Jumaat, Ogos 07, 2009

Sejentik Rasa Di Ambang Ramadan

Sudah pertengahan syaaban rupanya kita. Lambaian Ramadan melambai-lambai..pintu syurga mungkin sudah terkuak sedikit, dan neraka kian menjauh bagi memberi laluan untuk kita. Setiap tahun kita berpuasa dengan penuh ketaatan, ke’tawadhu’an’, solat tarawih berantaian dari satu rakaat ke satu rakaat..tahajud dan witir silih berganti. TAPI, sejauh manakah amalan kita? Adakah hanya di bumi nyata atau hanya di bulan Ramadan?

Kaum wanita sering memikirkan menu berbuka puasa..ayam percikkah kita? Ikan bakar tandoorikah kita hari ini? Daging panggang? Daging singgang?Ikan singgang? (tak main laa...), Kerutupkah kita hari ini? ’Pembasuh mulut’nya pula bagaimana? Menu selepas tarawih mesti ada..paling tidak popia goreng, atau kebab, atau murtabak?? Buruknya amalan berpuasa kita.

Sejauh mana penghayatan ramadan kita? Sempurnakah puasa kita? Bagi diri ini apa sangatlah kiranya. Melihat anak-anak berpuasa dengan penuh keletihan, pucat (awal-awal puasa), kemudian berbuka dengan penuh nikmat sambil berdoa
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك يا أرحم الراحمين
saya sudah cukup terharu. Sambil berbuka sambil mulut berkata-kata..Abang Hariz, Kak Ngah, Inayatul atau Aceq (nak puasa jugakah nanti?)..Ingat, kita berpuasa dan kita mampu berbuka dengan juadah istimewa. Tapi, apa khabar saudara-saudara kita yang hidup penuh kemelaratan? Mereka belum pasti dapat berbuka dengan sepinggan nasi. Oleh itu anak-anakku marilah kita muhasabah diri agar Ramadan nanti kita lalui dengan sederhana dan ikhlas.

Ok anak-anak, cepat kita tunaikan solat maghrib. Amalan tadarus tradisi keluarga kita sama-sama diimarahkan. Ya Allah! Engkaulah Tuhan sekalian alam. Engkaulah yang menciptakan kami dan Engkau jua yang mematikan kami. Ramadan tahun ini kuatkanlah iman kami, berilah kami dan anak-anak kami kemudahan dan kekuatan bertadarus kalamMu. Amin ya rabbal alamin.

Wassalam. Dengan rindu yang makin mendalam menanti tibanya Ramadan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails