Lebih sedikit orang menggunakan akalnya, lebih banyak pula ia berkata-kata.(Saidina Ali Abi Talib)
Rabu, Disember 22, 2010
Selamat tinggal 2010


Ada kalanya apa yang kita rancang tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Ada kalanya sesuatu yang tidak dirancang menjadi pula. Apa-apa pun kita hendaklah kembali kepada Qada' dan Qadar Dia. Manusia hanya merancang yang menentukan hanyalah dia. Kehadiran tahun 2011 mungkin mencatat cerita baru dalam diari hidup saya yang bernama HAMILAH BINTI MUHAMMAD. Alhamdulillah syukur kerana pada awalnya saya hanya merancang begini begini untuk peningkatan kerjaya saya. Tapi, Allah s.w.t itu memang Maha Penguji yang hebat. Dia uji saya dengan memberi apa yang saya minta. Pada awalnya mendapat tahu saya berjaya melepasi tahap demi tahap ujian sehingga datangnya sekeping surat tahniah dari Tuan Pengarah JPN saya hilang semangat takut dan bimbang amanah tidak terlaksana.
Setiap detik masa, fikiran saya keliru. Hampir setiap malam saya merayu dan merintih dengan Dia agar memberi lebih kekuatan dalam mengharungi ujian dunia. Alhamdulillah, perasaan saya tenang setenang-tenangnya umpama air di tasik yang tidak disentuh.
Justeru itu, tanggal 1 Muharam 1432 saya tekadkan azam dan tidak akan menoleh lagi ke belakang. Setiap apa yang ditentukan dalam hidup pasti ada hikmah yang besar yang hanya Allah s.w.t tahu. Saya berdoa semoga saya dapat meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya saya seorang guru yang cukup mulia ini. Benarlah kata-kata ayahanda saya Hj. Muhammad bin Abdullah tugas guru itu amat mulia. Jadilah guru yang mursyid nabi. Anggaplah murid-murid itu sebagai anak kita sendiri. Kalau perlu ditegur; tegurlah. Kalau perlu dimarah; marahlah kerana kita bakal melahirkan 'produk' insan kamil bukannya barangan berjenama yang dijaga semasa masih baru atau cantik. Setelah warnanya pudar kita boleh trade in atau jual sahaja. Insan kamil bukan begitu.
Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. " (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Kesimpulan Hadis:
Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri dari mengumpulkan harta yang haram.
Makanya saya mahu kerjaya ini mendapat keberkatan Allah dan tidaklah termasuk dalam kategori manusia sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
"Orang yang paling menyesal pada hari Kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."
Hadis ini menggalakkan umat Muslimin supaya menggunakan segala kesempatan hidup di dunia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang berguna kepada kehidupan keagamaan dan keduniaannya. Dengan ilmu pengetahuan yang betul, dapat dilakukan amalan-amalan ibadah yang betul. Amalan ibadah tanpa ilmu pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bida'ah dan kekeliruan yang merosakkan agamanya.
Disamping itu ilmu pengetahuan boleh membuka ufuk pemikiran dan mendalamkan kesedaran dan keinsafan yang menguatkan keyakinan dan tauhid terhadap Allah s.w.t., dan dengan demikian akan meningkatkan darjat kita disisi Allah di hari Kiamat kelak.
Hadis ini juga menggariskan satu panduan yang penting iaitu tujuan belajar ialah beramal sama ada ia seorang pelajar atau seorang guru, kerana amalan itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang yang berilmu.
Kata pepatah Arab "Ilmu tanpa amal laksana pokok tanpa buah" alangkah ruginya seorang guru yang tidak mandapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang yang belajar darinya memungut keuntungan -keuntungan yang abadi.
Sayonara 2010. Selamat bertemu 2011.
Sekian, wassalam.
(Hati oh hati..berdebar juga menanti keputusan pmr anakanda Aimann esok. Semoga kejayaan menghiasi hidup anakanda dunia dan akhirat. Amin)
Khamis, Disember 09, 2010
Sudah 'Merdeka' Rupanya Calon SPM 2010
Selasa, November 23, 2010
SYUKUR ALHAMDULILLAH
Jumaat, November 19, 2010
Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat Bercuti
Tanggal 17.11.2010 seluruh umat Islam di Malaysia menyambut hari raya Aidil Adha 1431H. Sebenarnya negara-negara lain sudah merayakan sehari sebelum itu. Ralat pula ketika mana berpuasa sunat 9 zulhijah banyak negara sudah merayakan aidil adha. Kami anak-anak gemulah Cikgu Hj Muhammad Abdullah berpakat menumbangkan seekor lembu jantan di rumah bonda pada 11 zulhijah. Alhamdulillah, terasa lapang dada ini kerana berjaya melaksanakan tuntutan muakkad bagi hambaNya yang berkemampuan. Saya harapkan agar hati yang senantiasa dibelenggu 'kekotoran' ini sekurang-kurangnya dapat dibersihkan dengan korban itu. Ya Allah, panjangkanlah umur hambaMu ini agar masa dan ruang yang berbaki (sebelum ajal menjemput) dapat melakukan amal salih sepanjang masa. Semoga!
Malamnya pula bertempat di teratak Bonda Hasmah solat hajat diadakan khusus buat adinda Abdul Muqit STPM, Wan Nur Afiqah, Hasan Ali SPM & tidak dilupakan anakanda Nur Insyirah di Melaka. Kami doakan agar kalian semua dapat jawab dengan lancar dan baik pada hari peperiksaan nanti. Ingatlah, Allah swt akan menolong hamba-hambaNya yang berusaha, berdoa dan bertawakal.
Sekadar ini dulu, sebelum berakhir catatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat jong sembelih lembu terutama Zainul Abidin Ariffin dan Muhammad Auzan. Tahun depan kita kerjong pula....
Rabu, November 17, 2010
AIDIL ADHA DAN KENANGAN
Pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.
Kita juga disunatkan mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya). Hukum sunatnya diqiyaskan dengan hukum sunat mandi Jumaat kerana Hari Raya ialah hari berhimpunnya manusia untuk melakukan solat sunat hari raya. Mana-mana waktu atau tempat yang berlakunya perhimpunan manusia, maka disunatkan mandi. Bahkan disunatkan mandi kepada semua, sama ada yang ingin menghadiri solat Hari Raya ataupun tidak kerana mandi ini bertujuan untuk menzahirkan kecantikan. Disunatkan membersihkan diri dengan mencukur bulu-bulu pada tubuh, memotong kuku, menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan dari badan dan pakaian dan memakai wangi-wangian.
Apabila hendak melakukan solat sunat hari raya ianya mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua, yang mana dibaca tasbih diantara takbir-takbir tersebut. Dan apabila selesai takbir dan tasbih, barulah diteruskan solat seperti biasa.
Berbeza dengan Solat Jumaat, khutbah Solat Hari Raya adalah selepas solat. Setelah selesai khutbah, umat Islam digalakkan bersalam-salaman dan menziarahi sanak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai.
Sabtu, November 06, 2010
Macam-macam


Bangun weh.. cari ubi kayu!!
Hari ini rasa amat bersemangat kerana 6 gulung skrip akhir tahun pelajar berjaya dilunaskan. Rasanya itulah harga kemerdekaan bagi diri hamba buat meneruskan agenda seterusnya iaitu masukkan markah melalui e-portal SPM. Cuma mengingatkan musim peperiksaan ini rasa terkedu melihat murid-murid kita (sebahagiannya), semacam tidak bersemangat menjawab soalan. Dapat soalan terus lentok.. mereka malas berusaha tapi suka untuk berjaya dengan jalan pintas. Meniru dan memberi tiru. Calon-calon cemerlang selalunya tidak ada masalah, yang bermasalah adalah pelajar atas pagar. Kadang-kadang mereka meniru gunakan handphone. telefon dirampas tapi tidak ada tindakan tegas pihak atasan. Meniru zaman moden.
Ahh, kita sangkutkan di pagar cerita peperiksaan ini. Berhenti sekejap, kena siapkan sarapan pagi. malasnya rasa.... kalau dapoat makan ubi tentu best. Jumpa lagi..
Khamis, November 04, 2010
Rabu, Oktober 13, 2010
Jangan Bakhil
"Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"
Lalu gadis malang inipun menceritakan hal yang berlaku padanya :-
"Ya,Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi.
"Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku."
Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi ber jumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak.
"Kemudian kulihat ditangan kirinya ada seketul keju dan ditangan kanannya ada sehelai tuala kecil.Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku,kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya?
Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.
Lalu aku terus mencari ayahku . Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menanggung azab di neraka.Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia kulihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.
Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah SWT dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika didunia.
Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur.
Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah." Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir dipipi.
Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah SWT. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat islam. Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh.
Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun. INSYA ALLAH.
Jumaat, September 24, 2010
1 Syawal 1431H..
Begitulah lumrah hidup ini. Yang ada kita sayangi setakat kemampuan..yang sudah tiada kita ingat dalam kerinduan. Usai Solat Eidul Fitri di Masjid Haji Ishak, kami dan beberapa ahli keluarga menziarah maqam ayahanda. Masya Allah, rindunya padamu Pa. Masih terbayang betapa segaknya Pa berbaju Melayu bersampin sedondon di pagi raya. Kemudian kami membersihkan maqam nenda Allahyarhamah Fatimah binti Mohamad (3.8.2003), hampir-hampir terlupa di mana maqamnya. Alahai cucu-cucu bertuah. Demi kesibukan masa sampai sudah lupa bertandang ke kuburan ini. Kuburan insan-insan tersayang. Alfatihah.
Semoga ikatan kekeluargaan kita makin utuh dan teguh. Buang yang keruh ambil yang jernih. Selamat hari raya, maaf zahir batin. Jumpa lagi raya tahun depan sekiranya umur masih ada. Wassalam.
Sabtu, September 18, 2010
Cukup-cukuplah Raya..
Wallhu A’lam. Sekian, jumpa lagi.
Rabu, September 08, 2010
كل عام وأنتم بخير



Salam penghujung Ramadan. Ahlan wa sahlan aidil fitri. Semoga puasa kita tahun ini adalah puasa yang lebih baik dari tahun sebelum. Saat ketika saya mula melayari 'Sedetik Masa' ini semua ahli rumah sedang diulit 'mimpi raya' usai solat Subuh tadi. Saya tidak dapat memejamkan mata walau sepicing pun mengenangkan beberapa perkara rutin yang belum diselesaikan.
Harapan saya semoga hari raya yang bakal tiba ini kita lalui dengan penuh keinsafan. Buang segala yang keruh, ambil yang jernih. Segala kisah duka semalam tinggalkan di belakang, sangkutkan di jambatan gantung dalam perjalanan atau buang ke laut dalam untuk kita mulakan langkah baru dalam kehidupan. Setiap kita ini memang tidak terlepas dari melakukan khilaf mahupun silap. Tapi, Allah swt anugerahi kita AKAL yang sempurna maka berfikirlah dalam setiap perlakuan jangan sampai sudah terantuk baru tengadah. Kita ini hanyalah anak-anak tinggalan arwah Pa yang banyak menabur kata nasihat sepanjang usianya. Sebab itu walaupun kita sering bertelagah dalam pendapat, kita sering bertingkah lidah namun akhirnya kita tetap bersatu dalam satu hati. Janganlah ada salah silap yang kita 'jahit' di dalam hati. Air yang dicincang tak akan putus.
Sempena kehadiran Syawal 1431H, kami sekeluarga ingin mengucapkan Salam Aidil Fitri, maaf zahir batin buat semua ahli keluarga, sahabat, jiran, cikgu-cikgu dan semua yang mengenali kami.
Sabtu, September 04, 2010
Selamat Tinggal Kekasihku Ramadan



Alhamdulillah syukur kerana dengan izinNya, InayahNya, IradatNya, TaufiqNya, kami sekeluarga selamat mengkhatamkan al-qur'an Ramadan tanggal 23 Ramadan. Kini, kami berusaha untuk menyambung siri tadarus buat kali ke-2. Anak-anak nampaknya sudah mulai 'culas'.Lebih-lebih lagi lambaian Aidil Fitri lebih seronok diulit agaknya. Tak apalah. Buat sekadar termampu. Bagi diri ini masih lagi bersemangat dan insya Allah akan cuba berusaha buat kali seterusnya. Malu pula rasanya bila mengenangkan Imam as Shafii sempat habiskan 60 kali khatam alqur'an sepanjang Ramadan. Ya Allah, kuatkanlah jiwa ini untuk menyempurnakan bait-bait kalamMu dalam mengejar keberkatan Ramadan.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, doa kedua-dua ibu bapa kami, dosa kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Terimalah ibadat kami, amalan kami..dan tempatkanlah kami pada akhirnya dalam kalangan hamba-hambaMu yang beriman dan bertaqwa.
Isnin, Ogos 30, 2010
Ahad, Ogos 29, 2010
Selasa, Ogos 24, 2010
Raya Sudah Dekat?
Salam Ramadan. Adakah raya sudah dekat? Saya yakin semua orang tahu bahawa apabila puasa maka pengakhirannya adalah hari raya. Dan lagi, apabila seminggu puasa sudah berdentum dentam bunyi mercun dan segala 'mak neka' mercun. Walhasilnya setiap hari ada sahaja berita dan kisah budak kudung tangan, buta mata, tercabut telinga, terburai otak akibat benda jadah itu. Inilah adat orang kita, puasa tak hebat mana tapi bahagian mencipta alat-alat itu mengalahkan pakar nuklear Rusia. Nak salahkan siapa dalam hal ini? Bukan ibu bapa tidak pantau. Bahkan ibu bapa sendiri khabarnya ada yang menjadi dalang dalam penjualan dan pembuatan mercun. Hebatnya orang kita. Hebat sungguh Melayu kita.
Minggu lepas di sekolah saya pun sudah ada murid yang berani menjadi 'pengebom berani mati' ni. Mereka ni umpama lontar batu sembunyi tangan. Sampai sudah 'agen FBI' tak boleh kesan. Hebat sungguh budak sekolah kita.
AWAS! Jangan main mercun..'mainlah BOM'
Agaknya budak-budak kita lebih baik jangan larang buat sesuatu. Lagi kita larang lagi menjadi-jadi. Lebih baik kita tampal kat papan-papan tanda SELAMAT MAIN MERCUN. Apalah sangat dengan hilangnya 3 'putung' jari. Apalah sangat sedihnya hilang sebelah mata? Apalah salahnya berjalan dengan sebelah kaki?
Justeru itu, saya ini hamba Allah SWT yang amat dhaif di sisiNya. Hanya peringatan demi peringatan saja yang mampu saya lontarkan. Ingatlah bahawa rebutlah peluang beramal ibadat dalam bulan yang mulia ini. Janganlah dicemari dengan 'Qiyammul Mercun'. Bulan Ramadan masih luas terbentang di sana. Sudah khatamkah baca dan mengkaji al-Qur'an?
Apabila masuk Ramadan ulama'-ulama' Islam memberi tumpuan khusus kepada menambahkan amal dan tilawah al-Quran. Imam Malik misalnya meninggalkan pengajian hadis dan memberi tumpuan kepada tilawah al-Quran. Begitu juga dengan Imam as- Shafi'i. Beliau sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.
Sesungguhnya Ramadan bulan amal! Bulan Tilawah al-Quran! Bulan menundukkan hawa nafsu! Bulan qiyamullail! Bulan taubat! Bulan Zikrullah! Bulan sedekah! Bulan iktikaf! Bulan mencari lailatul qadar! Ramadan seharusnya berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Sebelas bulan sebelumnya kita bergelumang dengan pelbagai dosa. Makanya inilah peluang untuk kita untuk mendapatkan keampunan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
Kita diajar oleh Rasulullah agar sentiasa membaca doa "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memberi maaf, maka maafkan daku" dalam bulan Ramadan.
Semoga kita dilembutkan hati dipermudahkan Allah swt untuk beribadat. Apalah guna rumah yang indah kalau sunyi dengan bacaan al-Qur'an. Apalah guna kereta menjalar kalau takut menjejak masjid. Apalah guna jasad dan badan kalau rohani kosong dan lompang.
Wassalam.
Ahad, Ogos 22, 2010
Pucuk Kayu Belimbing Batu
Semua murid sekolah seluruh Terengganu yang mengambil SPM 2010 sedang menduduki peperiksaan percubaan sekarang. Kena pula mengawas peperiksaan bulan puasa ni ( bukan menyalahkan bulan Ramadan), badan cepat letih, mata pula senang nak terpejam. Kalau ada pula angin sepoi-sepoi bahasa masuk di celahan pintu Dewan Jubli Emas ni lagilah terbuai dengan kenangan di kamar tidur. Jadi, dari pejam mata tak tentu hala mana tahu lalu pula 'polis trafik', kes naiya ni. Saya pun berjalan-jalanlah pusing dewan. Sempat pula mendengar Kak Ton dengan Ustazah Wan Z berbual-bual perlahan. Oh.. rupa-rupanya kakak-kakak kita ni sedang berbincang 'menu' kurangkan kencing manis dan darah tinggi. Ustazah Wan Z kata, serai kayu pun ok..boleh kurang juga. Mmm, entahlah teringat masa jaga exam dulu-dulu ketika anak kecil berderet kita sering membincangkan cara-cara 'family planning' - nak jarak anaklah 'kunun'nya. Apabila usia sudah begini topik sudah bertukar. Kita nampaknya kena fikir macamana nak kurangkan gula dalam darah, atau turunkan tekanan darah ke tahap normal.
Justeru itu, hal ini mengingatkan saya bahawa kita tidak selamanya muda. Akan tiba waktunya kitaakan tua, selepas itu bangka, selepas itu ke alam kuburlah kita. Di sana, kita menunggu masa tibanya hari perhitungan atau hari akhirat yang mana segala amalan kita akan dihisab. Condong kepada kebaikankah kita, atau 'kesudahan' yang azab. Wallahu'a'lam.
Jumaat, Ogos 20, 2010
Adab berbuka puasa menurut sunnah Rasulullah saw



Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwattha', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: "Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: "Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas." (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).
Yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:
1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu'jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: "Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk. (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).
Malangnya ada dalam kalangan kita yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya: Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).
Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut: Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).
5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.: Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka. (Riwayat Ibn Majah)
Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut: ''Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota." (Faidh al-Qadir, 2/500).
Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.
6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.: "Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat. (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.
Semoga adab-adab di atas akan kita laksanakan dan amalkan. Apalah gunanya ilmu kalau tiada amal. Jumpa lagi.
Khamis, Ogos 12, 2010
Tazkirah
Ramadan 2, 1431H.. alhamdulillah dengan izinNya saya dapat bersama-sama semua murid dan guru perempuan di Dewan Jubli Emas SMKTM. Sebenarnya, saya tidak pula tahu bahawa saya akan diberi amanah untuk menyampaikan sedikit tazkirah buat budak-budak ini. Memang tanpa persediaan yang cukup rapi saya menyampaikan juga hal-hal yang semakin menular dalam masyarakat hari ini - kelencongan akhlaq remaja.
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” [HR Al-Bukhari: 3277, Muslim: 1079]
Rabu, Ogos 11, 2010
Apabila Si Bongsu Mula Puasa..
Selasa, Ogos 10, 2010
Harapan Ramadan
Isnin, Ogos 09, 2010
Cara-cara Mengatasi Marah II
Marah terbukti mengancam kesihatan kerana meningkatkan timbulnya serangan hipertensi, kolesterol meningkat, pembuluh darah arteri tersumbat, penyakit jantung, serta menurunnya kekebalan tubuh yang mudah terkena penyakit lain.
Di saat kita marah, jantung akan bekerja lebih kuat dan bernafas lebih cepat. Tidak hairanlah pada saat marah, kekuatan kita menjadi luar biasa. Buktinya? Suara makin menggelegar, isinya berubah menjadi bentuk makian, teriakan dan gerakan tubuh yang kuat. Belum lagi ekspresi wajah yang menyeramkan, mata merenung tajam, wajah merah padam atau berubah pucat lesi.
Ahad, Ogos 08, 2010
Cara-cara Mengatasi Rasa Marah I

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair ,"Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau".
Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qais, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.
Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.
Kita mesti ubati hati kita. Kita mesti membuangkan rasa "ketuanan"
kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :
a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.
b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.
c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.
d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.
e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.
f) Apabila datang marah, banyakkan baca ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanir rajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudu' kerana wudu' dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur
i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah. Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.
Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insya Allah kemarahan akan mulai reda.
Semoga kita sama-sama mentarbiyah jiwa kita dengan sifat lemah lembut kerana amatlah tidak berdosa kalau kita berlemah lembut dalam perkara kebaikan dan bertegas dalam perkara kemungkaran. Wallahu a'lam. Jumpa lagi dalam catatan II akan datang...TUNGGU!! (Tadi saya pun kena marah..sabar je lah)
Ramadan 1431H

Khamis, Julai 29, 2010
Ahlan Wa sahlan Ramadan
Sebenarnya saya rasa bersyukur sangat dengan kehidupan ini. Saya sedar masa untuk kita bersama anak-anak tidak lama. Ada kawan-kawan saya yang sekarang telah menjadi ibu dan bapa tanpa anak sebab semua anak duduk di asrama. Kasihan pula sebab katanya rumah sunyi tiada anak. Maka saya sentiasa bermohon dan berharap kepada Dia agar amanah yang diberikan ini dapat saya manfaatkan untuk kebaikan kami di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Jumpa lagi.
Isnin, Julai 05, 2010
'SMART STUDY & MIND BASED LEARNING'..
Tanggal 2-3 Julai 2010 (Jumaat dan Sabtu), saya dan beberapa guru dijemput dengan segala hormatnya mengisi hujung minggu dengan menghadiri Seminar Smart Study & Mind Based Learning di ILIM, Besut. Saya rasa bertuah kerana dapat mengenali penceramah yang dikira hebatlah. Namanya Saudara Osman Affan (asal Terengganu). Masih muda lagi. Namun ceramah yang hebat dan contoh-contoh Teknik Memori SmartStudy yang baik masih belum dapat saya fokus kerana fikiran bercabang-cabang. Teringat kain baju belum dilipat. Teringat urusan rumahtangga yang belum selesai..maklumlah hari cuti.
Rabu, Jun 23, 2010
Al-Fatihah Papa
Tahlil ahli keluarga Hj Muhammad Abdullah
52 orang ahli ..tidak termasuk Kekanda Fariza (Beijing) & Auzan (Kuantan)
Kaum lelaki..besar dan kecil ~ yaasiiin...
Dia memeluk isteri tersayang seraya berkata..jikalau abang 'pergi' dulu dinda pakaikan pakaian putih ini sebagai kapanku. Balutilah tubuhku dengan kain ihramku..pakaikan serban putihku ini di kepalaku. Iringlah pemergianku dengan kereta jenazah. Jangan hantarku ke kubur dengan lori yang membawa ayam itik. Bacalah al-Qur'an. Belajarlah tajwid. Suruhlah anak-anak kita baik Fariza, Jailami, Hamilah atau Rabihah bertaranum kerana anak-anak kita merdu suaranya. Ingat dinda.
Rupa-rupanya kata-kata itu adalah pesanan terakhir seorang insan yang amat-amat kusanjung mulia seindah namanya MUHAMMAD BIN ABDULLAH. Hari ini 23 hb Jun, genaplah empat tahun pemergian ayahanda menemui ilahi. Ayahanda.., tidak sepunyit pun anakanda akan melupakanmu. Tinggallah ayahanda di sana. kerana kita semua pasti akan menyusulmu jua. Ketahuilah dengan nama Allah kami anak-anakmu sentiasa merinduimu. Rindu yang tiada penawarnya. Menjadi darah dagingmu adalah kenangan terindah. Semoga ayahanda ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beramal salih. Amin.
tiada siapa di dunia,
yang mengharapkan apa yang lebih baik untuk kita,
selain ibu dan bapa.
hati mereka tulus dan ikhlas
niat mereka mulus dan suci,
cuma terkadang cara penyampaian melukakan,
namun niatnya tetap murni…
(sekadar memetik puisi seharum cempaka)
Segunung rindu buat ayahanda Haji Muhammad Abdullah 10-7-1944 - 23-6-2006. Alfatihah.
Khamis, Jun 10, 2010
Selamat Menjawab PTK 2010
Buat warga pendidik seperti saya sama ada TK1, TK2 atau TK3, jawablah soalan dalam masa 1 jam itu dengan berhati-hati. Walaupun soalannya hanya 40 soalan bagi saya yang sudah masuk kali ke-4 mengambil TK3 DG44 ini terasa perit. Memang boleh jawab sebab semua soalan ada jawapan TAPI saya tak tahu jawapan saya menepati kehendak soalan atau tidak.
Ok. Ada baiknya kita solat hajat dulu mohon pertolongan Allah swt permudahkan urusan kita esok hari. Ya Allah, tolonglah hambaMu ini. Biarlah peperiksaan kali ini adalah peperiksaan terakhir yang harus kududuki. Amin.
Ahad, Mei 16, 2010
Hari Ini Hari Guru

Oklah..tidak perlulah saya kupas satu persatu alkisah hari ini yang pastinya hari guru sudah selesai. Terima kasih buat anak-anak murid yang mengucapkan salam hari guru jua seorang dua yang memberi hadiah. Apa yang penting bukan hadiah yang didambakan. Cukuplah kalian aduhai anak-anak muridku menghargai ilmu yang dicurahkan guru. Lebih-lebih lagi mp Pendidikan Islam ini, ianya bukan sekadar ilmu tapi lebih dari itu..AMAL.AMAL DAN AMAL.
Sekian dulu catatan saya. Masih teringat sms terakhir ayahanda Haji Muhammad Abdullah lewat hari guru 2006 .."Jadilah guru yang mursyid nabi"..Masya Allah, Subhanallah, Alhamdulillah terima kasih ayahanda. Ya Allah, Kau lapangkanlah kuburnya. Tempatkanlah dia dalam kalangan hambaMu yang beriman dan bertaqwa. Amin.
Wassalam.
Jumaat, Mei 14, 2010
Selamat Hari Cikgu 2010
Hiba pula bukan kerana apa tetapi hiba apabila teringatkan sejarah keluarga guru Haji Muhammad yang pernah tersiar dalam akhbar arus perdana tanggal 16 Mei 2006. Sebulan setelah gambar ayahanda Haji Muhammad Abdullah dan 15 keluarga guru terpampang di muka depan akhbar, ayahanda dipanggil Pencipta Agung menghadapNya demi kelangsungan sebuah perjalanan hidup manusia yang serba tidak kekal di dunia yang fana' ini. Alfatihah Pa..
Justeru itu hidup bagi yang hidup tetap diteruskan. Maka berbahagialah aduhai guru kerana kita diciptakan untuk menjadi guru di atas muka bumi ini. Guru yang bukan setakat mengajar ABC, alif ba ta, +-x/..bahkan lebih dari itu. Justeru itu, hargailah guru-guru anda (buat pelajar) dan guru-guru kita dahulu. Apa khabar cikgu-cikgu saya. Saya harap cikgu masih sihat walaupun ramai yang sudah meninggalkan dunia guru (pencen..atau meninggal..), dan cikgu sentiasa dilimpahkan kebahagiaan dan ketenangan jiwa mengharungi dunia yang kian mencabar ini. Maafkan saya cikgu kerana semasa saya menjadi anak murid kepada cikgu dulu 1975-1987 saya tidak dapat memberi hadiah berharga melainkan kad-kad ucapan buatan sendiri atau sekadar sebatang pen merah 'reynold' berharga 25sen agar cikgu mudah menyemak kerja buat kami.
Bukan seperti zaman sekarang, murid-murid kita lebih kaya dari cikgu sebab mereka anak peguam, anak doktor, anak pensyarah, anak Yang Berhormat, anak Pengarah..kita dulu apalah sangat. Rata-rata kawan saya adalah anak petani, peneroka, penternak 5 ekor ayam.. kalau kaya sikit pun anak Tok Penggawa sebab dapat duduk quarters kerajaan. Telefon bimbit mereka lebih canggih dari cikgu..Laptop mereka lebih hebat dari cikgu..itu sebab bila mereka berjaya dengan penuh gemilang mereka mudah berkata,"kejayaan saya ini kerana usaha saya, solat hajat saya dan ibu bapa saya". Tetapi, bila mereka kurang menyerlah dalam peperiksaan, mereka mudah berkata.."sebab cikgu tak berapa cakna dan tak cari dia masa dia ponteng". Alahai....
Hadiah untuk guru? Nanti saya fikir-fikirkan sejenak.. mungkin yang ini:
Hakikatnya setiap tahun saya merasa bangga kerana sentiasa diberikan oleh murid-murid saya hadiah istimewa seperti di bawah buat mengesat air mata ketika suka mahupun duka atau peluh tatkala memanjat tangga-tangga kelas di tingkat 3 atau 4.
Justeru itu berbahagialah menjadi guru. GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi). Walaupun tiada emas permata atau tinta emas yang kita peroleh bersyukurlah kerana kita berjaya melahirkan manusia ternama di dunia ini.
Sekian, wassalam. Jumpa lagi dalam coretan dan catatan akan datang.
SELAMAT HARI GURU!
Sabtu, Mei 08, 2010
Doa Buat Ibu

Perindahlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.
Ya Allah, berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
atas didikan mereka padaku dan Pahala yang besar
atas kesayangan yang Mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka Sebagaimana mereka memeliharaku.
Ya Allah, apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita karena aku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
jadikanlah itu semua penyebab runtuhnya dosa-dosa mereka,
meningginya kedudukan mereka dan bertambahnya pahala kebaikan mereka
dengan perkenan-Mu, ya Allah
sebab hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.
Ya Allah, bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu
di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu.
Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir
dan Engkaulah yang Maha Pengasih Di antara semua pengasih.
Khamis, Mei 06, 2010
Saiyyid Jamaluddin al-Afghani

Saya kata," ok, awak semua pernah lihat tak gambar ini?..seorang jejaka tampan, smart, bermisai dan berjambang...tambahan dan 'berbulu dada' (saja nak ceriakan pagi sikit)"..
Murid-murid kata:" Muhammad Ali, ustazah..", ada kata,"Mufti Mesir Ustazah"...,"Ayah Shah Rukh Khan agaknya.."(ngarut doh ni, kalau ada polis peronda lalu nahas jugak ni..)
Saya kata,"Cukup..cukup, bahagian makan ikan kerapu memang boleh beri pada awak. Ini ialah Sayyid Jamaluddin al-afghani, tokoh Islah terkenal. Hari ini kita akan mengupas tokoh ini sehingga ke akar umbi. Insya Allah"
Maka, kelas berjalan lancar dan harmoni. Memang sejak dulu kini dan selamanya saya memang berminat mengajar dan menggali lebih dalam lagi mengenai tokoh. Saya selalu ingatkan diri saya dan jua anak-anak murid saya betapa hebatnya tokoh-tokoh Islam zaman silam. Jadi, kebetulan hari ini memang jadual kelas saya agak 'untung', saya suka sebab lebih banyak masa saya mencari makna ketokohan lewat kecanggihan IT yang kita lalui ini. Amin.
Sila rujuk tokoh ini melalui blog rausyanfikr atau wikipedia.
Jumpa lagi. Buat pelajar semua, kita kupas nanti Muhammad Abduh dan HAMKA.
Isnin, Mei 03, 2010
Ayuh Solat Di Masjid

Justeru itu, saya ingatkan kepada umat Islam (terutama kaum Adam) marilah kita sama-sama imarahkan masjid kerana pahalanya teramatlah besar. Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syar'i, sebagaimana sabda baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA bermaksud:
“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat)."
Ada 3 golongan yang sembahyang berjemaah di masjid yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab:
Ahad, April 18, 2010
Doa Buat Abang Mohamad Affandi Abdul Rahman
Sabtu, April 17, 2010
Salahuddin al-Ayubi

Pernah kembara bagai pelarian