Ahad, Mei 16, 2010

Hari Ini Hari Guru



Salam buat warga pendidik, murabbi, muaddib, ustaz, ustazah, mu'allim, cikgu, 'cikgi' seantero Malaysia. Mari kita bergebang seketika akan halnya hari kita hari ini. 16 Mei, tarikh keramat buat guru Malaysia.

Oklah..tidak perlulah saya kupas satu persatu alkisah hari ini yang pastinya hari guru sudah selesai. Terima kasih buat anak-anak murid yang mengucapkan salam hari guru jua seorang dua yang memberi hadiah. Apa yang penting bukan hadiah yang didambakan. Cukuplah kalian aduhai anak-anak muridku menghargai ilmu yang dicurahkan guru. Lebih-lebih lagi mp Pendidikan Islam ini, ianya bukan sekadar ilmu tapi lebih dari itu..AMAL.AMAL DAN AMAL.

Sekian dulu catatan saya. Masih teringat sms terakhir ayahanda Haji Muhammad Abdullah lewat hari guru 2006 .."Jadilah guru yang mursyid nabi"..Masya Allah, Subhanallah, Alhamdulillah terima kasih ayahanda. Ya Allah, Kau lapangkanlah kuburnya. Tempatkanlah dia dalam kalangan hambaMu yang beriman dan bertaqwa. Amin.

Wassalam.

Jumaat, Mei 14, 2010

Selamat Hari Cikgu 2010

Assalamu'alaikum cikgu. Tinggal 24 jam lagi kita semua warga pendidik akan menyambut hari guru 2010. Masih tema yang sama dengan 2009, 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Memang setiap kali menyambut hari guru saya selalu merasa sayu dan hiba. Sayu kerana amat berbangga menjadi guru. Begitu juga setiap kali menyanyi lagu 'Guru Malaysia'..hampir setiap tahun saya gagal menghabiskan lagu itu kerana lagu saya bercampur dengan air mata terutama pada kalimat..."amanah yang diberi, kami tak persiakan.. apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan"..

Hiba pula bukan kerana apa tetapi hiba apabila teringatkan sejarah keluarga guru Haji Muhammad yang pernah tersiar dalam akhbar arus perdana tanggal 16 Mei 2006. Sebulan setelah gambar ayahanda Haji Muhammad Abdullah dan 15 keluarga guru terpampang di muka depan akhbar, ayahanda dipanggil Pencipta Agung menghadapNya demi kelangsungan sebuah perjalanan hidup manusia yang serba tidak kekal di dunia yang fana' ini. Alfatihah Pa..

Justeru itu hidup bagi yang hidup tetap diteruskan. Maka berbahagialah aduhai guru kerana kita diciptakan untuk menjadi guru di atas muka bumi ini. Guru yang bukan setakat mengajar ABC, alif ba ta, +-x/..bahkan lebih dari itu. Justeru itu, hargailah guru-guru anda (buat pelajar) dan guru-guru kita dahulu. Apa khabar cikgu-cikgu saya. Saya harap cikgu masih sihat walaupun ramai yang sudah meninggalkan dunia guru (pencen..atau meninggal..), dan cikgu sentiasa dilimpahkan kebahagiaan dan ketenangan jiwa mengharungi dunia yang kian mencabar ini. Maafkan saya cikgu kerana semasa saya menjadi anak murid kepada cikgu dulu 1975-1987 saya tidak dapat memberi hadiah berharga melainkan kad-kad ucapan buatan sendiri atau sekadar sebatang pen merah 'reynold' berharga 25sen agar cikgu mudah menyemak kerja buat kami.

Bukan seperti zaman sekarang, murid-murid kita lebih kaya dari cikgu sebab mereka anak peguam, anak doktor, anak pensyarah, anak Yang Berhormat, anak Pengarah..kita dulu apalah sangat. Rata-rata kawan saya adalah anak petani, peneroka, penternak 5 ekor ayam.. kalau kaya sikit pun anak Tok Penggawa sebab dapat duduk quarters kerajaan. Telefon bimbit mereka lebih canggih dari cikgu..Laptop mereka lebih hebat dari cikgu..itu sebab bila mereka berjaya dengan penuh gemilang mereka mudah berkata,"kejayaan saya ini kerana usaha saya, solat hajat saya dan ibu bapa saya". Tetapi, bila mereka kurang menyerlah dalam peperiksaan, mereka mudah berkata.."sebab cikgu tak berapa cakna dan tak cari dia masa dia ponteng". Alahai....

Hadiah untuk guru? Nanti saya fikir-fikirkan sejenak.. mungkin yang ini:

pen berjenama..
atau yang ini?
jam tangan bonia..
atau yang ini??

gelang emas habib jewels

Hakikatnya setiap tahun saya merasa bangga kerana sentiasa diberikan oleh murid-murid saya hadiah istimewa seperti di bawah buat mengesat air mata ketika suka mahupun duka atau peluh tatkala memanjat tangga-tangga kelas di tingkat 3 atau 4.

Justeru itu berbahagialah menjadi guru. GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi). Walaupun tiada emas permata atau tinta emas yang kita peroleh bersyukurlah kerana kita berjaya melahirkan manusia ternama di dunia ini.

Sekian, wassalam. Jumpa lagi dalam coretan dan catatan akan datang.

SELAMAT HARI GURU!

Sabtu, Mei 08, 2010

Doa Buat Ibu

Salam buat semua insan yang bergelar ibu..ummi, mak, mama, mami, mamu atau apa jua gelarannya selagi difahami dan dimaknai sebagai bonda. Bagi saya, tiada yang lebih bermakna dari mendapat gugusan doa dan rantaian harapan dari anak-anak tercinta sempena hari ibu. Doakanlah buatku, anak-anakku:
Ya Allah, rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah, berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
atas didikan mereka padaku dan Pahala yang besar
atas kesayangan yang Mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka Sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah, apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita karena aku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
jadikanlah itu semua penyebab runtuhnya dosa-dosa mereka,
meningginya kedudukan mereka dan bertambahnya pahala kebaikan mereka
dengan perkenan-Mu, ya Allah
sebab hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah, bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu
di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu.

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir
dan Engkaulah yang Maha Pengasih Di antara semua pengasih.

Semoga semua sekalian anak memahami perasaan seorang ibu ini. Jumpa lagi...

Khamis, Mei 06, 2010

Saiyyid Jamaluddin al-Afghani


Saiyyid Jamaluddin al-Afghani..Tokoh Islah Islam
السلام عليكم , salam sejahtera semua.. Hari ini, jam 7.40-9.00 pagi saya di kelas 5J di blok berhampiran kantin. Selepas memulakan ucapan hamdalah dan salawat salam ke atas junjungan besar Nabi s.a.w, saya menunjukkan gambar yang tertera di atas kepada 23 murid.

Saya kata," ok, awak semua pernah lihat tak gambar ini?..seorang jejaka tampan, smart, bermisai dan berjambang...tambahan dan 'berbulu dada' (saja nak ceriakan pagi sikit)"..
Murid-murid kata:" Muhammad Ali, ustazah..", ada kata,"Mufti Mesir Ustazah"...,"Ayah Shah Rukh Khan agaknya.."(ngarut doh ni, kalau ada polis peronda lalu nahas jugak ni..)
Saya kata,"Cukup..cukup, bahagian makan ikan kerapu memang boleh beri pada awak. Ini ialah Sayyid Jamaluddin al-afghani, tokoh Islah terkenal. Hari ini kita akan mengupas tokoh ini sehingga ke akar umbi. Insya Allah"

Maka, kelas berjalan lancar dan harmoni. Memang sejak dulu kini dan selamanya saya memang berminat mengajar dan menggali lebih dalam lagi mengenai tokoh. Saya selalu ingatkan diri saya dan jua anak-anak murid saya betapa hebatnya tokoh-tokoh Islam zaman silam. Jadi, kebetulan hari ini memang jadual kelas saya agak 'untung', saya suka sebab lebih banyak masa saya mencari makna ketokohan lewat kecanggihan IT yang kita lalui ini. Amin.

Sila rujuk tokoh ini melalui blog rausyanfikr atau wikipedia.

Jumpa lagi. Buat pelajar semua, kita kupas nanti Muhammad Abduh dan HAMKA.

Isnin, Mei 03, 2010

Ayuh Solat Di Masjid

Salam. Demikian banyak dan indah nian masjid di negara kita ini, tapi berapa kerat yang menghuni dan mendiami rumah Allah swt buat menyempurnakan ibadat fardu. Sungguh, saya kira banyak hadis yang menyarankan kita terutama golongan lelaki memenuhi ruang rumah Allah swt yang melata di atas muka bumi.

GambarMasjid Kristal, Pulau Wan Man,Kuala Terengganu...indah, bukan?

Justeru itu, saya ingatkan kepada umat Islam (terutama kaum Adam) marilah kita sama-sama imarahkan masjid kerana pahalanya teramatlah besar. Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syar'i, sebagaimana sabda baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA bermaksud:

“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat)."

Ada 3 golongan yang sembahyang berjemaah di masjid yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab:

1. Golongan pertama ialah orang yang ketika azan berbunyi dia sudah berada di dalam masjid (menunggu azan di masjid).
2. Golongan kedua ialah orang yang berada dalam perjalanan ke masjid ketika azan dikumandangkan.
3. Golongan ketiga pula ialah orang yang bergegas keluar dari rumahnya setelah mendengar azan menuju ke masjid tempat azan dikumandangkan.
Sekian, sekadar tazkirah dari saya insan biasa yang cukup lemah di sisiNya.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails