan solat tarawih. Alhamdulillah.

Harapan saya agar puasa tahun ini dapat dilakukan dengan sempurna, bersederhana belanja, istiqamah amal dan yang paling penting jiwa yang ada dapat ditarbiyah agar iltizamlah hendaknya amalan itu waimma puasa ataupun tidak. Dari laman 'Sedetik Masa', semuanya sudah mampu puasa termasuk si kecil yang sudah besar iaitu 'Ifwatul Iman (darjah 1). Paling saya tidak tahan tatkala mengambilnya pulang dari sekolah asyik merengek dahaga...dahaga... setakat ini sudah dua hari puasanya dibuka. Buat anak-anak'Inayatul Fasihah, Hariz, Aimann, tahniah kerana setakat ini tiada masalah. Syukur.

Di sebalik cerita puasa, apa khabar anakanda Nuzul di SHAMS. Nampaknya puasa Ramadan tahun ini anakanda 'berperang' dengan peperiksaan percubaan SPM. Mama, abah dan adik2 doakan kakak dapat jawab yang terbaik. Peperiksaan sebenar pun tidak berapa lama lagi.

Ok. Sampai di sini dulu cerita hamba. Selamat berpuasa

Khamis, Jun 30, 2011

Impak Isra' Mi'raj

Salam pertemuan. Melayari bilah-bilah hari yang berlalu umpama mata pedang yang terhunus..cepat dan tangkas sehingga tidak mampu mengejarnya. Aduhai waktu. Betullah pujangga Arab ada mengatakan 'waktu umpama pedang - kalau kita tidak memotongnya, dia akan memotong kita'.

Alhamdulillah, hari ini saya masih dapat menghirup udara segar di bumi Allah yang luas melata ini. Tatkala kesunyian melanda hati akibat berseorangan di rumah (cuti peristiwa), saya meluangkan sedikit masa di laman 'Sedetik Masa Sejentik Rasa' ini.Sekadar ingin berkongsi peristiwa Isra' Mikraj Nabi s.a.w yang kita cintai. Menghayati peristiwa bukan sekadar pandangan kosong tapi meninggalkan impak besar dalam diari hidup kita sebagai muslim, mukmin dan insan yang kerdil.

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah.

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahanam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan Malik penunggunya.

1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra' dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaanNya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Isra' dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi s.a.w langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Isra' dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT. Allah SWT telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaranNya kepada Baginda saw.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam.

Jumpa lagi. Sesiapa yang belum qada' puasa Ramadan yang lepas tolong ganti dengan segera. Jangan buang masa nanti berdosa dan sia-sia. Wassalam.

Rabu, Mei 18, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Berlalulah sudah tarikh keramat setiap tahun 16 Mei disambut sederhana (macam hari raya je..). Walau apa pun tema, walau apa pun jenis sambutannya sama ada pelajar meraikan guru atau guru meraikan pelajar (sekolah sayalah ni) hari guru sudah berlalu. Rutin guru berlangsung seperti biasa. Masuk kelas, keluar kelas. Bawa bungkusan skrip peperiksaan pertengahan tahun ke hulu ke hilir sebagai satu amanah dan tanggungjawab memeriksa dan menilai pengetahuan dan hasil p & p sepanjang setengah tahun 2011.

Saya seperti dulu juga. Hari guru tidak sah rasanya kalau tidak berikrar dan menyanyi sepenuh hati (masa inilah nak tunjuk suara merdu). TETAPI, sampai di bait..."Amanah yang diberi, Kami tak persiakan. Apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan..", tak semena-mena air mata tumpah dan nyanyian saya mula tersekat. Begitulah seorang Hamilah sejak menyambut hari guru pertama di SM Convent, Johor Bahru hinggalah sekarang. Kenapa perlu menangis? Entahlah. Terasa tugas guru itu amat berat kalau kita menyungguhi memahami peranannya. Ya Allah, terimalah amal ibadatku, terimalah amalan dan tanggungjawab sebagai murabbi ini di sisiMu sebagai satu tugas yang diamanahkan di dunia. Jadikanlah aku insan yang tulus ikhlas memikul tugas guru yang amat mulia ini.

Akhir kalam, berbahagialah menjadi guru yang mursyid nabi. Terima kasih cikgu. Selamat hari guru ahli keluarga Cikgu haji Muhammad Abdullah seramai 16 orang setakat ini iaitu Hj Mohamad Affandi & Hajah Fariza Nurbaya, Hj Wan Abdullah & Hajah Jailami, Termezi & Hamilah, Ustaz Amirizal & Ustazah Insijam, Cikgu Zainul Abidin & Cikgu Nasirah, Ustazah Rabihah, En Muhammad Asruf & Cikgu Pazurina, Ustaz Jamaliza & Cikgu Nur Aini jua adinda Muhammad Auzan nun jauh di sempadan Ganu-Pahang. Jadilah guru yang mursyid nabi. Jangan ponteng kelas, jangan jadi guru yang kencing berdiri nanti muridmu kencing berlari.

Jumpa lagi kalau umur masih panjang hari guru 2012. Alfatihah buat ayahanda Muhammad Abdullah pencetus anak-anak menjadi guru harapan dan cemerlang.

Sabtu, Mei 14, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2011

Salam.



selamat hari guru 2011


Dua hari lagi negara akan menyambut Hari Guru 2011. Kalau hendak digambarkan perasaan ketika ini saya awal-awal lagi sudah berasa sayu setiap kali menyambutnya. Bagai terkenang-kenang sambutan Hari Guru 2006 ketika bersama ayahanda buat kali terakhir. Apa-apa hal pun kata-kata lagu Pelangi 'Biarku Menjadi Lilin' terasa dekat di hati ini....

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling
Dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan
Rela aku berkorban
Demi satu harapan
Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini
dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh
terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh
Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan
Setiap pemberian
Demi satu ikatan
Keikhlasan dihati
Walaupun sering kau ragui
Pada suatu masa
Dan suatu ketika
Akan ketara jua
Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian
saat kau kegelapan
Kurela menerangkan
Aku senang begini
dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri

Akhir kalam, biarlah saya menjadi orang pertama mengucapkan 'Selamat hari guru' buat semua guru di mana jua anda berada. Terima kasih cikgu-cikgu SK Pusat Jerteh 1975-1978, SR Tengku Mahmud 1979-1980, SMA Khairiah, Kuala Terengganu 1981-1983 dan SMA Sultan Zainal Abidin 1984-1987..jasamu guru akan kukenang selagi hayat dikandung badan.


Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails