Rabu, Disember 30, 2009

Sunyinya Tanpa Teman

Salam bahagia. Saya kira catatan saya ini mungkin ringkas sahaja sekadar meluahkan perasaan yang terasa begitu asing menjelang 2010. Kenapa saya? Pagi tadi sekitar jam 8.30, satu mesyuarat biasa bagi warga kerja menjelang tahun baru, sesi baru.. saya juga tidak terkecuali sama-sama menadah telinga mendengar ucap bicara sang pentadbir. TAPI, di sudut hati ada sesuatu yang terasa hilang dan sepi. Sesungguhnya saya sunyi. Begitu saya ditegur ramai kenalan ke mana menghilangnya 'kamcing' saya? Sedih pula rasa hati. Berdukalah aduhai hati. Semoga akan ada sirna jua suatu hari nanti. SEMOGA. Selamat bertugas di tempat baru wahai sahabatku Ustazah Nor Azimah binti Mohd. Zin di SMK Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu. Sahabatmu ini pasti merinduimu.

Sayonara 2009!

Khamis, Disember 24, 2009

Jazirah Cinta Vs PMR 2009

Salam kebahagiaan buat anak-anak PMR yang tersenyum keriangan setelah menggenggam 9A atau 8A dalam tangan tatkala keputusan hari ini. Tahniah. Dan, jangan bersedih sekiranya impian terlerai di tasik layu kerana tidak mendapat 9A @ 8A.

Malam tadi, saya seperti tidak dapat melelapkan mata. Pertamanya kerana dada berdebar menunggu keputusan PMR hari ini. Keduanya, teman sebilik mengikuti lawatan sekolahnya ke Johor Bahru...jadi, tiada teman mengadu hal seketika. Dalam hati dup dap dup dap, apakah petanda itu? 2-3 kali saya menjenguk pintu, tingkap rasa macam berdebar. Akhirnya tertidur dengan bibir terkumat kamit menyebut namaMu Ya Allah..Bismillahi tawakkaltu alallah.. peliharalah kami Ya Allah.

Di ketika azan subuh mendayu-dayu, saya terjaga dari lena yang singkat. Bangun menghambakan diri kepadaNya. Berdoa dan terus berdoa agar apa jua yang akan berlaku hari ini saya dapat lalui dengan tabah dan yakin.

Tepat jam 10.45 pagi, saya sampai di dewan SHAMS Kuala Terengganu untuk mengetahui result anakanda tersayang. Dari kejauhan, saya seakan dapat melihat kakak agak redup. Rupa-rupanya benar tekaan saya. Anakanda hanya mendapat 7A 2B (Bahasa Inggeris & Bahasa Arab) dalam PMR. Saya terus memeluk anak yang menangis hiba. Saya terkesima. Memang bukan itu impian kakak. Tapi, Allah SWT mentaqdirkan begitu. Pada tarikh 24.12.2009 hamba yang bernama fulan binti fulan dapat begitu, begini. Masya Allah! Saya sebenarnya sebak di dalam hati. Mana mungkin ibu ini menunjukkan sedihnya pada anak. Saya cakap pada dia, .."tahniah, kakak dapat 7A..Allah beri tanda awal agar kita beringat lagi pada masa akan datang..". Ya Allah, saya tidak tahu dari mana kekuatan ini datang. Saya tahu dia sudah berjuang mengikut kemampuannya. Saya redha. Syukur ya Allah. Syukran Ya Allah. Terima kasih Allah.

Selepas itu, saya maklumkan kepada abahnya..Dia macam biasa, redha dengan ketentuan itu. Alhamdulillah. Cuba lagi. Sebenarnya saya cukup sebak ketika memberitahunya, tapi saya buat biasa sahaja. Hati seorang ibu katakan. Kalau anak menangis sakit perut, senang kita sapukan ubat. Tapi, melihat anak berjejer air mata..hati ibu ini tidak kuat Ya Allah.

Walau apapun, hidup kita masih panjang di depan sana..setiap hari adalah ujian buat kita. Mungkin malam tadi saya banyak terpengaruh dengan novel 'Jazirah Cinta' novel menarik dari seberang yang memberi kekuatan untuk saya hari ini.

Terima kasih buat kak da, kak mi, adik rah, adik bi, adik yuh, adik nur, ati, kawan-kawan semua yang sentiasa mengambil berat soal anak-anak. Sehingga ketemu lagi. Wassalam.

Selasa, Disember 15, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran iii

Salam keharmonian buat sahabat semua. Kiranya sudah lama saya menyepi dari mencatat di blog 'sedetik masa sejentik rasa' ini. Bukan tiada masa TAPI tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.

Malam tadi sekitar jam 10.00, saya dipanggil oleh seorang teman tapi mesra saya (nama biarlah dirahsiakan..yang pasti kaum serupa saya). Setelah kami bercakap sedikit sebanyak bertanya khabar begitu begini, tiba-tiba nada suaranya mengendur sedikit. Ada berita yang saya tidak sanggup untuk mendengarnya. Rupa-rupanya awal 2010 nanti, kebarangkalian beliau akan bertukar sekolah bakal menjadi kenyataan. Sungguh! Saya mati kata-kata. Saya harap ianya sekadar khabar angin. Semoga.

Sebenarnya, saya sudah nampak diri saya akan datang tanpa teman saya ini. Pertama, hilanglah tempat saya mengadu masalah. Keduanya, saya hilang tempat 'berlaga lutut'. Ketiga, saya patah sayap tempat saya menyalurkan kegembiraan atau beliau melahirkan keriangan. Keempat, tiada teman untuk saya 'berekel' ke kantin. Sama-sama memanjat tangga pejabat. Sama-sama menghambat murid-murid yang culas ke masjid. Entahlah. Bagi orang yang tiada apa-apa mereka tidak akan merasa apa-apa. Bagi kami yang berkawan, bersahabat kerana Allah SWT cukup terasa akan sebuah kehilangan.

Walaupun cikgu PK1 saya kata." ..bertemu dan berpisah adat manusia biasa..", bagi diri saya payah untuk saya menerima hakikat itu. Meskipun ianya pasti menjadi kenyataan.

Buat sahabatku, bersabarlah. Persahabatan kita pasti akan tetap teguh dan utuh kerana persahabatan ini terbina atas kebenaran wujud atas setiakawan. Sesungguhnya saya berbangga bersahabat denganmu..

Sekadar ini..ada juraian airmata mengiringi catatan ini. Wassalam. Selalulah kunjungi blog ini.
Wassalam.

Selasa, Disember 08, 2009

Sekolah Pulak Dah..

Salam mesra salam sayang. Nampaknya cuti-cuti Malaysia hampir berakhir. Pejam celik, celik pejam sudah hampir buka sekolah rupanya. Rasa macam baru semalam kita bersalam dengan rakan-rakan, dengan anak-anak murid tercinta, dengan papan kenyataan, dengan tukang sapu, dengan bas sekolah..tup-tup, sekolah sudah melambai-lambai.

Maka beginilah rutin seorang 'cikgu', 'ustazah' atau apa jua panggilannya. Cuti sekolah bermula kita bertungkus lumus menyiapkan markah murid-murid...bagi yang bertugas untuk 'negara' siap siaga pula menghadiri taklimat penyelarasan peperiksaan SPM bagi mp yang diajar. Dapat meningkatkan kemahiran diri, dan dapat juga 'duit poket' seriyal dua riyal (berbaloi dengan tugas). Siapa kata cikgu dapat bercuti sepenuhnya. Teringatlah saya lirik lagu 'Guru Malaysia'.. "Amanah yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan.."

M
inggu-minggu terakhir cuti cikgu sudah kembali ke alam persekolahan. Menyiapkan segala hal ehwal murid dalam segenap aspek, pendaftaran murid baru, murid lama, cikgu baru, cikgu lama, buku baru, buku lama..jangan buku lima sudah laa..

Apa-apa hal pun, sebagai guru berbahagialah menjadi guru. Kekanda (klik blognya) saya sering mengungkapkan kata-kata ini,"Kitalah guru yang teguh dihempas kepayahan menepis songsang laku menyiram pujuk menambah rasa ke hujung faham kitalah juga guru yang kadang terpinggir puji tersumpah tulah kerana sekali kaki terlanggar titah....

Justeru itu, selamat kembali ke alam persekolahan. Berhemahlah ketika berbelanja, berhati-hati ketika memandu, apa yang dulu didahulukan; untuk anak-anak pasti kita sanggup berhabisan. Tapi, ingatlah jasa ibu bapa. Belajar rajin-rajin. Belajar betul-betul!!

Sekian, jumpa lagi.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails