Selasa, Februari 02, 2010

Majlis 'Sayonara' 2010

Salam perpisahan buat dua sahabat ke SMKNS. Selamat bertugas dengan penuh cemerlang. Anda memang cemerlang!


Suasana pilu mengiringi pemergian Hajah Abadah Abd Latif ke SMKNS




Kenangan di bilik GKMP Kemanusiaan SMKNS- Hajah Abadah tersenyum simpul.


Kenangan terpahat di sanubari..

Dua tiga kucing berlari
Manakan sama Si Kucing Belang
Dua tiga boleh kucari
Mana nak sama Mah dan kak Dah dua orang

Masam manis rasanya mangga
Pahit kelat rasanya peria
Dalam manis ada dukanya
Perit rasanya tiada ceria

Pantun bukan, syair pun bukan
Seloka bukan, sajak pun bukan
Sedetik masa sejentik rasa
Merakam kenangan sepanjang masa

Sekian dulu catatan hamba, insan biasa di dunia yang fana'. Wassalam.




Jumaat, Januari 22, 2010

Don't Be Sad @ La Tahzan..

Assalamualaikum. Salam sewangi puisi.

Tahun 2010 yang baru menyingkap tirainya membuka lagenda tersendiri bagi diri ini. Seorang demi seorang sahabat tercinta meninggalkan memorinya dan berangkat menuju destinasi lain yang walaupun dekat tapi sebenarnya jauh terasa. Dalam catatan saya sebelum ini, sahabat sebelah saya berangkat..namun nampaknya seorang lagi sahabat menyusul pergi pun ke tempat yang sama (SMKNS). Tak apalah, saya harap sahabat saya akan gembira sedikit kerana menerima orang lama di sekolah baru.

Tahniah Pn Hajah Abadah Abd Latif dilantik sebagai GKMP di SNS. Sememangnya kak dah sudah lama layak menduduki 'kerusi' itu. "Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapatberteduh.Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api."..dan, "hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain."

Terima kasih kerana memberi 'Don't be sad' untuk saya. Sememangnya saya cukup bersedih di atas perpisahan ini. Payah untuk mencari sahabat seperti kalian. Insya Allah, saya akan habiskan buku itu secepat mungkin buat mengubat lara di hati.

Sekian, jangan bersedih kerana Allah sentiasa bersama kita. Amin. Jumpa lagi.

Rabu, Disember 30, 2009

Sunyinya Tanpa Teman

Salam bahagia. Saya kira catatan saya ini mungkin ringkas sahaja sekadar meluahkan perasaan yang terasa begitu asing menjelang 2010. Kenapa saya? Pagi tadi sekitar jam 8.30, satu mesyuarat biasa bagi warga kerja menjelang tahun baru, sesi baru.. saya juga tidak terkecuali sama-sama menadah telinga mendengar ucap bicara sang pentadbir. TAPI, di sudut hati ada sesuatu yang terasa hilang dan sepi. Sesungguhnya saya sunyi. Begitu saya ditegur ramai kenalan ke mana menghilangnya 'kamcing' saya? Sedih pula rasa hati. Berdukalah aduhai hati. Semoga akan ada sirna jua suatu hari nanti. SEMOGA. Selamat bertugas di tempat baru wahai sahabatku Ustazah Nor Azimah binti Mohd. Zin di SMK Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu. Sahabatmu ini pasti merinduimu.

Sayonara 2009!

Khamis, Disember 24, 2009

Jazirah Cinta Vs PMR 2009

Salam kebahagiaan buat anak-anak PMR yang tersenyum keriangan setelah menggenggam 9A atau 8A dalam tangan tatkala keputusan hari ini. Tahniah. Dan, jangan bersedih sekiranya impian terlerai di tasik layu kerana tidak mendapat 9A @ 8A.

Malam tadi, saya seperti tidak dapat melelapkan mata. Pertamanya kerana dada berdebar menunggu keputusan PMR hari ini. Keduanya, teman sebilik mengikuti lawatan sekolahnya ke Johor Bahru...jadi, tiada teman mengadu hal seketika. Dalam hati dup dap dup dap, apakah petanda itu? 2-3 kali saya menjenguk pintu, tingkap rasa macam berdebar. Akhirnya tertidur dengan bibir terkumat kamit menyebut namaMu Ya Allah..Bismillahi tawakkaltu alallah.. peliharalah kami Ya Allah.

Di ketika azan subuh mendayu-dayu, saya terjaga dari lena yang singkat. Bangun menghambakan diri kepadaNya. Berdoa dan terus berdoa agar apa jua yang akan berlaku hari ini saya dapat lalui dengan tabah dan yakin.

Tepat jam 10.45 pagi, saya sampai di dewan SHAMS Kuala Terengganu untuk mengetahui result anakanda tersayang. Dari kejauhan, saya seakan dapat melihat kakak agak redup. Rupa-rupanya benar tekaan saya. Anakanda hanya mendapat 7A 2B (Bahasa Inggeris & Bahasa Arab) dalam PMR. Saya terus memeluk anak yang menangis hiba. Saya terkesima. Memang bukan itu impian kakak. Tapi, Allah SWT mentaqdirkan begitu. Pada tarikh 24.12.2009 hamba yang bernama fulan binti fulan dapat begitu, begini. Masya Allah! Saya sebenarnya sebak di dalam hati. Mana mungkin ibu ini menunjukkan sedihnya pada anak. Saya cakap pada dia, .."tahniah, kakak dapat 7A..Allah beri tanda awal agar kita beringat lagi pada masa akan datang..". Ya Allah, saya tidak tahu dari mana kekuatan ini datang. Saya tahu dia sudah berjuang mengikut kemampuannya. Saya redha. Syukur ya Allah. Syukran Ya Allah. Terima kasih Allah.

Selepas itu, saya maklumkan kepada abahnya..Dia macam biasa, redha dengan ketentuan itu. Alhamdulillah. Cuba lagi. Sebenarnya saya cukup sebak ketika memberitahunya, tapi saya buat biasa sahaja. Hati seorang ibu katakan. Kalau anak menangis sakit perut, senang kita sapukan ubat. Tapi, melihat anak berjejer air mata..hati ibu ini tidak kuat Ya Allah.

Walau apapun, hidup kita masih panjang di depan sana..setiap hari adalah ujian buat kita. Mungkin malam tadi saya banyak terpengaruh dengan novel 'Jazirah Cinta' novel menarik dari seberang yang memberi kekuatan untuk saya hari ini.

Terima kasih buat kak da, kak mi, adik rah, adik bi, adik yuh, adik nur, ati, kawan-kawan semua yang sentiasa mengambil berat soal anak-anak. Sehingga ketemu lagi. Wassalam.

Selasa, Disember 15, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran iii

Salam keharmonian buat sahabat semua. Kiranya sudah lama saya menyepi dari mencatat di blog 'sedetik masa sejentik rasa' ini. Bukan tiada masa TAPI tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.

Malam tadi sekitar jam 10.00, saya dipanggil oleh seorang teman tapi mesra saya (nama biarlah dirahsiakan..yang pasti kaum serupa saya). Setelah kami bercakap sedikit sebanyak bertanya khabar begitu begini, tiba-tiba nada suaranya mengendur sedikit. Ada berita yang saya tidak sanggup untuk mendengarnya. Rupa-rupanya awal 2010 nanti, kebarangkalian beliau akan bertukar sekolah bakal menjadi kenyataan. Sungguh! Saya mati kata-kata. Saya harap ianya sekadar khabar angin. Semoga.

Sebenarnya, saya sudah nampak diri saya akan datang tanpa teman saya ini. Pertama, hilanglah tempat saya mengadu masalah. Keduanya, saya hilang tempat 'berlaga lutut'. Ketiga, saya patah sayap tempat saya menyalurkan kegembiraan atau beliau melahirkan keriangan. Keempat, tiada teman untuk saya 'berekel' ke kantin. Sama-sama memanjat tangga pejabat. Sama-sama menghambat murid-murid yang culas ke masjid. Entahlah. Bagi orang yang tiada apa-apa mereka tidak akan merasa apa-apa. Bagi kami yang berkawan, bersahabat kerana Allah SWT cukup terasa akan sebuah kehilangan.

Walaupun cikgu PK1 saya kata." ..bertemu dan berpisah adat manusia biasa..", bagi diri saya payah untuk saya menerima hakikat itu. Meskipun ianya pasti menjadi kenyataan.

Buat sahabatku, bersabarlah. Persahabatan kita pasti akan tetap teguh dan utuh kerana persahabatan ini terbina atas kebenaran wujud atas setiakawan. Sesungguhnya saya berbangga bersahabat denganmu..

Sekadar ini..ada juraian airmata mengiringi catatan ini. Wassalam. Selalulah kunjungi blog ini.
Wassalam.

Selasa, Disember 08, 2009

Sekolah Pulak Dah..

Salam mesra salam sayang. Nampaknya cuti-cuti Malaysia hampir berakhir. Pejam celik, celik pejam sudah hampir buka sekolah rupanya. Rasa macam baru semalam kita bersalam dengan rakan-rakan, dengan anak-anak murid tercinta, dengan papan kenyataan, dengan tukang sapu, dengan bas sekolah..tup-tup, sekolah sudah melambai-lambai.

Maka beginilah rutin seorang 'cikgu', 'ustazah' atau apa jua panggilannya. Cuti sekolah bermula kita bertungkus lumus menyiapkan markah murid-murid...bagi yang bertugas untuk 'negara' siap siaga pula menghadiri taklimat penyelarasan peperiksaan SPM bagi mp yang diajar. Dapat meningkatkan kemahiran diri, dan dapat juga 'duit poket' seriyal dua riyal (berbaloi dengan tugas). Siapa kata cikgu dapat bercuti sepenuhnya. Teringatlah saya lirik lagu 'Guru Malaysia'.. "Amanah yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan.."

M
inggu-minggu terakhir cuti cikgu sudah kembali ke alam persekolahan. Menyiapkan segala hal ehwal murid dalam segenap aspek, pendaftaran murid baru, murid lama, cikgu baru, cikgu lama, buku baru, buku lama..jangan buku lima sudah laa..

Apa-apa hal pun, sebagai guru berbahagialah menjadi guru. Kekanda (klik blognya) saya sering mengungkapkan kata-kata ini,"Kitalah guru yang teguh dihempas kepayahan menepis songsang laku menyiram pujuk menambah rasa ke hujung faham kitalah juga guru yang kadang terpinggir puji tersumpah tulah kerana sekali kaki terlanggar titah....

Justeru itu, selamat kembali ke alam persekolahan. Berhemahlah ketika berbelanja, berhati-hati ketika memandu, apa yang dulu didahulukan; untuk anak-anak pasti kita sanggup berhabisan. Tapi, ingatlah jasa ibu bapa. Belajar rajin-rajin. Belajar betul-betul!!

Sekian, jumpa lagi.

Isnin, November 30, 2009

Penangan 'Nur Kasih'

Salam 13 Zulhijah 1430h. Masih lagi hari tasyrik..iaitu di antara hari-hari yang disunatkan korban dan di antara hari-hari yang diharamkan puasa. Saya difahamkan jemaah haji sudah pun selesai mengerjakan perkara wajib haji melontar ketiga-tiga jamrah hari ini. Hendaknya mereka bersedia pula melakukan tawaf ifadah dan saei dengan sempurna. Semoga!!

Aidil adha yang baru berlalu 10 zulhijah Jumaat yang lepas, saya berkesempatan menonton drama 'Nur Kasih' episod akhir. Sebenarnya saya bukan 'kaki tv'. Percayalah tika mana ramai kawan-kawan saya bercerita entah hapa-hapa yang ditonton mereka lewat melalui astro atau sebagainya saya tidak berhak menyampuk kerana saya tidak suka menonton. Tetapi, entah mengapa drama yang satu ini begitu mengujakan hati saya untuk tercongok depan 'benda bersegi empat' itu.

Biarlah kali ini saya kupas sedikit isu dalam 'Nur Kasih'. Secara santainya saya melihat skripnya cukup sederhana. Akan tetapi penghayatan agama berlangsung dalam situasi yang agak kamil bagaimana sesama ipar atau yang bukan mahram menjaga aurat dengan baik. Alangkah indah hidup ini sebenarnya kalau kita mengikut acuan Islam sebagaimana yang diperturunkan melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Harapan saya biarlah cerita-cerita yang hendak dipaparkan di kaca tv adalah cerita yang dapat memberi iktibar, mengajar erti peradaban hakiki dan menghasilkan impak yang besar kepada umat Islam yang akhir-akhir ini sering dijuadahkan dengan cerita-cerita hantu, toyol, saka, khurafat, syirik dan apa-apa lagi yang boleh membawa pelencongan akidah.

Cuma saya tidak berkenan satu perkara sahaja dalam 'nur kasih' apabila Alya ingin mengajak Nur Amina hidup bermadu. Saya tidak suka melihat skrip yang diolah sebegitu. He he he....

Sekian, jumpa lagi.

Jangan Malu Berkata - "Aku Tidak Tahu"

"Dari Abdullah ibn Amr r.a bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :Allah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.

Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.

Justeru itu, jangan malu berkata "aku tidak tahu" sekiranya kita memang tidak tahu terutama soal hukum hakam. Wallahua'lam.

Khamis, November 26, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran ii

Kata-kata nasihat dipetik dari Syeikh Ibrahim Adham.. 10 sebab hati kita mati, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga sama-sama kita muhasabah diri kita di anjung usia ini..Wassalam

Rabu, November 25, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran

Salam percutian buat warga pendidik seluruh Malaysia, anak-anak didik tercinta. Yang mengambil peperiksaan telaahlah banyak-banyak semoga apa yang kurang sebelum ini dapat diperbaiki, terutama yang SPM dan STPM.

1. Hari Rabu 18.11.2009, keputusan UPSR diumumkan. Tahniahlah kepada anak-anak yang berjaya meraih 5A. Ada yang tidak bernasib baik hanya mendapat 4A 1B atau 3A atau 2A atau 1A atau tiada A menangis hiba. Sabarlah. UPSR baru langkah permulaan. Banyak lagi cubaan di hadapan yang boleh merubah sekalian tindakan. Asalkan jangan putus asa. Bangkit. Cuba buat post mortem "kenapa aku tak dapat??". Selebihnya kita kena redha bahawa Allah swt amat mengetahui apa yang akan berlaku.

2. TAHNIAH buat adinda Rabihah Muhammad sempena hari konvokensyen OUM di PWTC. Kanda tahu adinda banyak berkorban demi mendapat segulung ijazah walaupun sarat mengandung..akhirnya adinda berjaya. Berjaya mendapat ijazah. Berjaya mendapat 'Fatimah Humayraa'. Kalaulah ayahanda ada, sudah pasti dia juga akan gembira setelah onak duri berjaya direntasi.

Sekian dulu. Jumpa lagi.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails