Khamis, Februari 26, 2009

"Beruk! Beruk!! Lari..."

Nampak tajuknya macam kurang ajar saja. Kalau kecik2 dulu tentu sudah kena rotan menyebut kalimat itu. Sebenarnya begini, saya tidak tahu sungguh bahawa jiran bonda saya ada partner seekor 'beruk betino'. Jiran melepaskan 'beruk'nya untuk makan angin setiap sore. Kelmarin, semasa saya dan kekanda Jay menghabiskan waktu petang dengan pingpong, tetiba beruk tu muncul di tepi pagar sambil menuju ke arah kami. Anak-anak yang melihat hal itu bertempik takut. Maklumlah mereka tidak pernah seumur hidup berkawan dengan makhluk berbulu itu.

Hendak dijadikan cerita, di seberang jalan rumah bonda, adik lelaki bongsu and the gang buat aktiviti jual burger. Kebetulan ketika 'beruk' berjalan-jalan itu, ada pelanggan sedang menunggu order burger. Apa lagi, kekanda Jay yang terkejut melihat sang 'be***' itu dengan kuat berkata,"Beruk! Beruk!! Lari..." (ditujukan buat anak-anak sebenarnya). Tapi pelanggan burger tentu dah salah faham. Kami bukannya kata pada mereka. Akhirnya mereka start kereta tak jadi beli burger.

Moral of the story?? Takkanlah kami nak panggil orang dengan nama 'beruk' pulak. Astaghfirullah. Sesungguhnya saya dan kami tiada niat ke arah itu. Wallahu a'lam.

Isnin, Februari 16, 2009

Sayonara Tn Haji Mhd Ramli Che Mat!!

Kenangan: Sedetik masa bersama Ayahanda Mhd. Ramli
Sebenarnya, tidak tahu dari arah mana saya harus mulakan 'sedetik masa' bersama pengetua SMK Tengku Mahmud yang satu ini. Pejam celik pejam celik, hari ini tercatat satu lagi peristiwa Tn Haji Mhd Ramli Che Mat akan bertukar ke SMKPNZ (pertukaran yang entah kali ke berapa..) dan pihak kami menyambut ketibaan seorang pengetua dari PPD. Jauh di sudut hati ini terbenam satu perasaan yang teramat sayu untuk berpisah dengan ayahanda Hj Mhd Ramli Che Mat. Bagi saya, beliau adalah umpama seorang ayah yang amat disayangi oleh warga sekolah. Kebetulan beliau merupakan sahabat arwah ayahanda saya sedetik masa dahulu.

Walau masa bersama cukup sekejap tapi ikatan umpama ayahanda sendiri tidak dinafikan cukup menyentuh jiwa. Sungguh! Saya tidak dapat menahan air mata ini saat mengiringi pemergiannya.

Saya doakan semoga ayahanda Hj Mhd Ramli Che Mat dianugerahkan kekuatan dan keberkatan hidup walau di mana pun tn haji berada. Barakallahu laka.

Sabtu, Februari 14, 2009

Kisah Jeruk Pala Campur Pulau Pinang

Syukur alhamdulillah dengan izin dan 'inayahNya, taufiq dan hidayahNya saya dapat menulis lagi dalam catatan 'sedetik masa sejentik rasa' ini. Jam 4.00 pagi tadi saya selamat sampai ke teratak saya setelah keluar dari 'sarang' selama 2 hari..( dua malam di atas bas- sekarang masih sakit dan sengal tulang belakang), kerana mengikuti lawatan sambil mencari -cari maklumat di negeri Kedah dan Pulau Pinang. Terima kasih kepada Tn Pengetua dan guru-guru MRSM PDRM Kulim dan High School Bukit Mertajam. Jua kepada Timbalan Dekan dan pensyarah Seni di USM dari School of arts..atas layanan yang memberangsangkan walaupun lenguh melihat cara tuan-tuan bertutur dengan lemah gemalai walaupun anda adalah lelaki. Alahai..seni itu abstrak 'kunun'nya.
Lawatan:Bergambar di pintu masuk MRSM PDRM Kulim
Ok..kita tinggalkan hal itu. Saya cuma nak ceriterakan perihal ketika mencari ole-ole untuk dibawa pulang ke daerah tercinta. Orang kata kalau ke P.Pinang tak sah kalau tiada jeruk. Lalu saya dan kawan-kawan meninjau dari segenap jalan dan lorong untuk mencari jeruk yang bersih, berkualiti dan terjamin buatannya. Masya Allah, saya tak jumpa. Kalau pun ada jeruk yang dijual oleh kaum Cha Ya Nun Alif yang...alahai tak tahulah saya. Sempat saya tengok tuan jeruk mengaup buah dari tong yang besar dengan menggunakan tangannya sahaja tanpa memakai sarung tangan atau menggunakan 'cetong'. Niat untuk membeli terus berkubur. Kalaulah tidak memikirkan kiriman adinda Bi yang sedang mengandung anak sulung sudah pasti saya tak akan beli. Tapi, saya beli juga 2 bungkus..setelah berkali-kali pesan agar adinda Bi mesti basuh terlebih dulu.

Kesimpulannya, saya tidak akan lagi memakan buah-buah jeruk itu sehinggalah saya yakin kebersihan dan mutu ke'halal'annya. Berhati-hati.. Mencari makan di sini juga agak susah bukan tiada kedai makan tetapi kebersihannya cukup meloyakan anak tekak.

Walaupun begitu, kalau saya pi Pulau Pinang lagi tentu saya akan singgah di 'Restoran Nasi Kandar PELITA' (sedap dan bersih!!). Sayonara Pulau Mutiara!!

Jumaat, Februari 06, 2009

Cara Mendidik Anak Siri 1

Assalamau'alaikum. Tuan-tuan dan puan-puan, adik kakak yang disayangi..Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari peradaban di bawah.
Di antara adab-adab dalam mendidik anak adalah sebagai berikut:
1. Hendaknya anak dididik agar makan dengan tangan kanan, membaca basmalah, memulai dengan yang paling dekat dengannya dan tidak mendahului makan sebelum yang lainnya (yang lebih tua). Kemudian cegahlah ia dari memandang makanan dan orang yang sedang makan.
2. Perintahkan agar mereka tidak tergesa-gesa dalam makan. Hendaklah dia mengunyah dengan baik dan jangan memasukkan makanan ke dalam mulut sebelum habis yang di mulut. Suruh agar berhati-hati dan jangan sampai mengotorkan pakaian.
3. Hendaknya dilatih untuk tidak bermewah-mewah dalam makan (harus pakai lauk ikan, daging dan lain-lain) supaya tidak menimbulkan kesan bahawa makan harus dengannya. Juga diajar agar tidak terlalu banyak makan dan memberi pujian kepada anak yang demikian. Hal ini untuk mencegah dari kebiasaan buruk, iaitu hanya mementingkan perut saja.
4. Ditanamkan kepadanya agar mendahulukan orang lain dalam hal makanan dan dilatih dengan makanan sederhana, sehingga tidak terlalu cinta dengan yang enak-enak yang akhirnya akan menyusahkan anak untuk melepaskannya.
5. Sangatlah baik jika ia memakai pakaian berwarna putih, bukan warna-warni dan bukan dari sutera. Dan ditegaskan bahawa sutera itu hanya untuk kaum wanita.
6. Jika ada anak lelaki memakai sutera, kita hendaklah menegahnya. Demikian juga jika dia isbal (menjulurkan pakaiannya hingga melebihi mata kaki). Janganlah sampai anak-anak terbiasa dengan hal-hal ini.
7. Jagalah mereka dari bergaul dengan anak-anak yang biasa bermegah dan bersikap angkuh. Jika hal ini dibiarkan maka ketika dewasa nanti ia mungkin akan berakhlak demikian. Pergaulan yang jelek akan berpengaruh bagi anak. Boleh jadi setelah dewasa ia memiliki akhlak buruk.
8. Wajib ditanamkan rasa cinta untuk membaca al Qur'an dan buku- buku, terutama di perpustakaan. Membaca al Qur'an dengan tafsirnya, hadis-hadis Nabi dan juga ilmu-ilmu lain. Hendaklah menghafal nasihat-nasihat yang baik, sejarah orang-orang salih dan kaum zuhud, mengasah jiwanya agar senantiasa mencintai dan meneladani mereka.

9. Mereka hendaklah dijauhkan dari syair-syair cinta yang hanya sekadar menuruti hawa nafsu, kerana hal ini dapat merosak hati dan jiwa.

10. Biasakanlah mereka untuk menulis indah (khat) dan menghafal syair-syair tentang kezuhudan dan akhlak mulia. Itu semua menunjukkan kesempurnaan sifat dan merupakan hiasan yang indah.

....bersambung dalam terbitan akan datang, insya Allah.

Ahad, Februari 01, 2009

Hari Persahabatan Sedunia

Malam tadi bertalu-talu sms masuk ke 'hp tua' saya lewat bunyinya begini, "Persahabatan itu seperti tangan dengan mata. Saat tangan terluka mata menangis. Saat mata menangis tangan menghapusnya.. SELAMAT HARI PERSAHABATAN SEDUNIA. Kirim ini kepada semua teman yang disayangi. Lihat berapa banyak anda dapat balasan, kalau lebih dari tujuh bererti U ARE LOVEABLE. Take care".

Lalu mulalah tangan saya meng'forward' sms itu kepada rakan taulan saya walau di mana pun mereka berada di darat dan di lautan, udara dan pergunungan. Dan..tertunggu-tunggulah diri saya 'kot-kot' saya akan dapat paling tidak 10 balasan. Hemm, malangnya sehingga embun menitis dan tulang belulang saya perlu di selimut dengan gebar malam saya hanya layak mendapat 4 sms. Saya tidak kecil hati tapi saya naik hairan bin ajaib itu sahajakah nilai saya pada mata mereka? Sedih juga rasanya...teman sekatil saya sudah mula bersuara entah apa yang ditunggu malam-malam buta begini. Terkebil-kebil katanya. Kalau mata dinda masih belum mahu pejam pergilah ambil wudu'. Bangun solat sunat ke..baca qu'ran ke..

Oleh kerana 'syaitan' lebih kuat menggoda saya, saya paksa mata saya untuk pejam. Tatkala saya bangun pagi ini (walaupun bukan jam 4.30 am..) ada lagi beberapa sms persahabatan. Entah betul ada atau tidak hari persahabatan sedunia. Rasa saya 'hari permusuhan sedunia' sentiasa ada. Hari-hari kita baca negara itu musuh negara ini. Dan lagi banyak hari-hari sedunia yang kita suka sambut. Ada hari ibu, hari bapa, ada hari kanak-kanak, hari AIDS pun ada, hari jualan murah jangan ceritalah, hari ayam serama (ada??), hari kekasih, hari penjenayah? tak tahu pula saya kalau ada hari penjenayah. Hari itu bolehlah ditauliahkan sebagai hari penjenayah rehat-rehat sambil minum 'kopi secawan'. He he ...

Walau apapun, saya menghargai hari persahabatan sedunia. Terima kasih buat sahabat-sahabat saya yang sentiasa mengingati saya walaupun sekadar menulis 'terima kasih' bagi menyatakan persahabatan dalam facebook. Tetapi siapa pun sahabat saya suami sayalah sahabat yang terbaik buat saya. Dia sentiasa ada ketika saya memerlukan..ketika saya menangis dialah yang menyapu si air mata..ketika saya gembira dialah yang lebih gembira kerana katanya isteri adalah rusuk suami, gembira dia gembiralah suami. Sedih dia sedihlah suami. Iya ke?

Selamat Hari Persahabatan Sedunia dari saya.

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails