Sabtu, Januari 31, 2009

Sejentik Rasa Mengenal Waliyullah Uwais al-Qarni

Sudah hampir 7 tahun saya mengajarkan tajuk 'Orang Beriman Kekasih Allah' dalam bahagian hadith Nabi SPM Tingkatan 5. Saya tidak pernah merasa jemu untuk mengajarkan tajuk ini kepada murid-murid saya yang sentiasa dahagakan ilmu (tapi, saya tidak pasti sejauh mana ilmu saya dipanjangkan...). Orang beriman kekasih Allah dirujuk kepada golongan waliyullah yang merupakan manusia biasa tapi amalannya amat luar biasa. Dalam buku teks cuma ada sedikit huraian mengenai contoh waliyullah antaranya ialah Uwais al-Qarni dan Hassan al-Basri.

Murid-murid saya selalu mendesak saya ceritakan siapakah Uwais al-Qarni,.."Ala ustazah, cepatlah ceritakan sedikit siapa dia Uwais al-Qarni"

Saya kata:" Awakkan selalu mengadap komputer, email sini sana, friendster keliling kelalang cuba search perihal Uwais al-Qarni". Bukan saya tidak boleh memberitahu akan hal itu tetapi saya sebagai guru mahu agar murid-murid saya berusaha mencari ilmu. Oleh kerana kalau tunggu mereka cari nampaknya SPM nak dekat pun tak jumpa lagi. Saya menceritakan sedikit tentang Uwais di sini..

Pernah seorang yang bernama Rabi’ bin Khutsaim berkata, "Aku pergi ke tempat Uwais al-Qarni, aku mendapati beliau sedang duduk setelah selesai menunaikan solat Subuh." Aku berkata (pada diriku), "Aku tidak akan mengganggunya dari bertasbih. Setelah masuk waktu Zuhur, beliau mengerjakan solat Zuhur. Dan begitu masuk waktu Asar beliau solat Asar. Selesai solat Asar beliau duduk sambil berzikir hingga tiba waktu Maghrib. Setelah solat Maghrib beliau menunggu waktu Isya’, kemudian solat Isya’. Selesai solat Isya’ beliau mengerjakan solat hingga menjelang Subuh. Setelah solat Subuh beliau duduk dan tanpa sengaja tertidur. Tiba-tiba saja beliau terbangun. Ketika itu aku mendengar dia berkata, "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari mata yang senang tidur, dan perut yang tidak merasa kenyang."

Masya Allah..Inilah sedikit catatan tentang Uwais. Banyak lagi kisahnya yang telah saya riso dan beri kepada murid saya. Tanpa saya sedari air mata saya mengalir membayangkan betapa hebatnya Uwais al-Qarni kerana pernah Nabi saw mewasiatkan sahabatnya agar mencari Uwais al-Qarni setelah kewafatannya. Beliau tidak dikenali oleh manusia di bumi tetapi amat dimuliakan di langit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails