Selasa, April 19, 2011

Sedetik Di Majlis Timang Kasih

Alhamdulillah syukur, Dia masih memanjangkan hayat saya di dunia yang fana' ini. Syukur masih hidup, masih bernafas, masih bergelar manusia bukannya jenazah.

Semalam tanggal 18.04.2011 kami (saya dan suami) meluangkan masa di majlis penuh gemilang SHAMS bagi menandakan ikrar pelajar melakar sejarah 'kegemilangan' di Dewan Abu Bakr As Siddiq. Semoga ikrar akan termakbul jua seiring usaha dan doa. Saya baru kali pertama mengambil cuti rehat khas tahun ini. Entahlah, saya rasa orang lain pun macam saya juga kalau tidak terpaksa cuti maka saya tidak akan cuti. Tapi, demi anak dan anak-anak pengorbanan ibu dan ayah meluangkan masa bersama di bilik kelas masing-masing bagai satu kepuasan tersendiri. Saya boleh bertanya guru kelas dan guru mpnya terutama subjek "killer". Anak mesti rajin bertanya guru apa jua masalah dalam pelajaran. MESTI tanya cikgu. Puas saya nasihatkan anak saya jangan malu bertanya...

Saya juga agak terkejut dengan berita pemergian tokoh al-Qur'an Ustaz Mohamad Noor Besar kembali ke rahmatullah. Masih terbayang ucap katanya yang lembut bagai ucapan ayah dengan anak tatkala mengikuti kursus Tahsin al-Qur'an di Kuantan beberapa tahun lepas. Semalam, apabila diumumkan oleh YDP PIBG Shams...menitis juga sang air mata ini. Orang yang baik cepat dipanggil Ilahi. Semoga ruhnya ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Amin.

Sempat juga bertemu rakan-rakan lama yang menjadi pengajar SHAMS, Wan Samiah Wan Sulung, Ustaz Zubaidi, Sharifah Radhiah (tak sempat berjumpa) dan sempat juga menitipkan pesan agar melihat-lihat anak sulung kesayangan. Sedih pula teringatkan kakak. Dia sebenarnya aktif dan sentiasa ingin aktif. Hampir dalam setiap bidang ingin diceburinya. Terbayang-bayang bagai cerminan diri sendiri. Cuma hati seorang ibu begitulah dalam arus globalisasi ini hanya manusia yang benar-benar cemerlang mudah mendapat peluang pertama. Ya Allah, Ya Tuhan padaMu kumohon agar permudahkan segala urusan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami dalam meneruskan kehidupan di persada dunia yang hangat ini. Ya Allah, bukakanlah pintu taubat, pintu kerajinan, pintu kerahmatan, pintu kemuliaan dan pintu-pintu kebaikan terhadap kami, ibu bapa kami, keluarga kami, rakan-rakan kami, jiran tetangga kami dan muslim muslimat al ahya'i minhum wal amwaat.

Sekadar ini sahaja..jumpa lagi. Wassalam.

Ahad, April 03, 2011

Selamat Hari Jadi


Sekadar ini di hari jadi suami...semoga berbahagia hendaknya!

Selamat menyambut ulangtahun kelahiran buat suami tersayang. Sebenarnya tarikh itu sudah berlalu seminggu yang lalu cuma baru saat ini saya dapat catatkan di sini. Tanggal 27 mac 2011, ucapan "Allah selamatkan Ustaz, Allah selamatkan Ustaz, Allah selamatkan Ustaz Mizi, Allah selamatkan Ustaz" bergema di Dewan Besar SMK Kuala Besut. Pasti terharu kerana seumur hidupnya tidak pernah diraikan sedemikian rupa walaupun oleh isteri sendiri. Sepulangnya dari sekolah, suami membawa pulang sekotak kek berlapis epal yang memang tidak mampu kami habiskan sekeluarga. Sepatutnya kek itu dihabiskan di SMKKB sahaja tetapi entah macamana dibawa suami pulang ke rumah. Apa pun terima kasih warga sekolah.


Hadiah istimewa - KEMBARA MENCARI TUHAN buat suami!


Dalam perjalanan kita yang makin singkat dan kian dekat denganNya, wajarlah kita taqarrub ilallah tanpa ada rasa culas mahupun malas. Pertambahan usia adalah lumrah manusia selagi masih hidup. Jumpa lagi. Wassalam.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails