Rabu, Disember 31, 2008

Selamat Bermujahadah Buat Semua

Alhamdulillah, nampaknya tinggal 3 hari sahaja lagi kita semua akan kembali seperti sediakala iaitu musim kembali ke sekolah tahun 2009. Semalam 30.12.2008 keputusan PMR diumumkan di seluruh negara. Kita lihat wajah-wajah gembira, tenang, resah, gelisah, sugul setelah keputusan berada di genggaman. Bagi yang cemerlang (8A atau 9A) gembiralah agaknya. Bagi yang tidak mencapai hasrat..ada yang berendam air mata. Begitulah hidup di dunia ini. Sebenarnya, perjalanan hidup kita masih panjang. Setiap masa adalah perjuangan. Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Setiap pengorbanan memerlukan keikhlasan. Mungkin hari ini kita tidak dapat apa yang kita hajati..bukan bermakna kita akan gagal selama-lamanya dan mesti bermuram durja.

Insan yang berjaya dengan cemerlang, sudahkah anda melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran (terima kasih) di atas nikmat yang Allah s.w.t berikan?? Ramai murid yang berjaya, tetapi kekadang mereka terlupa sujud kepada Allah s.w.t.

Dalam hal ini, terdapat hadis Nabi s.a.w bermaksud:

" Dari Abi Bakrah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w apabila telah datang kepadanya sesuatu urusan yang menyenangkannya, atau ia gembira kerana sesuatu, lalu ia sujud menekurkan ke tanah sebagai berterimakasih kepada Allah ta'ala".

Sujud syukur ini hanya dilakukan di luar sembahyang kerana ia tidak berhubungan dengan soal sembahyang. Syaratnya sama seperti sujud tilawah iaitu:1. Suci dari segala najis di badan, pakaian dan tempat.2. Menutup aurat3. Menghadap kiblat. Rukunnya pula ialah :1. Berniat untuk sujud syukur2. Membaca takbiratul ihram, ketika sujud 3. Satu kali sujud4. Memberi salam sesudah duduk.
Semoga kehadiran 1430H/2009M akan lebih mendewasakan kita di dunia yang penuh pancaroba ini.

Ahad, Disember 28, 2008

Azam Tahun Baru 1430H

Sebagai ANAK,
Saya harap saya adalah anak terbaik buat ma dan arwah pa tercinta.

Sebagai PEREMPUAN dan ISTERI ,
Saya harap saya adalah :

1. Wanita teladan & isteri solehah yang sentiasa mendahulukan kemahuan dan keinginan suaminya dari kemahuan dan kehendaknya sendiri.

2. Wanita teladan & isteri solehah yang sentiasa bersikap malu terhadap suami, bersopan santun pada setiap perkataan dan perbuatan.

3. Wanita teladan & isteri solehah yang sentiasa berhias diri bila di hadapan suami dan sebaliknya apabila ketiadaan suami.

4. Wanita teladan & isteri solehah yang sentiasa bersedia melayani dan memenuhi kehemdak batiniah dan zahiriah suami bila diperlukan.

Saya harap saya adalah seorang yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu:

"Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain." – (Riwayat Al Tausi)

Anda pula bagaimana??

Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 Hijriah

Assalamualaikum.

Biarlah orang lain galak menyambut kedatangan tahun baru 2009, tapi bagi kita umat Muhammad s.a.w tahun hijriah ini merupakan detik sejarah yang amat bermakna dalam diari umat Islam. Kalaulah tiada 'hijrah' yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t mungkin kita tidak dalam keadaan ini pada hari ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama membaca dan menghayati doa akhir dan awal tahun.

Selepas Maghrib pula, kita sama-sama menghayati doa awal tahun.

Sebenarnya Rasulullah tak sambut tahun baru tapi tak salah kalau kita ambil peluang untuk muhasabah diri dan berdoa kepada Allah. Tahun Hijrah ini idea Saidina Umar Al Khatab. Dia memanggil sahabat untuk berbincang tentang tahun untuk umat Islam. Ada cadangan supaya tarikh lahir Rasulullah diambil sebagai tahun Islam, ditolak oleh Saidina Ali kerana serupa dengan kaum Nasrani yang mengambil tarikh lahir Nabi Isa. Di sini keprihatinan sahabat cukup terserlah yang tidak mahu serupa dengan Nasrani. Kemudian ada cadangan tahun nabi diangkat menjadi Rasul. Cadangan ditolak oleh Saidina Usman kerana Islam bukan hanya agama untuk nabi Muhammad saw, tapi rasulullah hanya menyampaikan. Akhir sekali cadangan diterima iaitu mengambil tahun Rasulullah s.a.w berhijrah dari Makkah ke Madinah. Maka bermulalah tahun Hijrah. Hijrah merupakan peristiwa significant, kerana 10 tahun di Makkah hanya lebih kurang 200 orang masuk Islam. Selepas Hijrah, Islam menjadi kuat seramai 400,000 dalam 13 tahun. Maka marilah kita menghayati pengorbanan Rasulullah dan para Sahabat menyebarkan Islam dan bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai Islam.

Apakah azam tahun baru anda??
Wassalam.

Selasa, Disember 23, 2008

Salam Percutian Yang Penuh Makna

Salam semua.

Sebenarnya lama sungguh saya tidak menjengah 'rumah sedetik masa sejentik rasa' saya ini. Rindu sangat. Sepanjang cuti persekolahan ini banyak peristiwa suka duka, manis masam, dan banyak lagi yang berlaku. Tapi, tidak perlulah saya perincikan. Cukuplah saya katakan bahawa cuti sekolah ni banyak mengajar erti ketabahan melayan karenah putera puteri di rumah.

Saya ingat, cuti sekolah ini biarlah dapat 'mengajar' anak dara saya goreng ikan atau buat 'singgang ikang' TAPI sebaliknya saya yang digoreng dan disinggang selalu. Nak buat macamana..

Saya ingat, cuti sekolah ni biarlah dapat tunjukcara lebih dekat 'cara-cara menyambut tetamu'.. sekurang-kurangnya anak dara saya boleh buat teh sekole atau menggoreng keropok lekor, TAPI walhasilnya saya yang jadi kole dan jadi keropok lekor...mmm

Saya ingat, cuti sekolah ni biarlah anak-anak saya dapat hafaz ayat-ayat lazim sekurang-kurangnya juzuk 30..TAPI, mereka nampaknya lebih dulu berguru dengan televisyen yang lebih hebat pengajarannya (alhamdulillah, mereka sudah dapat menghafaz 30 lagu rock atau balada atau poprock...) Bertuahnya saya??

Saya ingat, cuti sekolah ni biarlah anak-anak saya melentikkan jari jemari dengan unsur-unsur kesenian melipat kain baju yang bertimbun siang malam..TAPI sampai lentik tulang belakang saya menghabiskan waktu senggang saya melipat baju seluar mereka (termasuk anak baju). Alahai...

Saya ingat, cuti sekolah ni saya dapat jadi 'permaisuri' di hati anak..tapi rupanya saya jadi macam 'ibu tiri', pagi-pagi lagi siaran radio HOT FM saya sudah beroperasi.Kalimat pertama tentulah "bangun..bangun..subuh dah nak lari", lepas tu tentulah kalimat , "jemur kain weh..buka tingkap yo..basuh pinggan deh.." Saya hanya perlu buat rakaman sahaja untuk tempoh masa 52 hari kita bercuti (akhirnya, saya juga yang kena buat..)

Saya ingat, saya masih belum mampu memanusiakan erti kemanusiaan dan kehidupan bermakna untuk anak-anak saya. Semoga Allah Taala membuka pintu hati dan pintu rezeki buat anak-anak tercinta akan erti sebuah kehidupan yang hanya sementara di dunia ini.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails