Rabu, Disember 30, 2009

Sunyinya Tanpa Teman

Salam bahagia. Saya kira catatan saya ini mungkin ringkas sahaja sekadar meluahkan perasaan yang terasa begitu asing menjelang 2010. Kenapa saya? Pagi tadi sekitar jam 8.30, satu mesyuarat biasa bagi warga kerja menjelang tahun baru, sesi baru.. saya juga tidak terkecuali sama-sama menadah telinga mendengar ucap bicara sang pentadbir. TAPI, di sudut hati ada sesuatu yang terasa hilang dan sepi. Sesungguhnya saya sunyi. Begitu saya ditegur ramai kenalan ke mana menghilangnya 'kamcing' saya? Sedih pula rasa hati. Berdukalah aduhai hati. Semoga akan ada sirna jua suatu hari nanti. SEMOGA. Selamat bertugas di tempat baru wahai sahabatku Ustazah Nor Azimah binti Mohd. Zin di SMK Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu. Sahabatmu ini pasti merinduimu.

Sayonara 2009!

Khamis, Disember 24, 2009

Jazirah Cinta Vs PMR 2009

Salam kebahagiaan buat anak-anak PMR yang tersenyum keriangan setelah menggenggam 9A atau 8A dalam tangan tatkala keputusan hari ini. Tahniah. Dan, jangan bersedih sekiranya impian terlerai di tasik layu kerana tidak mendapat 9A @ 8A.

Malam tadi, saya seperti tidak dapat melelapkan mata. Pertamanya kerana dada berdebar menunggu keputusan PMR hari ini. Keduanya, teman sebilik mengikuti lawatan sekolahnya ke Johor Bahru...jadi, tiada teman mengadu hal seketika. Dalam hati dup dap dup dap, apakah petanda itu? 2-3 kali saya menjenguk pintu, tingkap rasa macam berdebar. Akhirnya tertidur dengan bibir terkumat kamit menyebut namaMu Ya Allah..Bismillahi tawakkaltu alallah.. peliharalah kami Ya Allah.

Di ketika azan subuh mendayu-dayu, saya terjaga dari lena yang singkat. Bangun menghambakan diri kepadaNya. Berdoa dan terus berdoa agar apa jua yang akan berlaku hari ini saya dapat lalui dengan tabah dan yakin.

Tepat jam 10.45 pagi, saya sampai di dewan SHAMS Kuala Terengganu untuk mengetahui result anakanda tersayang. Dari kejauhan, saya seakan dapat melihat kakak agak redup. Rupa-rupanya benar tekaan saya. Anakanda hanya mendapat 7A 2B (Bahasa Inggeris & Bahasa Arab) dalam PMR. Saya terus memeluk anak yang menangis hiba. Saya terkesima. Memang bukan itu impian kakak. Tapi, Allah SWT mentaqdirkan begitu. Pada tarikh 24.12.2009 hamba yang bernama fulan binti fulan dapat begitu, begini. Masya Allah! Saya sebenarnya sebak di dalam hati. Mana mungkin ibu ini menunjukkan sedihnya pada anak. Saya cakap pada dia, .."tahniah, kakak dapat 7A..Allah beri tanda awal agar kita beringat lagi pada masa akan datang..". Ya Allah, saya tidak tahu dari mana kekuatan ini datang. Saya tahu dia sudah berjuang mengikut kemampuannya. Saya redha. Syukur ya Allah. Syukran Ya Allah. Terima kasih Allah.

Selepas itu, saya maklumkan kepada abahnya..Dia macam biasa, redha dengan ketentuan itu. Alhamdulillah. Cuba lagi. Sebenarnya saya cukup sebak ketika memberitahunya, tapi saya buat biasa sahaja. Hati seorang ibu katakan. Kalau anak menangis sakit perut, senang kita sapukan ubat. Tapi, melihat anak berjejer air mata..hati ibu ini tidak kuat Ya Allah.

Walau apapun, hidup kita masih panjang di depan sana..setiap hari adalah ujian buat kita. Mungkin malam tadi saya banyak terpengaruh dengan novel 'Jazirah Cinta' novel menarik dari seberang yang memberi kekuatan untuk saya hari ini.

Terima kasih buat kak da, kak mi, adik rah, adik bi, adik yuh, adik nur, ati, kawan-kawan semua yang sentiasa mengambil berat soal anak-anak. Sehingga ketemu lagi. Wassalam.

Selasa, Disember 15, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran iii

Salam keharmonian buat sahabat semua. Kiranya sudah lama saya menyepi dari mencatat di blog 'sedetik masa sejentik rasa' ini. Bukan tiada masa TAPI tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.

Malam tadi sekitar jam 10.00, saya dipanggil oleh seorang teman tapi mesra saya (nama biarlah dirahsiakan..yang pasti kaum serupa saya). Setelah kami bercakap sedikit sebanyak bertanya khabar begitu begini, tiba-tiba nada suaranya mengendur sedikit. Ada berita yang saya tidak sanggup untuk mendengarnya. Rupa-rupanya awal 2010 nanti, kebarangkalian beliau akan bertukar sekolah bakal menjadi kenyataan. Sungguh! Saya mati kata-kata. Saya harap ianya sekadar khabar angin. Semoga.

Sebenarnya, saya sudah nampak diri saya akan datang tanpa teman saya ini. Pertama, hilanglah tempat saya mengadu masalah. Keduanya, saya hilang tempat 'berlaga lutut'. Ketiga, saya patah sayap tempat saya menyalurkan kegembiraan atau beliau melahirkan keriangan. Keempat, tiada teman untuk saya 'berekel' ke kantin. Sama-sama memanjat tangga pejabat. Sama-sama menghambat murid-murid yang culas ke masjid. Entahlah. Bagi orang yang tiada apa-apa mereka tidak akan merasa apa-apa. Bagi kami yang berkawan, bersahabat kerana Allah SWT cukup terasa akan sebuah kehilangan.

Walaupun cikgu PK1 saya kata." ..bertemu dan berpisah adat manusia biasa..", bagi diri saya payah untuk saya menerima hakikat itu. Meskipun ianya pasti menjadi kenyataan.

Buat sahabatku, bersabarlah. Persahabatan kita pasti akan tetap teguh dan utuh kerana persahabatan ini terbina atas kebenaran wujud atas setiakawan. Sesungguhnya saya berbangga bersahabat denganmu..

Sekadar ini..ada juraian airmata mengiringi catatan ini. Wassalam. Selalulah kunjungi blog ini.
Wassalam.

Selasa, Disember 08, 2009

Sekolah Pulak Dah..

Salam mesra salam sayang. Nampaknya cuti-cuti Malaysia hampir berakhir. Pejam celik, celik pejam sudah hampir buka sekolah rupanya. Rasa macam baru semalam kita bersalam dengan rakan-rakan, dengan anak-anak murid tercinta, dengan papan kenyataan, dengan tukang sapu, dengan bas sekolah..tup-tup, sekolah sudah melambai-lambai.

Maka beginilah rutin seorang 'cikgu', 'ustazah' atau apa jua panggilannya. Cuti sekolah bermula kita bertungkus lumus menyiapkan markah murid-murid...bagi yang bertugas untuk 'negara' siap siaga pula menghadiri taklimat penyelarasan peperiksaan SPM bagi mp yang diajar. Dapat meningkatkan kemahiran diri, dan dapat juga 'duit poket' seriyal dua riyal (berbaloi dengan tugas). Siapa kata cikgu dapat bercuti sepenuhnya. Teringatlah saya lirik lagu 'Guru Malaysia'.. "Amanah yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan.."

M
inggu-minggu terakhir cuti cikgu sudah kembali ke alam persekolahan. Menyiapkan segala hal ehwal murid dalam segenap aspek, pendaftaran murid baru, murid lama, cikgu baru, cikgu lama, buku baru, buku lama..jangan buku lima sudah laa..

Apa-apa hal pun, sebagai guru berbahagialah menjadi guru. Kekanda (klik blognya) saya sering mengungkapkan kata-kata ini,"Kitalah guru yang teguh dihempas kepayahan menepis songsang laku menyiram pujuk menambah rasa ke hujung faham kitalah juga guru yang kadang terpinggir puji tersumpah tulah kerana sekali kaki terlanggar titah....

Justeru itu, selamat kembali ke alam persekolahan. Berhemahlah ketika berbelanja, berhati-hati ketika memandu, apa yang dulu didahulukan; untuk anak-anak pasti kita sanggup berhabisan. Tapi, ingatlah jasa ibu bapa. Belajar rajin-rajin. Belajar betul-betul!!

Sekian, jumpa lagi.

Isnin, November 30, 2009

Penangan 'Nur Kasih'

Salam 13 Zulhijah 1430h. Masih lagi hari tasyrik..iaitu di antara hari-hari yang disunatkan korban dan di antara hari-hari yang diharamkan puasa. Saya difahamkan jemaah haji sudah pun selesai mengerjakan perkara wajib haji melontar ketiga-tiga jamrah hari ini. Hendaknya mereka bersedia pula melakukan tawaf ifadah dan saei dengan sempurna. Semoga!!

Aidil adha yang baru berlalu 10 zulhijah Jumaat yang lepas, saya berkesempatan menonton drama 'Nur Kasih' episod akhir. Sebenarnya saya bukan 'kaki tv'. Percayalah tika mana ramai kawan-kawan saya bercerita entah hapa-hapa yang ditonton mereka lewat melalui astro atau sebagainya saya tidak berhak menyampuk kerana saya tidak suka menonton. Tetapi, entah mengapa drama yang satu ini begitu mengujakan hati saya untuk tercongok depan 'benda bersegi empat' itu.

Biarlah kali ini saya kupas sedikit isu dalam 'Nur Kasih'. Secara santainya saya melihat skripnya cukup sederhana. Akan tetapi penghayatan agama berlangsung dalam situasi yang agak kamil bagaimana sesama ipar atau yang bukan mahram menjaga aurat dengan baik. Alangkah indah hidup ini sebenarnya kalau kita mengikut acuan Islam sebagaimana yang diperturunkan melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Harapan saya biarlah cerita-cerita yang hendak dipaparkan di kaca tv adalah cerita yang dapat memberi iktibar, mengajar erti peradaban hakiki dan menghasilkan impak yang besar kepada umat Islam yang akhir-akhir ini sering dijuadahkan dengan cerita-cerita hantu, toyol, saka, khurafat, syirik dan apa-apa lagi yang boleh membawa pelencongan akidah.

Cuma saya tidak berkenan satu perkara sahaja dalam 'nur kasih' apabila Alya ingin mengajak Nur Amina hidup bermadu. Saya tidak suka melihat skrip yang diolah sebegitu. He he he....

Sekian, jumpa lagi.

Jangan Malu Berkata - "Aku Tidak Tahu"

"Dari Abdullah ibn Amr r.a bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :Allah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.

Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.

Justeru itu, jangan malu berkata "aku tidak tahu" sekiranya kita memang tidak tahu terutama soal hukum hakam. Wallahua'lam.

Khamis, November 26, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran ii

Kata-kata nasihat dipetik dari Syeikh Ibrahim Adham.. 10 sebab hati kita mati, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga sama-sama kita muhasabah diri kita di anjung usia ini..Wassalam

Rabu, November 25, 2009

Sekadar Catatan Di Pinggiran

Salam percutian buat warga pendidik seluruh Malaysia, anak-anak didik tercinta. Yang mengambil peperiksaan telaahlah banyak-banyak semoga apa yang kurang sebelum ini dapat diperbaiki, terutama yang SPM dan STPM.

1. Hari Rabu 18.11.2009, keputusan UPSR diumumkan. Tahniahlah kepada anak-anak yang berjaya meraih 5A. Ada yang tidak bernasib baik hanya mendapat 4A 1B atau 3A atau 2A atau 1A atau tiada A menangis hiba. Sabarlah. UPSR baru langkah permulaan. Banyak lagi cubaan di hadapan yang boleh merubah sekalian tindakan. Asalkan jangan putus asa. Bangkit. Cuba buat post mortem "kenapa aku tak dapat??". Selebihnya kita kena redha bahawa Allah swt amat mengetahui apa yang akan berlaku.

2. TAHNIAH buat adinda Rabihah Muhammad sempena hari konvokensyen OUM di PWTC. Kanda tahu adinda banyak berkorban demi mendapat segulung ijazah walaupun sarat mengandung..akhirnya adinda berjaya. Berjaya mendapat ijazah. Berjaya mendapat 'Fatimah Humayraa'. Kalaulah ayahanda ada, sudah pasti dia juga akan gembira setelah onak duri berjaya direntasi.

Sekian dulu. Jumpa lagi.

Jumaat, November 13, 2009

Tanggal 13 November....

Salam hari lahir buat saya. Semoga ulang tahun kelahiran ini memberi 1001 makna dalam mengenal kehidupan. Pertambahan usia yang mematangkan fikiran dan kerja buat. Happy birthday to me!

Seusai solat subuh pagi tadi (6.12am), sms pertama masuk berbunyi.."salam sahabat, di pagi yang hening ini sahabat lamamu memanjangkan syukur ke hadrat ilahi untuk mengucapkan selamat hari lahir, semoga berbahagia seisi keluarga. Amin." Terima kasih jua untuk sahabat. Sebenarnya kita berkongsi tarikh lahir. Mujurlah ada lagi sahabat yang dapat mengingat tarikh lahir kita. Syukran. Selamat hari lahir juga untuk anda!!

Bagi saya, sama ada orang ingat atau tidak ulang tahun kelahiran tetap memberi makna yang amat besar. Bermulanya kehidupan di atas muka bumi ini menjadi khalifah yang memikul tanggungjawab yang amat besar. Tanggungjawab sebagai anak..tanggungjawab sebagai murid.. tanggungjawab sebagai isteri.. tanggungjawab sebagai murabbi yang menuntut sekalian akal budi untuk membentuk insan sejati.

Tanggal 13 November, akan saya kenang selagi ada hayat. Selamat hari jadi. Semoga lebih istiqamah dalam amalan. Terutama melibatkan hablu minallah wa hablu minannas.

Sekian. Wassalam.

Khamis, November 12, 2009

Semoga Kesabaran Jadi Benteng Kehidupan..Wan Aini!

Semalam 11.11.09, saya berkesempatan ke Hospital Kota Bharu buat menjengah dan menziarah anak murid tersayang Wan Aini (mahasiswa UPSI) yang terpaksa dipotong kedua-dua belah kakinya hingga ke lutut. Saya difahamkan dia terkena sejenis virus yang dikenali sebagai 'virus tikus'. Wallahua'lam. Saya tidak berseorangan sebenarnya. Kami pergi berempat iaitu Hjh Wan Hanisah, Pn Haliza dan Puan Saniah.

Payah saya nak gambarkan perasaan tatkala melihat wajahnya. Terkejut, terharu, tergamam.. bayangkan saya mengenalinya ketika mengajar di tingkatan lima tahun 2006. Murid yang tidak ada perangai. Baik dan berjurus. Entah perasaannya bagaimanalah agaknya. Dari dua kaki jadi tiada kaki. Bahkan sebelah pergelangan tangan kirinya juga terpaksa dipotong. Apa yang tinggal 3 batang jari di sebelah tangan kanan. Masih boleh menulis katanya. Dan, masih lagi boleh menekan 'handphone'..alhamdulillah.

Wan Aini, saya doakan anda tabah menghadapi hidup ini. Ingatlah Allah selalu. Ujian ini sudah amat besar bagi anda. Itu buktinya Allah Maha berkuasa menguji hambaNya. Benarlah "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Semoga tabah. Teruskan pengajian anda hingga ke akar umbi. Tiada kaki bukan bermakna hidup kita sudah permisi.

Wassalam.

Ahad, November 08, 2009

Indahnya CiptaanMu Ya Allah

Ikan yang membentuk mozek di lautan- subhanallah

Salam pertemuan. Salam kemuliaan buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w.. Sudah lama saya menyepi dari menulis cerita, kisah suka duka, atau..ya apa-apa jua yang saya fikirkan perlu. Ini kerana saya terlalu sibuk dan sentiasa menyibukkan diri.

Malam ini, tatkala (wah, macam ayat zaman dulu)..saya mencari-cari bahan cerita @ berita untuk dipaparkan di rumah 'sedetik masa sejentik rasa', saya terjumpa gambar (lihat atas), yang amat menakjubkan. Berkali-kali saya mengucap syukur kerana saya dapat melihat keajaiban Allah Yang Maha Agung melalui foto itu. Amat menakjubkan bukan.

Sekian saja. Sekadar berkongsi keindahan.

Rabu, Oktober 28, 2009

Bilalah Nak Sampai 'Bawah Bayu'..

Salam zulkaedah. Semoga kita semua senantiasa di bawah rahmat Ilahi dan keredaanNya. 3-4 hari ini saya tiada teman sebilik, sebantal, sepinggan..jauh 'teman' saya merantau. Negeri Di Bawah Bayu haluannya. Berkhidmat untuk agama dan negara! Menggatal nama tempatnya (harap-harap tidaklah meng***** sebagaimana nama itu).

Jadinya apabila tiada 'teman' sebilik ini rutin harian saya berubah sedikit. Pendek kata kalau biasanya berjalan 25km, hari-hari sebegini berganda laluannya. Banyak persinggahannya. Namun saya ikhlas akan segalanya biarpun penat sedikit. Lebih-lebih lagi umur pun sudah nak masuk 'asar'...terasa penat dan letih.

Di sekolah tempatku diamanahkan, musim peperiksaan sudah bermula. Ibarat juragan membawa muatan, kenalah ber'tumus' menyiapkan segalanya agar sang guru merasa senang, sang murid merasa selesa. Bermula dengan pengambilan soalan di PKG Raja, membilang soalan, menyusun soalan, masukkan ke dalam plastik. Memakaikan 'baju'nya..SEMUANYA kami (bersama Ustazah Nor Azimah) lalui bersama. Semoga Allah swt memberkati kerja buat kita sahabatku.

Apabila penat-penat begini..sukanya kalau dapat melancong ke negeri bawah bayu. Aduhai arjunaku, semoga dapat pulang dengan selamat bersama 'ole-ole' istimewa.

Isnin, Oktober 19, 2009

Ahlan Wa Sahlan Tetamu Allah..Musim Haji 1430H

Salam pertemuan. Lama sungguh tidak menjenguk 'sedetik masa sejentik rasa' ini. Namun, saya yakin semakin lama tidak berkunjung tentu makin banyak cerita yang hendak dikongsi.
1 Zulkaedah 1430H tetamu-tetamu Allah mula berangkat ke tanah suci..Rasanya penerbangan awal bakal berlabuh di Madinah Munawwarah. Tinggal selama 8 hari di sana barulah berangkat ke Mekah pula. Rindu pula diri ini menjengah dua tanah haramMu.Ya Allah, Kau permudahkanlah sekali lagi harapan kami untuk bertamu di rumahMu baitullahil haram @ kaabah @ baitul atiq..sebutlah nama apa pun yang pasti di dunia ini rumahMu yang mulia hanya itu.
Warga guru di Besut ini hanya 22 orang yang dapat pergi (mengikut kata pkko saya). Di sekolah saya sendiri semua rayuan ditolak. Saya berfikir juga akan kesudahannya suatu masa nanti mungkin akan berlaku kita ada kemudahan kewangan yang mencukupi tapi tidak berjaya untuk memijak kaki kerana terhadnya tempat di sana. Iyalah, penduduk dunia makin bertambah. Kuota Arab Saudi kepada Malaysia tetap tidak berubah iaitu 26,000/Malaysia.Alahai..Justeru aduhai rakan-rakanku tercinta bersegeralah daftar haji jika masih belum berbuat demikian. Hadirilah kursus-kursus haji mulai sekarang agar ibadat yang akan kita lakukan mendapat keberkatan dan mabrur. Amin.
Buat tetamu-tetamu Allah musin haji 1430H, sempurnakanlah umrah dan haji sesempurna yang boleh. Biarlah balik dengan haji yang mabrur. Selamat berangkat!!

Sabtu, Oktober 03, 2009

Sedapnya Lodeh Buatanmu Kak..

Sore-sore begini saya tak tahu mahu melangkah ke mana. Lebih-lebih lagi bahang hari raya masih terasa. Rumah kekanda-kekanda masih belum saya pijak untuk beraya..rumah kawan sahabat pun tak pergi lagi. Bukan tidak mahu pergi tapi, semenjak dua menjak ni 'masa' untuk berjalan-jalan kurang ada. Kadang-kadang menunggu tetamu datang tapi tiada tetamu yang bertandang.

Saat ini saya berada di rumah kanda Za. Langkah kaki kanan nampaknya adinda hari ini. Kanda buat 'lodeh'. Hemmm..rezeki kami anak-beranak. Syukran jazilan. Sedapnya lodeh buatanmu sampai menjilat sudu.

Ok. Sampai ketemu lagi.

Sabtu, September 26, 2009

Salam Aidil Fitri 2009/1430H

Salam Aidil Fitri buat semua dan 'peminat' diri ini. Semoga sambutan raya yang hari ini sudah masuk hari ke-7, disambut sederhana namun meriah tanpa mengundang sebarang tragedi duka. Berhati-hati ketika memandu terutama perantau-perantau. Buat Jer, Amir dan anak-anak akan berangkat pulang hari ini ke Melaka. Kanda doakan agar selamat pulang dan selamat sampai ke rumah.

Seperti biasa, hari raya sentiasa menggamit perasaan sayu dalam diri. Terutama mengenangkan arwah Pa yang memang cukup mengambil berat hubungan anak-beranak.. Teringatkan suara Pa bertakbir setiap kali raya di corong mikrofon..Teringatkan Pa yang paling suka makan ketupat mak long. Teringatkan Pa yang akan memberi duit raya buat kami walaupun sudah besar panjang. Ahh, banyaknya kenangan dengan arwah Pa. Justeru itu, tempat pertama kami beraya selepas solat aidil fitri di Masjid Haji Ishak ialah 'bertandang' ke pusara Pa. Assalamu'alaikum Pa. Walau apapun ingatan kami padamu sentiasa mekar mengharum, mewangi di taman hati kerana tanpamu siapalah kami.

Petang Syawal 1, saya sekeluarga bersiap-siap pulang ke kampung suami di Jerangau Felda. Kata suami raya di sana mungkin lama sikit sebab adik ipar akan bertunang. Anak-anak cukup teruja menyambut raya terutama si kecilku. Hendak berjumpa nenek dan sepupu sepapa yang pulang dari Selangor. Tak apalah, hari raya adalah hari untuk anak-anak. Kita yang sudah jadi mak budak ini apalah sangat. Baju raya pun tidak ada..duit raya jauh sekali.

Oklah. Selepas raya ini degupan jantung makin kencang menanti kehadiran 'tetamu jemputan' di sekolah. Terpaksa bersiap siaga dengan persiapan. Ya Allah, Kau permudahkanlah urusanku.. kalau itu adalah yang terbaik buat saya. Salam aidil fitri.

Khamis, September 10, 2009

Didiklah Jiwa Dengan Tahajud





Salam Ramadan.
Ramadan kian sampai ke penghujung. Terasa macam baru semalam saya bangun menyediakan sahur untuk anak-anak. Rupa-rupanya cepat sungguh masa berlalu (hari ini sudah 20 hari kita puasa). Bercerita tentang sahur, saya harap kita jangan abaikan sunnah Rasulullah saw yang ini. Baginda selalu bersahur walaupun dengan sebiji kurma.

Di samping bangun bersahur, apalah kiranya kita luangkan sedikit masa untuk bertahajud. Solat tahajud disyariatkan Allah kerana ia mempuyai banyak hikmah dan keberkatannya. Allah menetapkan waktunya pada sepertiga malam kerana suasana ketika itu amat hening, paling sesuai untuk beribadah, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Selepas solat tahajud, mohonlah ampun kepada Allah kerana Allah akan turun pada tiap-tiap malam ke langit dunia. Allah menyeru para malaikatNya agar memeriksa semua makhluk-makhluk di muka bumi. Allah berkata, "Sesiapa yang bermohon kepadaKu (di sepertiga malam), maka makbulkan doanya. Sesiapa yang meminta kepada Aku, berilah. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku, maka ampunkanlah ia".

Subhanallah, maha suci Allah yang memiliki sekalian alam langit, bumi dan lautan..terimalah amal ibadatku, ampunkanlah segala dosa-dosaku, makbulkan doaku, matikanlah aku dalam keimanan jangan Kau ambil nyawaku dalam kehinaan.

Sekian, dari hambaNya yang sentiasa mengharap.

UPSR 2009

Syukur alhamdulillah, tahun ini Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijalankan selama 3 hari bermula 8 - 10 September sudah hampir selesai. Ketika saya menekan komputer ini masa masih ada 10 minit buat calon-calon UPSR menyudahkan Bahasa Inggeris II. Termasuklah Muhammad Hariz Eilman anak tunggal lelaki saya.

Alahai macamanalah 'abang' jawab soalan. Sehingga pukul 12.00 malam tadi hp saya tak berhenti masuk sms mengenai soalan-soalan 'bocor'.. Lebih menghairankan jawapan aneka pilihan Sains dan Bahasa Inggeris pun turut mengganggu malam tadi. Betulkah jawapannya? Nampaknya 'soalan bocor' tak boleh percaya langsung. Wallahua'lam.

Ingatlah dalam apa jua perkara yang dilakukan biarlah amanah, jujur, telus dan..berintegriti orang kata. Memang bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Setelah berusaha, berdoalah kepada Dia dan jangan lupa bertawakal ilallah. Semoga usaha berterusan menjanjikan kejayaan yang didambakan.

Jumpa lagi. PMR pulak weiiii...

Khamis, September 03, 2009

Assalamu'alaikum Pa..

Pagi Jumaat 28 hb. sept bersamaan 7 Ramadan 1430H, saya bersama-sama kekanda Fariza menziarahi kubur ayahanda. Ah!! Sunyi sangat pa. Rasa sepi amat pa.. lalu kami bersama-sama membaca Yasin dengan perasaan yang sukar digambarkan. Sedih. Rindu kepada insan yang terlalu menggunung jasanya pada kami. Selepas itu, saya berdoa diaminkan oleh kekanda..

Ya Allah,
Ampunilah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa kaum muslimit muslimat yang hidup atau yang telah mati..
Ya Allah,
Kasihanilah kedua-dua ibu bapa kami sebagaimana mereka telah mengasihi dan mengasihani kami sejak kami kecil
Ya Allah,
Lapangkanlah kubur ayahanda kami sebagaimana Engkau lapangkan kubur para syuhada', aulia' dan para anbia'. Janganlah Engkau seksakan mereka dan orang-orang kami sayangi yang terlebih dulu meninggalkan kami. Rahmatilah mereka Ya Allah! Rahmatilah mereka..Kasihanilah mereka. Amin.
Setelah itu kami menjenguk 'rumah kecil nyang' berdekatan pokok durian. Kami panggil 'mok'. Masya Allah sudah panjang lalang menumpang di 'rumah'mu, mok. Kesian mok..hanya kamilah cucu-cucunya yang sering menjengah 'rumah' itu. Semoga mok tenang dan damai di sana. Kami merasa setitis nikmat kasih sayang seorang nenek darimu mok. Mok insan baik..penyayang..pengasih..Kami rindukanmu.
Sekian dulu coretan ini yang tercatat dari sanubari yang cukup halus payah untuk ditafsirkan segala rasa rindu yang bersarang di jiwa ini. Nanti kami datang lagi yaa...

Rabu, Ogos 26, 2009

Ramadan al-Mubarak 1430H

Mari tadarus sl-Quran

Ramadan al-Karim
Syukur alhamdulillah kerana dengan izin dan 'inayahNya, kita masih diberi peluang untuk menjalani ibadat puasa tahun ini. Hari ini, sudah masuk hari ke-5 puasa. Alhamdulillah. Namun, puasa tidak menghalang aktiviti harian saya.

Tahun ni Masjid Haji Ishak, Dengir mengambil huffaz sebagai imam. Masya Allah, hebatnya anak-anak muda ini. Muhammad Hariz kena belajar betul-betul untuk menjadi hafiz suatu masa nanti. Mama sentiasa doakan itu. Tapi, UPSR kena berjuang habis-habisan. Ya Allah! Permudahkanlah urusan kami. Sebagaimana Kau menciptakan kami dengan mudah maka kami mohon mudahkanlah urusan kami. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukMu.

Semalam 25/08/09, saya menduduki peperiksaan PTK TK3 di SMKNS. Semoga berjayalah untuk diri sendiri. Syukran buat Mah, Kak Elly dan 'Ain kerana sudi berkongsi idea untuk PTK. Tapi saya akuilah payahnya nak dapat IV.

Sekian dulu. Rasa mengantuk pula, maklumlah selepas bangun sahur tadi masih tidak sempat melelapkan mata seketika. Jumpa lagi.

Ahad, Ogos 16, 2009

Pergi Tak Kembali - Belasungkawa Asri Rabbani


Salam penghujung Syaaban.

Hujung minggu ini, tidak banyak perkara yang saya dapat lakukan. Kiranya membasuh, menjemur, melipat, menyimpan dll soal kain baju.. tidak dapat dilaksanakan kerana 'nyawa' saya rosak seketika. 'Nyawa' berjenama sharp (lama punya) dan panasonic (baru sikit) terhenti seketika dijangkiti virus H1N1. Pada hemat saya kalau benda lain terhenti saya masih boleh goyang kaki tapi kalau yang ini saya memang risau habis. (Alhamdulillah, hari ini masalah sudah selesai...he he he selamat melipat kain baju ya!!)

Namun sedetik masa ini begitu teringin menterjemahkan satu pemergian insan yang amat lunak suaranya, bagus showmanshipnya..tak lain tak bukan perihal penasyid tersohor tanah air Allahyarham Asri Ibrahim namanya. Saya membesar di jalanan (sambil bawa kereta) dengan alunan suaranya. Siapa kata seorang ustazah tidak boleh berhibur. Boleh dikatakan saya mengikuti perkembangan lagu-lagu nasyidnya. Tapi, Allah swt lebih sayangkan dia. Terkejut saya apabila Kekanda Za maklumkan kembalinya Asri ke pangkuan ilahi (semasa tahlil rumah ma).. Innalillahhi wainna ilaihi rajiun. Semoga Allah tempatkan saudara Asri dalam kalangan hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Saya menangis jugalah.

Dengan slogan Hiburan Mendidik Rohani, saya terhibur dengan lagu-lagunya. Suaranya hebat. Semoga isteri dan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini.
Alfatihah.

Isnin, Ogos 10, 2009

H1N1 Wabak Atau Bala?

Di mana-mana sahaja hari ini di sekolah, di pejabat, bank, pasar, tandas, kampung, kedai kopi, kedai dobi dan macam-macam tempat lagi orang bercakap tentang virus H1N1..Benarkah ianya wabak yang sukar disekat atau bala Allah swt di atas kebejatan dan sifat kebinatangan manusia yang akhirnya memamah diri sendiri..umpama api yang memamah kayu api pada musim kemarau??

Bacalah info H1N1 di sini. Syukran Rembulan kerana sudi berkongsi info dan memberi maklumat terkini.

Sang Arjuna baru saja pulang dari kuala terengganu mengambil anak sulung yang 'kurang sihat' di SHAMS. Semoga anakanda cepat sembuh..Ya Allah! Demi zatMu yang Maha Agung, Kau selamatkanlah seluruh umat islam, warga sekolah SMKTM dan ahli keluarga tercinta dari dibelenggu oleh penyakit-penyakit berbahaya yang tidak mampu kami hadapi. Teguhkanlah iman kami.

Wassalam.

Jumaat, Ogos 07, 2009

Bersama Prof. Muhd Kamil Travelog Haji

Semalam 7 hb. Ogos 2009 saya berkesempatan menghadiri majlis temu murni anak lelaki saya di Sk tg. Mahmud. Sedikit rasa teruja kerana dapat mendengar 'amanat' daripada Prof. Muhd Kamil penulis buku 'Travelog Haji'. Saya sempat mencatat beberapa isi penting lewat paparan power-point di bilik tayangan tingkat empat sekolah. Masya Allah, lenguh juga lutut mendaki tangga. Emm, tanda-tanda lima perkara sebelum lima perkaralah tu...kiranya saya bukan lagi orang muda.

Sebenarnya, Prof Muhd Kamil ini abang kepada kawan sekolah rendah saya dulu iaitu Saiful Anuar. Lewat kata-katanya semalam..kita mesti ada IMPIAN. Memang banyak impian ini yang belum tertunai. Walau bagaimanapun saya panjatkan kesyukuran kerana sudah banyak juga impian dimakbulkan oleh Allah swt. Kita juga mesti ada KEBERANIAN. Ya, berani. Kadang-kadang saya memang tidak ada keberanian. Nak berjumpa dengan Tuan Pengetua pun tak berani. Nampaknya selepas ini saya kena suntik keberanian dalam jiwa ini.

Namun, yang paling berkesan ialah peranan DOA seorang hamba kepada Pencipta Alam ini. Impian yang tinggi terhadap anak-anak wajar disusuli dengan doa..Ya Allah, Kau berilah jua kekuatan kepadaku untuk terus berdoa dan berdoa. Makbulkanlah doaku, doa suamiku, doa ibu bapaku, doa anak-anakku agar berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Tenangkanlah hati anakandaku Nuzul Badree dan Muhammad Hariz Eilman yang akan menduduki PMR dan UPSR. Kasihanilah mereka Ya Allah. Makbulkanlah doa kami dan doa-doa mereka.

Wassalam. Jumpa lagi. (Arjuna sudah bertolak dari Melaka 8.00 malam tadi, semoga selamat sampai ke destinasi..adinda sudah kangen padamu)

Sejentik Rasa Di Ambang Ramadan

Sudah pertengahan syaaban rupanya kita. Lambaian Ramadan melambai-lambai..pintu syurga mungkin sudah terkuak sedikit, dan neraka kian menjauh bagi memberi laluan untuk kita. Setiap tahun kita berpuasa dengan penuh ketaatan, ke’tawadhu’an’, solat tarawih berantaian dari satu rakaat ke satu rakaat..tahajud dan witir silih berganti. TAPI, sejauh manakah amalan kita? Adakah hanya di bumi nyata atau hanya di bulan Ramadan?

Kaum wanita sering memikirkan menu berbuka puasa..ayam percikkah kita? Ikan bakar tandoorikah kita hari ini? Daging panggang? Daging singgang?Ikan singgang? (tak main laa...), Kerutupkah kita hari ini? ’Pembasuh mulut’nya pula bagaimana? Menu selepas tarawih mesti ada..paling tidak popia goreng, atau kebab, atau murtabak?? Buruknya amalan berpuasa kita.

Sejauh mana penghayatan ramadan kita? Sempurnakah puasa kita? Bagi diri ini apa sangatlah kiranya. Melihat anak-anak berpuasa dengan penuh keletihan, pucat (awal-awal puasa), kemudian berbuka dengan penuh nikmat sambil berdoa
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك يا أرحم الراحمين
saya sudah cukup terharu. Sambil berbuka sambil mulut berkata-kata..Abang Hariz, Kak Ngah, Inayatul atau Aceq (nak puasa jugakah nanti?)..Ingat, kita berpuasa dan kita mampu berbuka dengan juadah istimewa. Tapi, apa khabar saudara-saudara kita yang hidup penuh kemelaratan? Mereka belum pasti dapat berbuka dengan sepinggan nasi. Oleh itu anak-anakku marilah kita muhasabah diri agar Ramadan nanti kita lalui dengan sederhana dan ikhlas.

Ok anak-anak, cepat kita tunaikan solat maghrib. Amalan tadarus tradisi keluarga kita sama-sama diimarahkan. Ya Allah! Engkaulah Tuhan sekalian alam. Engkaulah yang menciptakan kami dan Engkau jua yang mematikan kami. Ramadan tahun ini kuatkanlah iman kami, berilah kami dan anak-anak kami kemudahan dan kekuatan bertadarus kalamMu. Amin ya rabbal alamin.

Wassalam. Dengan rindu yang makin mendalam menanti tibanya Ramadan.


Rabu, Julai 29, 2009

'Rumah Kecil' Itu Sudah Lama Sepi

Rumah kecil itu
telah lama tidak kukunjungi
sering alasan 'tiada masa'.

Rumah kecil itu
sepi
walaupun nampak sepi
aku tahu penghuninya
selamat di sana
bersama muslimin muslimat
mukminin mukminat
yang beriman dan bertaqwa.

Insya Allah akan kulawati rumah kecil itu
kerana kerinduan ini tidak pernah padam
dalam keghairahan mengejar masa.

Salam rindu buat insan teristimewa.

Khamis, Julai 23, 2009

Sejentik Rasa SMKANI..

Salam Sya'ban. Nampaknya pejam celik-pejam celik, kita sudah diambang Ramadan al-Mubarak. Berakhirnya Sya'ban bermakna bermulalah puasa. Sungguh, saya amat terasa betapa pantasnya putaran waktu. Walau apapun, saya tetap bersyukur kerana saya masih diberi peluang dan ruang untuk bernafas (sekarang ni masih sihat lagi). Dan yang penting saya diberi peluang menatap cebisan kata-kata dari anak-anak murid SMKANI sedetik masa dahulu.
Majidah (klik), Shaidah (klik blognya), Rozila..kalian di antara insan yang masih mengingati diri ini. Terima kasih atas ingatan itu. Saya tahu, ramai lagi yang sering bertanya khabar saya cuma tidak berpeluang 'bertemu' di ruang maya ini. Saya juga tahu, anak murid pun sentiasa bertambah bilangan anak mengalahkan guru dia..tak apa, Nabi s.a.w memang suruh dan galakkan kita beranak pinak. Takkan tak ingat kot,fiqh munakahat dalam Pend. Syari'ah Islamiyah (PSI). Di antara ciri-ciri calon isteri mestilah keturunan ramai anak.
Ok. Sekian dulu. Saya memang cukup teruja mendapat respon dari anda semua. Semoga Allah swt memberkati hidup semua, keluarga dan anak-anak di dunia dan akhirat.Wassalam.

Rabu, Jun 24, 2009

Sejambak Bunga Sekuntum Puisi

Sejambak carnation sekuntum puisi..agaknya inilah kata-kata paling sesuai dapat saya ungkapkan sedetik masa hari ini. Dalam keghairahan mencatat buku rekod mengajar, saya dikejutkan dengan sejambak bunga diselit kad comel mengucapkan “Selamat Hari Jadi Sayang, Moga Panjang Umur Murah Rezeki..salam sayang dari Suamimu yang hensem”. Kalau diikutkan harijadi saya masih lambat lagi, kenapa sang arjunaku mengigau hari ini?

Dalam keterujaan itu, hakikat sebenarnya jambangan bunga itu bukan milik diri ini. Rupa-rupanya sejambak bunga untuk isteri tercinta dari sang suami itu milik Roslaili Mohd. Said. Sang suami membuat kejutan begitu. Saya fikir saya sedang menonton drama Melayu atau sinetron dari seberang. Tapi ianya adalah kisah benar tadi.
Arakian sepulangnya saya ke rumah, tanpa sabar terus saya mengkisahkan hal itu kepada sang arjuna. Tiada niat tersirat sebetulnya. Maksud saya bukan minta dibuat begitu..tapi, kalau dibuat begitu?? Siapa tak sukakan. Betul arjunaku, saya tidak kisah. Ucapan dalam sms pun sudah cukup. TAPI, bimbang pula saya kerana arjunaku semacam berjauh hati. Nak tahu apa katanya, ”tak apalah, nanti abang hantar bunga seguni tatkala hari jadimu”. Ikhlas dalam sejentik rasa ini bukan persoalan bunga seguni waimma selori yang saya mahu..sekadar berkongsi kegembiraan sahaja. Mata sahabat yang bersinar ceria tadi menggambarkan bunga-bunga hatinya.

Selamat hari jadi Roslaili. (Esok jangan lupa pakai loket jed dari China). Wassalam.

Ahad, Jun 21, 2009

TAPI....Wajah ini mengundang rindu yang tak kunjung padam

Papa bersama cucunda..

Papa di Makkatul Mukarramah

Papa, hari terakhirnya...

Semoga ayahanda bersemadi dengan aman dan damai di sana. Amin..Salam rindu dari anakmu.

Wajah-wajah 'bapa' 2009

Kenangan hari raya 2009

PENGORBANAN bapa dalam membangun dan memimpin keluarga perlu dihargai dan tidak boleh dianggap enteng. Tugas dan tanggungjawab bapa memimpin keluarga amatlah besar kerana di bahu kalianlah terletaknya amanah sebagai ketua kelauraga. Justeru itu, hayatilah peranan anda mengikut pandangan Islam agar hidup anak-anak tidak tersasar dari landasan, antaranya:

1. Mendidik anak dengan keperibadian dan akhlak Islam.

2. Menyayangi yang muda dan menghormati yang tua.

3. Mencari dan menyediakan nafkah untuk keluarganya.

4. Menjaga kehalalan dan kesucian sumber rezeki yang dicari untuk keluarganya.

5. Tidak membesarkan anak dalam kemewahan berlebihan.

6. Membantu isteri dengan kerja rumah yang mampu dilakukan. Ini akan merapatkan hubungan suami isteri, di samping memberi gambaran keakraban dan keselamatan keluarga kepada anak.

7. Mengajar anak ilmu fardu ain.

8. Mendidik anak dengan ilmu dan kemahiran hidup yang diperlukan sesuai dengan zamannya.

9. Membimbing anak untuk menghayati cara hidup Islam.

10. Bertegas secara bijaksana dalam mengajar anak mematuhi ajaran Islam. Berlembut dan bertolak-ansur biar kena pada tempatnya.

Sebenarnya banyak lagi, tapi biarlah sekadar ini dulu catatan saya..Wallahua'lam. Selamat Hari Bapa aduhai sekalian bapa (kecuali chicken father)


Sabtu, Mei 30, 2009

Selamat Datang Ke 'Lagenda Mahsuri'

Salam percutian buat warga pendidik setelah penat bertugas demi agama, negara dan bangsa. Cuti sekolah macam biasalah. Selain rutin harian iaitu 'tanda kehadiran kain baju', atau relief memasak atau 'memeriksa kertas-kertas dan sampah sarap dengan batang penyapu'..maka saya rasa tugas saya makin bertambah. Saya harap hendaknya hati saya ikhlas lillahi taala dan bukannya 'lellah'.

Malam tadi, saya mengiringi pemergian 'sang arjuna' dan anakanda ke Pulau Lagenda Mahsuri dengan perasaan sayu. Iyalah..berjauhan 3-4 hari..Tak adalah 'teman berbalah' saya seketika. Saya juga tidak mengirim sesuatu yang istimewa melainkan yang istimewa itu hadir dengan sendirinya tatkala kepulangannya nanti. Sebotol minyak gamat sudah memadai..sedetik masa dulu sebelum melelapkan mata minyak wangi cleopatra menemani malam. Kini, cleopatra bertukar jadi 'minyak gamat', kadang-kadang minyak mastika, TYT atau minyak yuyee..alahai, sekejapnya masa berlalu.

Buat arjuna dan anakanda yang berpergian ke Langkawi, selamat bercuti dan ambillah peluang ini dengan penuh hikmah dan tenang. Sampaikan salam buat 'Idaman Suri' dan juga 'Daim'.

Jumpa lagi. Kenang daku dalam doamu!!

Ahad, Mei 24, 2009

Luahan Hati Seorang Isteri

Salam syahdu buat sang arjuna yang bergelar 'bapak', 'suami', 'mas', 'kang'..atau sesiapa jua yang patut dipanggil lelaki. Kisahnya begini, sebagai 'ustazah' katakan, maka satu dua hal dijadikan juga tempat rujukan. Dari hal-hal hukum hakam, hinggalah soal rumahtangga suami isteri. Bukan 'buka pekung di dada' tapi sekadar menghurai kemelut di hati.
Kata kawan saya (nama dirahsiakan), "Ustazah, saya ada masalah sikit. Begini, saya rasa sedih sangat sebab suami saya macam tak endah sangat soal pelajaran anak-anak. Ustazah pun tahulah kan, sekarang ni musim exam..sekolah menengah exam, sekolah rendah exam...waktu malam lepas maghrib saya jadi lipas kudung. Mana nak sediakan makan malam. Mana nak ajar anak baca qur'an..mana nak ajar anak-anak buat latihan, esok nak exam. Suami saya lepas maghrib (alhamdulillah berjemaah), dia akan menghadap tv aje. Boleh tengok berita itu, berita ini. Macamana nak buat ustazah, tolonglah saya".
Saya kasihan jugalah mendengarnya. Isteri ni kadang-kadang bukan boleh diberi muka sangat. Haaa, itu kata-kata suami. Tapi bagi saya, saya serulah wahai suami kasihanilah isteri anda. Dia juga penat seperti anda. Hargailah isteri anda. Setiap bulan hadiahilah gelang emas ke..atau ajak makan kat hotel lima bintang ke...atau ajak shopping kat KB Mall, TESCO, Giant atau Mydin Mall. Paling tidak tukarkanlah 'hp'nya kepada telefon terkini, canggih dan comel. Janganlah suami pakai hp canggih, isteri pakai hp 'cap ayam'..Emm, barulah isteri tak mengeluh.
Hidup suami isteri ni kenalah saling bantu membantu, kerjasama. Bukankah Allah swt berfirman dalam al-Qur'an, "Isteri-isteri kamu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka".
Wassalam. Jumpa lagi.

Sabtu, Mei 16, 2009

Terima kasih Cikgu 1975 - 1987

Entah kenapa malam ini, saya begitu sedih dan menjadi perindu sedetik masa sejentik rasa tika mana saya mula mengenal cikgu. Cikgu pertama tentulah ayahanda tercinta - Hj Muhammad Abdullah (alfatihah pa 23.06.2006). Sebenarnya sekolah pertama saya ialah Tadika Dengir ketika itu saya dibimbing oleh Cikgu Limah Daud. Alhamdulillah, saya sudah boleh membaca ketika itu usia 6 tahun. Arwah Pa suka belikan saya komik Bujal atau Bambino. Apabila naik darjah 1 di SK Pusat Jerteh, arwah Pa mula belikan saya majalah Dewan Pelajar. Terima kasih pa.

Ketika dalam darjah 1-4 di SKPJ, saya masih ingat cikgu-cikgu saya terutama Cg Fatimah, Cg Khadijah, Cg Zaid, Cg Wan Bahari, Cg Sofia, Cg Adnan, Ust Mariam...dan kini mereka ramai yang sudah pun bersara ataupun sudah meninggal dunia?? Jasamu cikgu akan saya kenang hingga akhir zaman.

Darjah 5-6 saya berpindah ke SK Tg. Mahmud (kini sekolah anak-anak)..Apa khabar Cikgu Ali Akbar (matematik), Cikgu Rabiatul Adawiyah pula telah dijemput ilahi tahun lepas. Mujurlah saya sempat memeluk dan mencium tangannya semasa bertemunya ketika menjadi guru kontrak 2 tahun lepas. Beliau banyak mengajar saya erti keberanian dan kehidupan. Terima kasih cikgu. Cikgu Rosnani apa khabar? Cikgu Basir? Cikgu Mat Yusof...Kadang-kadang, saya jadi terharu adakah sedetik masa nanti anak-anak didik saya mengingati saya? YM Engku Taib, guru besar saya masih kuatkan cikgu?

1981-87 mengisi usia remaja bersekolah di Kuala Terengganu..Terima kasih Cg Rose Hazlifah, Ust Zainun, Cg Sakinah, Cg Rosnah, Ust Hawiah, Ust Habidah, Cg Ismail, Cg. Sulaiman (SMA Khairiah). Jua cikgu SMA Sultan Zainal Abidin, K.Trg terutama Cg Zaleha, Cg Hilmiah, Teacher Halina, Cg Md. Radzi (Math), Cg Ariffin (Sains), Us. Ghazali, Us. Samad (fiqh), Cg Musa, Cg Md Yakin (banyak bantu pidato piala diraja), Cg Aziz Wahid (pingpong), Us Aziz 3A, Cg MYO, Cg Latif, Cg Mohd Yusof, Cg Man Seni (buku teks), Cg Habsah (pg. am), Us YM Eg. Alwi, Ust. Fahzah (Bhs. Arab)..dan ramai lagi sehingga tidak terhitung. Saya akan ingat dan kenang jasa cikgu selamanya. Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu!

Sempena hari guru hari ini 16 Mei 2009 saya ucapkan "selamat hari guru cikgu!". Tanpa cikgu saya tidak mungkin menjadi insan seperti hari ini. Maafkan salah silap saya. Ya Allah, rahmatilah guru-guruku ini. Selamatkanlah hidupnya di dunia dan akhirat.

Terima kasih cikgu. Panjang umur jumpa lagi.

Selamat Hari Guru 2009 Semua Guru..

Selamat Hari Guru 2009. Selamat Hari Guru buat Tuan Pengetua dan mantan-mantan pengetua. Selamat Hari Guru untuk Guru Penolong Kanan. Selamat Hari Guru buat rakan seperjuangan. Selamat Hari Guru Cikgu Fariza Nurbaya & Cikgu Mohamad Affandi, Cikgu Wan Abdullah & Ustazah Jailami, Ustaz Amirizal & Ustazah Insijam, Cikgu Zainul Abidin & Cikgu Nasirah, Encik Muhammad Asruf & Cikgu Fazurina, Ustazah Rabihah, Cikgu Jamaliza & Cikgu Nur Aini, Cikgu Muhammad Auzan, Ustazah Nor Azimah & Cikgu Amir Azha, Cikgu Che Yam & Cikgu Ambran, Cikgu Siti Aminah, Cikgu Abadah, Cikgu Roslaili, Ustazah Sh. Norhaidah, Ustazah Kay, Ust. Yusnida dan ramai lagi cikgu itu, cikgu ini, ustazah itu dan ustaz ini.. "Guru Pembina Negara Bangsa".

Wassalam.
(Istimewa Selamat Hari Guru Ustaz Termezi)

Selasa, Mei 12, 2009

Guru Oh Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada semua guru khususnya buat ayahandaku Hj Muhammad Abdullah)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

'Tragedi' Mei,2009

Assalamualaikum.

Macam yang selalu saya tuturkan di sini bahawa Malaysia sentiasa ada hari istimewa. Yang terbaru ialah Hari Ibu 2009. Itu tidak termasuk hari jadi suku sakat yang banyak terjadi dalam bulan Mei ini. Selamat Hari Jadi untuk Abang Nd, Zul, Umi Nor, Kak Waina dan Acheq. Wah!Wah! Boleh pakat buat 'jamuang' ni. Yalah..rakyat Malaysia bukankah rakyat yang hidup untuk makan. Bukannya makan untuk hidup.

Gurau saja suku sakat semua..saya sebenarnya amat suka mengingat hari jadi semua. Siap save dalam handphone lagi. Suka melihat orang lain gembira menerima ucapan. Nak beri hadiah istimewa bimbang tak terberi pula. Jadi, sekadar ingatan dan ucapan boleh dititipkan melalui sms, e-mail dll.

Ok, semoga berbahagia dilahirkan ke dunia. Menjadi insan cemerlang, gemilang, terbilang fiddunya wal akhirah.

Sabtu, Mei 09, 2009

SELAMAT HARI IBU 2009!

Salam rindu buat ibu-ibu di seluruh dunia. Selamat Hari Ibu 2009. Sebenarnya sambutan hari ibu ini saya hanya tahu apabila saya menjadi ibu. Bagi saya hari ibu - biasalah! Tapi, apabila usia saya kian bertambah dan anak-anak makin membesar saya merindukan ucapan hari ibu dari anak-anak. Kadang-kadang, kalau dapat 'hadiah' pun kira ok. Paling tidak pun ada makan-makan di restoran kegemaran.

Emm, dalam hidup ini saya dilahirkan oleh seorang ibu Hasmah binti Awang namanya. Beliau lahir ke dunia ini tanggal 21.10.1947. Selamat hari ibu ma. Malam ini bonda bertolak ke Melaka. Nampaknya hari ibu disambut di Melaka. Halalkanlah setitik air susumu untuk membesarkan daku...tak terbalas jasa dan pengorbananmu ma.

Oleh kerana saya juga menjadi ibu kepada anak-anak saya, saya ucapkan selamat hari ibu kepada saya sendiri. Tahniah kerana saya berjaya menjadi ibu yang pandai berleter kepada anak-anak. Saya WAJIB bersabar jika ingin menjadi ibu yang hebat cemerlang dan gemilang di dunia dan akhirat.

SELAMAT HARI IBU.

Isnin, April 20, 2009

Sekadar Bayangmu Tan Sri Dato' Wira Abdul Rahman Arshad

Selamat datang ke sekolah kluster kecemerlangan SMK Tg Mahmud buat Tan Sri Dato' Wira Abdul Rahman Arshad mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sedetik masa dahulu. Saya cukup teruja sebenarnya untuk bertemu dengan beliau lewat kehadirannya di sini semalam. Sayangnya saya hanya berpeluang melihat bayangnya dari kejauhan. Malang sekali kerana kehebatannya tidak dikongsi bersama warga guru di sekolah hamba.

Emm, tak mengapalah.Semoga umur panjang kita bisa bertemu kembali.

SEPI itu indah

Sepi itu indah dan mengasyikkan. Menyepi bukan bererti lari tapi merehatkan diri untuk mencipta satu realiti. Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui bahawa setiap masa yang berdetik seboleh mungkin saya ingin berkongsi sejentik rasa setiap masa dan ketika. Tapi, apakan daya saya hanya insan biasa yang cukup lemah di sisiNya.
Namun, hakikatnya usia yang makin 'senja' ini saya amat terasa masa itu terlalu pantas meninggalkan saya terkontang sendirian.
Wassalam. Jumpa lagi dalam sepi.

Jumaat, Mac 13, 2009

PTK datang lagi..

Salam PTK buat warga pendidik seluruh negara, seluruh dunia. Tapi, PTK satu-satunya peperiksaan untuk cikgu-cikgi kat Malaysia...3-4 hari lagi kita pakat menduduki peperiksaan PTK. Saya ni sudah masuk kali kedua PTK DG44. Sempat melalui fasa 1 iaitu PTK dengan cara PSK dan UAK bergebang selama 8 hari di hotel-hotel terpilih. Sekarang fasa II, PTK DG44 diubah kepada soalan aneka pilihan.

Semalam keputusan SPM 2008 diumumkan di seluruh negara, esok lusa warga cikgu pula akan menduduki peperiksaan. Ulangkaji?? Belajar??Study group?..saya masih tidak nampak jalan mana yang harus dituju. Adalah baca majalah pendidik. Itu pun majalah pinjam. Harap-harap 'akan ada sesuatu di sebalik sesuatu'.

Tahniah untuk teman-teman yang mendapat keputusan cemerlang dalam PTK Ulangan 2/2008. Hjh Ramlah Mohd, Hjh Mahani Mohamad dan Hjh Rohani Ishak berjaya memperoleh IV-IV.

Selamat menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan pada 17-19 hb. Mac 2009. Ingat!! Jalan mesti ke depan bukan undur ke belakang. Wassalam.

Rabu, Mac 11, 2009

Terima kasih!

Alhamdulillah, sekali lagi saya bersyukur kepada Allah swt kerana saya masih diberi pinjaman alat pernafasan olehNya bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan di dunia yang fana' ini. Hari ini, saya diberi amanah untuk merealisasikan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Walaupun saya memang tidak tahu sejauh mana 'impak' kepada murid-murid, tapi saya amat percaya bahawa jiwa yang kosong ini mesti disumbat dengan makanan rohani yang jarang-jarang dicari oleh manusia.

Justeru, hasil wahdah yang jitu gabungan tenaga, idea dan pendapat kami berjaya ke noktah terakhir majlis tersebut tepat sebagaimana yang dirancang dan dijadualkan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syukran jazilan li kulli 'krew' hadiah dan cenderamata, jong kaka bunga rampai dan susun atur dewan Jubli Emas, ajk yang sentiasa selamat dan tidak selamat, mudarris yang bersengkang 'mata' mendengar ceramah dan mualim yang sampai meleleh liur terlena di dalam air-con di bilik guru (tak turun le tu..!!) dan semua anak-anak cilik tg. satu yang sudi mendendangkan lagu 'salamun salam' seiring gendang dan kompang di majlis penuh barakah ini. Insya Allah.

Terima kasih Cikgu Hj Man kerana menyisipkan kata-kata 'tahniah' kepada saya dan sahabat selaku jong penggerak. Apa-apa pun, mujur Pn Hjh Nathrah Awang Teh sentiasa murah memberi apa yang patut diberi terutama 'fulus'. Fulus woii..tak ada fulus semua tak jadi.
Terima kasih semua.(Penceramah kita Hj Hamzah Hamat, jurukuiz kita Hjh Mahani dan pemimpin kompang Pn Shaidati Qamar). Panjang umur jumpa lagi tahun depan.

Sabtu, Mac 07, 2009

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1430H


You are the Sunshine brigthens the Day
You are the Moonlight guiding our way
Peace Be Upon You Messenger of Allah
"Wahdah Pemangkin Khaira Ummah"

Jumaat, Mac 06, 2009

Selamat Hari Jadi!

Salam hari jadi buat sesiapa yang lahirnya bulan Mac (jua bulan januari dan februari) ini. Salam hari jadi walaupun terlewat untuk Kekanda Jailami, Abang Loh, Anakanda Abu Zarr Al-Ghifari, Anakanda Ezdiani. Adinda Nasirah pula, "Selamat Hari Jadi yang ke-36" pada 15.03 nanti (moga selamat kandungan dan bersalin). Salam hari jadi dan semoga panjang umur dimurahkan rezeki. Salam hari jadi semoga iman dan taqwa kian bertambah seiring usia yang pasti bertambah.
Sedapnya...: Kek Hari Jadi Ezdiani
1 Mac baru-baru ini, anakanda sulung berismu Nuzul Badree binti Termezi telah genap 15 tahun usianya. Selamat hari jadi anakandaku. Bonda senantiasa doakan agar anakanda dipanjangkan umur dan menjadi muslimah yang beriman dan bertaqwa. Menjadi pejuang untuk kemenjadian diri seorang insani. Bonda doakan agar anakanda sentiasa bijak memilih 'intan' dan 'permata' dalam pergaulan. Berhikmah menentukan matlamat masa depan.

Hujung bulan ini, akan tiba 'selamat hari jadi' untuk teman sebantal. Tentulah saya akan doakan dia agar bahagia di dunia dan akhirat...dulu-dulu saya akan kirimi sekeping kad hari jadi. Saya akan kirim melalui pos. Masa berubah..dunia sms tiba. Saya hantar gambar hari jadi beserta ucapan yang indah. Masa untuk membeli kad kian jauh. Kini, mungkin saya hantar kad melalui e-mail. Tapi, hakikatnya setiap tarikh itu sentiasa kekal dan terpahat dalam memori. Cuma, bila hari jadi saya..saya akan ucapkan hari jadi sendiri. Hantar ucapan sendiri. Dan membeli 'hadiah' sendiri kerana harijadi dan hari gaji sentiasa lambat lagi.

Selamat hari jadi!

Khamis, Februari 26, 2009

"Beruk! Beruk!! Lari..."

Nampak tajuknya macam kurang ajar saja. Kalau kecik2 dulu tentu sudah kena rotan menyebut kalimat itu. Sebenarnya begini, saya tidak tahu sungguh bahawa jiran bonda saya ada partner seekor 'beruk betino'. Jiran melepaskan 'beruk'nya untuk makan angin setiap sore. Kelmarin, semasa saya dan kekanda Jay menghabiskan waktu petang dengan pingpong, tetiba beruk tu muncul di tepi pagar sambil menuju ke arah kami. Anak-anak yang melihat hal itu bertempik takut. Maklumlah mereka tidak pernah seumur hidup berkawan dengan makhluk berbulu itu.

Hendak dijadikan cerita, di seberang jalan rumah bonda, adik lelaki bongsu and the gang buat aktiviti jual burger. Kebetulan ketika 'beruk' berjalan-jalan itu, ada pelanggan sedang menunggu order burger. Apa lagi, kekanda Jay yang terkejut melihat sang 'be***' itu dengan kuat berkata,"Beruk! Beruk!! Lari..." (ditujukan buat anak-anak sebenarnya). Tapi pelanggan burger tentu dah salah faham. Kami bukannya kata pada mereka. Akhirnya mereka start kereta tak jadi beli burger.

Moral of the story?? Takkanlah kami nak panggil orang dengan nama 'beruk' pulak. Astaghfirullah. Sesungguhnya saya dan kami tiada niat ke arah itu. Wallahu a'lam.

Isnin, Februari 16, 2009

Sayonara Tn Haji Mhd Ramli Che Mat!!

Kenangan: Sedetik masa bersama Ayahanda Mhd. Ramli
Sebenarnya, tidak tahu dari arah mana saya harus mulakan 'sedetik masa' bersama pengetua SMK Tengku Mahmud yang satu ini. Pejam celik pejam celik, hari ini tercatat satu lagi peristiwa Tn Haji Mhd Ramli Che Mat akan bertukar ke SMKPNZ (pertukaran yang entah kali ke berapa..) dan pihak kami menyambut ketibaan seorang pengetua dari PPD. Jauh di sudut hati ini terbenam satu perasaan yang teramat sayu untuk berpisah dengan ayahanda Hj Mhd Ramli Che Mat. Bagi saya, beliau adalah umpama seorang ayah yang amat disayangi oleh warga sekolah. Kebetulan beliau merupakan sahabat arwah ayahanda saya sedetik masa dahulu.

Walau masa bersama cukup sekejap tapi ikatan umpama ayahanda sendiri tidak dinafikan cukup menyentuh jiwa. Sungguh! Saya tidak dapat menahan air mata ini saat mengiringi pemergiannya.

Saya doakan semoga ayahanda Hj Mhd Ramli Che Mat dianugerahkan kekuatan dan keberkatan hidup walau di mana pun tn haji berada. Barakallahu laka.

Sabtu, Februari 14, 2009

Kisah Jeruk Pala Campur Pulau Pinang

Syukur alhamdulillah dengan izin dan 'inayahNya, taufiq dan hidayahNya saya dapat menulis lagi dalam catatan 'sedetik masa sejentik rasa' ini. Jam 4.00 pagi tadi saya selamat sampai ke teratak saya setelah keluar dari 'sarang' selama 2 hari..( dua malam di atas bas- sekarang masih sakit dan sengal tulang belakang), kerana mengikuti lawatan sambil mencari -cari maklumat di negeri Kedah dan Pulau Pinang. Terima kasih kepada Tn Pengetua dan guru-guru MRSM PDRM Kulim dan High School Bukit Mertajam. Jua kepada Timbalan Dekan dan pensyarah Seni di USM dari School of arts..atas layanan yang memberangsangkan walaupun lenguh melihat cara tuan-tuan bertutur dengan lemah gemalai walaupun anda adalah lelaki. Alahai..seni itu abstrak 'kunun'nya.
Lawatan:Bergambar di pintu masuk MRSM PDRM Kulim
Ok..kita tinggalkan hal itu. Saya cuma nak ceriterakan perihal ketika mencari ole-ole untuk dibawa pulang ke daerah tercinta. Orang kata kalau ke P.Pinang tak sah kalau tiada jeruk. Lalu saya dan kawan-kawan meninjau dari segenap jalan dan lorong untuk mencari jeruk yang bersih, berkualiti dan terjamin buatannya. Masya Allah, saya tak jumpa. Kalau pun ada jeruk yang dijual oleh kaum Cha Ya Nun Alif yang...alahai tak tahulah saya. Sempat saya tengok tuan jeruk mengaup buah dari tong yang besar dengan menggunakan tangannya sahaja tanpa memakai sarung tangan atau menggunakan 'cetong'. Niat untuk membeli terus berkubur. Kalaulah tidak memikirkan kiriman adinda Bi yang sedang mengandung anak sulung sudah pasti saya tak akan beli. Tapi, saya beli juga 2 bungkus..setelah berkali-kali pesan agar adinda Bi mesti basuh terlebih dulu.

Kesimpulannya, saya tidak akan lagi memakan buah-buah jeruk itu sehinggalah saya yakin kebersihan dan mutu ke'halal'annya. Berhati-hati.. Mencari makan di sini juga agak susah bukan tiada kedai makan tetapi kebersihannya cukup meloyakan anak tekak.

Walaupun begitu, kalau saya pi Pulau Pinang lagi tentu saya akan singgah di 'Restoran Nasi Kandar PELITA' (sedap dan bersih!!). Sayonara Pulau Mutiara!!

Jumaat, Februari 06, 2009

Cara Mendidik Anak Siri 1

Assalamau'alaikum. Tuan-tuan dan puan-puan, adik kakak yang disayangi..Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari peradaban di bawah.
Di antara adab-adab dalam mendidik anak adalah sebagai berikut:
1. Hendaknya anak dididik agar makan dengan tangan kanan, membaca basmalah, memulai dengan yang paling dekat dengannya dan tidak mendahului makan sebelum yang lainnya (yang lebih tua). Kemudian cegahlah ia dari memandang makanan dan orang yang sedang makan.
2. Perintahkan agar mereka tidak tergesa-gesa dalam makan. Hendaklah dia mengunyah dengan baik dan jangan memasukkan makanan ke dalam mulut sebelum habis yang di mulut. Suruh agar berhati-hati dan jangan sampai mengotorkan pakaian.
3. Hendaknya dilatih untuk tidak bermewah-mewah dalam makan (harus pakai lauk ikan, daging dan lain-lain) supaya tidak menimbulkan kesan bahawa makan harus dengannya. Juga diajar agar tidak terlalu banyak makan dan memberi pujian kepada anak yang demikian. Hal ini untuk mencegah dari kebiasaan buruk, iaitu hanya mementingkan perut saja.
4. Ditanamkan kepadanya agar mendahulukan orang lain dalam hal makanan dan dilatih dengan makanan sederhana, sehingga tidak terlalu cinta dengan yang enak-enak yang akhirnya akan menyusahkan anak untuk melepaskannya.
5. Sangatlah baik jika ia memakai pakaian berwarna putih, bukan warna-warni dan bukan dari sutera. Dan ditegaskan bahawa sutera itu hanya untuk kaum wanita.
6. Jika ada anak lelaki memakai sutera, kita hendaklah menegahnya. Demikian juga jika dia isbal (menjulurkan pakaiannya hingga melebihi mata kaki). Janganlah sampai anak-anak terbiasa dengan hal-hal ini.
7. Jagalah mereka dari bergaul dengan anak-anak yang biasa bermegah dan bersikap angkuh. Jika hal ini dibiarkan maka ketika dewasa nanti ia mungkin akan berakhlak demikian. Pergaulan yang jelek akan berpengaruh bagi anak. Boleh jadi setelah dewasa ia memiliki akhlak buruk.
8. Wajib ditanamkan rasa cinta untuk membaca al Qur'an dan buku- buku, terutama di perpustakaan. Membaca al Qur'an dengan tafsirnya, hadis-hadis Nabi dan juga ilmu-ilmu lain. Hendaklah menghafal nasihat-nasihat yang baik, sejarah orang-orang salih dan kaum zuhud, mengasah jiwanya agar senantiasa mencintai dan meneladani mereka.

9. Mereka hendaklah dijauhkan dari syair-syair cinta yang hanya sekadar menuruti hawa nafsu, kerana hal ini dapat merosak hati dan jiwa.

10. Biasakanlah mereka untuk menulis indah (khat) dan menghafal syair-syair tentang kezuhudan dan akhlak mulia. Itu semua menunjukkan kesempurnaan sifat dan merupakan hiasan yang indah.

....bersambung dalam terbitan akan datang, insya Allah.

Ahad, Februari 01, 2009

Hari Persahabatan Sedunia

Malam tadi bertalu-talu sms masuk ke 'hp tua' saya lewat bunyinya begini, "Persahabatan itu seperti tangan dengan mata. Saat tangan terluka mata menangis. Saat mata menangis tangan menghapusnya.. SELAMAT HARI PERSAHABATAN SEDUNIA. Kirim ini kepada semua teman yang disayangi. Lihat berapa banyak anda dapat balasan, kalau lebih dari tujuh bererti U ARE LOVEABLE. Take care".

Lalu mulalah tangan saya meng'forward' sms itu kepada rakan taulan saya walau di mana pun mereka berada di darat dan di lautan, udara dan pergunungan. Dan..tertunggu-tunggulah diri saya 'kot-kot' saya akan dapat paling tidak 10 balasan. Hemm, malangnya sehingga embun menitis dan tulang belulang saya perlu di selimut dengan gebar malam saya hanya layak mendapat 4 sms. Saya tidak kecil hati tapi saya naik hairan bin ajaib itu sahajakah nilai saya pada mata mereka? Sedih juga rasanya...teman sekatil saya sudah mula bersuara entah apa yang ditunggu malam-malam buta begini. Terkebil-kebil katanya. Kalau mata dinda masih belum mahu pejam pergilah ambil wudu'. Bangun solat sunat ke..baca qu'ran ke..

Oleh kerana 'syaitan' lebih kuat menggoda saya, saya paksa mata saya untuk pejam. Tatkala saya bangun pagi ini (walaupun bukan jam 4.30 am..) ada lagi beberapa sms persahabatan. Entah betul ada atau tidak hari persahabatan sedunia. Rasa saya 'hari permusuhan sedunia' sentiasa ada. Hari-hari kita baca negara itu musuh negara ini. Dan lagi banyak hari-hari sedunia yang kita suka sambut. Ada hari ibu, hari bapa, ada hari kanak-kanak, hari AIDS pun ada, hari jualan murah jangan ceritalah, hari ayam serama (ada??), hari kekasih, hari penjenayah? tak tahu pula saya kalau ada hari penjenayah. Hari itu bolehlah ditauliahkan sebagai hari penjenayah rehat-rehat sambil minum 'kopi secawan'. He he ...

Walau apapun, saya menghargai hari persahabatan sedunia. Terima kasih buat sahabat-sahabat saya yang sentiasa mengingati saya walaupun sekadar menulis 'terima kasih' bagi menyatakan persahabatan dalam facebook. Tetapi siapa pun sahabat saya suami sayalah sahabat yang terbaik buat saya. Dia sentiasa ada ketika saya memerlukan..ketika saya menangis dialah yang menyapu si air mata..ketika saya gembira dialah yang lebih gembira kerana katanya isteri adalah rusuk suami, gembira dia gembiralah suami. Sedih dia sedihlah suami. Iya ke?

Selamat Hari Persahabatan Sedunia dari saya.

Sabtu, Januari 31, 2009

Sejentik Rasa Mengenal Waliyullah Uwais al-Qarni

Sudah hampir 7 tahun saya mengajarkan tajuk 'Orang Beriman Kekasih Allah' dalam bahagian hadith Nabi SPM Tingkatan 5. Saya tidak pernah merasa jemu untuk mengajarkan tajuk ini kepada murid-murid saya yang sentiasa dahagakan ilmu (tapi, saya tidak pasti sejauh mana ilmu saya dipanjangkan...). Orang beriman kekasih Allah dirujuk kepada golongan waliyullah yang merupakan manusia biasa tapi amalannya amat luar biasa. Dalam buku teks cuma ada sedikit huraian mengenai contoh waliyullah antaranya ialah Uwais al-Qarni dan Hassan al-Basri.

Murid-murid saya selalu mendesak saya ceritakan siapakah Uwais al-Qarni,.."Ala ustazah, cepatlah ceritakan sedikit siapa dia Uwais al-Qarni"

Saya kata:" Awakkan selalu mengadap komputer, email sini sana, friendster keliling kelalang cuba search perihal Uwais al-Qarni". Bukan saya tidak boleh memberitahu akan hal itu tetapi saya sebagai guru mahu agar murid-murid saya berusaha mencari ilmu. Oleh kerana kalau tunggu mereka cari nampaknya SPM nak dekat pun tak jumpa lagi. Saya menceritakan sedikit tentang Uwais di sini..

Pernah seorang yang bernama Rabi’ bin Khutsaim berkata, "Aku pergi ke tempat Uwais al-Qarni, aku mendapati beliau sedang duduk setelah selesai menunaikan solat Subuh." Aku berkata (pada diriku), "Aku tidak akan mengganggunya dari bertasbih. Setelah masuk waktu Zuhur, beliau mengerjakan solat Zuhur. Dan begitu masuk waktu Asar beliau solat Asar. Selesai solat Asar beliau duduk sambil berzikir hingga tiba waktu Maghrib. Setelah solat Maghrib beliau menunggu waktu Isya’, kemudian solat Isya’. Selesai solat Isya’ beliau mengerjakan solat hingga menjelang Subuh. Setelah solat Subuh beliau duduk dan tanpa sengaja tertidur. Tiba-tiba saja beliau terbangun. Ketika itu aku mendengar dia berkata, "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari mata yang senang tidur, dan perut yang tidak merasa kenyang."

Masya Allah..Inilah sedikit catatan tentang Uwais. Banyak lagi kisahnya yang telah saya riso dan beri kepada murid saya. Tanpa saya sedari air mata saya mengalir membayangkan betapa hebatnya Uwais al-Qarni kerana pernah Nabi saw mewasiatkan sahabatnya agar mencari Uwais al-Qarni setelah kewafatannya. Beliau tidak dikenali oleh manusia di bumi tetapi amat dimuliakan di langit.

Jumaat, Januari 30, 2009

Malaikat Suka Bertandang Rumah Kita Sekiranya....

Tidak ada seorang muslim pun yang tidak menginginkan rumah mereka senantiasa dihadiri oleh para malaikat Allah dan dijauhkan dari syaitan. Kehadiran mereka di rumah kita akan melahirkan aura ketenteraman, kesejukan dan kedamaian rohani yang mengalir di rumah kita. Kehadiran mereka akan membuat rumah kita laksana syurga. Di antara para malaikat itu ada yang sengaja mengelilingi untuk menebarkan rahmat dan kedamaian di tengah manusia sebagaimana syaitan berkeliling untuk menebarkan kejahatan di tengah mereka. Rumah bagaimana yang akan dihadiri para malaikat itu?

Di antaranya ialah :

1. Rumah yang diliputi zikir kepada Allah yang di dalamnya ada ruku' dan sujud
2. Rumah yang senantiasa bersih
3. Rumah yang penghuninya adalah orang-orang yang jujur dan menepati janji
4. Rumah yang dihuni oleh orang-orang yang senantiasa menyambung tali silaturahim
5. Rumah yang dihuni oleh orang yang makanannya halal
6. Rumah yang dihuni oleh orang yang senantiasa berbuat baik kepada kedua orang tuanya.
7. Rumah yang senantiasa ada tilawah Al-Quran
8. Rumah yang dihuni oleh para penuntut ilmu
9. Rumah yang penghuninya ada isteri solehah
10. Rumah yang bersih dari barang-barang haram
11. Rumah yang dihuni oleh orang yang rendah hati, sabar, tawakal, qana’ah, dermawan, pemaaf yang senantiasa bersih lahir batin dan para penghuninya makan tidak terlalu banyak .

Kalau begitulah caranya agar rumah kita diziarahi para malaikat marilah kita sama-sama membuat persediaan lebih tertib agar mereka sentiasa bertandang ke rumah kita. Wallahua'lam. Wassalam.

Selasa, Januari 27, 2009

Sedetik Masa Bersama Gerhana Matahari

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam yang kerana Dialah kita dapat hidup di atas muka bumi yang teramat indah ini. Semalam tanggal 26.01.2009 (Isnin) saya dapat menyaksikan satu fenomena alam iaitu gerhana matahari separa yang boleh dilihat di Semenanjung Malaysia.

Sebenarnya, bercakap tentang gerhana matahari saya akui amat jarang dapat menyaksikannya secara 'live'..7-8 tahun lepas saya pernah melihat gerhana bulan. Melihat gerhana bulan tidaklah menyilaukan sangat mata berbanding melihat gerhana matahari. Saya juga sempat solat gerhana bulan bersama budak-budak asrama smkkb dengan diimamkan oleh Allahyarham Hj Nordin Jaafar. Berbalik gerhana matahari ini, saya sempat melayangkan sms kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat agar fenomena ini dapat dihayati dengan penuh kesyukuran dan ketakjuban.

Di Malaysia, kita hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa sahaja, iaitu hanya sebahagian matahari sahaja yang akan terlindung oleh Bulan. (Foto di atas merupakan contoh keadaan Gerhana Matahari Separa).

Di Malaysia, permulaan gerhana adalah pada jam 4.31 petang, di mana ketika itu, matahari akan mula kelihatan 'sompek' sedikit kerana Bulan sudah mula melindunginya. Puncak gerhana berlaku pada jam 5.50 petang, di mana 72% matahari akan dilindungi Bulan. Kemudian Bulan akan perlahan-lahan keluar daripada Matahari dan gerhana pun tamat pada jam 6.58 petang. Secara umumnya, suasana tidak akan kelihatan gelap seperti Gerhana Penuh, tetapi kita mungkin akan dapat merasa keadaan seperti redup sedikit, walaupun ketika itu Matahari kelihatan seperti memancar macam biasa di langit.

Kali terakhir rakyat Malaysia menikmati suasana Gerhana Matahari ialah pada tahun 1998, iaitu pada 22 Ogos di mana pada ketika itu, Gerhana Matahari Cincin telah berlaku di tanahair kita.

Oklah. Saya kira sekadar itu sahaja info dalam sedetik masa saya ini buat tatapan sendiri dan orang lain. Sekian, Wasssalam. Jumpa lagi.

Jumaat, Januari 23, 2009

Hebatnya Kekasih-kekasih Allah SWT (Waliyullah)

Sepunyit kisah ciri-ciri Wali Allah SWT..Semoga dapat dijadikan sandaran dalam dunia yang hanya persinggahan ini. Kalaupun tidak sampai setaraf wali, kita cuba jadi yang terbaik dalam hidup ini.
Imam Ghazali menyebutkan: "Allah pernah memberi ilham kepada para siddiq: "Sesungguhnya ada hamba-hambaKu yang mencintaiKu dan selalu merindukan Aku dan Akupun demikian. Mereka suka mengingatiKu dan memandangKu dan Akupun demikian. Jika engkau menempuh jalan mereka, maka Aku mencintaimu. Sebaliknya, jika engkau berpaling dari jalan mereka, maka Aku murka kepadamu. " Tanya seorang siddiq: "Ya Allah, apa tanda-tanda mereka?"

Firman Allah: "Di siang hari mereka selalu menaungi diri mereka, seperti seorang pengembala yang menaungi kambingnya dengan penuh kasih sayang, mereka merindukan terbenamnya matahari, seperti burung merindukan sarangnya. Jika malam hari telah tiba tempat tidur telah diisi oleh orang-orang yang tidur dan setiap kekasih telah bercinta dengan kekasihnya, maka mereka berdiri tegak dalam solatnya. Mereka merendahkan dahi-dahi mereka ketika bersujud, mereka bermunajat, menjerit, menangis, mengadu dan memohon kepadaKu. Mereka berdiri, duduk, ruku', sujud untukKu. Mereka rindu dengan kasih sayangKu. Mereka Aku beri tiga kurniaan: Pertama, mereka Aku beri cahayaKu di dalam hati mereka, sehingga mereka dapat menyampaikan ajaranKu kepada manusia. Kedua, andaikata langit dan bumi dan seluruh isinya ditimbang dengan mereka, maka mereka lebih unggul dari keduanya. Ketiga, Aku hadapkan wajahKu kepada mereka. Kiranya engkau akan tahu, apa yang akan Aku berikan kepada mereka?"
Rujukan:- Nahjul Balaghah hal 595 dan Al Hilya jilid 1 hal. 80 Ihya' Ulumuddin jilid IV hal 324 dan Jilid I hal 358 10.
Wali-wali Allah suka menangis dan mengingat Allah. ‘Iyadz ibnu Ghanam menuturkan bahwa ia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Malaikat memberitahu kepadaku: "Sebaik-baik umatku berada di tingkatan-tingkatan tinggi. Mereka suka tertawa secara terang, jika mendapat nikmat dan rahmat dari Allah, tetapi mereka suka menangis secara rahsia, kerana mereka takut mendapat siksa dari Allah. Mereka suka mengingat Tuhannya di waktu pagi dan petang di rumah-rumah Tuhannya. Mereka suka berdoa dengan penuh harapan dan ketakutan. Mereka suka memohon dengan tangan mereka ke atas dan ke bawah. Hati mereka selalu merindukan Allah. Mereka suka memberi perhatian kepada manusia, meskipun mereka tidak dipedulikan orang. Mereka berjalan di muka bumi dengan rendah hati, tidak congkak, tidak bersikap bodoh dan selalu berjalan dengan tenang. Mereka suka berpakaian sederhana. Mereka suka mengikuti nasihat dan petunjuk Al Qur'an. Mereka suka membaca Al Qur'an dan suka berkorban. Allah suka memandangi mereka dengan kasih sayangNya. Mereka suka membahagikan nikmat Allah kepada sesama mereka dan suka memikirkan negeri-negeri yang lain. Jasad mereka di bumi, tapi pandangan mereka ke atas. Kaki mereka di tanah, tetapi hati mereka di langit. Jiwa mereka di bumi, tetapi hati mereka di Arsy. Roh mereka di dunia, tetapi akal mereka di akhirat. Mereka hanya memikirkan kesenangan akhirat. Dunia dinilai sebagai kubur bagi mereka. Kubur mereka di dunia, tetapi kedudukan mereka di sisi Allah sangat tinggi. Kemudian beliau menyebutkan firman Allah yang ertinya: "Kedudukan yang setinggi itu adalah untuk orang-orang yang takut kepada hadiratKu dan yang takut kepada ancamanKu."

Saya hanya insan biasa yang mengharap keredaanMu Ya Rabbi.

Jumaat, Januari 16, 2009

Berita Terkini Dari Gaza


Terkini : Menteri Dalam Negeri, Said Seyam terbunuh semalam. January 16, 2009
Jumaat ,16/01/2009 - Said Seyam, salah seorang pemimpin Hamas dan Menteri Dalam Negeri yang dilantik kerajaan Ismail Haneyya, terbunuh pada petang Khamis semalam bersama dengan anak lelaki beliau , abangnya dan isteri abang beliau dalam satu serangan udara Israel di sebuah rumah dalam kawasan Yarmouk di pusat bandar raya Gaza.

Sumber-sumber Hamas berkata , Seyam terbunuh apabila jet pejuang Israel mengebom rumah Sheikh Eyad Seyam, abang kepada Said Seyam semasa lawatan beliau ke rumah abangnya. Pengawal peribadi Said Seyam turut terbunuh.

Said Seyam dilahirkan pada 22 Julai 1959 di kem pelarian Shati’ barat bandar Gaza setelah keluarga beliau diusir pada tahun 1948 daripada kampung Jura berdekatan bandar raya Askalan. Beliau menamatkan pengajian di Maktab Perguruan di Ramallah pada 1980 dengan mendapat diploma mengajar sains dan matematik. Beliau memperolehi ijazah dalam Pengajian Islam daripada Jerusalem Open University pada 2000.Beliau mengajar pada sekolah-sekolah UNRWA di Gaza daripada 1980 sehingga 2003. Akibat tekanan oleh majikan kerana keterlibatan beliau di dalam politik, beliau terpaksa berhenti mengajar. Beliau merupakan bapa enam orang anak.
Takbir.Semoga Allah swt tempatkan beliau dalam kalangan para syuhada' yang tidak lain akan mendapat syurga.

Rabu, Januari 07, 2009

Puasa Sunat Bulan Muharam

Assalamualaikum. Nampaknya sepanjang cuti persekolahan 2008 banyak masa dihabiskan untuk makan. Bangun pagi saya mesti fikirkan apakah makanan untuk anak-anak pagi ini..tidak sampai setengah hari, saya kena fikir pula lauk apa yang hendak dimasak tengahari ini. Makan malam macamana pula?? Roti canai, 'Mee Kampung Pek', burger atau chicken chop?? dan lain-lain makanan alternatif selain nasi. Hasilnya, kami sekeluarga berjaya menaikkan berat badan . (Ops, kain sekolah anak terpaksa dibesarkan ukuran pinggang).

Justeru itu, saya rasa amat tidak adil kepada saudara Islam sedunia yang masih kelaparan, yang sentiasa ditindas oleh Israel Laknatullah.. . Apa khabar saudara saya di Palestin, Iran, Iraq..Sedangkan kami masih berenak-enak makan apa sahaja yang terfikir di kepala.

Sempena bulan Muharam 1430H ini marilah pula kita sama-sama menghayati sunnah Rasulullah s.a.w, dan keperitan saudara kita yang disiksa dan tersiksa di tanah air sendiri.

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat (puasa Asyura'). Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw.

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharam ini ialah:

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: (Apakah ini?). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: (Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Saya menyeru kepada diri saya, ahli keluarga saya dan semua umat Islam di dunia ini agar sentiasa mengambil yang baik sebagai jalan hidup kita. Jom puasa!!

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails