Sabtu, Mac 27, 2010

Semoga Panjang Umur ArjunaKu



Kek Hari Jadi Arjuna...Senyum Selalu
Salam 'Sedetik Rasa'. Alhamdulillah, hari Sabtu seperti hari ini bolehlah saya membereskan dua tiga perkara yang tidak selesai pada hari biasa. Setelah Sang Arjuna ke tapak Kem Jati Diri Kepimpinan sekolahnya di Pusat Ko bersama Abe Hariz, Kak Ngah pula ke perpustakaan, 'Inayatul ada temujanji dengan teacher Halida, maka tinggallah saya berdua dengan si bongsu (daun keladi).

Perkara pertama hendak guntingkan rambut si bongsu yang semakin tebal. Hampir besar rambut dari kepalanya. Alhamdulillah, kami singgah di Aniki Saloon dalam Pasar Jerteh. Rasanya hanya di sini perkhidmatan khusus untuk wanita muslimah. Banyak yang ada selalunya unisex. Si bongsu memang mahu ke sini sebab dalam pasar ini dia akan beli belon air tiup harga rm2.00. Macamlah tempat lain tidak ada.

Perkara kedua, saya ke Cosway yang terletak berhampiran trafik light menghala ke Hospital Besut. Mujurlah tiada pelanggan ketika itu. Tujuan utama membeli krim pati halia K'zanah. Dalam umur yang kian senja ini rasa seronok pula dibelai dengan krim panas itu. Sengal-sengal otot dan kejang urat pun boleh hilang apabila disapu. Apa yang penting, kalau disapu pada perut cukup melegakan. Ini bukan kempen....

Ketiganya, saya bercadang hendak ke SMO buat mencari sekeping kad hari jadi buat insan istimewa. Setahun dua ini saya banyak mengukir kad istimewa sendiri. Hari ini rasa rajin pula hendak membeli.. tapi, baru saja hendak membelok masuk jalan SMO saya kena ambil si anak pula. Jadi, hal itu tergendala sampai saat ini. Justeru itu, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan "SELAMAT HARI JADI UNTUK SUAMI TERCINTA".. Dengan iringan doa dan harapan agar Allah panjangkan usiamu untuk kebaikan. Agar iman dan taqwa makin kental dan teguh seiiring penambahan usia.

Justeru itu, sempena hari jadi arjunaku, saya sediakan masakan special iaitu gulai kawah.. (kita boleh makan bersama di rumah Ustaz raja Nordin sempena perkahwinan anaknya hari ini)....

Selamat hari jadi suamiku.

Jumaat, Mac 26, 2010

Banyaknya Masa Habis Angkara 'Facebook'

Salam kesedaran buat muslimin dan muslimat, mukminin wal mukminat al 'ahya'i minhum wal amwaat. Baru saya tersedar dari mimpi yang panjang angkara facebook. Betapa banyak masa terbuang dan dibuang mengenainya.

Syukurlah kerana di sebalik kelalaian dan kealpaan itu, Allah swt mengembalikan semula ingatan ini agar berpijak di bumi nyata. Terbayang-bayang saat diri ini mengungkapkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w lewat beberapa minggu lepas (di kelas 5J & 5S)...antara maksudnya, " sekiranya kamu berada pada waktu petang jangan kamu tertunggu-tunggu tibanya waktu pagi, sekiranya kamu berada di kala pagi jangan kamu menunggu tibanya waktu petang..." aah, terasa kerdilnya saya di sisi Allah.

Sore tadi, seusai 'menebos' bebola pingpong dengan kekanda Jay, dia juga mengungkapkan kata-kata serupa. Apa yang dia takut kalau-kalau berjumpa dengan 'kawan-kawan lama' dan takut terjerat dengan cinta cyber sebagaimana terpapar dalam arus perdana masa kini.

Bagi saya, soal menjerat atau terjerat mungkin perkara ke sepuluh, saya bimbang saya yang menjerat kawan-kawan lama saya mengingat nostalgia lama. Walau apa pun, dengan kesedaran yang saya ada ini Insya Allah semoga tiada tujuan lain yang tersirat melainkan sekadar menyambung silaturrahim yang kian terlena. Mungkin hari ini adalah hari terakhir saya membuka fb saya. Entahlah.......

Sekian, semoga saya sentiasa di bawah pertolongan Allah SWT di dalam segala kerja buat. Wallahu'a'lam.

Sabtu, Mac 20, 2010

Ayahanda Yang Istimewa

Pa....
Tanggal 15 hb. Mac empat lima hari lepas semasa saya dan kekanda Jay hendak bermain ‘rutin’ (pingpong) ada seorang pemandu teksi yang kemampusan enjin. Maaf, kekanda Fariza mesti marah kalau dia baca kisah saya dengan bahasa yang entah apa-apa ini. Tak apalah, asalkan cerita saya dapat difahami dengan mudah.

Berbalik pada kisah pemandu teksi itu, lantas kekanda Jay yang terperasan memberitahu saya bahawa pemandu teksi yang kemampusan enjin di depan rumah ibunda Hasmah bukan orang lain dengan kita. “Itu kalau tak silap mi, adik arwah pa tuh..!”. Masya Allah apa nak jadi dunia hari ini anak saudara tidak kenal bapa saudara. Lalu, saya memanggil bonda agar buat pengecaman. Maklumlah zaman sekarang bukan boleh buat peramah sangat. Maksud saya kena berhati-hati.

Rupa-rupanya memang betul tekaan kekanda Jay. Lelaki itu sememangnya adik arwah pa berlainan ibu. Kerjanya memang pemandu teksi. Ada kerja sampingan lain yang tak perlu saya catatkan di sini.. TETAPI lelaki yang bernama Mahasan bin Abdullah itu AMAT berbeza dengan arwah papa Haji Muhammad bin Abdullah (7.10.1944-23.06.2006). Berbeza bagaimana? Biar saya catatkan di sini :

1. Arwah Pa agak rendah tapi dia tinggi
2. Arwah Pa putih merah tapi dia hitam biru
3. Arwah Pa hidung tak berapa tinggi tapi dia ‘hidung tinggi’(mancung le..)
4. Arwah Pa banyak kemahiran tapi saya tak tahu kemahiran dia
5. Arwah Pa tidak pandai merokok tapi dia pakar merokok, buktinya semasa kami berbual di bawah pokok belimbing tempoh hari hampir sekotak rokok ditelan asapnya.

Kesimpulannya, memang saya masih ramai tidak mengenali anak-beranak sebelah arwah pa. Mungkin kerana adik-beradik arwah pa ramai yang bapa sama ibu lain-lain atau mak yang sama ayah pula lain. Bezanya arwah pa hanya tunggal dari bapa dan ibu. Itulah keistimewaan Pa. Terasa rindu pula apabila menyebut nama itu. (alfatihah buat Pa). Maka itu, kami anak-anak Pa merasa cukup bangga mempunyai ayah sepertimu.

Sekian, wassalam. Terima kasih Allah kerana mempertemukan kami dengan keturunan kami. Ampunkanlah dosa-dosa kami jika sekiranya kami tergolong dalam golongan yang menjarak silaturrahim.

Jumaat, Mac 12, 2010

Mari Berjenaka Sekejap

Udin pergi berjumpa doktor mengeluh tentang isterinya yang sudah hilang pendengaran.

"Seberapa burukkah pendengarannya?" tanya doktor.
"Entahlah, Doktor. Yang jelas saya mesti menjerit kalau nak berbual dengannya."

"Okey, cuba buat macam nie. Berdiri sejauh 6 meter darinya, lalu katakan sesuatu. Kalau dia tak boleh dengar kamu, berdirilah lebih dekat sedikit darinya, lalu katakan yang kamu katakan tadi. Kalau dia tidak juga dengar, dekatkan jarak sedikit demi sedikit. Dengan begitu saya akan tahu berapa jarak maksima pendengarannya."

Maka, Udin pulang ke rumah dan mendapati isterinya sedang memasak di dapur. Dari jarak 6 meter ia berteriak, "Makan apa kita malam ini?" Tak ada jawapan. Lalu dia jalan depan sedikit lagi, berhenti di jarak 5 meter dan menanyakan hal yang sama. Juga tak terdengar jawapan. Begitu juga pada jarak 3 meter.

Akhirnya, ia berdiri di samping isterinya.
"Makan apa kita malam ini?" katanya separuh menjerit.
Si isteri dengan mata yang berlinangan dengan air mata, lalu menjerit: "Untuk keempat kalinya aku beritahu, KARI KAMBING!!!!"

Selamat Bertemu Kembali X-Smaasza 1986-87

Gambar duduk dari kiri: Suhaimi, Ustaz Abdul Kadir, Cg. Hashim ( Pengetua Smaasza), Us YM Eg Alwi (Pengetua '87), Cg MYO & Us. Ya. Berdiri tengah dari kiri: Noor Salmina, Kamariah, ***,Ain, Kay, Hamilah, Ida & Rozita. Berdiri di belakang: Ilyas, Zul, Ghani,Suhaimi, Razif, W.Azahari, Wahab &Syed Syukri
Sebenarnya saya upload gambar ni dari fail kawan lama saya Abd. Ghani Yusof (AGY) dalam facebooknya. Kalau baca maklumat diri AGY ni, memang hebatlah gamaknya sekarang. Tak apa, saya doakan yang terbaik buat anda dan keluarga. Tapi, kerinduan saya pada kawan-kawan makin terasa pula sekarang. Harap kita dapat bertemu suatu masa nanti. Insya Allah.
Sekian. Wassalam.

Khamis, Mac 11, 2010

Tahniah SPM 2009

Tahniah dan syabas buat pelajar-pelajar SPM 2009 SMK Tengku Mahmud di atas keputusan yang boleh dianggap cemerlang. Saya hanya mengajar satu kelas SPM sahaja tahun lepas iaitu kelas 5 Ibnu Amir. Syukur kerana kelas 5A mencipta sejarah Terengganu kerana dua orang berjaya menerima anugerah pelajar terbaik SPM Terengganu 2009. Manakala lapan belas darinya berjaya memperolehi keseluruhan A. Apa pun semoga anda berjaya menjadi insan berguna selamanya.

Bagi yang kurang cemerlang, jangan putus asa dengan rahmat Tuhan. Setiap manusia sudah dijadikan Allah swt mempunyai kelebihan berbeza antara satu sama lain. Pastinya, kurang cemerlang bukan bermakna gagal.

Ok. Sekian. Jangan lupa bersujud syukur. Amin.

Isnin, Mac 08, 2010

Bukan Pangkat Yang Jadi Keutamaan

Salam. Saya manusia yang payah hendak marah orang lain. Tapi, kadang-kadang saya manusia biasa perasaan marah, keciwa, geram pasti ada. Sebelum saya meneruskan catatan ini saya sudah maafkan semua kesalahan orang lain terhadap saya. Saya juga berharap orang lain memaafkan salah silap saya selamanya. Amin.

Tadi ada kawan saya bertanya akan perihalnya gred DG48 bagi Guru Cemerlang. Mentang-mentanglah saya pernah memohon GC tahun lepas keputusannya belum maklum lagi..Ada ke patut dia suruh saya isi borang minta DG48 sekolah rendah. Apa jadahnya saya perlu mohon DG48 sekolah rendah setelah sekian lama berkubang di sekolah menengah. Saya tidak kemaruk post 48 sehingga terpaksa mohon biarpun dihanding ke sekolah rendah. Untuk pengetahuan tuan puan post DG48 di sekolah rendah hanya terbuka kepada guru-guru yang menyambung pelajaran yang kemudiannya berkhidmat di sekolah menengah dan ada beberapa syarat lagi. Sila rujuk laman web berkaitan dengan hal ini. kita bercakap mesti ada ilmu. Walaupun bergurau, bagi saya hal itu tidak boleh dibuat bahan gurauan.

Sebenarnya pengisian GC boleh sesiapa sahaja mengisi borang. Boleh! Tapi, bukan semua orang yang mengisi borang itu layak di'observe' atau diselia. Bermakna kalau borang kita lulus tapisan awal mungkin kita berhak diselia oleh Jemaah Nazir. Jadi jangan pandai-pandai menyusun atur kehidupan orang lain demi sebuah DG48. Bagi saya jawatan GC adalah jawatan yang telus untuk diterima pakai. Jangan kata 'kita orang hebat' boleh jadi GC semudah ABC. Kalau dapat alhamdulillah. Kalau tak dapat? Saya jawab kepada nazir yang observe saya.."kalau tidak dapat, saya tetap seperti ini. Berusaha meningkatkan mutu p&p bagi anak-anak didik saya kerana perjuangan kita masih belum selesai kecuali mati yang memisahkan perjuangan itu..."

Ok. Sampai ketemu lagi.Dada berdebar menanti keputusan spm 11 mac ini.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails