Rabu, Oktober 22, 2008

Doa Buat 5 Al-Biruni 2008

Entah mengapa melihat anak-anak didik di kelas, hati ini terasa sayu kerana mereka terlalu baik dan tulus dalam menghadapi hari-hari terakhir sebelum SPM. Apa orang kata, beri apa pun mereka buat tanpa bantahan dan sungutan...bayangkanlah kertas-kertas soalan latih tubi bertubi-tubi diberi, di'stapler', disusun dan macam-macam di lagi. Hebatnya anak-anak murid ni tanpa rasa jemu dan bosan menerima dengan suka hati dan riang.

Mengikut firasatku, itu adalah tanda-tanda orang yang akan berjaya dalam peperiksaan.Insya Allah. Justeru itu, di ruangan ini saya ingin mengucapkan selamat berjuang habis-habisan kepada semua murid 5 Al- Biruni: Nazira, Fatihah, Ilhami, Noriatul, Jasmin, Fitrah, Syznee, Hidayah S, Hidayah Z, Ainur, Emylia, Atiqqa, Anis, Arifah, Afiq, Nasrullah, Hamdam, Izzat, Izwan, Fahmi, Hafiz, Izyan..tapi Aimie ngan Shafawi masih lagi leka dalam dunianya sendiri. Semoga dapat keluar dari alam khayalan.

Ok. Sekian dulu untuk kali ini.

Ahad, Oktober 19, 2008

Demam Peperiksaan

Assalamualaikum.

Walaupun masih dalam kehangatan hari raya, anak-anak didik di semua sekolah mula 'demam peperiksaan'.PMR baru sahaja berakhir, SPM bakal menjelma pula. Anak-anak murid saya di 5 al-Biruni dan 5 al-Khawarizmi nampak 'semacam' saja. Hari-hari, cikgu masuk hulur kertas soalan. Kemarin soalan Perak, hari ni soalan Kelantan, belum sudah jawab semua soalan Selangor pula menanti.

Kalaulah kertas-kertas putih itu boleh bertukar warna jadi not berwarna hijau ke, merah ke, ungu ke..tentu seronok.Tapi, keseronokan menuai hasil itu wahai anak-anak didikku tidak akan diperolehi sekarang.Tunggulah bulan Mac tahun depan. Ingat pesan ustazah..bukan senang nak senang. Ingat!! Jalan MESTI ke depan, bukan ke belakang (macam iklan PETRONAS pula..)Ingat juga tips untuk mencapai ketenangan menjelang peperiksaan.Antaranya jaga solat fardu, jangan sesekali derhaka kepada ibu bapa (spt. menengking, mengherdik, memukul, menghina, menjeling, masam muka, tidak berterima kasih dll) kerana keredaan Allah swt terletak di atas keredaan ibu bapa, selalu solat hajat, baca al-Qur'an, hormati guru (tolong cikgu, berterima kasih kepada cikgu, jangan sesekali menyakiti hati cikgu)dan macam-macam lagi

Saya yakin, usaha berterusan, doa dan tawakal boleh menghasilkan sejuta bintang bergemerlapan. Dan, kejayaan yang diperolehi sudah pasti kejayaan hakiki cemerlang di dunia.. gemilang di akhirat.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM DAN STPM KEPADA SELURUH MURID DI SELURUH NEGARA

Selasa, Oktober 14, 2008

Rumah Terbuka

Assalamualaikum.

Di kesempatan ini, saya sekeluarga ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan seisi keluarga menjengah 'teratak' hamba pada hari Jumaat 17 hb. Oktober 2008 kerana ada sedikit jamuan ringan. Semoga tidak menguzurkan diri. Kehadiran anda semua amatlah dihargai.

Ahad, Oktober 12, 2008

Selamat Menduduki PMR

Nampaknya pejam celik, celik pejam..pejam tak celik-celik atau celik tak pejam-pejam ini, anak-anak saudara saya sudah sampai fasa ke 2 dalam menempuh peperiksaan selepas zaman UPSR berlalu. Esok, tangal 13.10.2008 Wan Nur Afiqah Wan Abdullah (SMKTM), Hasan Ali Mohamad Afandi(SMA Maarif) dan Nur Insyirah Amirizal (Melaka)akan menduduki PMR. Kami doakan semoga kalian dapat jawab dengan tenang,baik dan cemerlang setiap soalan peperiksaan.

Jumaat, Oktober 10, 2008

Khat oh Khat!!


Alhamdulillah, dua hari lepas saya berpeluang menghadiri kursus khat dua hari di PKG Raja. Adalah pengetahuan baru mengenai khat walaupun masih jauh ketinggalan..walhal semasa ayahanda ada, saya tak pernah berpeluang dan meluangkan masa belajar seni warisan zaman ini. Akhirnya, inilah harga yang perlu saya lunaskan - anak penulis khat terkenal daerah Besut tapi tak tahu menulis khat. Rugi bukan??

Saya tidak berseorangan di sana. Bersama adinda Rabihah, saya bertungkus lumus menulis cebusan-cebisan khatnasakh, riq'ah dan thuluth. Masya Allah buruk bebenor tulisan saya. Malu pada ayahanda (kalau dia tengok).Tak apalah..

Terima kasih buat Hj Abidin, Ustaz Kassim..Kalian berdua di antara orang-orang yang sabar mempelajari khat sehingga boleh menjadi fasilitator. Saya bukan tidak berminat tapi 'khat' saya agaknya banyak digunakan untuk melukis kain di jemuran, membasuh pinggan mangkuk, memegang pen'yapu'..he he mungkin dicampur dengan malas maka seribu alasan boleh saya beri.

Ingatlah wahai anak-anakku, cucu-cucu Cikgu Mat semuanya belajarlah menulis khat. belajar dari hati yang ikhlas dan mendalam, banyakkan latihan kerana darah seni itu sememangnya sudah ada tinggal lagi mencari ilmu dan penghayatan. Rugi sangat bakat seni yang ada pada arwah Pa tidak dipanjangkan. Rugi pada masyarakat dan Umat Islam.

Hidup Khat..
HIDUP SENI KHAT..

Selasa, Oktober 07, 2008

Sejentik Rasa Aidil Fitri

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT serta hidayah dan 'InayahNya..kita Umat Islam dapat merayakan aidil fitri tahun 1429H ini dengan penuh sederhana tetapi meriah. Bagi saya, raya tahun ini mencatat sejarahnya sendiri kerana sekian lama saya menginginkan suasana raya di kediaman sendiri akhirnya dapat dilaksanakan.

Sedetik masa setelah Solat Isya'(malam hari raya Syawal) di Masjid Hj Ishak, Dengir saya dan suami serta anak-anak berkumpul di rumah bonda walaupun bonda belum pulang dari mengerjakan umrah untuk sama-sama membuat persediaan bahan makanan untuk hari raya esoknya. Umi Jay riuh dengan kerutupnya.Best...Nampaknya tak perlulah kita tempah Kak Yah Alor Lintah lagi lepas ni. Adinda Jam sibuk dengan rendang ayamnya.. Kekanda Da siap siaga dengan sate-satenya. Jadi juga kita raya walaupun bonda tiada. (Ayahanda memang pasti tidak akan kembali..al-fatihah)

Jam 12.00 malam, kami pulang ke rumah sendiri. Buat pertama kali saya akan menyediakan juadah hari raya sendiri. Puas bertanya orang resepi terbaik buat nasi minyak. Dalam keterujaan itu, anakanda 'Inayah panas badan - demam rupanya. Walau sibuk melayan karenah anak demam dapat juga saya menyiapkan gulai ayam untuk nasi minyak. Diam tak diam jam sudah pukul 2.45 pagi..Saya kena rehat juga ni maklumlah esok kena bangun seawal fajar yang mungkin.

Nasi Minyak, jam 5.00 pagi saya sudah mula projek masak nasi..Beras Bhasmati lagi.Alhamdulillah siap juga seadanya. Maklum budak baru belajar. Seusai Subuh, saya kejutkan anak-anak agar bangun dan mandi sunat hari raya. 'Inayah masih panas badan..Sebelum ke Masjid, kami anak-beranak menjamah dulu sedikit makanan. Ikut sunnah Nabi s.a.w. Syukurlah kerana saya masih dapat menyempurnakan Solat Sunat Aidil Fitri tahun ni.

Apa yang saya rasa??..terharu luar biasa.Kami dapat menyempurnakan puasa. Dapat khatam al-Qur'an bersama lewat tadarus yang tak pernah putus-putus. Dapat mengerjakan Solat Tarawih..Ya Allah! Berkatilah kehidupan kami dunia akhirat. Halalkanlah rezeki kami. Perelokkanlah akhlaq kami. Jadikanlah kami anak-anak yang salih dan salihah kepada ibu bapa kami. Amin.

Ya..itulah sedikit luahan rasa dalam sedetik masa ini. Semoga tahun-tahun yang mendatang akan lebih bermakna lagi bagi kami.

SAYONARA.WA 'ILA LLIQA'..MA'ASSALAMAH.

Ahad, Oktober 05, 2008

Puasa Sunat Syawal ATAU Qada' dulu?

Mendahulukan Puasa Qada'

Apabila seseorang mempunyai tanggungan puasa (qada’) sedangkan ia ingin berpuasa Syawal juga, manakah yang didahulukan? Pendapat yang benar adalah mendahulukan puasa qada’. Sebab mendahulukan sesuatu yang wajib daripada sunnah itu lebih melepaskan diri dari beban kewajiban. Ibnu Rajab rahimahullah berkata dalam Latiful Ma’arif, “Barangsiapa yang mempunyai tanggungan puasa Ramadan, hendaklah ia mendahulukan qada'nya terlebih dahulu kerana hal tersebut lebih melepaskan dirinya dari beban kewajiban dan hal itu (qada’) lebih baik daripada puasa sunnah Syawal”.

Pendapat ini juga disetujui oleh Syeikh Muhammad bin Salih Al Utsaimin dalam Syarah Mumthi’. Pendapat ini sesuai dengan makna hadith Abu Ayyub di atas.Semoga kebahagiaan selalu mengiringi orang-orang yang menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Wallahu a’lam.

Sabtu, Oktober 04, 2008

Bonda Pulang Dari Bumi Anbiya'

Tidak sabar rasanya menunggu kepulangan bonda tercinta..Selamat pulang aduhai bonda. Anakanda ingin mencium pipimu, menyalamimu, memelukmu seperti sedetik masa dahulu.

Rumah Terbuka Adinda Nur dan Jamil

Saat ini, kami keluarga Hj Muhammad Abdullah berada di rumah Nor dan Jamil sempena rumah terbuka aidil fitrinya. Sebenarnya inilah pertama kali saya sampai di 'teratak' nor(dia sendiri yang kata). Bagi saya rumahnya memang cukup selesa bertiga kalau nak dibandingkan dengan kuarters SMK Kuala Besut sedetik masa dahulu. Syukur alhamdulillah kita masih ada tempat untuk berteduh, tempat makan minum dan tempat mengembangkan zuriat. he he he..Terima kasih nasik dagang. Memang first class sedapnya. Lain kali buat lagi. Terima kasih daun keladi.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails