Ahad, April 18, 2010

Doa Buat Abang Mohamad Affandi Abdul Rahman

Wajah ceria Abang Nd di IJN..

Salam pertemuan. Tatkala saya selesai membasuh kain baju, menjemur kain baju, melipat kain baju maka saya meluangkan sedikit masa di 'sedetik masa sejentik rasa' buat merehatkan minda yang layu. Ahh, terasa segar dapat menekan kekunci komputer tua di sudut dapur rumah. Jauh dari bingit dan bising suara anak-anak yang sering sahaja 'bergaduh'. Emm, iyalah kalau tak tumpah kuah ke nasi ke mana lagi tumpahnya ia..? Macam Umi Jay dengan Umi Lah dulu. Macam Umi Jer dengan Umi Rah atau macam Umi Bie dengan Along Yoh.

Sebenarnya hati saya agak sayu malam ini. Rindu pula pada suara Abang Nd. Malam tadi tika mengiringi pemergiannya ke Institut Jantung Negara (IJN), macam ada butir-butir air ingin menitik dari kelopak mata. Namun terasa malu pula kalau menangis di saat keberangkatannya. Tapi, malam ini apabila melihat matanya di ruangan facebook kiriman x-student SMKKBnya di laman sesawang arjunaku tiba-tiba...mata itu tidak dapat menahan erti sedih dan rindu.
Abang Nd, adik-adik semua mendoakan agar Abang Nd sihat dan dijauhkan dari segala penyakit berbahaya. Setelah ayahanda meninggalkan kita, Abang Nd ialah pengganti arwah Pa yang kami jadikan rujukan. Mujurlah ada Abang Nd yang sentiasa mengimamkan solat maghrib setiap kali malam Jumaat ketika keluarga mengadakan tahlil yang masih belum hentinya sejak pemergian arwah Pa. Maka dengan itu, kami harap Abang Nd sihat seperti dulu. Cepat pulang dari IJN..
Sekian, jumpa lagi.

Sabtu, April 17, 2010

Salahuddin al-Ayubi

Salam. Entah kenapa terasa rindu pula menyebut nama pejuang yang satu ini yang melawat kamar hati pada cuti Sabtu ini. Adakah anda kenal siapa Salahuddin al-Ayyubi ?

Salahuddin al-ayubi (bahasa Arab: صلاح الدين الأيوبي / Ṣalāḥ al-Dīn al-Ayyubīy‎, bahasa Kurd: سه‌لاحه ‌دينێ ئه ‌يووبى / Silhedînê Eyûbî, bahasa Parsi: صلاح الدین ایوبی, bahasa Turki: Selahaddin Eyyubi) atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria. Di Barat beliau dikenali sebagai Saladin. Dia juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesatriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.

Hayati kisahnya melalui bait-bait ini:

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara
Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

Pernah kembara bagai pelarian
Akhri bertakhta penuh kemuliaan
Berkurung dendam demi keamanan
Bergemalah bumi Anbia
Takbir kemenangan
Menjulang iman hapus kemungkaran

Walaupun seisi dunia
Melutut di tapak kakimu
Tetapi kau pergi tanpa sisanya untuk
Diwarisi Salahuddin al-ayubi
Quran Hadith terpasak di kalbumu
Syair puisi pelembut rasamu
Tinta senjata lakaran mindamu
Darah juga airmatamu
Dakwat yang mewarna
Lembaran agung insan terulung

Jasamu Salahuddin
Bagai kasturi mewangi
Harumannya melewati
Baitul Maqdis yang suci
Walaupun jasadmu tiada
Semangatmu tetap menyala
Kekal menjadi aspirasi
Mujahid kini dan selamanya

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara
Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah
Kaulah satria, kaulah perwira
Fisabilillah
Salam mujahadah.


Rabu, April 14, 2010

Guru Sebenar Gurukah Kita?

Salam cikgu, ustaz, ustazah... Setelah agak lama juga bergelumang sebagai 'guru' akhir-akhir ini semacam ada epidemik yang kurang cantik melanda segelintir kita sehingga mencalar permukaan 'cikgu' yang sekian lama dipandang mulia.
Ada yang lebih suka melihat orang lain jatuh dan tersungkur, bukan membantu untuk memartabatkan 'cikgu'. Ada yang suka kata mengata. Masya Allah. Beginikah nilai murni kita yang saban hari mengajar anak didik perkara mulia dan terpuji. Ada yang suka membangga diri. Bangga anak sendiri. Bangga harta kekayaan..tetapi sudah berapa ramai anak miskin yang dihulur sumbangan? Ingatlah, kita ini guru yang berhempas pulas melihat seorang manusia menjadi insan. Fikir-fikirkanlah aduhai guru. Mungkin perkara di bawah boleh dilihat secara positif dari membicarakan hal-hal yang tidak berkaitan dengan kita:..
1. Profesion guru adalah satu proses mengambil pengalaman daripada orang lain.
2. Proses menjadi seorang profesyen guru memerlukan masa yang lama. Seseorang guru akan lebih berwibawa apabila ia mempunyai pengalaman yang banyak.
3. Memahami konsep perguruan. Konsep yang difahami, dikaji dan diselidiki boleh menyebabkan guru baru lebih menonjol berbanding guru lama.
4. Menggunakan alat-alat teknologi baru.
5. Memperbaiki kelemahan yang pernah dilakukan ketika mengajar. Setiap guru perlulah mempunyai cara tersendiri mengatasi kelemahan penyampaian yang dilakukan.
6. Berkongsi pengalaman dengan guru-guru lama.
7. Menyertai aktiviti-aktiviti luar, antaranya bertukar-tukar pandangan dengan guru-guru daripada sekolah atau institusi lain.
Terima kasih cikgu.

Kikislah Sifat Ego Dalam Diri

Salam takzim. Manusia diciptakan sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Setiap manusia di atas muka bumi ini berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu kita hidup di bumi ini perlu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ibaratkanlah hidup kita sebagai batu-bata untuk membina rumah. Sekiranya kurang satu batu-batu itu, maka tidak lengkaplah rumah yang ingin dibina.

Sekiranya seseorang manusia diuji dengan ilmu dan kepandaian, janganlah menganggap hanya dirinya hebat, kita perlulah melihat ke bawah juga. Kadangkala kehebatan dan kepandaian boleh merosakkan iman seseorang. Akibat sifat bangga, takbur dan ego pada diri sendiri, boleh merosakkan keimanan seseorang. Nau`zubillah...

Sekiranya kita amati dan hayati, Islam menyuruh kita mempelajari ilmu akhlak terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Ingat! Ketika Rasulullah s.a.w dibangkitkan sebagai utusan Allah perkara asas baginda lakukan ialah akhlaq selain perkara aqidah. Hal ini amat praktikal, iaitu terjadi apabila seseorang itu, telah menguasai ilmu akhlaq, maka dengan mudah baginya menguasai diri dan memandu kehidupannya. Maka hendaklah kita nilai diri kita terlebih dahulu, adakah kita telah menguasai ilmu akhlaq? Atau masih lagi tidak mengetahui asal usul ilmu tersebut.
Apalah yang ada pada ilmu sekiranya tidak disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah ta`ala. Sikap ego dan bangga diri akan lahir apabila melihat diri sendiri hebat dari orang lain. Kehebatan diri jauh lebih baik dari orang lain. Melihat kekurangan yang ada pada diri orang lain sambil mentertawakan orang itu. Begitu juga melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami orang lain. Oleh itu cara terbaik mengelakkan diri daripada sifat ego dan membangga diri ialah dengan selalu mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Beristighfar dengan memikirkan kesilapan yang dilakukan dan bertaubat dengan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. Sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantulah insan yang memerlukan bantuan dengan berlapang dada, tanpa disuruh dan tanpa diumumkan. Itu lebih baik di sisi Allah swt.
Sekian, sekadar mengingat diri sendiri..

Jumaat, April 09, 2010

Apabila Sudah Rindu...






Anakanda dan warga aspuri shams
Salam Jumaat. Hari yang penuh barakah, dilimpahi rahmat dan saiyyidul ayyam. Alhamdulillah, saya masih bernafas hari ini. Saya masih dapat mandi sendiri sebelum oranh lain mandikan saya. Saya dapat bersolat sendiri sebelum orang lain solatkan untuk saya. Dan..saya dapat berjalan sendiri sebelum orang lain mengusung saya. Iya, saya masih hidup. Makanya saya perlu teruskan kehidupan ini dengan aturan yang sebaik mungkin. Insya Allah.

Selepas berbincang dengan arjuna, kami sepakat sebelum solat Jumaat berangkat ke Kuala Terengganu buat menjengah anakanda Nuzul Badree yang sudah 3 minggu tidak berkesempatan pulang ke rumah. Minggu lepas anakanda dilantik sebagai fasilitator KRIS (Kem Remaja Islam) sekolahnya. Minggu ini dia bersekolah pada Sabtu sebagai gantian raya. Minggu depan katanya mengikuti Kursus Kepimpinan Pengawas SHAMS. Sedih pula apabila terpaksa berpisah lama tidak melihat anak di depan mata. Walaupun tahu bahawa kerja buatnya amat murni dan terpuji. Kak, Allah tahu mama amat rindukan kakak.

Sesampai di Batu Rakit, suami dan Hariz solat Jumaat. Kami berempat ambil kesempatan menjamah keropok lekor goreng di warung sebelum masjid. Jangan jeles! Sesudah itu, kami terus sambung perjalanan. Nampaknya awal-awal lagi saya kena 'drive', drebar 1 mengantuk. Alahai, apabila sudah berumur.
Lebih kurang jam 2.45 petang, kami sampai di SHAMS. Saya dan anak-anak perempuan terus menuju ke Masjid SHAMS untuk solat Zuhur. Alhamdulillah, masih dapat menunaikan hak Allah yang amat besar ini. Kami naik ke tingkat dua masjid. Suasana agak tenang dan damai. Di sudut kanan masjid ada 2-3 budak mengaji al-Qur'an. Di saf yang paling depan ada dua orang warga asrama sedang solat berjemaah. Saya menghampar sejadah di sebelah kiri imamah. Masya Allah, rupa-rupanya anakanda Nuzul Badree yang mengimamkan solat bersama teman sebiliknya Addini. Entah kenapa hati begitu sayu berjumpa anak dalam situasi begitu. Kami berpeluk seketika. Saya kira, itu sesuatu yang amat patut dilakukan. Pelukan mesra dan tanda kasih sayang tulus ikhlas antara anak ibu, anak bapa.
Kami kemudiannya ajak kakak keluar sekejap. Anak-anak semuanya nak pergi Mydin Mall. Tak apalah, kita ikut pendapat anak. Orang ramai berbondong-bondong memenuhi setiap ruang hari cuti seperti ini. Semua mengambil peluang cari keperluan di tempat yang harganya amat berpatutan. Di kampung kita pun belum tentu harga barang serendah Mydin. Kesian pula pada orang kampung. Rakyat marhaen yang susah untuk ke mana-mana terpaksa percaya pada harga di kedai-kedai kampung dan supermarket bangsa Cina.

Tatkala jarum jam menunjuk ke angka 6.00 petang, maka saya kira kami perlu bersayonara seketika. Ada umur jumpa lagi...harapan kami kepada anak-anak, berusahalah sedaya mungkin kerana peluang mungkin datang hanya sekali. Orang tua dihormati, kanak-kanak disayangi.
Sekian, jumpa lagi.الى اللقاء.


Rabu, April 07, 2010

Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara

Salam. Sebenarnya hari ini ada peristiwa penting bagi akhawat Pendidikan Islam Daerah Besut iaitu Majlis Tadarus al-Qur'an peringkat zon. Sekolah saya menjadi pusat dan pengerusi zon 1. Bersama-sama kami ialah Imtiaz, SMA Maarif (tahun ini baru jadi ahli), SMK Nasiruddin Shah dan SMK Tengku Mahmud II. Syabas kepada sekolah-sekolah berkenaan kerana sanggup masuk meskipun saingan zon ini agak kuat dan 'mantop'.

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Tiada tumbuk menumbuk..Namun, seperti biasalah akan timbul sedikit perasaan tidak puas hati atas hal-hal yang mungkin remeh. Saya melihat acara majlis hafazan agak mencabar antara Imtiaz dan sekolah tuan rumah. Bagi saya yang kurang pandai ini merasakan sekolah saya bagus juga kalau dapat masuk inter daerah. Masalahnya, ada orang yang lebih melihat Imtiaz sebagai calon yang sepatutnya. Kesian Zul Arif, sudah 4 tahun beliau mewakili sekolah tapi nasib belum menyebelahi beliau.

Satu peristiwa lagi, oleh kerana hakim dalam setiap kategori semuanya 'bidan terjun' maka dalam hafazan kami memilih seorang ustaz muda sebagai fatih munabbih. Tak silap namanya Zul Izzi. Seusai majlis beliau semacam teragak-agak ingin bertanya sesuatu. Rupa-rupanya beliau adalah bekas murid saya di SMKA Nurul Ittifaq 1995 dulu. Yang saya 'terkilan' ialah beliau hampir-hampir tidak mengenali saya kerana sangkanya saya adalah adik 'ustazah psi'nya dulu. Rupa-rupanya memang betul inilah ustazahnya. Ustazahnya yang sudah dimamah usia. Tapi, ada ke patut dia kata saya masih tidak berubah seperti 15 tahun dulu. Masya Allah..inilah yang saya rasa geram. Maklumlah saya sudah masuk usia perak, dia kata masih 'maintain'. Subhanallah.
Walau bagaimanapun saya bukan orang yang mudah termakan kata-kata pujian.. Saya akan selalu ingat 5 perkara. Apa itu? Berbicara tentang Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara tentu umum sudah tahu perkara tersebut.
1. Sihat sebelum sakit
2. Muda sebelum tua
3. Kaya sebelum miskin
4. Lapang sebelum sempit
5. Hidup sebelum mati.
Sebagai Khalifah di bumi Allah ini saya sekadar mengingati kepada anda di luar sana dan tentunya kepada diri saya sendiri. Salam peringatan. ***Saya baru saja sampai dari Kota Bharu menziarahi abang ipar di Hospital Pakar Perdana. Semoga cepat sembuh.

Khamis, April 01, 2010

99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman

Salam. Sama-sama kita menghayati 99 langkah menuju kesempurnaan iman. Mungkin banyak lagi tapi cukuplah sekadar ini dulu buat permulaan...Antaranya:

1. Bersyukur apabila mendapat nikmat;
2. Sabar apabila mendapat kesulitan;
3. Tawakal apabila mempunyai rencana/ rancangan;
4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;
5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;
6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;
7. Jangan berputus asa dalam menghadapi kesulitan;
8. Jangan usil dengan kekayaan orang;
9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang;
10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan;
11. Jangan tamak kepada harta;
12. Jangan terlalu menghendaki akan sesuatu kedudukan;
13. Jangan hancur karena kezaliman;
14. Jangan goyah karena fitnah;
15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;
17. Jangan sakiti ayah dan ibu;
18. Jangan usir orang yang meminta-minta;
19. Jangan sakiti anak yatim;
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;
21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);
3. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk;
24. Lakukan solat fardhu pada awal waktu, berjamaah di masjid;
25. Biasakan solat malam;
26. Perbanyak zikir dan doa kepada Allah;
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;
28. Sayangi dan santuni fakir miskin;
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;
30. Jangan marah berlebih-lebihan;
31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;
32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;
33. Berlatihlah untuk banyak berfikir;
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila karena sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/ syaitan;
36. Jangan percaya ramalan manusia;
37. Jangan terlampau takut miskin;
38. Hormatilah setiap orang;
39. Jangan terlampau takut kepada manusia;
40. Jangan sombong, takbur dan besar kepala;
41. Berlakulah adil dalam segala urusan;
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;
43. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala;
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;
45. Perbanyakkan silaturrahim;
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;
47. Bicaralah secukupnya;
48. Beristeri/ bersuami kalau sudah siap segala-galanya;
49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;
51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;
53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;
54. Hormatilah kepada guru dan ulama;
55. Sering-sering bersalawat kepada nabi;
56. Cintai keluarga Nabi saw;
57. Jangan terlalu banyak hutang;
58. Jangan terlampau mudah berjanji;
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;
60. Jauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bercakap-cakap ang tidak berguna;
61. Bergaullah dengan orang-orang soleh;
62. Sering bangun pada penghujung malam, berdoa dan beristighfar;
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepadakita;
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi;
66. Jangan membenci seseorang karena fahaman dan pendiriannya;
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.
70. Jangan melukai hati orang lain;
71. Jangan membiasakan berkata dusta;
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76. Jangan membuka aib orang lain;
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya daripada kita;
78. Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;
79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;
80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong kerana kaya;
81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;
85. Hargai kejayaan dan pemberian orang;
86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.
88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kemamapuan diri kita;
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan jasmani atau fikiran kita menjadi terganggu;
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;
91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita;
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;
93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya;
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang (pastikan aurat) dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan;
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang di luar kemampuan diri;
97. Waspadalah dengan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari daripada kenyataan kehidupan;
98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan;
99. Jangan berjaya atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

Semoga dapat kita hayati dan amalkan dalam hidup kita yang sebentar ini..

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails