Ahad, November 20, 2011

Bilasan Kasih Pendidikan Islam 2011

Salam mujahadah. Salam imtihan 2011. Salam perjuangan calon-calon SPM 2011 di seluruh Malaysia terutama pelajar-pelajar SMK Tengku Mahmud, dan anakanda sulung di SHAMS. Alhamdulillah, peperiksaan berlangsung dalam suasana damai dan cuaca yang suam-suam kuku sekejap panas sekejap hujan. Walau apapun semoga calon SPM sentiasa berhati-hati dengan hujan. Jagalah kesihatan...


Justeru esok 21.11.2011 merupakan hari peperiksaan Pendidikan Islam SPM, kami barisan guru Pendidikan Islam atas dasar kasih sayang mengadakan hari bilasan kasih hari ini bertempat di Dewan Fatimah. Saya dan Hajah Wan Zaliha sempat menitipkan beberapa helaian contoh soalan dan jawapan dengan harapan dapat dijadikan pedoman dan panduan terakhir oleh calon esok. Kalau hendak dibandingkan zaman kita periksa dulu dengan sekarang memang ibarat langit dengan bumi. Tambahan pula zaman yang masih ketandusan ICT ketika itu, telefon pun kalau ada guna duit syiling manalah maklumat akan sampai dalam masa tercepat. Walau apa pun kami reda dengan keadaan.


Zaman sekarang, malam peperiksaan saja berpuluh-puluh sms sampai menukilkan tajuk-tajuk penting peperiksaan. Jangan ter'kezut' kalau ada sms yang menukilkan jawapan A,B,C,D dari no.1-40. Tapi, calon-calon SPM janganlah mudah terpedaya dengan jawapan yang memang tak munasabah itu. Usaha berterusan sepanjang tahun saya kira amat memadai dari terjerumus dalam kancah jawapan bocor yang memang mengarut dan 'tak masuk akal' itu.


Bagi subjek saya Pendidikan Islam 1223, bukanlah subjek kritikal yang pada anggapan sesetengah pihak Pendidikan Islam ini mudah saja ibarat makan kacang hijau. Apa pun tanggapan dan pandangan apabila keputusan diumumkan mereka terkejut kalau tidak peroleh A++. Saya dan kuncu-kuncu terpaksa menagih kelas-kelas tambahan pada saat akhir kerana bimbangkan pelajar. Kalau boleh kami akan pastikan semua pelajar dapat A atau A+...Insya Allah. Maka dengan bimbingan berterusan, doa yang ikhlas, kami harapkan 'anak-anak didik' berjaya cemerlang di dunia dan akhirat.


Akhir kalam, terima kasih atas kehadiran calon Pendidikan Islam menghidupkan bilasan kasih terakhir 75/178 kehadiran. Semoga sukses.



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails