Jumaat, September 24, 2010

1 Syawal 1431H..

~'Ifwatul Iman, 'Inayatul fasihah, Suami (Termezi) & Hariz Eilman: Eid 2010/1431H~

~Wajah ceria anak-anak tersayang 1 Syawal 1431H~

Ramadan sudah berlalu pergi. Tidak pula saya tahu sejauh mana penerimaan ibadat itu di sisi Allah swt. Doa dan harapan saya agar puasa tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lepas. Amin. Kemudian Syawal menjelang pula. Alhamdulillah, raya disambut sederhana tetapi meriah. Melihat anak-anak gembira berpakaian serba baru hati seorang ibu kembang berbunga-bunga sambil berasa amat bersyukur kerana mampu menyediakan pakaian baru hari raya buat anak-anak tersayang.

Begitulah lumrah hidup ini. Yang ada kita sayangi setakat kemampuan..yang sudah tiada kita ingat dalam kerinduan. Usai Solat Eidul Fitri di Masjid Haji Ishak, kami dan beberapa ahli keluarga menziarah maqam ayahanda. Masya Allah, rindunya padamu Pa. Masih terbayang betapa segaknya Pa berbaju Melayu bersampin sedondon di pagi raya. Kemudian kami membersihkan maqam nenda Allahyarhamah Fatimah binti Mohamad (3.8.2003), hampir-hampir terlupa di mana maqamnya. Alahai cucu-cucu bertuah. Demi kesibukan masa sampai sudah lupa bertandang ke kuburan ini. Kuburan insan-insan tersayang. Alfatihah.

Semoga ikatan kekeluargaan kita makin utuh dan teguh. Buang yang keruh ambil yang jernih. Selamat hari raya, maaf zahir batin. Jumpa lagi raya tahun depan sekiranya umur masih ada. Wassalam.

Sabtu, September 18, 2010

Cukup-cukuplah Raya..

Salam Syawal ke-9. Masya Allah, lamanya raya. Kadang-kadang tertanya-tanya sendiri bilalah 'orang kita' ni hendak beraya sakan. Bukan salah menziarah, tapi salahnya apabila menganggap hari raya itu sebulan lamanya. Berkiranya kita dengan Allah swt, setelah Dia mensyari'atkan kita berpuasa Ramadan selama sebulan dan kita pun patuh dgn segala larangan-laranganNya, taat dengan semua perintahNya - maka kita pun beraya sebulan juga bagai nak rak. Jadi, CUKUP-CUKUPLAH RAYA tu.

Selepas ini banyak lagi agenda yang hendak diteruskan. Bagi orang yang anaknya mengambil UPSR sebaik sahaja sekolah bermula esok peperiksaan akan bermula. Selepas itu, PMR pula menanti. Termasuklah anak sendiri. Cuti sekolah dan raya lebih kurang 2 minggu dipulun habis-habis cuti dengan tengok TV, tidur, makan, tidur balik, 'menengung situ, menengung sini', kita juga yang berdebar hati. Aduhai anak, cukup-cukuplah raya.

Buat diri sendiri apa kurangnya, kira beraya jugalah. Alhamdulillah sampai juga kaki ke rumah kawan-kawan lama. Terima kasih sahabat semua. Mujurlah Aidil Fitri ini mendekatkan perasaan kita. Sekarang agenda utama ialah usaha melawan godaan 'open house' untuk berpuasa sunat Syawal. Aduhai hati.. sabarlah, kuatkanlah imanku.

Dalam ghalib beraya, ramai orang bertanya ," Adakah harus menghimpunkan niat puasa enam hari di bulan Syawal dengan puasa Qada’ iaitu satu puasa untuk dua niat/tujuan? Saya terpanggil untuk menilik jawapan Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu menunaikan puasa Qada' yang tertanggung atasnya terlebih dahulu kerana berbuka pada bulan Ramadan, kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang paling baik (afdal) kerana Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Hutang dengan Allah lebih utama untuk ditunaikan”.
Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.


Dalam pada itu, harus dihitung puasa enam dari puasa Qadha yang dilakukan dalam bulan Syawal mengikut pandangan mazhab Syafi’i.[1] Namun yang paling baik ialah mengasingkan kedua-duanya (yakni dilakukan berasingan) untuk mengelak pertikaian dari pandangan mazhab lain (yang tidak mengharuskannya) di samping dapat memperbanyakkan amal soleh. Dan harus juga ia mendahulukan puasa enam hari dalam bulan syawal dan menunaikan puasa qadha di bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadan berikutnya”.

Wallhu A’lam. Sekian, jumpa lagi.


Rujukan; 1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 99. [1] Lihat dalam al-Majmu’, 3/235.

Rabu, September 08, 2010

كل عام وأنتم بخير


Salam penghujung Ramadan. Ahlan wa sahlan aidil fitri. Semoga puasa kita tahun ini adalah puasa yang lebih baik dari tahun sebelum. Saat ketika saya mula melayari 'Sedetik Masa' ini semua ahli rumah sedang diulit 'mimpi raya' usai solat Subuh tadi. Saya tidak dapat memejamkan mata walau sepicing pun mengenangkan beberapa perkara rutin yang belum diselesaikan.
Sebenarnya saya baru saja balik dari kampung suami di Jerangau (berbuka puasa) semalam. Hari ini sudah tercongok di rumah sendiri. Insya Allah kami akan beraya di rumah sendiri lagi tahun ini. Selepas solat tarawih di masjid Seberang Jerteh (sebelah Masjid Kayu- masih dalam pembinaan), kami sekeluarga berkampung di teratak bonda di Pusu Tinggi. Alhamdulillah syukur kami dapat bersua, berhimpun bersama ahli keluarga dekat dan jauh. Adinda Insijam & Amirizal sudah sampai dari Melaka, Muhammad Asruf & Ina sudah tiba dari Kuantan, Nasirah & Zainul Abidin sudah berlabuh dari Macang (luar negeri juga ni..), dan lain-lain yang memang sudah sedia ada di bumi Besut. Perancangan awal sebenarnya hendak berbuka di rumah Bonda, tapi nampaknya terpaksa berbuka di dalam kereta dengan air sejuk dan ketupat serta kek.

Harapan saya semoga hari raya yang bakal tiba ini kita lalui dengan penuh keinsafan. Buang segala yang keruh, ambil yang jernih. Segala kisah duka semalam tinggalkan di belakang, sangkutkan di jambatan gantung dalam perjalanan atau buang ke laut dalam untuk kita mulakan langkah baru dalam kehidupan. Setiap kita ini memang tidak terlepas dari melakukan khilaf mahupun silap. Tapi, Allah swt anugerahi kita AKAL yang sempurna maka berfikirlah dalam setiap perlakuan jangan sampai sudah terantuk baru tengadah. Kita ini hanyalah anak-anak tinggalan arwah Pa yang banyak menabur kata nasihat sepanjang usianya. Sebab itu walaupun kita sering bertelagah dalam pendapat, kita sering bertingkah lidah namun akhirnya kita tetap bersatu dalam satu hati. Janganlah ada salah silap yang kita 'jahit' di dalam hati. Air yang dicincang tak akan putus.

Sempena kehadiran Syawal 1431H, kami sekeluarga ingin mengucapkan Salam Aidil Fitri, maaf zahir batin buat semua ahli keluarga, sahabat, jiran, cikgu-cikgu dan semua yang mengenali kami.

Sabtu, September 04, 2010

Selamat Tinggal Kekasihku Ramadan

Sayonara Ramadan 1431H

Mungkin sudah selalu saya ungkapkan kalimat pejam celik- pejam celik maka kini hampir tiba untuk kita melambaikan sayonara Ramadan. Selamat tinggal Ramadan. Jauh terperosok ke lubuk hati saya merasa sayu sangat. Entah mengapa. Seolah-olah bagai berpisah dengan sang kekasih. Saya pun bertanya kepada diri, adakah ini Ramadan terakhir buatku? Adakah aku boleh berjumpa lagi denganmu pada tahun-tahun yang mendatang?

Alhamdulillah syukur kerana dengan izinNya, InayahNya, IradatNya, TaufiqNya, kami sekeluarga selamat mengkhatamkan al-qur'an Ramadan tanggal 23 Ramadan. Kini, kami berusaha untuk menyambung siri tadarus buat kali ke-2. Anak-anak nampaknya sudah mulai 'culas'.Lebih-lebih lagi lambaian Aidil Fitri lebih seronok diulit agaknya. Tak apalah. Buat sekadar termampu. Bagi diri ini masih lagi bersemangat dan insya Allah akan cuba berusaha buat kali seterusnya. Malu pula rasanya bila mengenangkan Imam as Shafii sempat habiskan 60 kali khatam alqur'an sepanjang Ramadan. Ya Allah, kuatkanlah jiwa ini untuk menyempurnakan bait-bait kalamMu dalam mengejar keberkatan Ramadan.
Ramadan ini juga mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya tidak sempat berbuka di rumah bonda. Kasihan pula bonda yang semakin uzur untuk melayan karenah kami anak-beranak saat berbuka. ketahuilah hati ini amat rindu menjamah masakan bonda walaupun sekadar ikan singgang + ikan goreng + budu. Bonda, anakanda juga mula terasa sayu mengenangkan arwah ayahanda di sana. Sudah lama tidak menjengah 'rumah kecil bertiang dua' milik ayahanda. Teringat sedetik masa dulu, saya adalah antara anak yang paling liat bangun sahur. Mujurlah anak-anak tidak 'menurun' sifat itu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, doa kedua-dua ibu bapa kami, dosa kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Terimalah ibadat kami, amalan kami..dan tempatkanlah kami pada akhirnya dalam kalangan hamba-hambaMu yang beriman dan bertaqwa.
Ma'as salamah wa ilalliqa'..

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails