Sabtu, September 26, 2009

Salam Aidil Fitri 2009/1430H

Salam Aidil Fitri buat semua dan 'peminat' diri ini. Semoga sambutan raya yang hari ini sudah masuk hari ke-7, disambut sederhana namun meriah tanpa mengundang sebarang tragedi duka. Berhati-hati ketika memandu terutama perantau-perantau. Buat Jer, Amir dan anak-anak akan berangkat pulang hari ini ke Melaka. Kanda doakan agar selamat pulang dan selamat sampai ke rumah.

Seperti biasa, hari raya sentiasa menggamit perasaan sayu dalam diri. Terutama mengenangkan arwah Pa yang memang cukup mengambil berat hubungan anak-beranak.. Teringatkan suara Pa bertakbir setiap kali raya di corong mikrofon..Teringatkan Pa yang paling suka makan ketupat mak long. Teringatkan Pa yang akan memberi duit raya buat kami walaupun sudah besar panjang. Ahh, banyaknya kenangan dengan arwah Pa. Justeru itu, tempat pertama kami beraya selepas solat aidil fitri di Masjid Haji Ishak ialah 'bertandang' ke pusara Pa. Assalamu'alaikum Pa. Walau apapun ingatan kami padamu sentiasa mekar mengharum, mewangi di taman hati kerana tanpamu siapalah kami.

Petang Syawal 1, saya sekeluarga bersiap-siap pulang ke kampung suami di Jerangau Felda. Kata suami raya di sana mungkin lama sikit sebab adik ipar akan bertunang. Anak-anak cukup teruja menyambut raya terutama si kecilku. Hendak berjumpa nenek dan sepupu sepapa yang pulang dari Selangor. Tak apalah, hari raya adalah hari untuk anak-anak. Kita yang sudah jadi mak budak ini apalah sangat. Baju raya pun tidak ada..duit raya jauh sekali.

Oklah. Selepas raya ini degupan jantung makin kencang menanti kehadiran 'tetamu jemputan' di sekolah. Terpaksa bersiap siaga dengan persiapan. Ya Allah, Kau permudahkanlah urusanku.. kalau itu adalah yang terbaik buat saya. Salam aidil fitri.

Khamis, September 10, 2009

Didiklah Jiwa Dengan Tahajud





Salam Ramadan.
Ramadan kian sampai ke penghujung. Terasa macam baru semalam saya bangun menyediakan sahur untuk anak-anak. Rupa-rupanya cepat sungguh masa berlalu (hari ini sudah 20 hari kita puasa). Bercerita tentang sahur, saya harap kita jangan abaikan sunnah Rasulullah saw yang ini. Baginda selalu bersahur walaupun dengan sebiji kurma.

Di samping bangun bersahur, apalah kiranya kita luangkan sedikit masa untuk bertahajud. Solat tahajud disyariatkan Allah kerana ia mempuyai banyak hikmah dan keberkatannya. Allah menetapkan waktunya pada sepertiga malam kerana suasana ketika itu amat hening, paling sesuai untuk beribadah, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Selepas solat tahajud, mohonlah ampun kepada Allah kerana Allah akan turun pada tiap-tiap malam ke langit dunia. Allah menyeru para malaikatNya agar memeriksa semua makhluk-makhluk di muka bumi. Allah berkata, "Sesiapa yang bermohon kepadaKu (di sepertiga malam), maka makbulkan doanya. Sesiapa yang meminta kepada Aku, berilah. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku, maka ampunkanlah ia".

Subhanallah, maha suci Allah yang memiliki sekalian alam langit, bumi dan lautan..terimalah amal ibadatku, ampunkanlah segala dosa-dosaku, makbulkan doaku, matikanlah aku dalam keimanan jangan Kau ambil nyawaku dalam kehinaan.

Sekian, dari hambaNya yang sentiasa mengharap.

UPSR 2009

Syukur alhamdulillah, tahun ini Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijalankan selama 3 hari bermula 8 - 10 September sudah hampir selesai. Ketika saya menekan komputer ini masa masih ada 10 minit buat calon-calon UPSR menyudahkan Bahasa Inggeris II. Termasuklah Muhammad Hariz Eilman anak tunggal lelaki saya.

Alahai macamanalah 'abang' jawab soalan. Sehingga pukul 12.00 malam tadi hp saya tak berhenti masuk sms mengenai soalan-soalan 'bocor'.. Lebih menghairankan jawapan aneka pilihan Sains dan Bahasa Inggeris pun turut mengganggu malam tadi. Betulkah jawapannya? Nampaknya 'soalan bocor' tak boleh percaya langsung. Wallahua'lam.

Ingatlah dalam apa jua perkara yang dilakukan biarlah amanah, jujur, telus dan..berintegriti orang kata. Memang bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Setelah berusaha, berdoalah kepada Dia dan jangan lupa bertawakal ilallah. Semoga usaha berterusan menjanjikan kejayaan yang didambakan.

Jumpa lagi. PMR pulak weiiii...

Khamis, September 03, 2009

Assalamu'alaikum Pa..

Pagi Jumaat 28 hb. sept bersamaan 7 Ramadan 1430H, saya bersama-sama kekanda Fariza menziarahi kubur ayahanda. Ah!! Sunyi sangat pa. Rasa sepi amat pa.. lalu kami bersama-sama membaca Yasin dengan perasaan yang sukar digambarkan. Sedih. Rindu kepada insan yang terlalu menggunung jasanya pada kami. Selepas itu, saya berdoa diaminkan oleh kekanda..

Ya Allah,
Ampunilah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa kaum muslimit muslimat yang hidup atau yang telah mati..
Ya Allah,
Kasihanilah kedua-dua ibu bapa kami sebagaimana mereka telah mengasihi dan mengasihani kami sejak kami kecil
Ya Allah,
Lapangkanlah kubur ayahanda kami sebagaimana Engkau lapangkan kubur para syuhada', aulia' dan para anbia'. Janganlah Engkau seksakan mereka dan orang-orang kami sayangi yang terlebih dulu meninggalkan kami. Rahmatilah mereka Ya Allah! Rahmatilah mereka..Kasihanilah mereka. Amin.
Setelah itu kami menjenguk 'rumah kecil nyang' berdekatan pokok durian. Kami panggil 'mok'. Masya Allah sudah panjang lalang menumpang di 'rumah'mu, mok. Kesian mok..hanya kamilah cucu-cucunya yang sering menjengah 'rumah' itu. Semoga mok tenang dan damai di sana. Kami merasa setitis nikmat kasih sayang seorang nenek darimu mok. Mok insan baik..penyayang..pengasih..Kami rindukanmu.
Sekian dulu coretan ini yang tercatat dari sanubari yang cukup halus payah untuk ditafsirkan segala rasa rindu yang bersarang di jiwa ini. Nanti kami datang lagi yaa...

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails