Khamis, September 25, 2008

MENGAPA DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR ?

Bagaimanakah malam al-Qadar itu?
Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

Oleh itu hidupkanlah malam Ramadan dengan beriktikaf, menunaikan Ibadah solat, berzikir, mengaji al-Quran mendengar hal-hal yang berguna, mengulang kaji berkenaan Puasa, Solat, Zakat fitrah dan berbagai Ilmu Pengetahuan yang boleh merapatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t.dan dengan sesama manusia.

Mereka yang beriman akan berusaha dengan bersungguh-sungguh menghidupkan malam Ramadhan dengan solat tarawih,berzikir,membaca al-Quran,mempelajari Ilmu pengetahuan yang berguna terutama sekali berkenaan ibadah Puasa,dengan demikian dapatlah ia menunaikan ibadah Puasa Ramadan dengan baik dan diterima Allah ibadahnya itu serta mendapat balasan yang berlipat ganda melebihi seribu bulan. Semoga keselamatan yang diperoleh hingga terbitnya fajar,amin….

Wallahua'alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mungkin Anda Juga Minat

Related Posts with Thumbnails