Selasa, November 23, 2010

SYUKUR ALHAMDULILLAH




Alhamdulilllah segala puji-pujian hanyalah untukMu Ya Allah, salawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Syukur alhamdulillah kerana masih lagi dapat hidup pada hari ini hari Selasa 23.11.2010.

Hari ini saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana doa dan harapan saya sudah dimakbulkan. Kenapa bersyukur? Bukankah kita sebagai hambaNya mesti bersyukur kepadaNya sama ada berita gembira atau sebaliknya. Biarlah hanya Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati saya ketika ini.
Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga terutama suami tercinta kerana sentiasa memberi sokongan padu dalam kehidupan saya, ibunda saya Hajah Hasmah Awang, Kekanda-kekanda saya Hajah Fariza Nurbaya dan Jailami, serta adik-adik yang disayangi.
Wassalam.

Jumaat, November 19, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat Bercuti

Salam Aidil Adha. Salam percutian akhiran sanah buat anak-anak semua. Jadikanlah cuti ini sebagai satu tempoh belajar ilmu rumah tangga setelah belajar tanpa hentinya sepanjang tahun 2010. Bagi anakanda Aimann, teruskanlah bersolat hajat memohon kejayaan dalam PMR dengan Dia Yang Maha Pemberi Rezeki..

Tanggal 17.11.2010 seluruh umat Islam di Malaysia menyambut hari raya Aidil Adha 1431H. Sebenarnya negara-negara lain sudah merayakan sehari sebelum itu. Ralat pula ketika mana berpuasa sunat 9 zulhijah banyak negara sudah merayakan aidil adha. Kami anak-anak gemulah Cikgu Hj Muhammad Abdullah berpakat menumbangkan seekor lembu jantan di rumah bonda pada 11 zulhijah. Alhamdulillah, terasa lapang dada ini kerana berjaya melaksanakan tuntutan muakkad bagi hambaNya yang berkemampuan. Saya harapkan agar hati yang senantiasa dibelenggu 'kekotoran' ini sekurang-kurangnya dapat dibersihkan dengan korban itu. Ya Allah, panjangkanlah umur hambaMu ini agar masa dan ruang yang berbaki (sebelum ajal menjemput) dapat melakukan amal salih sepanjang masa. Semoga!

Malamnya pula bertempat di teratak Bonda Hasmah solat hajat diadakan khusus buat adinda Abdul Muqit STPM, Wan Nur Afiqah, Hasan Ali SPM & tidak dilupakan anakanda Nur Insyirah di Melaka. Kami doakan agar kalian semua dapat jawab dengan lancar dan baik pada hari peperiksaan nanti. Ingatlah, Allah swt akan menolong hamba-hambaNya yang berusaha, berdoa dan bertawakal.

Sekadar ini dulu, sebelum berakhir catatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat jong sembelih lembu terutama Zainul Abidin Ariffin dan Muhammad Auzan. Tahun depan kita kerjong pula....

Rabu, November 17, 2010

AIDIL ADHA DAN KENANGAN

Salam Aidil Adha. Syukur alhamdulillah kerana dengan izin dan 'InayahNya, hari ini saya masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dan dapat menyambut Aidil Adha sekali lagi. Dalam pukul 7.50 pagi waktu Malaysia kami sekeluarga 'berbondong-bondong' ke Masjid Haji Ishak Dengir buat melakukan solat sunat.
Justeru itu, wajar saya paparkan di sini bahawa Solat Sunat Hari Raya merupakan solat sunat yang didirikan secara bersendirian atau secara berjemaah (biasanya di masjid) pada awal pagi Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Solat Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha hukumnya adalah sunat muakkad yang mana sangat-sangat dianjurkan kerana Rasulullah s.a.w. tetap dengan Solat Hari Raya.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.

Kita juga disunatkan mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya). Hukum sunatnya diqiyaskan dengan hukum sunat mandi Jumaat kerana Hari Raya ialah hari berhimpunnya manusia untuk melakukan solat sunat hari raya. Mana-mana waktu atau tempat yang berlakunya perhimpunan manusia, maka disunatkan mandi. Bahkan disunatkan mandi kepada semua, sama ada yang ingin menghadiri solat Hari Raya ataupun tidak kerana mandi ini bertujuan untuk menzahirkan kecantikan. Disunatkan membersihkan diri dengan mencukur bulu-bulu pada tubuh, memotong kuku, menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan dari badan dan pakaian dan memakai wangi-wangian.

Apabila hendak melakukan solat sunat hari raya ianya mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua, yang mana dibaca tasbih diantara takbir-takbir tersebut. Dan apabila selesai takbir dan tasbih, barulah diteruskan solat seperti biasa.

Berbeza dengan Solat Jumaat, khutbah Solat Hari Raya adalah selepas solat. Setelah selesai khutbah, umat Islam digalakkan bersalam-salaman dan menziarahi sanak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai.
Setelah selesai solat, kami bertujuh beraya di teratak bonda memohon ampun dan maaf di atas segala salah silap yang sentiasa ada. Maafkan kami, halalkan makan minum kami, berkati dan restuilah kami. Hari ini, tidak sempat menjengah 'rumah kecil' ayahanda.. di saat takbir tadi saya tidak dapat menahan rasa rindu dan teringat 'pengorbanan' ayahanda kepada kami sehingga kami dapat menjadi insan seperti hari ini. Terima kasih Pa! Terima kasih ayahanda!
Permisi dulu 'sedetik masa sejentik rasa'...Insya Allah esok ibadat korban dapat dilaksanakan di pekarangan rumah bonda di Pusu Tinggi. Selamat berkorban.

Sabtu, November 06, 2010

Macam-macam



Bangun weh.. cari ubi kayu!!


Assalamualaikum. Sedetik masa sejentik rasa mulakan pagi anda hari ini dengan penuh keceriaan setelah bermandi hujan beberapa hari. Bukan merungut tetapi sekadar bercerita. Siapalah kita untuk menolak ketentuan Allah SWT. Panas terik pun alhamdulillah, hujan lebat pun alhamdulillah.

Hari ini rasa amat bersemangat kerana 6 gulung skrip akhir tahun pelajar berjaya dilunaskan. Rasanya itulah harga kemerdekaan bagi diri hamba buat meneruskan agenda seterusnya iaitu masukkan markah melalui e-portal SPM. Cuma mengingatkan musim peperiksaan ini rasa terkedu melihat murid-murid kita (sebahagiannya), semacam tidak bersemangat menjawab soalan. Dapat soalan terus lentok.. mereka malas berusaha tapi suka untuk berjaya dengan jalan pintas. Meniru dan memberi tiru. Calon-calon cemerlang selalunya tidak ada masalah, yang bermasalah adalah pelajar atas pagar. Kadang-kadang mereka meniru gunakan handphone. telefon dirampas tapi tidak ada tindakan tegas pihak atasan. Meniru zaman moden.

Ahh, kita sangkutkan di pagar cerita peperiksaan ini. Berhenti sekejap, kena siapkan sarapan pagi. malasnya rasa.... kalau dapoat makan ubi tentu best. Jumpa lagi..

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails