Rabu, Januari 07, 2009

Puasa Sunat Bulan Muharam

Assalamualaikum. Nampaknya sepanjang cuti persekolahan 2008 banyak masa dihabiskan untuk makan. Bangun pagi saya mesti fikirkan apakah makanan untuk anak-anak pagi ini..tidak sampai setengah hari, saya kena fikir pula lauk apa yang hendak dimasak tengahari ini. Makan malam macamana pula?? Roti canai, 'Mee Kampung Pek', burger atau chicken chop?? dan lain-lain makanan alternatif selain nasi. Hasilnya, kami sekeluarga berjaya menaikkan berat badan . (Ops, kain sekolah anak terpaksa dibesarkan ukuran pinggang).

Justeru itu, saya rasa amat tidak adil kepada saudara Islam sedunia yang masih kelaparan, yang sentiasa ditindas oleh Israel Laknatullah.. . Apa khabar saudara saya di Palestin, Iran, Iraq..Sedangkan kami masih berenak-enak makan apa sahaja yang terfikir di kepala.

Sempena bulan Muharam 1430H ini marilah pula kita sama-sama menghayati sunnah Rasulullah s.a.w, dan keperitan saudara kita yang disiksa dan tersiksa di tanah air sendiri.

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat (puasa Asyura'). Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw.

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharam ini ialah:

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: (Apakah ini?). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: (Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Saya menyeru kepada diri saya, ahli keluarga saya dan semua umat Islam di dunia ini agar sentiasa mengambil yang baik sebagai jalan hidup kita. Jom puasa!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails